Kembali lagi di dalam tinta yang seterusnya. Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua rakan-rakan bloggers yang dikasihi sekalian. Hamba kini sedang sibuk mengemas barang-barang untuk dibawa bagi memenuhi tuntutan pekerjaan. Kini, setelah setahun digelar sebagai 'penganggur', akhirnya hamba kini sudah boleh digelarkan sebagai Guru menerusi program terbaru yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu ambilan INTERIM. Sebagaimana yang diketahui umum, kini KPM tidak lagi mengambil Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), Guru Sandaran Terlatih (GST) dan juga Guru Ganti (Replacement Teacher) untuk mengajar di sekolah-sekolah, terutama di sekolah menengah. Bagi menggantikan 'ruang' tersebut, jawatan guru INTERIM telah diperkenalkan bagi mengisi 'kekosongan' tersebut menerusi graduan-graduan Pendidikan (sama ada dari Universiti Pendidikan, Pusat Pendidikan atau Universiti tempatan yang mempunyai bidang pendidikan). Ini memberi peluang kepada graduan-graduan pendidikan memperoleh kerjaya sementara menunggu 'posting' atau penempatan oleh KPM. Sungguhpun begitu, KPM hanya memilih sebahagian daripada graduan-graduan pendidikan ini bagi diserap masuk ke sekolah sebagai guru INTERIM. Malah, INTERIM tidak menjamin seseorang graduan pendidikan itu menjadi seorang guru (Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41), kerana mereka perlu melepasi temuduga SPP terlebih dahulu. Maklumat berkaitan guru Interim boleh dilihat dengan menekan perkataan ini : PELAN STRATEGIK INTERIM KPM 2011-2020
Semakan penempatan Interim menggunakan perkhidmatan atas talian (laman web rasmi KPM)
Hamba pun sebenarnya masih terkejut atas berita ini yang mana diberitahu menerusi laman facebook Kumpulan ISMP yang mana pihak KPM telah mengeluarkan berita mengenai senarai nama bagi guru-guru yang mendapat tawaran INTERIM. Pada permulaannya, kami diarahkan untuk menghubungi JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) di negeri masing-masing untuk mengetahui hal terbabit, namun kemudiannya didedahkan bahawa graduan yang mendapat tawaran akan dihubungi oleh JPN negeri terbabit (sekiranya nombor telefon ada di dalam fail yang telah diberikan oleh IPT masing-masing dan MASIH AKTIF/DIGUNAKAN). Hamba menerima panggilan daripada JPN Negeri Sembilan dan dimaklumkan untuk menghadiri taklimat di Seremban pada 1 Mac 2013. Apalagi, menjerit hamba mendengarnya. Manakan tidak, ianya sangat 'jauh' dari jangkauan hamba sendiri, yang mana menginginkan untuk mendapat di Kuantan, tambahan hamba kini menetap di Indera Mahkota, Kuantan. Jauh benar, tapi hamba masih bersyukur kerana negeri itu masih 'dekat' dengan kampung halaman di Bera.
Surat tawaran yang diberikan dalam majlis taklimat Interim yang bermula pada jam 8.30 pagi di Wisma Negeri, Negeri Sembilan pada 1 Mac 2013 (Jumaat)
Lalu, hamba telah ke Seremban dengan ayahanda dengan hanya berbekalkan 3 keping peta ringkas yang hamba perolehi dari Google Map. Apa tidaknya, kawasan negeri itu sangat asing buat hamba yang baru kali pertama menjejakkan kaki ke situ dengan menaiki kereta. Setibanya di Seremban, kami telah ke Wisma Negeri (untuk melihat tempat sahaja) dan kemudian terus ke hotel bagi menghilangkan penat dan lelah. Malam itu juga, hamba nyaris 'mati kepedasan' disebabkan terlupa (kan orang Minang masak pedas) dan mengambil hidangan kuah asam pedas yang banyak! Rasa mahu 'meletup' rasanya mulut hamba, tapi dek kerana lapar, hamba bedal sajalah!
Nama sekolah yang terdapat di dalam surat tawaran berkenaan
Pada awal pagi 1 Mac 2013, hamba telah ke Dewan Theatre, Wisma Negeri, Negeri Sembilan untuk mendengar taklimat sekaligus mendapat surat tawaran untuk menjadi guru INTERIM. Di sana juga, hamba berpeluang bertemu kembali dengan teman-teman seangkatan yang turut menerima tawaran di negeri bertuah ini. Antaranya Rohaaima, Lela, Khairi (Yeen), Basik, Naem, Naza dan 3 orang rakan lain. Maka, jika mengikut kiraan, hanya 10 orang graduan Seni yang dibawa ke sini. Setelah menerima surat, hamba mendapati hamba ditempatkan di SMK Pasoh 2 (Felda Pasoh 2) yang terletak di Simpang Pertang, iaitu daerah Jempol. Hamba dikira bernasib baik kerana Khairi ditempatkan berhampiran kawasan hamba iaitu di SMK Pertang. Kami diarahkan untuk melapor diri pada hari itu juga dan meminta cuti/penangguhan dari pengetua jika masih perlu menjalani temuduga.
Di SMK Pasoh 2, hamba telah melapor diri dan dimaklumkan akan diserapkan sebagai guru Pendidikan Seni Visual serta guru Teknologi Maklumat. Ini disebabkan ketiadaan guru bagi kedua-dua subjek yang sangat lama. Hamba kemudiannya diberikan 'cuti ehsan' oleh puan Pengetua, iaitu cikgu Zawahir dan dikehendaki mendaftar diri pada hari Khamis ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kini hamba berada di Kuantan untuk menyelesaikan segala perkara sebelum berangkat pulang ke Pasoh semula.
Ini adalah nota pemberitahuan penerimaan BRIM 2.0, bukan surat tawaran
Dalam perjalanan pulang, kami singgah sebentar di rumah nenda di Felda Kampung Awah, untuk menjenguk keadaan nenda. Di sana juga, hamba menerima satu lagi berita gembira apabila permohonan hamba untuk mendapat BRIM 2.0 telah diterima, yang mana hamba berada dalam kelompok Fasa Kedua. Perkara yang baik bertimpa-timpa berlaku, dan ini menyebabkan hamba bertambah bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan Pengasih. Alhamdulillah, dapatlah menampung perbelanjaan hamba sepanjang di bumi negeri sembilan kelak. Baiklah, sampai di sini saja ulah hamba buat kali ini. Bertemu kita lagi di dalam tinta seterusnya dengan izin Allah. Amin.
P/s : Proses pengemaskinian mungkin terpaksa dijalankan secara perlahan disebabkan hamba kini sudah bekerja dan masa yang ada akan diperuntukkan bagi mendidik anak bangsa serta membuat perancangan pendidikan yang terbaik. Maaf andai kelewatan dalam menyediakan bahan atau menulis tinta. Tapi, hamba akan cuba sedaya upaya membahagikan masa. Doakan hamba dapat mendidik anak bangsa dengan terbaik dan semoga anak-anak ini kelak menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara.
0 ulasan:
Catat Ulasan