Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan blogger yang dihormati sekalian. Sudah lama benar hamba tidak mencatat sebarang tinta di atas laman maya ini. Arakian maafkan hamba kerana kelalaian serta ketiadaan masa yang benar-benar sesuai untuk melakarkan sebarang ceritera ataupun nota-nota di sini. Al-maklum hamba kini berkerjaya dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan etika kerja yang berlainan, tidak seperti semasa menjadi pelajar dahulu. Adapun begitu, syukur ke hadrat Illahi kerana masih dipanjangkan umur hamba bagi menaip di papan elektronik ini bagi tatapan semua. Kisah hamba kali ini berkisarkan pengalaman hamba membawa anak-anak asuhan hamba ke Menara MATRADE, Jalan Duta dan I-City, Shah Alam sempena pameran terkemuka iaitu Art Expo Malaysia 2013 pada 19-22 September 2013.
Tarikh 21 September 2013 (semalam) menjadi pilihan hamba disebabkan ketika itu adalah cuti sekolah serta sehari sebelum tamatnya pameran itu. Agak malang, kerana hamba kesiangan pada pagi itu kerana kepenatan serta kebimbangan melanda jiwa. Mujur setibanya di sekolah, masih agak awal iaitu jarum jam menunjukkan jam 7.00 pagi. Lebih malang lagi, motor 'kesayangan' pula buat hal. Terpaksalah hamba menapak dari rumah ke sekolah. Mujur rumah hamba tidak jauh dari sekolah, kalau tidak; memang teruk natijahnya. Di sekolah, terdapat ibu bapa bersama-sama anak-anak murid yang sedia menunggu kedatangan hamba. Setelah mengambil kehadiran pelajar, hamba membahagikan makanan (sarapan pagi) beserta minuman kepada mereka. Terima kasih diucapkan kepada En. Kamarulazman (YDP PIBG SMK Pasoh 2) atas kesudian untuk 'sponsor' sarapan pagi untuk program ini. Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu tiba dan perjalanan dimulakan pada jam 7.20 pagi. Perjalanan diteruskan setelah mengambil kak Shima dan kak Syahida di Batu Kikir dan Senawang.
Pelajar diberi taklimat sebelum memasuki menerusi pintu masuk ke pameran
Bergambar beramai-ramai sebelum masuk ke dalam pameran. Meriah nampaknya.
Guru-guru pengiring pula tangkap gambar. Dari kiri : Cikgu Wan Fauzi, Cikgu Fadzilah dan anak-anak (Kak Long, Irsyad dan Abang), hamba, Cikgu Hashimah dan Cikgu Nursyahida
Gelagat pelajar-pelajar dan guru pengiring semasa di pintu masuk
Cuma, mungkin disebabkan jurang bahasa yang ketara (kerana semua orang di sini memakai Bahasa Inggeris untuk berkomunikasi) mereka agak 'segan' untuk bertanya serta mengambil gambar. Hamba ingin memberi pujian kepada salah seorang anak murid hamba iaitu, Iman Yusoff yang berani untuk bertanyakan kepada penjaga 'booth' untuk mengambil gambar yang dirasakannya menarik. Sebahagian besar anak murid hamba pula ada yang tercengang-cengang bila melihat hamba yang santai dan cool sahaja berinteraksi dengan pengkarya-pengkarya di situ menggunakan bahasa kedua itu. Bak kata Hakimi,"Ape yang cikgu cakap dengan dia aku tak paham sepatah pun" dan Izat "Aku tengok cikgu ni rilex je cakap dengan orang putih ni, aku nak cakap pun tak berani". Itulah sebabnya cikgu bawa kamu ke sini, selain pendedahan kepada bidang seni, ia juga pendedahan untuk melihat betapa bergunanya kemampuan menguasai bahasa kedua ini. Berikut adalah sebahagian karya yang dipamerkan.
(Kesemua karya ini adalah hak cipta karya pengkarya-pengkarya terbabit dan telah diberi keizinan untuk diambil gambarnya; oleh itu diminta jangan download gambar ini untuk mengelakkan sebarang masalah kepada hamba)
Gadis keturunan Melayu berpakaian Kebaya Nyonya sedang melihat bulan di langit
Karya yang berdasarkan garisan dan jalinan sahaja, bahan adalah pensel (Teringat karya Hafiz Ismail masa Projek Tahun Akhir dahulu)
Peperangan antara dua makhluk, diterjemah dengan baik menggunakan Mix Media (Bahan Bercampur), uniknya ia mempunyai garisan pen serta gurisan menggunakan palet.
Tiga gambar di atas sangat memukau dengan 'kelicinan' olesan berus yang sangat baik dan halus menggunakan cat minyak.
Cantik dan unik karya-karya ini bukan? Inshaa Allah akan ada buku yang bakal diterima (sebab ditempah, kerana masa itu hamba tidak cukup wang)
Hamba berkesempatan berjumpa dengan salah seorang rakan pengkarya dari Jepun dan rupanya dia masih mengingati hamba! Agak lama juga hamba 'singgah' di tempatnya dan kemudian keluar daripada pameran setelah selesai berurusan di kaunter berkaitan dengan tempahan buku. Kami menunggu lagi, bagi memberikan ruang kepada salah seorang anak murid hamba, iaitu Balqis untuk berjumpa dengan ayahnya yang sememangnya menetap di Kuala Lumpur.
Pelajar menunggu di atas 'divider'
Tepat jam 12.30, kami bertolak ke Shah Alam menggunakan jalan baharu atau jalan belakang yang mana lebih kurang kesesakannya berbanding jalan biasa. Kami singgah di Masjid Sultan Salahuddin Shah Alam untuk memberikan ruang kepada setiap ahli rombongan untuk makan dan menunaikan solat Zohor. Setelah selesai, kami terus ke I-City Shah Alam. Keadaan ketika itu sangat panas, mungkin disebabkan tiada sebatang pun pokok 'asli' yang ada di sini. Kami tiba di sana tepat jam 2.30 petang dan terus ke Trick Art Museum. Hamba agak kecelaruan mencari kawasan ini disebabkan perubahan yang ketara (sebab sudah lama tidak ke sini). Setelah selesai membayar tiket, kami semua masuk dan bergambar dengan hasil lakaran 3D yang ada. Boleh dikatakan setiap pelajar sangat teruja dan gembira melihat hasil karya yang menarik ini. Hamba juga tidak ketinggalan bergambar untuk kenangan, walaupun tidak se'meriah' anak-anak didik hamba.
Bergaye benar abang tumbuk dinasour tu!
Ha, mari-mari!! Hamba dah sedia ni!!
Kak Shima sedang beri penyu makan la....
Kak Long main tarik duit ke dengan raksasa tu??
Ada gaya macam bidadari (Angel) tak?
Eh, jangan la tenung hamba macam tu! Nak ambil susu sikit je ni.....
Ingat hamba takut dengan kau?! Masuk dalam tu balik!
Kemudian, kami semua menuju ke Snow Walk dan mengambil tiket yang telah terlebih dahulu ditempah. Kami kemudiannya diberikan baju sejuk serta loker (berbayar RM1 satu loker). Jika dibuka setelah ditutup, kena pula bayar RM2 (makan duit betul ye kat sini). Anak-anak murid hamba yang 'excited' sudah masuk ke dalam awal-awal lagi, manakala hamba dan rakan-rakan guru pengiring masih di luar untuk menyewa kasut dan membeli sarung tangan. Pada pandangan hamba, pengurusan di bahagian ini agak mencelarukan disebabkan berlaku adegan 'tolak-menolak' maklumat pembelian terutama semasa kami hendak membeli sarung tangan. Mujur kami semua ni dah dewasa, ada akal ada fikiran. Jika tidak, memang kena 'sound' juga mereka ni nanti. Semasa membeli, kedapatan anak-anak murid hamba yang sudah keluar dari situ sambil menggosok-gosok tangan dengan berkata,"Sejuknya!". Setelah siap, kami masuk ke dalam. Mulanya keadaan tidaklah begitu sejuk (jalan masuk), tetapi memang diakui sangatlah sejuk! Jika ada ibu bapa yang membawa anak-anak kecil mereka ke sini, pastikan mereka berpakaian tebal ya!
Pelajar-pelajar sedang beratur menunggu tiket di kaunter
Semasa bermain salah satu daripada permainan di Snow Walk. Masa ni sedang 'dibuli' dek pekerja-pekerja. Pening tambah kalut la...
Rupanya kawasan itu tak ubah seperti 'peti ais gergasi' yang berisi manusia di dalamnya. Kami semua 'bermain' dengan semua permainan di situ dengan gembiranya. Ada juga anak-anak murid yang keluar awal untuk ke permainan "The Haunted House" berdekatan. Boleh dikatakan nasib hamba dan kak Syahida agak malang kerana menjadi 'mangsa keadaan' di dalam sana. Semasa bermain permainan kerusi luncur (tak tahu ape nama sebenarnya), kami disorong, ditarik dan dipusing-pusingkan oleh pekerja yang ada di situ setiap kali kami cuba untuk ke keluar. Kalut kami berdua jadinya bila diperlakukan sedemikian. Menjerit jangan cakap, memang kuat sangat dah. Perasaan takut jangan cakap, sampai rasa nak menangis pun ada. Memang jahat betul mereka nak menyakat kami berdua, terutama kak Syahida (hehe, orang comel la katakan). Bersemangat sungguh kami berdua mencuba semua permainan di situ malah bermain berdua dengan menaiki roller coster dan gelungsur pelampung di situ. Perasaan? Ngeri dan ngilu! Terutama bila 'benda' yang kami naiki itu meluncur laju ke bawah dan melonjak ke atas. Wah, terasa hendak tercabut jantung ini lagaknya!
Bergambar kenangan sebelum mula 'menjelajah' kawasan untuk bermain
Bergambar berhampiran kawasan Iglu sambil mendukung Irsyad
Senyum semua!!
Kaki hamba juga kekebasan sebab lama 'berendam' di dalam sana, selesema mula hadir dalam saluran pernafasan. Kami juga berjaya 'mendajalkan' anak-anak murid yang 'berniat mengenakan' kami dengan membaling ais. Apa lagi, berlakulah perang ais di dalam sana. Kami macam 'kanak-kanak riang' di dalam sana. Keluar dari kawasan berais itu, terkinja-kinja hamba sebab kaki yang kekebasan yang amat. Hamba sempat juga membayar harga gambar sebagai kenang-kenangan (RM30). Pada jam 6.25 petang, kami menaiki bas dan singgah sebentar di Giant Senawang untuk solat Mahgrib dan membeli-belah (hamba tidak, sebab masih kebas dengan kesejukan dan kelaparan). Hamba beserta kak Shima, kak Syahida, kak Lah & anak-anaknya, Hafiz dan Fauzi makan di gerai yang berdekatan dengan tempat letak bas,
Bas kemudiannya bergerak tepat jam 8.17 malam dan tiba di perkarangan sekolah pada jam 9.55 malam. Setelah memastikan ibu bapa mengambil anak mereka ke rumah, barulah hamba menapak keseorangan membelah malam ke rumah dan beristirehat.
P/s : Tujuan utama lawatan ini diadakan untuk memberi pendedahan awal kepada anak-anak murid, terutama bakal calon SPM PSV tahun hadapan. Harapan disandarkan supaya mereka mendapat gambaran dan idea tentang apa yang hamba ajar kepada mereka selama ini. Ia juga untuk memberi mereka ruang untuk bergembira di luar kawasan kampung mereka.
0 ulasan:
Catat Ulasan