BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Sabtu, Ogos 29, 2009

Nasib Malang @ Nasib Buatan Sendiri?

Assalamualaikum pada semua yang melawat blog hamba. Terima kasih hamba ucapkan kerana sudi melawat laman hamba yang daif ini. Bersyukur kita ke hadrat Illahi, maka dengan limpah dan kurnia dari-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama lagi dalam ruangan ini. Hari ini genaplah sudah 8 hari kita semua menunaikan ibadah puasa...seharusnya kita bersyukur masih dikurniakan kudrat yang kuat untuk sama-sama berpuasa dan mengimarahkan masjid..

Hamba sekadar ingin memberi pandangan hamba mengenai kes-kes kemalangan akibat bermain mercun semasa Ramadhan ini. Hamba cukup sedih membaca berita-berita tersebut. Sepatutnya kanak-kanak tersebut menyambut bulan yang mulia ini dengan penuh kegembiraan, tetapi esak tangis tidak berguna lagi setelah kehilangan anggota badan dan pancaindera yang tidak sepatutnya 'hilang'. Pada mulanya, hamba ingin mengatakan mereka bodoh (maaf, hamba terpaksa menggunakan bahasa yang kasar sedikit) kerana masih bermain permainan yang diharamkan oleh kerajaan, tetapi pada hamba tidak salah bermain; namun hendaklah berhati-hati dan jangan dilekakan dengan keseronokan bermain sahaja. Hamba memahami naluri kanak-kanak kerana hamba juga pernah menjadi kanak-kanak. Sebut sahaja mercun jenis apa, meriam buluh, lampu daripada sekam kelapa sawit; semua telah hamba cuba, tapi mengapa hamba tidak tercedera semasa bermain dengannya?

Kuncinya terletak pada hati dan pegangan kita. Kanak-kanak pada zaman hamba mengetahui batas-batas mana mercun dan meriam itu dimainkan, dan berapa kuantiti yang diperlukan. Cabar-mencabar itu perkara biasa dalam permainan, tetapi langkah keselamatan dan keizinan daripada orang dewasa kami amalkan...Namun zaman kini, kanak-kanak kini berfikiran terlalu 'intelek', cuba membuat perubahan dengan bermain meriam menggunakan besi, mercun diletak dalam balang dan sebagainya lagi. Bagi mereka, keseronokan itu adalah lebih utama, keselamatan diabaikan. Maka, 'itu'lah hasilnya....jari yang putus, mata yang buta, telinga yang pekak dan sebagainya...

Hamba juga kesal dengan sikap segelintir pihak yang menganggap permainan mercun ini tidak berbahaya...Hamba kini hanya berani bermain mercun bawang, bunga api kecil, mercun lada dan mercun mancis....Walaupun bunyi dan letupannya tidak segah mercun pelangi atau bunga, ia dapat dikawal dan hamba dapat memastikan keselamatan setiap pemain (adinda hamba dan sepupu hamba yang masih kecil). Kadangkala, kami 'bertanding' dengan jiran sebelah rumah untuk melihat bunyi mercun siapa yang paling kuat, tapi kami tetap mementingkan keselamatan...

Walaubagaimanapun, hamba percaya bahawa keadaan ini akan dapat diubah...ingatlah bahawa tubuh badan kita ini adalah tunggal, tiada galang ganti. Jika rosak atau binasa, walaupun ada pengganti, keadaannya tidak akan sama dengan yang asal. Jadi, ingat, simpan dan fikir-fikirkanlah...Selain itu, khusus di bulan yang mulia ini, hamba ingin menyedekahkan doa hamba kepada arwah nenda hamba berdua (sebelah bonda hamba) yang telah pulang ke rahmatullah pada Febuari dan Mei lalu serta pada arwah nenda hamba (sebelah ayahanda hamba) yang meninggal pada Jun 1988. Mungkin ketika ini, mereka sedang 'melawat' kerabat-kerabat mereka termasuk diri hamba sendiri yang kini berada di bumi bertuah UPSI....

Oleh itu, sama-samalah kita membuat amal kebajikan dan beribadat di bulan yang mulia ini. Binatang juga makhluk Tuhan, janganlah ia disakiti...hormatilah ia sebagaimana kita menghormati manusia, kerana mereka juga dicipta untuk beribadat dan berzikir kepada Yang Pencipta. Janganlah bakhil untuk bersedekah pada yang perlu, kerana insyaallah pahala dan balasan yang kita perolehi mungkin berkali ganda banyaknya...lebih penting lagi, hidup terasa seperti sentiasa diberkati...bersihkanlah jiwa dan sayangilah insan disekeliling kita; termasuk diri kita...setelah itu, kita mencintai orang yang disayangi dan diambil berat kerana merekalah yang terpenting bagi kita namun cintailah Yang Satu, kerana cinta-Nya pada kita tidak akan pudar selagi hayat ditelan zaman. Sekian, tinta pena hamba....

Selasa, Ogos 25, 2009

Cintaku Yang Mula Bersemi.....Rindu Yang Kian Terserlah....



Adinda hamba yang sulung, Mohd Kamal (Benteng, pertahanan)
Seorang yang serius, tetapi masih gemar berjenaka
Berada di Matrikulasi Teknik, Kedah dalam bidang mechanical engineering



Adinda hamba yang kedua, Muhamad Husain (nama cucu Nabi)
Diam-diam ubi berisi & gemar bersilat dengan kekandanya
Kini menetap di asrama SMK Seri Bera, Bandar Bera, Pahang




Adinda hamba yang ketiga, Norfarha (Cahaya Kegembiraan)
Atlit dan perpustakawan di sekolah...SK (F) Tementi, Bera, Pahang




Adinda hamba yang bongsu, Muhammad Qayyum (berdiri & berdikari sendiri)
Paling nakal; tetapi tetap cute..bersekolah di SK (F) Tementi, Bera, Pahang

Selamat bertemu lagi dalam catatan hamba yang seterusnya, pada hari yang sama. Maaf sekiranya hamba mengecewakan semua dengan tajuk catatan hamba ini. Sebenarnya, hamba bukan bermaksud bahawa hamba sedang bercinta mahupun terlalu 'asyik' bercinta dengan seseorang, tetapi sungguh hamba tak dapat mengenepikan lagi perasaan hamba ini....

Benar, yang sesungguhnya hamba telah jatuh asyik pada kecantikan seni silat yang hamba pelajari kini. Bukan kerana ingin mempelajarinya demi tujuan perlindungan dan keselamatan, tetapi kerana keunikannya yang tersendiri...kerana nilai tradisi dan tradisional sendiri....Bagi hamba, sebagai orang Melayu, hamba hendaklah cuba 'mencintai'nya kerana ia merupakan budaya dan adat resam kita. Malah, Laksamana Hang Tuah juga merupakan pesilat yang handal dalam mempertahankan maruah dan keagungan Sultan meskipun terpaksa berkorban dan menahan rasa. Namun, itulah orang Melayu pada zaman dahulu, Sultan mereka tetap di hati. Dapatkah kita semua menandingi mereka? Fikirkanlah sendiri...Malah, Tun Fatimah juga dikatakan handal memainkan pencak silat, yang nyata adalah untuk mempertahankan nusa dan bangsanya...Jadi, mengapa hamba tidak cuba mengikuti jejak langkahnya?

Ya Tuhan, hambamu ini merindui saat-saat bersama-sama adinda-adinda hamba terutama ketika menunaikan puasa....Lebih-lebih lagi pada adinda hamba yang bongsu...Dia sentiasa ingin hamba memasak nasi goreng kampung dan ayam golek, kerana katanya masakan hamba itu sedap dan berlainan daripada bonda...Baru berusia 6 tahun, sudah pandai memberi komen mengenai masakan hamba dan bonda...Hai, cukup memeningkan kepala juga apabila memikirkan menu untuk berbuka, kerana adinda hamba ini amat cerewet tentang rasa makanan. Apabila hamba berada di rumah semasa cuti semester, dia akan menyuruh hamba memasak makanan dan membawanya ke sekolah untuk ditunjukkan pada rakan-rakannya....Hendak tergelak pun ada, kadang-kadang dia yang beria-ia memberi hamba buku masakan (bonda hamba gemar membeli majalah masakan dan meletakkannya di rak buku) dan memilih masakan yang ingin dirasai...Herm, begitulah adinda bongsuku....

Apatah lagi bonda akan menyerahkan bulat-bulat tugasan memasak jika hamba pulang ke teratak usang...Tugas bonda menjadi ringan, dan menjadi 'tukang rasa' sahaja usai hamba memasak...Adinda-adinda hamba berdua yang kini kian meningkat teruna, sudah semestinya bersantap pada kadar yang banyak...Selalunya, hamba terpaksa menanak nasi sebanyak 2 kali dengan kuantiti 6 cawan beras kecil, kerana selera santap mereka yang tinggi itu...Tapi, hamba puas juga, mereka menikmati hidangan dengan sempurna. Sudah menjadi kebiasaan, sekiranya mereka pulang, hambalah yang akan dituju dahulu..."Along, boleh masakkan Angah dan Ude lauk ini, ini dan ini?" itu lah ayat yang sudah lali hamba dengarkan. Hamba pula jenis yang tidak ambil kisah dan terus bersetuju, dengan syarat bahan-bahan basah hendaklah mereka belikan dan membantu hamba untuk menyiapkan hidangan tersebut. Mujur mereka hendak menolong...dapat juga mengajar mereka memasak sedikit, supaya jika teringin semasa berada di perantauan, dapat memasaknya...

Kenangan itu tidak dapat dilupakan sehingga akhir hayat hamba...mereka merupakan permata hati hamba, siapa tidak sayang adinda sendiri, betul kan? Hamba tidak dapat meluahkan rasa sayang tersebut pada mereka secara berhadapan, namun melalui masakan dan bergurau sendalah hamba dapat menyalurkannya pada mereka. Doa hamba, semoga adinda-adindaku sentiasa sejahtera hidupnya dan dimurahkan rezeki selalu...Buat ayahanda dan bonda, semoga anakandamu ini akan dapat pulang dengan kejayaan di tangan dan membuat mereka berbangga dengan hamba, walaupun hamba adalah seorang puteri...

Sekian, dahulu nukilan tinta hamba pada warkah maya ini...Ingatlah bahawa amanah yang kita galas merupakan perkara terpenting dalam hidup kita. Janganlah mengalirkan airmata duka ayahanda dan bonda kita dengan berita memalukan mereka, sebaliknya dengan airmata ria kerana kejayaan dan kebahagian kita....Bersuka ria itu semestinya, tetapi terhad. Serius itu perlu, tetapi adakalanya diselangi dengan kerehatan fizikal, rohani dan emosi menerusi senyuman, ketawa dan gurauan...Sinarilah hidup anda dengan menyintai Tuhan, sepertimana anda menyayangi ayahanda dan bonda...kerana kasih Tuhan itu tetap yang satu...

Ramadhan tiba disambut gembira,
Penuh kesyukuran dan nikmat pahala,
Keluarga dikenang jauh di mata,
Namun di hati tetap terpahat jua

Cantik manis gadis Melayu,
Sopan dan santun penuh budaya,
Andai ada silap di situ,
Maaf dipohon salam disua

Wassalam....

Isnin, Ogos 24, 2009

Selamat Menunaikan Ibadah Puasa Di Bulan Mulia....

Gambar ayahanda dan bonda hamba yang dirakamkan di hentian selepas melepasi Tanah Tinggi Genting, Pahang.
Assalamualaikum....bertemu kita lagi di awal Ramadhan yang penuh dengan barakah dan rahmat dari-Nya. Hamba berasa bersyukur kerana hamba masih dapat bernafas di bumi Tuhan yang luas dan fana ini...

Menerusi pembacaan hamba, puasa bermakna menahan diri daripada rasa lapar dan dahaga. Lebih tepat lagi tidak menjamah makanan atau minuman bermula dari terbitnya fajar (azan Subuh) sehingga terbenamnya matahari yang menandakan tibanya waktu Maghrib. Puasa bukan hanya mencapai pengertian mengenai perkara itu sahaja, malah menahan diri daripada melakukan maksiat dengan pancaindera kita ini....maka, adalah lebih baik kita menahan diri dari melakukan sesuatu yang 'tidak terduga'. Hamba tahu, perkara ini bukan mudah dilakukan, tetapi berusahalah dan berubah sedikit demi sedikit...hamba pun kini cuba untuk berubah, tetapi berilah hamba masa...

Hamba lebih terharu dan rasa sangat gembira kerana hari pertama berpuasa jatuh pada hari lahir bonda hamba yang disayangi....hamba pada mulanya kurang percaya. Tapi alhamdulillah, hamba telah dapat mengucapkan Selamat Hari Lahir padanya...Nyata bonda amat gembira kerana hamba dan adinda hamba, Mohd Kamal yang kini berada di Matrikulasi Teknik di Pokok Tai, Kedah (maafkan hamba jika hamba tersilap mengeja tempatnya) mengingati hari teristimewa buatnya. Siapa tak sayang bonda kita sendiri, ye? Hamba dan adinda hamba sebenarnya telah sepakat untuk mengucapkan hari lahir padanya, tetapi nyata adinda kita telah terlebih dahulu mendahului hamba....Tapi, tak mengapa...hamba merupakan kekanda yang tua, harus mengalah pada adinda-adinda yang lain...lagi pula, hamba rindu juga padanya...sihatkah dia di sana? Bagaimanakah pembelajarannya? Makan minumnya pula macam mana?

Bukan hamba ingin memanjakan dia. Hamba mengerti dia telah boleh dipanggil belia, teruna yang kian menginjak dewasa...Tetapi kadang kala, masih ingin bergurau dan bermanja dengan kita....hamba bersyukur dikurniakan adinda yang sentiasa memahami dan boleh dibawa berbincang, bergurau dan berunding...kadangkala, kami berselisih juga..tetapi 'air dicincang tetap tak akan putus', adinda hamba akan memujuk hamba dan meminta maaf...terkadang hamba mengurut mereka sekiranya mereka usai melakukan kerja-kerja berat mahupun berlatih silat di laman rumah...Tetapi, sekiranya tiada mereka, tentu hamba akan berasa sunyi...Teringin pula rasanya pulang ke teratak hamba untuk menyambut puasa bersama, tetapi apakan daya, tugasan dan amanah yang sedia terpundak di bahu harus hamba galas dan tunaikan...jika tidak malu hamba ingin pulang ke kampung...

Sampai di sini sahaja al-kisah mengenai puasa...kita bertemu lagi di catatan hamba seterusnya...

Rabu, Ogos 12, 2009

Minggu Konvokesyen & Latihan Silat Gayong

Hamba mengenakan jubah konvokesyen dan bergambar di pintu masuk ke library (Jangan salah faham, ni baju senior, hamba tumpang bergambar je)


Assalamualaikum buat saudara & saudari semua yang setia bersama blog hamba...Salam ukhwah & perpaduan diucapkan...Bersyukur kita ke hadrat Illahi, dengan limpah berkat dan kurnia dari-Nya, maka dapatlah kita bertemu lagi di ruangan maya ini...

Pada minggu ini, berlakulah satu upacara yang disambut secara besar-besaran di bumi UPSI. Minggu konvokesyen telah bermula!!! Walaupun ia tidak segah universiti-universiti lain yang mempunyai lingkungan yang lebih luas serta tempat jualan yang lebih 'meriah', namun ia sudah cukup memberi kegembiraan kepada senior-senior yang telah menamatkan pelajaran di sini. Keadaan ini membuatkan hamba terfikir, "Sudah bersediakah aku untuk menjadi seorang tenaga pendidik?" Perkara itu kuat berlegar-legar di fikiran hamba sambil mata hamba leka memerhati pelbagai ragam manusia di kawasan kampus. Siapa yang tidak merasa tercuit melihat kelibat ibu bapa yang nyata amat ingin melihat anak-anak harapan mereka menerima segulung ijazah. Kala itu, secara tidak langsung hamba teringatkan ayahanda dan bonda di teratak usang hamba. Hati ini semakin kuat mengatakan bahawa hamba mesti melakukan sesuatu yang lebih banyak & berusaha dengan lebih gigih lagi untuk menggapai cita-cita & idaman hamba...

Keletah anak-anak kecil yang tidak memahami erti 'apa itu konvokesyen' juga turut menarik perhatian hamba. Kasihan, mereka duduk di kawasan yang agak luas & terbuka; dan secara tidak langsung akan terdedah kepada pelbagai jenis penyakit...Dalam pada itu, hamba tertarik dengan deretan gerai yang menjual bunga-bungaan. Bukan bunga itu yang menjadi perhatian hamba, namun baunya yang nyata masih segar (sekiranya bunga itu adalah bunga yang hidup) menyentap sanubari hamba, kerana hamba paling menggemari bau bunga-bungaan yang segar, berbanding bau-bauan yang datang dari minyak wangi...Maaf kiranya hamba menyinggung perasaan, namun memang hamba akui bahawa hamba sebenarnya mabuk dengan bau minyak wangi; terutama yang menyentak deria bau hamba...sedang-sedang bolehlah...

Apa pun, hamba ingin mencari bunga tulip disebabkan hamba amat menyukainya...selain itu, bunga-bunga kecil yang menjadi penyeri dalam jambangan yang dijual itu turut hamba sukai, tapi hamba tidak ingat namanya....Terfikir juga untuk menghadiahkannya kepada bonda yang tersayang, kerana bonda juga menyukai bunga yang sama...bukan disebabkan bunga mawar, ros tidak cantik; cuma hamba lebih gemar dengan bungaan ini yang bagi hamba adalah 'simple' dan mempunyai makna yang tertentu, iaitu kebebasan, ceria, aktif, pemberontak, penyayang dan setia (sebab ayahanda yang berkata begitu).

Selain itu, hamba turut menjalani latihan silat gayong pada petang ini. Penat juga rasanya, tetapi pada hamba berbaloi sebagai usaha mempertahankan seni warisan budaya Melayu. Lebih tepat lagi, hamba ingin mempersiapkan diri dengan ilmu bela diri supaya dapat menjaga serta melindungi diri sendiri serta orang yang tersayang. Hamba sangat teruja apabila kekanda-kekanda senior mewar-warkan bahawa kami semua akan dibawa ke Taiping, Perak untuk bertemu sendiri dengan anakanda kepada allahyarham Pak Tua (Pengasas), dan dapat menjalani latihan selama 1 malam bersama beliau di teratak beliau sendiri. Tapi, hamba masih berasa gusar kerana hamba masih bertatih-tatih untuk belajar, tambahan hamba agak 'lembab' dalam menerima sesuatu ilmu. Bimbang andainya menjatuhkan maruah guru & diri sendiri sekiranya masih tidak mengingati latihan-latihan yang dijalankan sebelum ini. Hamba akan berada di sana bermula pada hari Sabtu ini dan pulang ke kolej pada keesokkan harinya. Mungkin apabila balik nanti, hamba akan kelihatan 'lesu', ialah dah kena 'lanyak cukup-cukup' di gelanggang sana....

Oleh itu, sekian sahajalah warkah catatan pena hamba di sini. Sekiranya apa yang diluahkan hamba melukakan hati sesiapa, hamba dengan sepenuh ikhlas di hati menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf. Hamba berharap kita akan sama-sama beringat bahawa sebagai pelajar, kita hendaklah sentiasa berusaha & tidak mudah berputus asa untuk mencuba supaya kelak apa yang diusahakan menjadi kenyataan. Bangunlah saudara dan saudari dari lena kalian, supaya dapat nanti kita bangkit untuk membuat lonjakan paradigma yang mana setanding dengan nilai segulung ijazah yang bakal kita semua perolehi nanti...siapa tahu, kita akan mencatatkan nama di kalangan masyarakat umum dan bangsa? Renungkan dan fikir-fikirkanlah....

Ahad, Ogos 09, 2009

Selamat Memulakan Hari Baru!!!


Assalamualaikum....bertemu kita sekali lagi. Syukur dipanjatkan ke hadrat yang Esa kerana dapat bersama-sama meneruskan kehidupan di Bumi ini...sekaligus dapat meneruskan agenda kita di sini, bumi UPSI...

Hamba amat gembira kerana dapat pulang ke kampus semula...Bukan tidak suka pulang ke kampung halaman, tetapi seperti ada tangan dan suara yang melambai-lambai memanggil hamba pulang ke pangkuan "Ibu Kandung Suluh Budiman" ini. Mungkin disebabkan lambakan kerja yang ditinggalkan, mungkin juga deraian tawa dan jenaka dari rakan-rakan dan mungkin juga rindu dengan halwa telinga yang bakal kedengaran di bilik kuliah; apa lagi kalau bukan suara pensyarah...

Berkenaan dengan pensyarah, hamba teringat akan seorang pensyarah yang pernah mengajar hamba dan rakan-rakan hamba yang lain semasa Semester 1 dahulu. Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang phD. Hari ini hamba dapat 'berbual panjang' dengan beliau melalui ruangan chatting dan bertukar-tukar pandangan atau topik. Sangat mudah berbual dengan beliau disebabkan beliau mudah mesra dengan kami. Bukan bermakna hamba tidak menyukai pensyarah lain, tetapi hamba terasa lebih dekat dengan beliau. Rakan-rakan sekalian mengenali beliau disebabkan beliau mengajar subjek Art Fundamental & Lakaran Asas ketika itu. Siapa lagi kalau bukan En Adnan Abd Aziz. Tiba-tiba, terkenang pahit manis semasa berada dalam kelas beliau, berbanding kelas lain, kelas beliaulah yang paling hamba ingati; sebab hamba selalu hendak ter"miss" kelas. Hamba dikenali sebagai pelajar paling lewat ke kelas, terutama semasa bulan Ramadhan...bukan apa, selalu tertidur, sebab kelas beliau pada waktu petang.

Hamba berkesempatan berbual panjang & dapat mengambil laman blog beliau dan hamba telah muatkan di dalam blog hamba ini supaya mudah rakan-rakan yang lain 'melihat' & 'melawat' beliau. Hamba meletakkan link beliau di ruangan "Jalan-Jalan Ambil Angin". Sudilah kiranya berkunjung ke laman beliau...beliau akan pulang dengan mendapat gelaran Dr. Bukan mudah....Beliau memberi nasihat iaitu; "DO NOT FEEL SO GOOD WHILE YOU THINK YOU ARE THE BEST...USE YOUR 'BEST' TO HELP EACH OTHER... TO DELIVER THE KNOWLEDGE... COZ.. YOUR 'BEST' IS NOT YOURS". Ia diberikan bagi kelas Catan.

Terima kasih atas kesudian semua yang melawat blog ini, terutama En Nan yang telah memberi komen yang berguna buat hamba perbaiki. Kerana yang baik itu datang dari Allah, kita semua hanya sebagai mediumnya....Sekian dulu titisan pena hamba di atas jaringan maya ini...Wassalam.


Buih Yang Berterbangan