Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh kepada semua bloggers yang dihormati sekalian...maafkan hamba andainya telah lama tidak mencatat sesuatu di dalam tinta maya ini, kerana ketiadaan line bagi memasuki dunia maya ini. Alhamdullillah, bertemu kita semua dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya. Di sini, hamba sekadar hendak berkongsi pengalaman hamba semasa menyambut raya di kampung halaman hamba; tempat tumpahnya darah hamba. Hamba dilahirkan dengan memiliki campuran Jawa dan Cina dari sebelah bonda, manakala ayahanda pula adalah campuran Melayu dan India Selatan (Alkisah dari nenda hamba yang telah pulang ke rahmatullah). Jadi, terimalah kisah catatan hamba berhari raya...
Catatan 1 : Hari Raya Pertama
Ayahanda saudara yang menetap di Klang bertandang ke rumah hamba seawal 3 pagi. Dia dan keluarganya menetap di rumah hamba buat seketika. Agak sukar buat kami menyediakan ruang untuk beradu kerana teratak kami sekeluarga yang kecil dan sempit. Maka, mereka diberikan ruang di kawasan rumah hamba yang masih dalam pembinaan. Kemudian, hamba dan bonda bangun untuk menyediakan juadah kepada kaum lelaki yang mana akan ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan. Kami bersolat Subuh jemaah bersama dalam keadaan yang sederhana.
Kira-kira pukul 2 petang, tibalah rombongan dari saudara-mara sebelah ayahanda saudara yang hamba panggil Chik Mie. Dia adalah suami kepada bonda saudaraku, Asmadiah atau hamba panggil Chik Diah. Seronok rasanya berbual dengan mereka. Bonda apatah lagi, melayan kerenah mereka yang berselera benar bersantap dengan masakan wajib keluarga hamba semasa raya; Masak Lodeh Johor, Sayur Goreng, Ayam Masam Manis 3 Rasa, Rendang Daging Ala Minang dan Nasi Impit (buat secara tradisional : guna tangan). Kemudian, datang pula bonda saudara hamba yang bongsu, Achik Siti dan suami, Achik Apis. Bertambah gamat jadinya suasana di rumah. Rumah hamba jadi tempat berkumpul kerana nenda hamba yang berdua telah pulang ke rahmatullah, maka bonda hambalah yang menjadi ingatan mereka menggantikan arwah nenda.
Achik Apis sedang berborak dengan bonda hamba