Assalamualaikum w.r.t. Alhamdulillah....syukur ke hadrat Yang Maha Esa lagi Maha Mengetahui. Sesungguhnya tiada siapa yang lebih berkuasa berbanding diri-Mu. Kini hamba telah selamat berada di Felda Pasoh 2 untuk mencurah bakti sebagai seorang pendidik sekaligus mengajar dan mendidik anak-anak bangsa bagi menjadi insan yang berguna kepada masyarakat, agama, dan negara. Sungguhpun hamba kini mengajar di kawasan yang agak jauh daripada keluarga tercinta, ia tidak sama sekali melumpuhkan semangat hamba untuk hidup berdikari. Syukur juga kepada Illahi atas hikmahnya, kerana hamba ditempatkan di sekolah ini yang rata-rata pelajarnya masih berpegang teguh bahawa guru adalah orang yang memberi ilmu kepada mereka. Alhamdulillah.
Sebahagian gambar anak-anak didik (Form 4) ketika sesi pengajaran berlangsung.
Pada 13 Mac 2013, hamba telah menjalani temuduga SPP (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) di BTPN Pahang yang terletak berhampiran dengan SMK Beserah. Hamba telah mendapat pelepasan selama 2 hari daripada bonda pengetua dan telah menaiki bas pulang ke Kuantan. Hamba telah menumpang teduh buat sementara waktu di rumah bonda saudara di Beserah. Hamba telah tiba di tempat temuduga kira-kira jam 7.00 pagi dan merupakan calon terawal yang tiba di situ. Setelah menunggu beberapa ketika, rakan-rakan sekumpulan seperti Khairi (Yeen) dan Fizah tiba. Fizah membawa sekali keluarganya untuk menemaninya. Kemudian, rakan-rakan yang lain menyusul pula antaranya Daus, Fitri Md Noor, Zaki (bersama dengan teman wanitanya/tunang; tak pasti pula), Dayah, Farah Hanim, Haida dan Lela. Pada hari itu, hanya terdapat 24 orang (termasuk hamba) yang telah dibahagikan kepada 4 kumpulan; iaitu bersamaan dengan 6 orang sekumpulan. Hamba tergolong di dalam kumpulan yang ketiga bersama Fitri Md Noor, Daus, Khairi, Farah Hanim dan Fizah. Syukur juga ke hadrat Illahi, apabila dipermudahkan soalan-soalan yang dikemukakan oleh 2 orang penemuduga tersebut. Salah seorangnya adalah Tan Sri dan seorang lagi pula daripada pihak tertinggi SPP sendiri. Berpeluh jugalah menjawab soalan-soalan yang diberikan (dalam bentuk perbincangan) kerana kebanyakannya memerlukan kami berfikir dengan kritis dan tepat. Seolah-olah soalan-soalan itu cuba 'mempsikokan' kami pula! Kemudian, kami beramai-ramai menjamu selera di sebuah gerai makanan di Tanjung Lumpur sambil berborak-borak dan bergurau senda. Herm, bila lagi nak berbual jika bukan pada masa itu? Riuh rendah dan gamat gerai makanan itu dibuatnya, bila kami semua ketawa beramai-ramai; seolah-olah sudah tiada jurang waktu pula. Dari bercakap biasa, hampir kepada mengumpat pula....
Surat yang dikirim daripada Balai Seni Visual Negara sudah sampai! Jadi, terserlahlah majalah SeniKini!! Tapi, nama gelaran untuk hamba tu salah...hamba masih lagi ber'title' cik, bukannya puan....
Pada keesokkan harinya pula, hamba telah bertolak pulang ke Bahau seawal jam 8 pagi, kerana pengangkutan ke sana hanya disediakan sebanyak 3 kali sehari. Jika terlepas pada ketika itu, hamba terpaksa menunggu bas untuk ke sana pada jam 2 atau 3.30 petang pula. Ini disebabkan ketiadaan pengangkutan untuk membawa hamba ke tempat hamba kini. Setibanya di sekolah, masih kedapatan sebahagian besar peserta/pemain sepak takraw dari pelbagai sekolah di daerah Jempol sedang sibuk berehat atau menunaikan solat Zuhur. Ketika itu, waktu persekolahan telah hampir ke penghujungnya. Hamba mengambil kunci rumah yang ditinggalkan dan kemudian pulang ke rumah atas izin bonda pengetua. Tapi, hamba tetap utuh mengerjakan buku Rekod Pengajaran untuk hari jumaat pula.
Anak-anak buah kelas kendalian hamba. Bersemangat benar menghias kelas. Tahniah semua!!
Sesi persekolahan berjalan dengan baik dan pada jam 3 petang, hamba selaku guru tingkatan 2 Biruni telah mengadakan perjumpaan dengan anak-anak buah hamba dengan tujuan memenuhi jemputan mereka untuk menghiasi kelas. Sungguhpun bahan yang diperlukan tidak dapat dibawa oleh pelajar, namun kerja-kerja menghias tetap dijalankan dan kerjasama yang diberikan amatlah menggalakkan. Setelah jam 4.40 petang pula, hamba singgah sebentar ke bilik kegiatan Budaya & Kesenian untuk melihat para pelajar membuat latihan bagi dipersembahkan semasa Mesyuarat Agong PIBG pada hari Khamis, 21 Mac 2013 nanti. Dikhabarkan juga, bahawa tarikh itu jatuh tepat pada hari keputusan SPM dikeluarkan. Wah, ini sudah bikin kami sibuk ya! Mungkin akan diadakan majlis penyampaikan sijil kecemerlangan buat pelajar-pelajar cemerlang pada hari yang sama juga. Jadi, bertambah meriah la majlis itu nanti!
Sekian sahaja coretan hamba buat masa ini. Bertemu lagi kita di dalam coretan terindah seterusnya.