Assalamualaikum w.r.t kepada semua bloggers dan para pemerhati blog semua. Syukran kita semua masih dipanjangkan umur untuk meneruskan kehidupan di alam yang fana dan permai ini. Maaf hamba titipkan andai keluputan dalam menulis dalam tinta ini. Hamba kini sudah pulih dari 'kemurungan' yang melanda diri, yang mana menyebabkan hamba 'membawa diri' ke kawasan yang hamba rahsiakan tempatnya. Cukuplah sekadar hamba sahaja yang mengetahuinya. Al-kisah bermula sejak 3 minggu yang lalu, iaitu 2 minggu sebelum ketibaan Hari Raya Qurban/Aidil-Adha yang telah berlalu.
Hamba sudah agak bosan dan kurang senang dengan sikap 'seseorang' yang bermaharajalela di kawasan jajahan hamba yang sekangkang kera ini. Hamba sudah lama bersabar dengan sikapnya, ditambah lagi dengan sikap kurang tegas rakan yang tidak langsung mahu menegur 'manusia' ini. Sudahlah jajahan ini kecil, ingin 'dibolot' seorang pula. Paling kurang menyenangkan, kehadirannya tanpa khabar berita. Tup-tup, sudah terpacak di hadapan pagar jajahan, bersama rakan. Rakan pula tidak langsung memaklumkan. Hati siapa yang tidak senang? Sudahlah begitu, kehadirannya pula kerap dan menetap lama, kadangkala sehingga 2 hingga 3 minggu; setiap kali sepurnama sehingga mengganggu hamba. Bila diajukan kepada rakan, tiada respons dikeluarkan. Umpama terkena 'minyak cenuai' pula. Adat tetamu bertandang, kita sebagai tuan rumah; orang Melayu yang berhemah katakan mestilah disambut dengan baik. Tapi, kalau tetamu sudah umpama 'Kaduk Naik Ke Junjung', takkan hamba patut berdiam diri lagi. Tidak ada berkampungkah dia? Tidak membanting tulangkah dia, kerana setahu hamba, dia bekerja. Tidak beribu bapakah dia? Kiranya hendak menetap lama, ke teratak ayahanda dan bondalah seharusnya dia mengadukan nasibnya. Kenapa ke tempat hamba? Hamba bukannya jenis yang suka marah-marah, masih ada peri-belas kasihan dan perikemanusiaan lagi, cuba berbincang. Akhirnya, membawa kepada perbalahan besar, yang mana membawa kepada pengusiran 'hamba' sebagai 'tuan tanah' di jajahan sendiri. Adilkah itu?! Rakan pula masih tidak bertindak, malah membiarkan pula, menambah lagi tekanan dan sakit di hati.
Akibatnya, hamba tidak langsung ada 'mood' serta mengurung diri di jajahan tumpangan. Sakit di hati bertambah bila rakan-rakan bukan mahu memahami, malah menganggap masalah itu mudah malah memaksa pula. Seolah-olah, hamba ini 'human machine' pula! Hamba pun ada masa untuk stress, ada masa untuk murung. Nak mengadu, memang tak ada sesiapa pun mahu menghulur bantuan. Sakit benar rasanya! Syukur, ada juga insan berhati mulia sudi mendengar luahan jiwa hamba, yang pada hamba mengubat sedikit kedukaan hati. Terima kasih, D! Lalu, hamba ambil keputusan 'berhijrah' sementara ke jajahan Inderapura, di mana ada juga ketenangan dapat dicari di sana. Dengan sedikit bekal, hamba ke sana. Hanya pada ayahanda, bonda dan D sahaja dikhabarkan pemergian ini. Tugasan Batik juga dibawa bersama, untuk persiapan 2 karya sekaligus. Syukur juga, hamba diterima di sana, lalu bermulalah kerjaya hamba bagi menyiapkan bingkisan tugasan; dan kerja sampingan sebagai pembantu Temenggung di 'istana' ini. Berbekalkan 2 bahasa yang hamba kuasai (Inggeris dan Jepun - sedikit), dapatlah hamba bertindak menunjuk ajar mana-mana bahagian yang patut. Sebenarnya pemergian ini bukan sembarang dirancang. Hamba berbuat begini atas sebab; 1. Menyiapkan tugasan 2. Mencari bahan 3. Ketenangan dan harapan 4. Kemahiran bersosial dan berbahasa. Mungkin ramai melihatnya sebagai tidak perlu, tetapi pada hamba ianya sangat penting. Kini, kemahiran berbahasa dan komunikasi semakin baik.