Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan
bloggers yang dihormati sekalian. Dengan segala rendah diri dan takzimnya,
hamba memohon maaf atas keluputan dalam menulis sebarang tinta selepas tinta
terakhir di laman using ini. Namun, hamba sentiasa mengikuti perkembangan
semasa blog ini, Cuma kekurangan masa untuk menaip sebarang ayat di ruangan
post. Kini hamba kembali dengan info-info terbaru yang mana mungkin berguna
untuk tatapan rakan-rakan sekalian.
Sebagai seorang yang baru menamatkan
pengajian (fresh graduate), sudah tentu tujuan kita adalah untuk mendapatkan
pekerjaan. Namun, pada zaman kini, disebabkan persaingan yang tinggi dalam
mendapatkan pekerjaan, bilangan graduan yang melebihi jumlah kerjaya yang
berada di pasaran, menyebabkan ramai graduan mengganggur. Keadaan ini bertambah
meruncing apabila kerjaya yang diberikan adalah ‘kurang setanding’ dengan tahap
pendidikan yang dimiliki oleh graduan, syarat pengambilan pekerja yang sangat
ketat (terutama bagi kerjaya di peringat kerajaan) dan juga sikap graduan yang
sangat memilih kerja. Di sini ingin hamba berikan sedikit nasihat atau tips
yang mungkin boleh membantu rakan-rakan yang mana masih ‘sukar’ mencari kerja
atau sekadar mencari pekerjaan sementara (untuk menanggung kos hidup).
Antara
yang hamba ingin cadangkan dan nasihatkan adalah:
1) Seboleh-bolehnya, anda hendaklah
mempunyai hala tuju yang ingin anda capai dalam hidup. Bukan hanya nak ikut
telunjuk ibu bapa anda atau sekadar nak ikut kawan. Keadaan ini disebabkan
sebahagian besar majikan akan melihat anda sebagai seorang yang lemah, tidak
tetap pendirian, sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan
paling membimbangkan, mereka sudah beranggapan bahawa anda tidak serius dengan
kerjaya yang anda ingin ceburi.
2) Kenali kekuatan, kelemahan dan juga
kemahiran anda (yang mana diperlukan dalam bidang yang anda ceburi) dan juga
matlamat kerjaya anda pada masa hadapan. Hamba cadangkan agar anda membuat
sebuah “Papan Visi” berkaitan dengan diri anda sendiri, dan tampal pada dinding
bilik anda atau pintu almari anda (yang mana mudah untuk dilihat setiap hari).
Pada anda mungkin cara ini agak kebudak-budakkan, tetapi sememangnya ini adalah
untuk menetapkan minda anda untuk mencapai apa yang anda ingini di masa depan
dan juga sangat-sangat berguna ketika anda akan menghadapi temuduga kelak,
terutama temuduga kerajaan.
Contoh "Papan Visi"; Mengandungi kekuatan, kelemahan, kemahiran serta matlamat kerjaya (berdasarkan kerja yang anda ambil) pada masa akan datang, 5 tahun selepas itu. (Maaf, segala maklumat dalam Bahasa Inggeris, kerana ini adalah Vision Board hamba sendiri semasa menyertai program GCAP. Di sebelah kiri atas adalah kotak penutup yang hamba buat menyerupai seolah-olah sebuah diari)
3) Berlatih pengucapan; sama ada secara
individu (di dalam tandas, bilik air dan sebagainya) dan juga dalam berkumpulan
(sama ada ketika di hadapan orang ramai, rakan-rakan dan taulan). Mengapa ia
penting? Ini disebabkan kita akan dilihat sebagai seorang yang berkeyakinan dan
positif dalam memohon pekerjaan. Apa yang ingin hamba ingatkan, jangan terlalu
yakin bahawa anda akan mampu untuk berucap, kerana tidak semua graduan (semasa
mereka belajar di universiti dahulu misalnya), mempunyai kemahiran membuat
ucapan terutama di hadapan umum. Di sini ingin hamba tekankan bahawa pengucapan
ketika pembentangan di dalam kuliah, ucapan berapi-api ketika pilihan raya dan
juga pertandingan pidato masih belum menjamin seseorang graduan itu mempunyai
kemahiran pengucapan yang baik. Ini disebabkan kemahiran itu memerlukan keberanian
dan juga asas tahan diri yang tinggi. Tentu rakan-rakan semua pernah melihat
pembentangan ketika di kuliah, bukan? Ingin hamba bertanya, jika di dalam
sebuah kumpulan itu mempunyai 8 orang ahli, adakah mereka semua boleh
memberikan pembentangan yang baik? Sudah tentu akan ada juga yang ‘kurang’,
terutama yang bersuara rendah, kurang yakin dan sentiasa mencari ruang untuk
memendekkan ucapan mereka dan kemudian berkumpul di belakang ahli kumpulannya.
Sikap seperti inilah yang DITEGAH atau DILARANG sama sekali ketika berlakunya
temuduga. Ini membolehkan penemuduga ‘menanda’ anda di dalam senarai untuk ‘dicuci’
dan ‘ditembak’ habis-habisan.
4) Ambil tahu perkembangan semasa,
terutama menonton TV dan suratkhabar. Tidak dinafikan bahawa sebahagian besar
graduan kurang meluangkan masa untuk ‘mengambil tahu’ akan isu-isu semasa. Ini diburukkan lagi
dengan sikap sesetengah mereka yang hanya leka dengan permainan komputer/laptop
dan juga benda-benda remeh. Kelemahannya terlihat ketika anda ditemuduga, yang
mana sebahagian besar soalan yang dikemukakan adalah menjurus kepada
pengetahuan am yang wajib diketahui. Main komputer memang boleh, tetapi
kurangkan dan ambillah sedikit ruang untuk menjenguk sama ada laman web surat
khabar mahupun e-akhbar untuk melihat atau ‘menyimpan’ maklumat, mana tahu
boleh digunakan semasa temuduga kelak?
5) Tidak memilih kerja. Pada masa kini,
sebahagian besar graduan tidak mahu untuk bekerja, walaupun bekerja sementara terutama
jika jawatan dan kerja yang ditawarkan adalah tidak bersangkutan dengan bidang
atau kelulusan yang dimiliki. Nasihat saya, JANGAN SESEKALI MEMILIH KERJA! Ini
adalah kerana bukan anda seorang sahaja graduan yang baru menamatkan pengajian
dari universiti. Tambahan pula, jika bidang yang anda pilih (terutama graduan
pendidikan) tidak mempunyai kemahiran yang ‘diingini’ oleh majikan. Tahukan
anda, pada zaman kini, majikan atau syarikat, tidak kira kerajaan dan swasta
lebih gemar mencari pekerja yang mempunyai pengalaman? Jika tidak percaya,
lihatlah laman-laman web yang ‘menawarkan pekerjaan’ dari syarikat atau
kerajaan dan lihat syarat-syarat yang dinyatakan. Oleh itu, ubahlah persepsi
anda, carilah dan terimalah kerja walau sekecil manapun kerja itu (malah kutip
getah pun kerja juga! Asalkan bukan getah orang lain sudahlah). Keadaan ini
sebenarnya menguntungkan anda, kerana dari pengalaman kerja itu, anda akan
dilihat sebagai seseorang yang telah mahir dengan kerja yang anda lakukan serta
ini membuka lebih banyak ‘pintu’ untuk anda memperoleh pekerjaan; berbanding
dengan hanya bergantung pada satu bidang sahaja. Malah, anda juga mungkin
berpeluang membuat simpanan sendiri atau membayar hutang-hutang yang ada, siapa
tahu?