BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Jumaat, Mei 18, 2012

Catatan Resepi Bagi Dikongsi Bersama! Part 3


Resepi 3 : Asam Pedas Ikan Patin Masak Tempoyak - Masakan Istimewa Orang Temerloh!



Bertemu lagi kita dalam kiriman seterusnya! Pada hari ini, tergerak pula di hati untuk berkongsi resepi ini yang pada hamba sangat mengiurkan dan membuatkan hamba teringat-ingat untuk pulang ke Pahang, terutama apabila cuti semester! Masakan ini sememangnya terkenal di seluruh negara, tetapi masakan ini lebih istimewa dan lazat di kawasan pesisir sungai Semantan, Temerloh; kerana dikatakan asal wujudnya masakan ini adalah dari daerah ini. Keadaan ini disebabkan Temerloh lebih terkenal dengan jolokan "Tempat Kelahiran dan Bandar Ikan Patin". Malah, masakan asam pedas ikan patin di sini adalah terlebih sedap jika dibandingkan dengan masakan asam pedas dari negeri-negeri lain. Hal ini berdasarkan pengalaman hamba merasa dan menikmati masakan asam pedas ikan patin di negeri-negeri lain (al-maklum perantaulah katakan!). Memang 'no challange!' Ok, kita lihat bahan-bahan dan cara pembuatannya!

Bahan-Bahannya :

1 atau 2 ekor ikan patin - yang telah dibelah-belah / dapatkan 1/2 ikan sahaja (kepala)
3 biji bawang merah (dikisar / tumbuk)
3 biji bawang putih (dikisar / tumbuk)
1/2 ibu jari halia (dikisar / tumbuk)
1 ibu jari lengkuas (dikisar / tumbuk)
10 biji cili kecil / cili padi (dikisar / tumbuk)
1 ibu jari kunyit hidup (dikisar / tumbuk)
1 kuntum bunga kantan (dibelah 2 atau 4)
2 pohon kecil daun kesum (daun dipetik dari pohon)
2 1/2 sudu besar minyak
7 sudu besar tempoyak (lebih sedap jika gunakan tempoyak buatan sendiri / beli dari pasar Temerloh)
1 jag air (untuk kuah)
1 mangkuk besar air basuhan beras
2 biji limau nipis
Garam, ajinomoto dan gula (secukup rasa)

Tips Mengenal Pasti Ikan Patin - Untuk Dibeli dan Dimakan

Sebenarnya terdapat sedikit tips untuk membeli ikan patin. Anda boleh membuat perbezaan antara ikan patin yang ditangkap dari sungai, paya atau diternak dalam sangkar. Malah ikan patin di Temerloh terbahagi kepada Ikan Patin Putih, Ikan Patin Hitam dan Ikan Patin Buah (berdasarkan apa yang hamba tahu). Harga ikan dikira mengikut beratnya, dan antara ketiga-tiganya Ikan Patin Buah yang paling mahal. Namun, ikan yang paling mahal inilah yang paling sedap dibuat asam pedas ini! Ikan patin dikenali berdasarkan warna dan saiz badannya, dan perkiraannya adalah seperti berikut:

Ikan Patin Putih = berwarna putih kelabu dan kelihatan licin. Saiznya kecil sedikit dari Ikan Patin Hitam dan Ikan Patin Buah, serta lemaknya sederhana keras (lemak ikan terletak di bawah kepala ikan, berdekatan perutnya)
Ikan Patin Hitam = jenis agak liar. berwarna hitam, dan kelihatan berkilat dan licin. Saiznya sederhana dan lemaknya agak keras sedikit.
Ikan Patin Buah = selalunya dipelihara dalam sangkar. berwarna hitam kelabu, badan kurang berkilat. Saiznya besar dan lemaknya lembut serta kelihatan 'melayut'.

Ikan patin sungai adalah kurang berbau berbanding ikan patin ternak dan ikan patin paya. Ikan patin ternak mempunyai parut pada badannya (kadang-kala) dan ikan patin paya, apabila dipegang sudah berbau hamis. Jika makan masakan asam pedas ikan patin di Temerloh, anda perlu ambil seketul besar ikan ini. Maknanya anda tidak boleh potong atau hanya ambil bahagian lemak tapi ambil keseluruhan kepala sekali. Ini berlainan di negeri lain yang mana boleh memotong atau memilih bahagian yang nak dimakan. 

Tips Mengenal Pasti Tempoyak Yang Bagus - Untuk Dibeli dan Dimakan

Tempoyak boleh dibuat sendiri atau dibeli. Tapi kadangkala hasil buatan sendiri tidak sama dengan buatan orang lain. Rahsia kepada hasil tempoyak yang sedap, adalah berdasarkan pemilihan jenis durian. Pastikan anda mengambil buah durian yang berwarna kuning emas, elok dan dari durian yang elok (tak ditebuk tupai). Ini mempengaruhi penghasilan tempoyak semasa diperam. Tempoyak yang baik adalah apabila dimakan, rasa manis durian akan masih terasa di kerongkong walaupun anda sudah habis menelan nasi. Warnanya juga adalah kuning raja dan rata, apabila digaul. Tempoyak di Temerloh adalah yang terbaik!

*Ingatan : Masak asam pedas ikan patin masak tempoyak ini dianggap terbaik jika mampu memghasilkan warna kuning raja yang cantik (bukan warna merah lada) dan rasa masam manis yang baik.

Cara menyediakannya :

1. Basuh dahulu ikan patin untuk membuang baunya. Ambil ikan patin dan rendam di dalam mangkuk besar berisi air basuhan beras selama 3 minit. Cuci ikan sambil lumurkan dengan perahan air limau nipis. Cuci lagi sehingga bersih.

2. Anda boleh memilih sama ada untuk menumis atau merebus sahaja masakan ini. Jika keluarga anda kurang makan minyak, boleh gunakan teknik rebusan. Tetapi diingatkan, teknik menumis harus berhati-hati sebab kacauan yang banyak akan merosakkan tekstur lemak ikan patin.
a) Ambil minyak. Biarkan minyak panas. Tumis bahan-bahan yang dikisar / tumbuk dan biarkan sehingga wangi. Masukkan air dan biarkan sehingga mendidih, Masukkan ikan patin.
b) Masukkan air ke dalam periuk yang berisi ikan patin  dan bahan-bahan yang dikisar / tumbuk. Kacau sedikit air untuk ratakan bahan. Biarkan sehingga mendidih, dengan api sederhana.

3. Masukkan bunga kantan, daun kesum dan tempoyak. Masukkan sekali bahan perasa secukupnya. Biarkan dalam api yang sederhana besar.

4. Apabila melihat isi ikan berwarna putih dan lemak ikan keliatan kuning berkilat dan air mendidih, matikan api dan angkat untuk dihidangkan. Untuk hidangan kali kedua, pastikan anda menghangatkannya kerana lemak terdapat di dalam kuah tersebut.

Baiklah, sampai di situ penerangan hamba. Selamat mencuba semua!

*Pada sesiapa yang nak merasa masakan asam pedas patin yang sedap boleh ke pesisir gerai makan berdekatan Dataran Patin atau ke Dataran Patin sendiri! Jika nak lebih murah sedikit, boleh ke gerai yang terletak di lingkaran jalan (melalui jalan lama, bukan Highway) menuju ke KL (sekiranya dari Kuantan), menuju ke Temerloh dari Bera. Kedudukan gerai itu adalah di jalan selepas jambatan Temerloh, iaitu jalan menuju Temerloh, yang mana dahulunya merupakan R&R Temerloh, sebelum wujudnya jalan Highway. Sedapnya sampai menjilat-jilat jari!


Imbauan Kenangan Semasa Menuntut - Rindu Yang Menjengah!


     Terima kasih kepada semua rakan-rakan blog yang masih sudi kiranya membaca untaian kisah dari blog hamba ini. Jika dikira dari permulaan pembukaan blog ini, iaitu kira-kira 4 tahun yang lalu (2009) hamba telah menjalani pelbagai macam kisah yang mana sebahagian darinya telah hamba lakar di sini. Al-kisahnya, laman blog ini diwujudkan menerusi arahan atau lebih mudah dianggap sebagai sebahagian daripada 'assignment' daripada salah seorang pensyarah hamba, iaitu arwah Dr.Roskang Jailani. Ketika itu beliau membuat kelas berdasarkan 'pengamatan berhadapan dan juga pemikiran pelajar', yang mana menjadikan laman sosial dan blog sebagai wadah penting dalam penyampaian ilmu. Beliau mahu supaya kami ini celik ilmu, bukan sahaja menerusi pendekatan melalui pengajaran di bilik kuliah dan studio, tetapi juga dalam mengaplikasi dan memanipulasi alam 'maya' ini, supaya tidak dikatakan ketinggalan zaman. Syukur juga dengan unjuran beliau ini, hamba kini dapatlah membuka minda dan mata mengenai betapa luaskan 'alam siber' yang tidak berpenghujung ini.

    Mengimbas kembali saat hamba bergelar pelajar di universiti, masih terbayang akan wajah-wajah kesayangan hamba sepanjang di sana. Mana tidaknya, walaupun jarang bersua muka, tetapi apabila bertemu memang tidak akan lekang dengan pelbagai perbualan dan perbuatan. Apatah lagi dengan rakan-rakan yang selalu ditemui apabila sama-sama mengambil pengajaran di dalam kuliah dan studio yang sama. Teringat semasa berada di Semester 1, ketika kami semua diarahkan untuk menyiapkan tugasan yang mana hanya boleh disiapkan di Studio Lukisan ketika itu. Bayangkan, seramai 80 orang pelajar terpaksa berkongsi tempat di dalam sebuah bilik sederhana besar, yang mana terpaksa bersesak pula dengan pemegang besi dan papan playwood bagi menyudahkan tugasan. Malah, kami terpaksa pula 'berjaga' di studio yang menerusi cerita-cerita orang merupakan 'salah satu kawasan keras' di UPSI. Terasa amat melucukan pula bila dikenangkan kembali, apabila kami semua terpaksa bersembunyi dari ditangkap oleh pak guard pada waktu tengah malam di studio. Jika nasib tidak baik, alamat berjalan kakilah kami semua pulang ke hostel (KUO dan KHAR) pada jam 1 atau 2 pagi! Maka, kami menggunakan peelbagai cara dan taktik bagi mengelakkan dari 'ditangkap'. Mana-mana saja tempat yang dirasakan boleh digunakan akan dijadikan alat, sampaikan ada yang mengalami kemalangan kecil, gara-gara takut dipaksa pulang. Apabila mengejutkan mereka ini bangun tidur pula, pun sekian hal juga. Ada yang tidur meniarap, ada yang berdengkur, ada yang bersujud, malah ada juga bila dikejut, mata terbeliak memandang semula! (Yang ni memang menggerunkan sedikit, buat orang terkejut saja)

       Masih teringat juga hamba selalu kelewatan tatkala ke kelas. Almaklum, hamba ini walaupun sudah dikunci jam, tangan inilah dengan pantasnya mematikan bunyi jam tersebut. Bila ditenung semula, Ah Sudah! Bergegaslah hamba ke tempat kuliah atau studio. Bila dilihat jam, memang hamba sudah betul-betul lewat! Bila menjejakkan kaki di kampus, apalagi, macam lipas kudunglah hamba berlari dan lebih menyebabkan orang kadangkala tidak senang dengan hamba (agaknyalah, sebab hamba selalu tengok diaorang tenung hamba sambil mencebik), hamba berlari dengan berkaki ayam sahaja! Hamba jenis tidak kisah. Pada hamba, biarlah; badan sendiri, sendirilah yang bawa. Bila sampai di studio, mulalah mencungap macam orang tak cukup nafas! Memang penat, tapi berbaloi jugalah, sebab tak sempat pensyarah nak denda (Hehehe). Hamba juga boleh tergolong dalam pelajar yang 'agak lurus' dan mengikut peraturan juga (walaupun kadang-kadang langgar juga....hehehe). Bila pensyarah mengunci pintu (bagi mengelakkan pelajar lewat masuk ke kelas), sementelah rakan-rakan lain pulang saja, hamba pula mengambil inisiatif dengan membawa sebuah gelas atau tin kosong. Nak tahu apa kegunaannya? Jeng...jeng....jeng......Hamba mengendap! Tin atau gelas kosong itu hamba akan lekapkan di pintu masuk yang berkunci tadi dan huwallah!! memang dengarlah 'sebarang perbincangan'. Tapi ingatan ya, pastikan anda kekal dalam posisi dan jangan sesekali buat bising, ok? Tapi kadang-kala hamba ter'kantoi' juga, terutama dengan En. Nan Abdul Aziz. Pernah sekali hamba tidak memahami apa yang dibentangkan, dengan 'tak betulnya' hamba menghantar SMS pada En Nan untuk meminta pelajar itu terangkan semula apa yang dibentangkan tadi. Ingatkan En.Nan suruh pelajar tu ulang semula, alik-alik diarahkan salah seorang rakan buka pintu. Apalagi, terjelepuk la hamba depan pintu studio. Hamba hanya mampu tersenyum sumbing, sambil buat isyarat 'peace'; manakala rakan hamba, Nurra sudah tergeleng-geleng kepalanya, pening memikirkan kerenah kawannya ini.




Sekadar Berkongsi Rasa Bangga & Gembira!


     Alhamdulillah....bersyukur hamba ke hadrat Illahi, dengan berkah dan limpah kurnia dari-Nya, hamba masih dapat melihat dan menikmati alam fana ciptaan-Nya ini. Syukur juga diucapkan kerana hamba dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melakar tinta di laman ini, untuk sama-sama berkongsi ceritera sama ada mengenai kehidupan mahupun sebagainya pada sesiapa yang sudi melihat dan membaca mengenainya. 

    Ulahnya di sini, ingin hamba berkongsi sebuah paparan khas dari sebuah akhbar tabloid yang mana telah menyiarkan hasil temuramah antara wartawan dengan salah seorang rakan seperjuangan hamba semasa menuntut di UPSI. Beliau adalah saudara Abdul Rahman Ajit, sepertimana yang pernah disebutkan dalam kisah sebelum ini. Nyata tuah menyebelahi beliau untuk diketengahkan oleh pihak media, supaya dapat memberikan impak yang positif, khususnya kepada golongan lelaki di luar sana mengenai pemilihan kerjaya sebagai seorang guru. Tidak dinafikan bahawa apa yang dinyatakan di dalam penulisan itu, bahawa profession perguruan di kalangan kaum lelaki adalah sangat kurang berbanding kaum wanita. Tetapi, jangan lupa bahawa guru lelaki juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah seseorang pelajar. Bahkan jika dilihat dari pengalaman hamba sendiri, hamba lebih rapat dengan guru-guru lelaki di sekolah kerana pada hamba mereka lebih 'understanding' dan 'cool', serta cepat menangkap apa yang diperlukan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Bukan bermakna guru perempuan tidak cekap dan baik, tetapi guru lelaki ini ibarat 'bapa' atau 'saudara lelaki' yang mana mengundang rasa senang mahupun lebih mesra untuk diajak berbincang dan melakukan aktiviti lasak yang mana jarang dilakukan oleh guru wanita, khususnya.

     Tambahan pula, berdasarkan pengalaman berpraktikal di sekolah telah memperlihatkan dengan jelas pada hamba betapa besarnya peranan seorang guru lelaki di sekolah. Bukan sahaja dalam pembelajaran, malah dalam pentadbiran keseluruhannya. Jika tiada guru lelaki, maka keadaan sekolah mungkin lebih kurang terkawal dan mengakibatkan pentadbiran kurang kukuh, terutama dari aspek tunjangnya. Bukan saya menidakkan kemampuan kaum wanita untuk menjadi pemimpin, tetapi tekanan dan keadaan persekolahan yang pada masa kini kian mencabar kadang-kala mencabar wibawa seorang guru dan kadang-kala tidak kurang juga permasalahan juga hadir dari pihak guru sendiri. Ramai lelaki di luar sana beranggapan kerjaya guru ini melecehkan, tetapi sebenarnya tidak. Hamba sangat bersetuju dengan pandangan sahabat seperjuangan hamba ini, yang mana sebenarnya dalam kerjaya inilah kita akan mendapat 'cabaran' yang sebenar-benarnya, tentang bagaimana untuk membentuk jati diri seseorang insan dan mengekalkannya bagi keseimbangan negara. Tidak dinafikan kerjaya guru ini sangat berat dari sudut pendekatan dan pengamalannya, tetapi dengan asas latihan serta pengalaman, insyaallah guru tersebut akan dapat menangani masalah itu; tidak kira ke ceruk mana mereka bertugas. 

     Baiklah, celoteh hamba nampaknya kian bertambah panjang. Oleh itu, hamba tamatkan sementara di sini. Hamba tinggalkan para pembaca sekalian dengan cebisan tabloid yang mana hamba perolehi dari salah seorang rakan seperjuangan hamba yang lain, iaitu saudara Isma Hafizz. Seluruh kredit untuknya yang mana sanggup meng'scan' cebisan tabloid ini untuk tatapan kami di laman web sosial Facebook. Terima kasih banyak-banyak Isma!



*PS - Hamba perasan bahawa tarikh pada rencana ini ditulis adalah pada 23 Mei 2012......sekarang tarikh bila??? (Atau hp dan laptop hamba salah tarikh??)


Buih Yang Berterbangan