Assalamualaikum
hamba tujukan kepada semua pembaca blog ini. Seperti yang dijanjikan, hamba
akan menyenaraikan beberapa soalan yang selalunya atau kelaziman akan ditanya
oleh pihak penemuduga. Soalan-soalan ini pada anda mungkin kelihatan sangat mudah
dan remeh, tetapi sebenarnya mempunyai makna tersirat yang tersendiri dan
bertujuan untuk membolehkan penemuduga ‘mengenali’ siapa anda dan apakah
perwatakan sebenar anda. Sumber ini hamba perolehi dari nota yang diberikan
semasa menyertai program GCAP. Jadi, apa yang dipaparkan di sini boleh
dijadikan panduan untuk semua fikirkan dan buat renungan.
Soalan
1 : Bagaimana perjalanan anda ketika ke sini pada hari ini? Baik?
Ini
sebenarnya bukan soalan yang sebenar. Tujuan pertanyaan ini adalah untuk
menghidupkan suasana atau memulakan perbualan antara mereka (penemuduga) dan
kamu. Selalunya pertanyaan ini dilontarkan apabila mereka melihat kita berada
di dalam keadaan kurang selesa atau masih kurang bersedia untuk ditemuduga.
Jika ditanya soalan begini, jawab secara spontan dan ringkas, tetapi dengan
penuh semangat disertakan dengan senyuman dan mesra.
Soalan
2 : Sila ceritakan tentang diri anda.
Nasihat
hamba, JANGAN ceritakan tentang ‘biodata’ anda, siapa ibu bapa anda dan perihal
keluarga anda! Soalan ini sebenarnya adalah perangkap! Tujuan soalan ini
dikeluarkan adalah untuk mengetahui sejauh mana anda peka dengan ‘makna’
sebenar soalan ini. Oleh itu, hamba sarankan agar anda menjawab pernyataan ini dengan menceritakan tentang
perkara atau keputusan yang anda ingin ambil dalam hidup, jati diri anda, malah
cita-cita anda yang mana membolehkan penemuduga melihat anda sebagai seorang
yang merancang masa hadapan dan mempunyai kebolehan membuat keputusan dengan
baik. Jika anda tiada idea, anda juga boleh bercakap mengenai hobi dan minat
anda, namun lebih baik jika kedua-duanya bersangkutan dengan kerjaya yang
dipohon.
Soalan
3 : Apakah kekuatan anda?
Ini
adalah peluang anda untuk ‘menjual imej dan diri’ anda. Apa yang boleh anda
lakukan di sini adalah dengan menekankan mengenai keputusan akademik yang baik,
pengalaman kerja yang dirasakan sesuai dan boleh dijadikan sandaran
(berdasarkan dengan kerja yang dipohon), bukti ketokohan kamu dalam kepimpinan
atau berbagai lagi kemahiran yang mana berkaitan dengan kerja tersebut. Kamu
hendaklah menyokong segala hujah atau ‘pin point’ ini dengan contoh-contoh yang
menyakinkan (Oleh itu, hasilkan sebuah resume yang baik dan mempunyai segala
maklumat yang anda inginkan dan juga boleh membuat papan visi untuk ditatap
setiap hari!)
Soalan
4 : Apakah kelemahan yang mungkin kamu miliki?
Jika
mengikut cara lama, anda boleh menyatakan kelemahan anda yang sebenarnya
diambil dari kekuatan anda. Tetapi, untuk cara yang lebih baik adalah dengan
memilih beberapa kelemahan yang mana ingin anda kemaskini dan perbaiki pada
masa akan datang dan juga menyatakan serba sedikit tentang bagaimana cara untuk
anda memajukan kelemahan tersebut.
Soalan
5 : Ceritakan kepada kami tentang sebarang projek atau kajian yang telah kamu
buat.
Kamu
sebenarnya sedang ditanyakan tentang bagaimana kamu bekerja di dalam kumpulan
(PENTING! Kerana sebahagian besar kerja melibatkan aktiviti kumpulan), cara
penyelesaian masalah, proses dan teknik yang digunakan untuk menyelesaikan
projek / kajian yang telah kamu jalankan. Oleh itu, PASTIKAN anda telah membaca
dan menghafal segala maklumat berkaitan dengan projek atau kajian kamu yang
lepas (sebagaimana yang kamu letak di dalam resume) sebelum temuduga untuk
mengembalikan ‘ingatan’ kamu.
Soalan
6 : Ceritakan kepada kami tentang pengalaman kerja kamu di / dengan (nama/
syarikat/ sekolah / orang persendirian)
Kaitkan
pengalaman kerja kamu dengan kemahiran di dalam kerja yang sedang kamu pohon.
Kamu boleh bermula dengan menyatakan tentang perkara-perkara berkaitan dengan
institusi yang kamu pohon, bahagian mana kamu ditempatkan ketika bekerja dan
juga apa tugasan dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada kamu. Oleh itu, pada
graduan yang telah mempunyai pengalaman bekerja boleh mengaitkan pengalaman
kerja yang lepas atau kini sebagai bonus
untuk mencapai pekerjaan.
Soalan
7 : Apakah hobi yang kamu gemari?
Jika
boleh, berikan hobi yang mana berkaitan dengan kerja yang dipohon atau sesuatu
yang berkait dengan kebolehan diri, pencapaian, gaya hidup, nilai diri kamu dan
sebagainya. Contohnya, sukan,
kerja-kerja amal dan kebajikan, membaca, mempunyai kemahiran Matematik atau
kemahiran berbahasa asing atau bahasa lain (selain Bahasa Melayu dan Inggeris)
Soalan
8 : Apakah yang membuatkan kamu yakin bahawa kamu adalah calon yang terbaik
untuk kerja ini?
Senaraikan
dan nyatakan perkara-perkara yang terbaik yang mana telah kamu tulis di dalam
resume. Sokong perkara-perkara itu dengan beberapa contoh yang dipercayai dan
meyakinkan penemuduga. Ambil juga beberapa syarat atau keperluan yang telah
dinyatakan sebelum ini di dalam iklan (mengenai jawatan yang ditawarkan) dan
bandingkan ia dengan personaliti, kemahiran, abiliti atau pengalaman kamu
sebelum ini.
Soalan
9 : Di mana kamu lihat diri kamu dalam jangkamasa 5 tahun akan datang?
Tunjukkan
bahawa kamu sebenarnya telah pun menetapkan tentang perjalanan kareer kamu
dalam pekerjaan tersebut, selain daripada membuktikan bahawa kamu telah membuat
carian tentang jawatan tersebut dan serius dengan kerja itu. Kamu boleh
menyokong pernyataan kamu dengan menunjukkan pengetahuan kamu tentang ‘perjalanan’
atau tangga kerja dalam jawatan tersebut secara professional dan juga
langkah-langkah yang akan kamu ambil untuk mencapai apa yang telah anda
nyatakan tersebut.
Soalan
10 : Berapa jumlah gaji yang anda inginkan?
Nasihat
hamba, JANGAN TERPERANGKAP! Jangan sesekali mendedahkan tentang jumlah yang
anda mahukan kecuali anda ‘dipaksa’ dan berikan pernyataan yang munasabah,
seperti “Dari pengalaman dan juga carian saya bahawa gaji yang ditawarkan untuk
jawatan ini adalah dalam lingkungan Rm2000 hingga Rm2800 sebulan”.
Soalan
11 : Ada sebarang soalan?
Nasihat
hamba, TOLONG SENTIASA BERTANYA SOALAN! Fokuskan soalan yang menunjukkan bahawa
kamu berminat dengan kerja itu, berbanding ‘hasil’ atau ‘tawaran gaji’ yang
diberikan. Sila tanya mengenai latihan dan tangga kerja dalam kerjaya itu dan
juga mengenai syarikat / pertubuhan itu sendiri berbanding dengan galak
bertanya tentang bayaran, cuti dan tempat letak kereta!
Segala
perkara ini diambil daripada nota yang diberi oleh pihak yang menjayakan program
GCAP bertajuk “S004, 80/20 Global Business English; Lesson 4 : Nailing That
Interview” daripada buku Specialist Modules: Student’s Manual GCAP. Hamba harap
perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan semua. Sekian.
0 ulasan:
Catat Ulasan