Assalamualaikum w.r.t kepada semua rakan-rakan blogger juga rakan-rakan yang bertandang ke blog ini. Seribu kemaafan hamba kirimkan kerana sudah lama benar tidak melakar apa-apa tinta menarik di blog ini> Sementelah, hamba kini bekerja dan kian sibuk dengan deretan kerja yang menanti walaupun hamba bekerja sebagai guru kini. Pelik tapi itulah hakikat yang sebenarnya. Kerjaya guru kini memerlukan kekuatan, bukan sahaja dari segi mental malahan fizikal juga. Apapun, syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi hamba masih di sini untuk berbakti dan berkhidmat kepada anak-anak bangsa.
Setibanya kami di WetLand Putrajaya. Kami menuju ke Pusat Kawalan
Sebahagian pelajar Tingkatan 3 yang menyertai program/rombongan sedang bergambar kenangan
Kak Ilah dan anak-anaknya sedang menyusun barangan untuk program
Inshaa Allah, hamba akan cuba membahagikan masa untuk menulis tinta di sini dan juga menyiapkan kerja hamba dengan baik di lain masa. Adapun pada hari ini, hamba sekadar ingin menyatakan keberadaan hamba di Putrajaya pada hari semalam, bagi menjayakan program rakan sejawatan, iaitu Cikgu Syahida yang diberi tajuk, "Kem Kemahiran Bestari Geografi" yang dilansungkan dengan jayanya di WetLand. Program ini dijayakan oleh anak-anak pelajar Tingkatan 3 Biruni, khas bagi membolehkan mereka merehatkan minda serta memperolehi sedikit sebanyak ilmu tentang Geografi di sini. Terdapat banyak pengalaman dan kenangan yang boleh disebutkan di sini, malah ditemani pula oleh Cikgu Ilah bersama anak-anaknya (Arsyad, Along dan Angah) serta seorang anak Cikgu Norma. Syukur, bas yang kami naiki selamat tiba di sekolah pada jam 8 malam, yang mana ketika itu hujan sedang turun dengan lebatnya membasahi bumi.
Sekilas pemandangan dan keadaan persekitaran WetLand. Pada hamba, keadaan persekitaran sangat tenang dan paparan skrin sangat menarik untuk dilihat. Apatah lagi tayangan akhir di bilik Ground Floor yang mempunyai paparan skrin bersaiz gergasi yang memaparkan wayang tentang WetLand.
Rombongan ini diadakan serentak dengan sebuah lagi rombongan yang menuju lokasi PWTC bagi memenuhi undangan ke Pesta Buku 2013 yang sedang rancak dijalankan dan akan berakhir pada 5 Mei ini. Kebetulan, ia jatuh pada hari pengundian. Mereka tiba setengah jam kemudian, setelah kami semua (rombongan pertama) bersurai setelah bas persiaran yang membawa kami berlalu untuk pulang ke 'sarang'nya. Hamba berasa amat gembira dan berterima kasih kepada semua kerana membolehkan hamba berada di sini.
Sekian sahaja nukilan hamba untuk kali ini. Diharap bertemu lagi kita di dalam tinta yang seterusnya.
P/S: Pada rakan-rakan yang cuba mengakses lagu-lagu, maaf dinyatakan bahawa akaun 4Shared hamba telah di'block' kerana masalah copyright. Oleh itu, hamba terpaksa menutup akaun buat sementara waktu (1 bulan) sebelum membuka akaun baru. Mungkin hamba akan gunakan e-mail lain untuk buka akaun 4Shared yang baru. Apapun, hamba akan maklumkan sebarang perkembangan pada kemudian hari. Sekian.