Penulis & Pelukis : Naoko Takeuchi
Genre : Penjelajahan, Fantasi, Kehidupan Pelajar dan Percintaan
Mengisahkan mengenai seorang gadis bernama Tsukino Usagi, pelajar sekolah menengah yang gemar berangan-angan, cuai dan sering bangun lewat pagi ke sekolah. Namun, pertemuannya dengan seekor kucing bernama Luna telah mengubah perjalanan hidupnya yang selama ini hanyalah berkisarkan makanan ringan dan coklat. Usagi (bermakna arnab) sebenarnya adalah reinkarnasi (penjelmaan semula) Puteri Serenity, Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Bulan yang telah musnah beberapa abad dahulu. Bermula dari peristiwa tersebut, Usagi telah membantu menjaga keamanan di Bumi dengan menjelma sebagai 'Gadis Berpakaian Kelasi' bergelar Sailor Moon. Usagi harus mencari rakan-rakannya bagi membantunya menjaga keamanan Bumi, di samping mencari dan menyambung kembali kisah percintaannya dengan Putera Endymion, Putera Mahkota dari Kerajaan Bumi yang turut telah dilahirkan semula. Usagi juga harus mempertahankan sejenis batu permata berkuasa milik keturunan yang menjadi rebutan musuh, iaitu "Kristal Perak Khayalan" dari jatuh ke tangan musuh yang ingin menguasai alam semesta. Bumi dikatakan akan mengalami "Perang Zaman Ais Ke-2", namun diselamatkan oleh kuasa kristal ini sekaligus membangunkan semula ketamadunan manusia (abad ke-30) yang diberi nama Kerajaan Kristal Tokyo dengan diperintah oleh Raja Endymion dan Ratu Neo-Serenity.
Watak-Watak Di Dalam Manga :
1. Tsukino Usagi - Gadis yang sangat suka berangan-angan, kuat makan, sering lewat bangun untuk ke sekolah dan tidur di dalam kelas. Tetapi, memiliki hati yang baik, agak naif dan semangat yang kuat. Impiannya adalah untuk menjadi seorang 'pengantin perempuan' yang jelita suatu hari nanti. Seorang yang mudah menangis dan akan meraung sekiranya ingin mendapatkan apa yang diingini. Menjelma sebagai gadis berbaju kelasi dengan panggilan "Sailor Moon" melalui pertemuannya dengan Luna secara tidak sengaja. Merupakan penjelmaan semula Puteri Serenity, Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Bulan. Merupakan penyelamat dunia pada abad ke-30, dan kemudian menjadi Ratu Kerajaan Kristal Tokyo di Bumi dengan gelaran Ratu Neo-Serenity (Neo-Queen Serenity) semasa berusia 20 tahun. Mendapat gelaran "Penyelamat Kehidupan Di Bumi" (Abad ke-30) dan "Messiah Yang Sebenar" (True Messiah) oleh Sailor Uranus dan Sailor Neptune. Bakal melahirkan seorang anak perempuan, hasil perkahwinannya dengan teman lelakinya, Mamoru (Putera Endymion /Raja Endymion) pada masa hadapan. Sangat lemah dalam penulisan kanji (tulisan dalam penulisan Jepun) dan lebih gemar menggunakan lukisan dan tandatangan, walaupun setelah bergelar seorang ratu. Malah, dia seringkali berlakon 'tidak sihat' untuk membolehkannya tidak hadir dalam persidangan. Kekuatannya selain bergantung kepada kuasa kristal dan juga kuasa Mamoru, ia juga adalah menerusi kepercayaan dan kasih sayang. Gelaran yang digunakan sebelum menjadi Ratu adalah "Sailor Moon" dan "Eternal Sailor Moon". Usianya pada abad ke-30 tidak pernah diketahui; kerana wajahnya yang tidak 'dimakan' usia disebabkan pengaruh kristal yang mana memanjangkan usia serta mengekalkan wajah yang muda sepanjang masa.
2. Chiba Mamoru - Jejaka yang kacak, agak kelihatan sombong dan dingin, gemar menyindir dan merupakan ulat buku. Pelajar sebuah sekolah tinggi berhampiran sekolah Usagi. Ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan Mamoru kehilangan ingatan. Pada awalnya, mudah mengalami gejala sakit kepala apabila mendapati Usagi di dalam bahaya. Gemar memanggil Usagi dengan panggilan 'Odango' yang bermakna 'kepala arnab' (disebabkan ikatan rambut Usagi yang ganjil dari gadis yang lain) atau 'Usako'. Tanpa menyedari perkaitannya dengan Usagi dan beranggapan bahawa "Kristal Perak Khayalan" akan dapat memulihkan semula ingatannya yang hilang, dia menjelma sebagai "Tuxedo Mask" (perwatakannya menyerupai pencuri terkenal, Lupin The Third) dan banyak membantu Sailor Moon dalam perjuangannya melindungi Bumi. Merupakan penjelmaan semula Putera Endymion, Putera Mahkota Kerajaan Bumi dan memiliki kekuatan yang berasal daripada "Kristal Emas", yang mana merupakan sumber kuasa Kerajaan Bumi. Mempunyai kebolehan untuk melihat dan mentafsir mimpi (diwarisi oleh Chibi Usa), menyembuhkan kecederaan serta berupaya untuk membuat pemantauan keadaan persekitaran Bumi hanya dengan menyentuh permukaan Bumi. Seringkali menjadi subjek buruan musuh (selalu dikawal/dikuasai oleh kuasa jahat), kerana dia merupakan insan yang paling rapat serta sumber kuasa yang menyokong kekuatan Usagi. Merupakan bakal suami kepada Usagi pada masa hadapan (abad ke-30), dan memerintah Kerajaan Kristal Tokyo dengan gelaran Raja Endymion (King Endymion). Bakal mempunyai seorang anak perempuan dengan ratu. Wajahnya tidak berubah (kekal muda) namun usia sebenar tidak diketahui, kerana pengaruh kristal Ratu Neo-Serenity yang turut diterima olehnya dan masyarakat Bumi pada abad ke-30.
3. Usagi Chibi - Kanak-kanak yang aktif, periang, tapi pada masa yang sama agak menjengkelkan. Mempunyai permainan bernama Luna P. Nama yang diberikan oleh bondanya (Ratu Neo-Serenity) adalah hampir sama dengan nama sebenar ratu, namun ditambah dengan perkataan "Chibi", bagi membezakannya dengan 'dirinya' pada abad ke-20. Pertumbuhan fizikalnya terbantut, menyebabkannya masih mempunyai fizikal seperti seorang kanak-kanak, walaupun umurnya sudah mencecah 900 tahun (pengaruh kuasa kristal milik bondanya) serta tidak mampu menggunakan kuasa kristal. Impiannya adalah untuk menjadi seorang gadis dan puteri yang jelita, berhemah dan dihormati seperti bondanya, serta mempunyai seorang putera yang baik seperti bapanya. Identiti sebenarnya adalah anak kepada Usagi dan Mamoru pada abad ke-30. Cara dan layanannya terhadap Usagi dan Mamoru adalah berbeza, yang mana dia lebih sopan dan menghormati ayahanda dan bondanya (pada abad ke-30) dan lebih spontan apabila bersama dengan bakal ibu dan bapanya (pada abad ke-20); kerana perbezaan personaliti yang ketara antara kedua-dua mereka. Seorang yang mudah bersosial dan dilantik sebagai ketua kelas semasa berada di sekolah pada abad ke-20. Kurang mempunyai rakan dan bersahabat baik dengan Sailor Pluto dan Sailor Saturn (Hotaru). Merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan Ratu Neo-Serenity dan Raja Endymion serta dimahkotakan sebagai Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Tokyo dengan gelaran "Gadis Kecil" (Small Lady) dan Puteri Chibi Serenity (Princess Lady Chibi Serenity). Pernah ditawarkan dengan kuasa kejahatan oleh Wiseman (Kumpulan Dark Moon); dan menyebabkannya bertukar kepada versi gelap; digelar "Gadis Licik" (Wicked Lady). Dihantar ke zaman lampau (abad ke-20) oleh bondanya, untuk dilatih sebagai perajurit dan memperoleh pengalaman bersama 'dirinya'. Menjelmakan diri sebagai "Sailor Chibi-Moon". Mempunyai kekuatan hati yang bersih dan suci serta mimpi yang indah, membolehkannya mendapat kuasa daripada Pegasus (Helios) dan mempunyai cermin mimpi yang berbingkai emas. Ini memberi kuasa padanya untuk memanggil Pegasus melalui panggilan "Twinkle Yell" dengan menggunakan Carillon Kristal. Dikatakan bahawa Helios merupakan 'Putera Yang Ditakdirkan' untuknya pada masa hadapan, namun tidak dijelaskan dengan lebih terperinci.