BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Selasa, Disember 29, 2009

Hari Demi Hari Yang Kian Berlalu......

Assalamualaikum pada warga-warga bloggers yang dikasihi....hamba ingin mengucapkan terima kasih kerana masih sudi melawat laman hamba yang tidak seberapa ini...Almaklumlah...sejak ketiadaan laptop hamba di sisi, hamba tiada kesempatan untuk menulis di dada blog ini hari-hari...apatah lagi kini hamba kesempitan wang untuk menempuh kehidupan di sini.

- Permulaan kata, pemanis bicara -

Baiklah....sepanjang cuti ini, hamba sekadar membantu bonda menjual kain pasang di rumah, sambil duduk-duduk dan melayari internet untuk mencari prospek, untuk kerja sambilan yang hamba buat kini. Hamba sebenarnya ingin mengajak rakan-rakan blog yang berminat untuk menyertai hamba dalam kerja ini untuk sama-sama up sikit income atau duit poket, terutama kepada rakan-rakan bloggers yang masih muda, kira-kira 15 tahun-25 tahun. Kerjanya amat mudah dan dijamin halal. Sekiranya berminat, hantarlah balasan pada alamat email dan nombor telefon hamba yang telah hamba kepilkan pada blog ini....hamba sekadar ingin membantu, bukan untuk berbohong kerana hamba juga sedang melakukan perkara yang sama.

21 Disember 2009 (Isnin)

9 pagi - Hamba dihantar oleh ayahanda di Terminal Temerloh dan menaiki bas pada pukul 11 pagi. Saya sempat menghantar mesej pada Nurra, bonda & Fitri. Ayahanda melepaskan hamba dengan hati yang berat, dan sebelum menaiki bas, memeluk & menepuk belakang hamba (sebab ayahanda anggap hamba seperti anak lelaki) dengan nasihat "Belajar rajin-rajin".

1 petang - Hamba tiba di Hentian Pekeliling dengan mengheret beg yang berat. Menaiki LRT ke KL Sentral dan terus ke kaunter KTMB untuk membeli tiket keretapi ke Butterworth. Disebabkan tiket pelepasan pada waktu petang telah kehabisan, hamba terpaksa mengambil tiket pada pukul 10.30 malam. Jenuh jugalah nak menunggu dari pukul 2 petang hingga 10.30 malam! Hamba ambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar KL Sentral (sampai boleh hafal semua tempat). Cuci matalah katakan! Beg hamba diletakkan di kaunter penyimpanan beg. Apabila sampai waktu solat, hamba ke surau yang terletak di aras bawah. Kemudian, menjamu selera dengan Cheese Wedges di KFC & membaca komik di kedai buku bertentangan. Hamba tertarik dengan beberapa buku Islamik yang bertajuk "Saidatina Aisyah Ummul Mukminin - Wanita Pilihan", "Kisah-kisah Wanita Pada Zaman Rasullullah" dan "Bagaimana Untuk Menjadi Wanita, Anak & Isteri Yang Solehah" serta mencari buku PC (The Completed Series of Microsoft Photoshop); tetapi disebabkan hamba ketiadaan wang, hamba pendamkan sahaja hasrat untuk memilikinya.

9 malam - Hamba selesai menunaikan solat Maghrib & Isyak di surau. Bersantap sebentar di cafe yang berada di tingkat tiga. Ala kadar sahaja. Tersenyum seorang mengenangkan perbualan telefon antara hamba, Prof Z dan Md Din petang tadi. Duduk berdekatan kaunter pertanyaan, memerhati gelagat pengunjung yang datang dan pergi.

10.30 malam - Kami (penumpang) dimaklumkan bahawa keretapi akan lewat dan tiba pada pukul 11 malam. Hamba tidak kisah, dan mengambil kesempatan mengecas bateri handset hamba di mana-mana soket yang berhampiran tempat pelepasan, Pintu A. Hamba menolong seorang pakcik yang hendak ke surau dengan menjaga beg beliau. Hamba juga berpeluang membantu pelancong-pelancong yang bertanyakan arah, dan hamba membantu dengan seadanya dengan Bahasa Inggeris yang tidak seberapa.

11 malam - Hamba duduk di tempat hamba, 4D. Di sebelah hamba, seorang lelaki yang tidak dikenali, tetapi peramah dan mesra orangnya. Keretapi bergerak dengan kelajuan yang setara dan hamba senang dengan keadaan begitu. Datang pegawai bertugas, memeriksa penumpang. Hamba melihat ke sisi cermin, memerhati tanah tumpah darahku yag kian melabuhkan tirainya....

22 Disember 2009 (Selasa)

3 Pagi - Hamba terjaga dari tidur. Mengambil kesempatan berjalan-jalan dari satu gerabak ke gerabak yang lain. Suasana pagi yang kelam menyebabkan hamba sukar mengecam lokasi laluan keretapi. Kaki terasa lenguh dan hamba menggunakan Amex Yoko-Yoko. Dari jauh, hamba sedar bahawa diri hamba sedang diperhatikan (pemuda memakai kot, bercermin mata; rasa-rasanya seorang pelajar). Hamba buat endah tak endah, sehinggalah pemuda itu turun di Stesen Bukit Mertajam.

6.15 pagi - Hamba tiba di Stesen Butterworth. Dijemput ke teratak bonda saudara bongsu, oleh Acik Siti dan Acik Apis. Acik Diah pula berada di rumah mereka bersama Aliya, sedang beradu. Setibanya di rumah (berdekatan Kompleks Penjaja Desa Murni, Lorong Murni 5, Sungai Dua), hamba bergegas menunaikan solat Subuh.  Penat jugalah... lalu tidur dalam kepenatan. Apabila bangun, menelefon bonda di rumah dan menolong bonda saudara (memasak) dan bermain dengan sepupu, Aliya.

9 malam - Hamba dibawa ke Seberang Prai dan diajak berjalan-jalan di sekeliling kawasan. Besar dan cantik juga bandarnya. Singgah sebentar di pasar malam berhampiran. Kami hanya sekadar berjalan-jalan sahaja. Manakala, Acik Apis ke kedai gunting rambut berdekatan. Hamba kemudian menelefon sahabat hamba, Md Din untuk memberitahu perkara-perkara berkaitan. Kemudian, kami semua menjamu selera di gerai mamak berhampiran pasar malam tersebut. Hamba hanya sekadar memesan teh tarik kurang manis (tarik lebih) kerana masih kenyang. Setelah selesai, pulang ke rumah dan tidur dengan lenanya.

23 Disember 2009 (Rabu)

8 malam - Hamba dan kedua-dua bonda saudara tidak melepaskan peluang untuk berjalan-jalan di pasar malam berdekatan rumah. Makanan boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan sedap-sedap belaka. Acik Apis pula duduk di rumah, tidak begitu sihat. Pada malam itu, terkorbanlah 2 ketul rangka ayam, tiga cucuk fishball, keropok lekor dan kuih buah melaka di mulut hamba.....

24 Disember 2009 (Khamis)

9 pagi - Hari yang sama penting dengan pengumuman result hamba. Hari ini result PMR akan diumumkan. Membuat panggilan telefon kepada bonda, bertanyakan result  adinda hamba Husain. Bonda mengatakan Ude (panggilan Husain di rumah), telah berangkat ke sekolah dengan Cikgu Hadi dan anakandanya yang kebetulan hendak ke SMK Seri Bera. Ini berikutan ayahanda hamba menghadiri kursus di Hotel Seri Malaysia di Kuantan. Hamba hanya mampu berdoa agar adinda hamba bakal mendapat keputusan yang cemerlang.

1 petang - Menerima SMS daripada Ude. Dia mendapat 8A 1D, sekaligus memadam rekod kekandanya, Kamal (Angah) sebanyak 7A 1B. Sungguhpun mendapat D dalam Bahasa Arab, hamba amat bersyukur kepada Tuhan kerana telah memperkenan dan memurahkan rezeki kami adik beradik terutama dalam bidang akademik. Ucapan tahniah hamba utuskan padanya. Berita ini juga hamba kirimkan pada bonda, ayahanda, saudara mara, sahabat baik hamba serta sesiapa yang berkaitan. Amin.....

11.15 malam - Keluarga kami didatangi oleh tamu, yang pada hamba agak kurang menyenangkan. Ini disebabkan kami sudah hendak masuk beradu. Tetapi, sudah adat kita, tetamu yang datang harus disambut dan dilayan mesra. Hamba pula terperap di dapur sambil melayari on-line pada handset hamba, dengan 'berjalan-jalan' di Mysis portal. Tiba-tiba, mata hamba terhenti apabila melihat 'result exam Sem 1 2009/2010'. Lalu terus melayarinya. Alhamdulillah, walaupun mengalami sedikit penurunan, tetapi hamba bersyukur kerana masih dalam ranking yang agak baik. PNGK 3.45 dan PNGS 3.36 dengan result 1A, 2 A-,2 B+,1 B dan 1 B-. Hai, syukran...syukran.....Hamba juga melihat result Nurra, Md Din dan Fitri; kemudian memberitahu mereka menerusi SMS. Sempat berbual dengan Md Din dan Nurra mengenai result exam yang telah dikeluarkan. Apabila hamba ke ruang tamu, tetamu sudah pulang. Kemudian, hamba tidur dengan lenanya.




25 Disember 2009 (Jumaat)

8 pagi - Hamba bergegas ke tingkat satu rumah, apabila handset hamba berdering yang menandakan masuknya panggilan. Rupa-rupanya, Fitri yang menelefon. Berbual sebentar dengannya mengenai result dan perkara-perkara yang berkaitan. Fitri rupanya sedang membantu ayahandanya menyiapkan rumah. Kemudian, hamba ke pasar membeli barangan dapur dan membantu bonda saudara memasak.

9.50 malam - Hamba dibawa berjalan-jalan di pantai berdekatan Tol (maaf, hamba tidak ingat namanya). Malam itu sangat penuh dengan deretan manusia yang ramai. Singgah di tepi pantai, sempat bermain dengan air laut bersama Aliya. Ketawa besar Aliya apabila hamba mengendongnya sambil mengharung ombak kecil. Tetapi, kami dihalau oleh polis peronda, kerana kawasan itu tidak dibenarkan untuk parking dan kami bergegas ke R&R berdekatan. Pada malam itu, Aliya mengamuk kerana kemahuannya untuk bermain lama di situ tidak dipenuhi. Acik Diah pula sakit kepala dengan kerenah anaknya itu. Setelah pulang ke rumah, hamba menawarkan diri mengurut Acik Diah dan Acik Siti. Acik Siti agak segar sedikit setelah mengurut, al-maklum baru keguguran. Hamba kemudian tidur awal kerana ada hal penting yang harus hamba lakukan pada esok paginya.

26 Disember 2009 (Sabtu)

8.30 pagi - Hamba bersiap awal kerana akan mengikut salah seorang pensyarah hamba iaitu Prof Zakaria Ali ke Baling, Kedah untuk menyaksikan dan menjadi pengiring angkatan peminangan dan merisik untuk anakanda beliau yang hamba kenali sebagai Ijoi (maaf sekiranya tersilap). Pada awalnya hamba menelefon Md Din dan bertanyakan apa yang perlu. Prof Z telah menjemput hamba dari rumah Acik Siti bersama Patrick Lasak (salah seorang pelukis di Malaysia), dan kemudian terus ke rumah beliau di Seberang Jaya. Di sana, Lasak (beliau minta hamba panggil begitu) memohon pulang sebentar untuk menukar kereta Kenari yang kami naiki tadi kepada kereta yang lebih besar dan selesa. Hamba sempat menjaga dan menidurkan cucu Prof Z.

11 pagi - Setelah selesai segala persiapan, kami bertolak dangan angkatan sebanyak 1 van besar dan 4 buah kereta. Kami singgah sebentar di Kulim, iaitu di rumah adinda Prof untuk mengambil barangan hantaran dan dijamu dengan air teh O, kuih lapis dan roti jala. Hamba mendapat SMS dari Md Din bertanyakan berapa jumlah ahli rombongan dan di mana kami berada, hamba menjawab dengan kadar yang segera.

1 petang - Bertolak ke Baling. Hamba menaiki kereta yang dipandu oleh Lasak, dan penumpang yang lain pula adalah Prof dan isteri serta Mak Cik Nah. Riuh rendah dalam kereta tersebut dengan gelak ketawa apabila Lasak membuat lawak selamba. Lawak beliau yang diselangi dengan pelbagai jenis bahasa memang sangat melucukan sehingga tak kering gusi dan pecah perut kami jadinya. Prof Z yang sentiasa serius pun boleh tersenyum panjang bila mendengarnya. Apabila tiba di Pasaraya Billion, kami berhenti seketika untuk menunggu kehadiran Ustaz yang akan menjadi 'orang perantara' dalam majlis ini nanti. Prof pula menelefon Md Din supaya mengikut kami ke rumah pengantin. Kami bergegas ke rumah pengantin setelah Ustaz tiba, kerana telah kelewatan.

3 petang - Tiba di rumah pengantin perempuan. Kami dijamu dahulu dengan hidangan tengahari oleh keluarga pengantin perempuan. Hamba dan tetamu yang lain hairan dengan sejenis hidangan yang kelihatan seakan telur ikan tenggiri, tetapi rasanya seperti jagung muda. Setelah ditanya, barulah kami mengetahui ia adalah 'telur tebu', yang hanya boleh didapati di daerah Baling sahaja. Hamba agak sedikit kalut kerana sering berhubung dengan Md Din. Ini disebabkan Md Din telah menjemput kami ke rumahnya sekiranya Prof ke Baling. Kasihan Md Din, berulang alik dari rumahnya ke tempat pengantin perempuan (sebab silap jalan dan tempat). Akhirnya, dia tiba di rumah pengantin setelah mendapat petunjuk dari saudara pengantin perempuan. Hamba kemudian menelefon sepupu hamba, Nur Hayati yang juga melangsungkan pertunangan pada hari yang sama untuk mengucapkan tahniah.

4.45 petang - Kami bertolak ke rumah Md Din dengan Md Din sebagai juru arah. Prof Z membawa kereta Lasak, dan berpesan pada Md Din supaya membawa motor dengan kelajuan 50 km/j sahaja. Kami beranggapan bahawa rumahnya tidak jauh dari rumah pengantin perempuan, rupa-rupanya dalam lagi! Rumah Md Din agak berhampiran dengan Sik. Setibanya di rumah, kami disambut mesra oleh kedua bonda dan ayahanda Md Din. Hamba segera ke dapur untuk membantu bonda Md Din apa yang patut setelah melihat tiada pembantu (wanita) di dapur. Agak banyak makanan yang disediakan, sehingga kami semua terharu dengan kesungguhan keluarga ini. Hamba juga berpeluang mengenali ayahanda dan bonda Md Din, dan hampir-hampir menitiskan air mata kerana terharu (kerana personaliti mereka menyerupai arwah kedua-dua nenda yang telah pergi menyahut seruan Illahi). Ya Allah, sungguh! Hamba rupa-rupanya sangat merindui mereka, sehingga merasakan sepanjang hamba bersama bonda dan ayahanda Md Din seperti bersama arwah dan merasakan seolah mereka hidup semula. Kami dijamu dengan air oren, lemang, kuih, mi goreng dan air kopi (hamba sempat rasa sedikit je).Apa pun, terima kasih sahabat! Sebelum pulang, Prof Z memberi sedikit cenderahati pada ayahanda Md Din sebagai tanda terima kasih atas sambutan yang diberikan.

6.20 petang -  Kami bertolak pulang ke Butterworth. Hamba teruk disakat oleh Lasak, Prof dan Makcik Nah. Gelak ketawa kadangkala kedengaran memecah suasana di dalam kereta. Lasak kemudian meminta hamba mendendangkan beberapa buah lagu dan disokong oleh Makcik Nah. Setelah tidak tahan disakat dan didesak, akhirnya hamba mengalah dan menyanyikan lagu Misha Omar "Bunga-bunga Cinta", Saloma " Apa Guna Berjanji", Saloma "Bila Larut Malam", Siti Nurhaliza " Percayalah" dan "Kopi Dangdut". Mereka bersorak mendengar lagu yang dinyanyikan dan semakin galak menyakat hamba. Kemudian, hamba biarkan mereka mendengar lagu dari playlist handset hamba sehingga tiba di Kulim.

7.56 malam - Singgah sekali lagi di rumah adinda Prof untuk 'menghabiskan' kek dan hantaran yang boleh dimakan. Berhenti agak lama, dan hamba sempat menonton Nasional Geografi. Hamba juga membantu Makcik Nah dengan mengurut beliau kerana 'badan tidak sedap', sehingga beliau tertidur. Setelah selesai pembahagian makanan, dan memakan pula beberapa batang sate' yang ditempah kami pulang ke Butteworth.

10.15 malam - Hamba tiba di rumah bonda saudara. Mengucapkan terima kasih pada Prof Z. Masuk ke rumah dan berbual sebentar dengan kedua bonda saudara yang masih belum tidur menunggu kepulangan hamba ke rumah. Hamba menelefon Md Din untuk memaklumkan ketibaan di rumah, sambil mengucapkan terima kasih atas layanan yang diberikan. Setelah itu, hamba tidur dalam kepenatan dan kekenyangan.

27 Disember 2009 (Ahad)

8 pagi - Hamba bersiap-siap untuk berangkat pulang ke UPSI. Acik Diah juga turut bersiap untuk pulang ke rumahnya di Pelabuhan Klang. Dia akan ditemani oleh Acik Siti. Kami kemudian bergegas ke Terminal Bas Butterworth untuk membeli tiket.

12 tengahari - Acik Diah, Acik Siti dan Aliya menaiki bas. Hamba pula telah mendapat tiket yang akan bertolak pada pukul 7.30 malam. Acik Apis mengajak hamba pulng ke rumah, dan kami menonton TV. Kemudian, dia keluar dan pulang semula dengan mengambil joran untuk pergi memancing sebentar di kolam berdekatan. Hamba sekadar makan sedikit supaya tidak pulang dengan perut yang kosong. Hamba meminta Nurra memastikan bilik hamba.

7.30 malam - Hamba sangat bernasib baik kerana sempat menaiki bas, yang mana telah mula hendak bertolak. Acik Apis, yang mana kekalutan kerana lambat pulang dari memancing telah memecut keretanya dengan 3/4 kelajuan. Mujur, sempat tiba pada masa yang ditentukan. Hamba tidak tidur sepanjang berada di dalam bas. Selain itu, menghantar SMS kepada Acik Diah dan Md Din. Bas itu kemudian, berhenti rehat sebentar di Slim River dan meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim.

28 Disember 2009 (Isnin)

1.15 pagi - Di sinilah bermulanya kisah yang agak perit dalam hidup hamba. Setibanya bas di hentian R&R Tanjung Malim, hamba diarahkan untuk turun di situ. Hamba terkejut bukan kepalang kerana hamba dimaklumkan bahawa bas ini akan berhenti sebentar di Pekan Tanjung Malim. Hamba meluahkan rasa tidak puas hati, ditambah lagi dengan harga tiket yang mahal dan tidak berpatutan dengan servis yang diberikan! Tetapi luahan hamba disambut dengan acuh tak acuh daripada pemandu terbabit. Tinggallah hamba di situ, kebingungan dan terpaksa berlagak 'cool' bagi mengelakkan panik, apa tidaknya, hamba ditinggalkan di situ awal-awal pagi dan berseorangan! Hamba terpaksa berfikir pula bagaimana hamba hendak masuk ke dalam, sama ada menumpang atau heret sahaja beg hamba dari hentian ke kolej. Itu namanya kerja gila!!!! Hamba sangat bernasib baik kerana menemui pakcik-pakcik yang memandu lori KTMB dan telah menumpangkan hamba ke kolej. Hahahaha....bayangkan hamba duduk di belakang lori dengan 3 buah beg yang boleh tahan besar dan beratnya! Tapi hamba tetap 'layan' dan menikmati suasana tersebut. Terasa seolah musafir pula....

2.35 pagi - Tiba di kolej (KUO). Hamba masih belum mendaftar lagi. Jadi, sudah tentulah belum ada kunci rumah. Nasib hamba sekali lagi masih baik, hamba telah dimaklumkan oleh Nurra bahawa hamba dapat menetap di rumah ground floor. Maka, dapatlah hamba bawa barang-barang hamba yang berat itu dengan mudah. Tiba di rumah pula, hamba tidak dapat masuk ke dalam (hamba ingat housemate hamba dah tidur semuanya). Jadi, hamba memanjat pagar tepi rumah dan masuk melalui pintu tengah (mujur tak berkunci), dan melihat housemate hamba (hamba kemudian kenalinya sebagai Michaell) sedang khusyuk mendengar Mp3 dari laptopnya. Michaell amat terkejut dengan kehadiran hamba, kerana hamba masuk dari pintu tengah. Alhamdulillah, hamba akhirnya dapat juga tidur walaupun di luar bilik (kerana tak mahu ganggu room mate yang nyenyak tidur) dengan beralaskan 2 helai kain batik (sebagai cadar), kain selimut dan teddy bear (sebagai bantal). Syukur sangat-sangat!

5.30 pagi - Bersiap untuk ke kampus. Penat masih lagi bersisa, tetapi dikuatkan juga kudrat hamba untuk menghadiri kelas Pengurusan Pembelajaran di Auditorium 1. Segalanya berjalan lancar dan mengikut apa yang dirancang ( walaupun pensyarah tak masuk kelas).

7.20 malam - Semasa masuknya waktu maghrib di Tanjung Malim, telah kedengaran akan seruan azan yang amat merdu di kolej hamba. Aluan suaranya sangat merdu dan mampu membuatkan hamba terpana dan menjadi khusyuk mendengar azannya. Ya Allah, sangat merdu dan mengikut tatacara azan yang sepatutnya, lengkap dengan nahu dan idghamnya....Secara tak langsung menggamit hati hamba untuk segera menunaikan solat dan terasa ingin belajar mengaji secara berlagu pula....perasaan hamba saat itu seolah sangat memuja 'bilal' yang melaungkan azan tersebut, seolah telah jatuh hati dengan suara tersebut....Hamba sebenarnya sangat menyukai seorang lelaki yang mampu melaungkan azan dengan baik dan merdu kerana hamba sangat suka mendengar azan...Itulah salah satu kritiria untuk mencuri hati hamba...Siapakah dia? Hamba masih tercari-cari jawapannya.....

Baiklah....Itu sahajalah catatan yang hamba ingin kongsikan...kita sambung dalam catatan seterusnya...Wassalam...


0 ulasan:

Buih Yang Berterbangan