BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Khamis, Mac 08, 2012

La Memoria De Diaries - Result STPM

     Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua rakan-rakan blogger yang dihormati. Kini hamba tiba lagi dengan al-kisah yang ingin didendangkan dan dikongsi bersama semua. Pada hari semalam, iaitu 7 Mac merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh calon-calon STPM tahun 2011 bagi mengambil keputusan STPM mereka. Tahniah dan syabas hamba ucapkan kepada adik-adik yang berjaya mendapat keputusan yang baik; manakala pada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa hendaknya; berusahalah lagi sehingga tangga kejayaan itu menyuluh ke hadapan anda. Kisah dan pengalaman seperti ini juga telah hamba lalui dan rasai sendiri. Pada hemat hamba sudah 4 tahun kisah ini berlalu.

    Hamba juga pernah mengambil STPM iaitu pada tahun 2008 yang lalu. Setelah selesai mengambil peperiksaan STPM di Dewan Besar Ibnu Sina SMK Clifford, hamba pulang semula ke teratak hamba dan bekerja sampingan bagi mengisi masa yang ada. Kemudian, setelah beberapa bulan berlalu, akhirnya dikeluarkan oleh pihak media bahawa keputusan peperiksaan STPM tahun 2007 akan diumumkan pada 2 hari kemudiannya. Setelah mendapat keizinan daripada majikan hamba untuk bercuti selama 4 hari, hamba pun bertolak ke Kuala Lipis dengan menaiki kereta api. Ayahanda menghantar hamba ke stesen kereta api yang terletak di bandar Triang pada awal-awal pagi lagi. Di stesen, hamba sudah mula terasa 'kecut hati' dan mula berfikir yang bukan-bukan, al-maklum keputusan inilah yang bakal menentukan nasib dan perjuangan hamba dalam membuktikan sesuatu kepada ayahanda.

       Pada jam 1 petang, akhirnya hamba tiba di bandar Lipis dan apabila tiba di sekolah hamba disambut oleh guru-guru yang berada di sekolah. Hasrat di hati hamba, ingin menetap barang seketika di Hotel Jelai. Keadaan ini disebabkan hamba ketiadaan kediaman untuk didiami hanya dalam masa yang singkat. Mujur juga hamba sudah biasa dengan kawasan persekitaran hotel tersebut. Namun, hasrat itu terpendam begitu sahaja apabila guru Pendidikan Seni Visual hamba, iaitu Pn. Hamidah mengajak hamba untuk bermalam di rumahnya. mahu tak mahu, hamba terpaksa menerimanya kerana sudah beria-ia benar beliau mengajak. Mujur bagi hamba, hamba sudah mengenali anak-anaknya dan agak mesra dengan mereka. Pada malamnya, usai urusan yang patut diselesaikan, Pn.Hamidah dan suaminya membawa hamba dan anak-anaknya makan di luar. Selepas itu, hamba beradu bersama dengan anak beliau yang sulung di kamar yang telah disediakan oleh mereka.

       Keesokkan harinya, hamba ke sekolah bersama-sama Pn. Hamidah dengan menaiki kereta beliau. Setibanya di sana, hamba bertemu kembali dengan rakan-rakan yang telah lama tidak ditemui dan bertanya khabar. Kemudian, kami diarahkan untuk ke Dewan Makan Asrama bagi menyempurnakan upacara penyampaian keputusan tersebut. Ketika itu, jantung hamba sudah mula berdegup kencang. Dub, dab, dub, dab!! Andai di sebelah hamba diletakkan sebuah enjin motobot, sudah pasti pacuan jantung hamba sudah lebih laju dan dahsyat lagi! Pening sudah mula dirasai, darah gemuruh mula menyerbu pembuluh-pembuluh darah di kepala!! Lalu tindakan refleks terjadi, menyebabkan seluruh anggota badan hamba menggigil seperti terkena demam kepialu lagaknya. debaran makin bertambah apabila satu demi satu nama dipanggil, mengikut angka giliran.

         Akhirnya, nama hamba dipanggil oleh pengerusi majlis. Saat itu, tidak terkata dan kelu jadinya. Masa dirasakan bergerak amat perlahan sekali, dunia pula seolah-olah beku hanya hamba yang berada di situ. Argh!! Seksa rasanya. Dialog pada minda mula bertubi-tubi mengasak otak yang bejat akibat gegeran yang dahsyat melanda jiwa. "Luluskah aku?", "PSV aku dpt A tak?", "Pengajian Am pula?", bertubi-tubi otak ini diketuk dan digoncang dengan perasaan resah yang melanda. Lalu, hamba ke hadapan dengan perasaan yang bercampur baur; ditambah lagi apabila melihat ekspresi rakan-rakan yang telah mengambil slip tersebut sebelum hamba. Hamba deras menarik nafas panjang dan menghulur tangan menggapai 'ijazah' tersebut. Hamba terpaku di situ, dan melalui ekor mata guru-guru yang berada di situ bagai menyuruh aku membuka slip tersebut. Dengan lafaz Bismillah, hamba membukanya dan...

         "Ark?!! Aku...aku ...Yessss!!!! Yehaaa!!!!" Jeritan yang pertama kedengaran dan paling kuat tersebar di seluruh pelusuk dewan tersebut. Ketika itu, hamba sudah tiada rasa malu, takut dan sebagainya. Apa yang difikirkan adalah "Aku Berjaya Juga Akhirnya!!" Malah, hamba melompat setinggi-tinggi yang boleh tanpa rasa malu dan terkandung kegembiraan yang teramat sangat!! (Sedangkan ketika itu, hamba memakai baju kurung) Tanpa segan-segan juga hamba memeluk guru-guru hamba terutama Pn.Hamidah sambil mulut hamba tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih pada mereka semua. Hamba bernasib baik tidak dikenakan hukuman oleh 'Bonda Pengetua', al-maklum beliau tersangatlah tegas dengan akhlak dan pergaulan kami sepanjang di SMK Clifford tersebut.

          "Aisah, bertenang. Bertenang...bagaimana keputusan kamu?" Pn.Hamidah bertanya.
       "Cikgu!! Saya...PSV saya dapat A, cikgu!! Saya tak sangka cikgu!! Kertas 1 saya sangat lemah! Terima kasih banyak-banyak cikgu!!"

          Air mata yang ditahan akhirnya menitis jua. Kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akhirnya, dapat juga hamba membuktikan sesuatu pada ayahanda, bahawa hamba juga boleh berjaya dengan mengambil mata pelajaran yang hamba sukai. Sungguhpun tidak secemerlang rakan-rakan yang mendapat 2A atau 3A, hamba masih mampu berbangga dengan keputusan yang mana hamba telah berusaha selagi daya untuk memperolehinya.  Benar kata pujangga, "Usaha Tangga Kejayaan" dan "Sepahit-pahit kesusahan, kelak akan berbalas dengan semanis-manis kemenangan". Pada hari itu jugalah, mencatat sejarah buat diri hamba dan keluarga, yang mana masih digalas berat sehingga kini; hamba adalah orang pertama yang menjejakkan kaki ke universiti; sekali gus menjadi kebanggaan keluarga. Sungguhpun begitu, hamba masih sentiasa beranggapan hamba adalah makhluk Tuhan yang biasa dan tidak akan lari dari kesilapan, akhirnya kini hamba telah menamatkan pengajian dan tidak lama lagi akan menjalani majlis konvokesyen. Syukur dipanjatkan kepada Illahi.

          Oleh itu, ingin hamba memberi nasihat kepada sesiapa yang ingin berjaya, sentiasa berusaha selagi masih berdaya; jangan sesekali mencari alasan untuk berjaya. Sentiasa mencari seseorang yang mesti dijadikan 'penanda aras' untuk dijadikan saingan dalam pembelajaran anda. Sentiasa desak diri anda untuk melakukan yang melebihi had anda, tetapi tidak menjejaskan kesihatan anda. Sentiasa ingat bahawa restu keluarga dan Tuhan sentiasa di sisi anda, insyaallah anda akan berjaya. Semasa Tingkatan 6, hamba sentiasa meletakkan sahabat hamba iaitu Nurul Hayati, Jamiah Ismail dan Mohamad Naim sebagai 'penanda aras' hamba. Manakala di universiti, banyak 'penanda aras' yang hamba letakkan antaranya masih Jamiah Ismail, Tan Jian Siong, Vivien, Jessie, adik beradik kembar; Abdul Rahman dan Abdul Rahim, Ahmad Jamil, Isma Hafiz, Shahrin Azwan, Mastura Ismail, Nurul Atiqah dan Faizal Alexander, Mohd Idrul Fitri serta rakan-rakan yang lain. Baiklah, sekian sahaja penulisan hamba. Diharapkan agar sentiasa berusaha dalam memajukan diri sendiri demi diri, keluarga dan negara.

          

Buih Yang Berterbangan