BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Selasa, Disember 29, 2009

Hari Demi Hari Yang Kian Berlalu......

Assalamualaikum pada warga-warga bloggers yang dikasihi....hamba ingin mengucapkan terima kasih kerana masih sudi melawat laman hamba yang tidak seberapa ini...Almaklumlah...sejak ketiadaan laptop hamba di sisi, hamba tiada kesempatan untuk menulis di dada blog ini hari-hari...apatah lagi kini hamba kesempitan wang untuk menempuh kehidupan di sini.

- Permulaan kata, pemanis bicara -

Baiklah....sepanjang cuti ini, hamba sekadar membantu bonda menjual kain pasang di rumah, sambil duduk-duduk dan melayari internet untuk mencari prospek, untuk kerja sambilan yang hamba buat kini. Hamba sebenarnya ingin mengajak rakan-rakan blog yang berminat untuk menyertai hamba dalam kerja ini untuk sama-sama up sikit income atau duit poket, terutama kepada rakan-rakan bloggers yang masih muda, kira-kira 15 tahun-25 tahun. Kerjanya amat mudah dan dijamin halal. Sekiranya berminat, hantarlah balasan pada alamat email dan nombor telefon hamba yang telah hamba kepilkan pada blog ini....hamba sekadar ingin membantu, bukan untuk berbohong kerana hamba juga sedang melakukan perkara yang sama.

21 Disember 2009 (Isnin)

9 pagi - Hamba dihantar oleh ayahanda di Terminal Temerloh dan menaiki bas pada pukul 11 pagi. Saya sempat menghantar mesej pada Nurra, bonda & Fitri. Ayahanda melepaskan hamba dengan hati yang berat, dan sebelum menaiki bas, memeluk & menepuk belakang hamba (sebab ayahanda anggap hamba seperti anak lelaki) dengan nasihat "Belajar rajin-rajin".

1 petang - Hamba tiba di Hentian Pekeliling dengan mengheret beg yang berat. Menaiki LRT ke KL Sentral dan terus ke kaunter KTMB untuk membeli tiket keretapi ke Butterworth. Disebabkan tiket pelepasan pada waktu petang telah kehabisan, hamba terpaksa mengambil tiket pada pukul 10.30 malam. Jenuh jugalah nak menunggu dari pukul 2 petang hingga 10.30 malam! Hamba ambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar KL Sentral (sampai boleh hafal semua tempat). Cuci matalah katakan! Beg hamba diletakkan di kaunter penyimpanan beg. Apabila sampai waktu solat, hamba ke surau yang terletak di aras bawah. Kemudian, menjamu selera dengan Cheese Wedges di KFC & membaca komik di kedai buku bertentangan. Hamba tertarik dengan beberapa buku Islamik yang bertajuk "Saidatina Aisyah Ummul Mukminin - Wanita Pilihan", "Kisah-kisah Wanita Pada Zaman Rasullullah" dan "Bagaimana Untuk Menjadi Wanita, Anak & Isteri Yang Solehah" serta mencari buku PC (The Completed Series of Microsoft Photoshop); tetapi disebabkan hamba ketiadaan wang, hamba pendamkan sahaja hasrat untuk memilikinya.

9 malam - Hamba selesai menunaikan solat Maghrib & Isyak di surau. Bersantap sebentar di cafe yang berada di tingkat tiga. Ala kadar sahaja. Tersenyum seorang mengenangkan perbualan telefon antara hamba, Prof Z dan Md Din petang tadi. Duduk berdekatan kaunter pertanyaan, memerhati gelagat pengunjung yang datang dan pergi.

10.30 malam - Kami (penumpang) dimaklumkan bahawa keretapi akan lewat dan tiba pada pukul 11 malam. Hamba tidak kisah, dan mengambil kesempatan mengecas bateri handset hamba di mana-mana soket yang berhampiran tempat pelepasan, Pintu A. Hamba menolong seorang pakcik yang hendak ke surau dengan menjaga beg beliau. Hamba juga berpeluang membantu pelancong-pelancong yang bertanyakan arah, dan hamba membantu dengan seadanya dengan Bahasa Inggeris yang tidak seberapa.

11 malam - Hamba duduk di tempat hamba, 4D. Di sebelah hamba, seorang lelaki yang tidak dikenali, tetapi peramah dan mesra orangnya. Keretapi bergerak dengan kelajuan yang setara dan hamba senang dengan keadaan begitu. Datang pegawai bertugas, memeriksa penumpang. Hamba melihat ke sisi cermin, memerhati tanah tumpah darahku yag kian melabuhkan tirainya....

22 Disember 2009 (Selasa)

3 Pagi - Hamba terjaga dari tidur. Mengambil kesempatan berjalan-jalan dari satu gerabak ke gerabak yang lain. Suasana pagi yang kelam menyebabkan hamba sukar mengecam lokasi laluan keretapi. Kaki terasa lenguh dan hamba menggunakan Amex Yoko-Yoko. Dari jauh, hamba sedar bahawa diri hamba sedang diperhatikan (pemuda memakai kot, bercermin mata; rasa-rasanya seorang pelajar). Hamba buat endah tak endah, sehinggalah pemuda itu turun di Stesen Bukit Mertajam.

6.15 pagi - Hamba tiba di Stesen Butterworth. Dijemput ke teratak bonda saudara bongsu, oleh Acik Siti dan Acik Apis. Acik Diah pula berada di rumah mereka bersama Aliya, sedang beradu. Setibanya di rumah (berdekatan Kompleks Penjaja Desa Murni, Lorong Murni 5, Sungai Dua), hamba bergegas menunaikan solat Subuh.  Penat jugalah... lalu tidur dalam kepenatan. Apabila bangun, menelefon bonda di rumah dan menolong bonda saudara (memasak) dan bermain dengan sepupu, Aliya.

9 malam - Hamba dibawa ke Seberang Prai dan diajak berjalan-jalan di sekeliling kawasan. Besar dan cantik juga bandarnya. Singgah sebentar di pasar malam berhampiran. Kami hanya sekadar berjalan-jalan sahaja. Manakala, Acik Apis ke kedai gunting rambut berdekatan. Hamba kemudian menelefon sahabat hamba, Md Din untuk memberitahu perkara-perkara berkaitan. Kemudian, kami semua menjamu selera di gerai mamak berhampiran pasar malam tersebut. Hamba hanya sekadar memesan teh tarik kurang manis (tarik lebih) kerana masih kenyang. Setelah selesai, pulang ke rumah dan tidur dengan lenanya.

23 Disember 2009 (Rabu)

8 malam - Hamba dan kedua-dua bonda saudara tidak melepaskan peluang untuk berjalan-jalan di pasar malam berdekatan rumah. Makanan boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan sedap-sedap belaka. Acik Apis pula duduk di rumah, tidak begitu sihat. Pada malam itu, terkorbanlah 2 ketul rangka ayam, tiga cucuk fishball, keropok lekor dan kuih buah melaka di mulut hamba.....

24 Disember 2009 (Khamis)

9 pagi - Hari yang sama penting dengan pengumuman result hamba. Hari ini result PMR akan diumumkan. Membuat panggilan telefon kepada bonda, bertanyakan result  adinda hamba Husain. Bonda mengatakan Ude (panggilan Husain di rumah), telah berangkat ke sekolah dengan Cikgu Hadi dan anakandanya yang kebetulan hendak ke SMK Seri Bera. Ini berikutan ayahanda hamba menghadiri kursus di Hotel Seri Malaysia di Kuantan. Hamba hanya mampu berdoa agar adinda hamba bakal mendapat keputusan yang cemerlang.

1 petang - Menerima SMS daripada Ude. Dia mendapat 8A 1D, sekaligus memadam rekod kekandanya, Kamal (Angah) sebanyak 7A 1B. Sungguhpun mendapat D dalam Bahasa Arab, hamba amat bersyukur kepada Tuhan kerana telah memperkenan dan memurahkan rezeki kami adik beradik terutama dalam bidang akademik. Ucapan tahniah hamba utuskan padanya. Berita ini juga hamba kirimkan pada bonda, ayahanda, saudara mara, sahabat baik hamba serta sesiapa yang berkaitan. Amin.....

11.15 malam - Keluarga kami didatangi oleh tamu, yang pada hamba agak kurang menyenangkan. Ini disebabkan kami sudah hendak masuk beradu. Tetapi, sudah adat kita, tetamu yang datang harus disambut dan dilayan mesra. Hamba pula terperap di dapur sambil melayari on-line pada handset hamba, dengan 'berjalan-jalan' di Mysis portal. Tiba-tiba, mata hamba terhenti apabila melihat 'result exam Sem 1 2009/2010'. Lalu terus melayarinya. Alhamdulillah, walaupun mengalami sedikit penurunan, tetapi hamba bersyukur kerana masih dalam ranking yang agak baik. PNGK 3.45 dan PNGS 3.36 dengan result 1A, 2 A-,2 B+,1 B dan 1 B-. Hai, syukran...syukran.....Hamba juga melihat result Nurra, Md Din dan Fitri; kemudian memberitahu mereka menerusi SMS. Sempat berbual dengan Md Din dan Nurra mengenai result exam yang telah dikeluarkan. Apabila hamba ke ruang tamu, tetamu sudah pulang. Kemudian, hamba tidur dengan lenanya.



Rabu, Disember 16, 2009

Hijrah Diri & Segalanya...

Assalamualaikum kepada semua bloggers...hamba sekadar ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah yang akan tiba dalam masa 3 hari lagi. (maaf, kalau tersilap) Sesungguhnya hijrah bermakna berpindah dan perubahan. Hijrah dari segi konteks agama Islam sendiri adalah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah al-Mukarramah  (Mecca) ke sebuah bandar yang dahulunya bernama Yathrib; kemudian ditukar kepada Madinah al-Munawwarah (Medina) yang mana akan menjanjikan perubahan yang drastik, bukan sahaja mengelak daripada diseksa dan dicerca oleh kaum Musyrikin Makkah, malahan mengembangkan lagi ajaran agama yang murni.

Manakala dari aspek peribadi pula, ia bermakna membuat sebuah perubahan bukan sahaja dari aspek perubahan fizikal, malah dari segi mentaliti, emosi, sosial dan lebih penting lagi dari segi akhlak dan sahsiah. Hamba kini sedang melonjakkan kembali semangat penghijrahan di dalam diri supaya dapat meningkatkan kembali jati diri hamba yang kian merudum sejak akhir-akhir ini. Hamba terasa seolah-olah kehilangan punca untuk meneruskan pengajian di tempat hamba belajar kini, bukan disebabkan oleh persekitaran, tetapi masalah adalah dari dalaman sendiri. Hamba masih belum dapat menewaskan musuh utama hamba yang dapat memakan dari dalam, itulah 'diri' hamba sendiri! Kini hamba cuba untuk mengaut kembali kekuatan yang hamba perlukan dan perolehi sama seperti mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading. Hamba merasakan hamba perlu membetulkan semula jati diri, semangat, dan matlamat hamba ke universiti.

Kini barulah hamba sedar, betapa sukarnya untuk menjadi seorang dewasa! Mungkin itulah apa yang hamba rasakan sekarang, lebih-lebih lagi bertambah hampirnya hamba dengan 'saat' kebebasan bagi seorang remaja seperti hamba. 21 tahun! Hamba kini menjadi seorang yang kerap berfikir, mendalami sesuatu sebelum bertindak dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan. Ini disebabkan hamba merasakan kini merupakan masa yang sesuai untuk berubah seiring dengan peningkatan umur hamba. Mungkin bagi sesetengah remaja, menginjak 21 tahun adalah 'saat kebebasan' mutlak yang diinginkan kerana ketika itu, ibu bapa tidak lagi akan bertindak seperti 'baby sitter' di rumah dan kita bebas melakukan apa sahaja yang disukai. Bagi hamba? jawapannya, tidak. Mengapa? Kerana semakin kita menginjak dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang harus kita galas dan jalankan. Selain itu, ketika ini adalah saat di mana ibu bapa kita akan sedikit demi sedikit melepaskan tanggungjawab mereka dan pada ketka inilah kita akan belajar untuk berdikari. Hamba kian mengerti kerana ayahanda dan bonda hamba tergolong dalam golongan yang sebegini. Bukan bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab, tetapi mereka ingin supaya hamba berdikari dan mampu membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Tugas mereka kini adalah bertindak sebagai tutor, memberi nasihat dan bimbingan yang diperlukan.

Hamba sangat-sangat bersyukur dengan apa yang hamba perolehi dan miliki kini. Cuma hamba perlu berusaha untuk mendapatkannya disertai dengan restu daripada ayahanda dan bonda. Oh ya, ini adalah kereta idaman hamba, tak ingat jenis apa, (mungkin Lamborgini)  tapi selepas hamba melihatnya di dalam ZEE TV, tajuknya "Taarzan, The Wonder Car". Huh, selepas melihat 'kecantikan' kereta ini, membuatkan hamba sangat tertarik! Fuh!Ok, hamba kepilkan gambarnya sekali untuk tatapan semua. Itu sahajalah catatan hamba buat masa ini. Salam sejahtera ke atas semua.


Inilah kereta idaman hamba! Lamborgini! Selepasnya adalah Ferrari & Skyline.


Jumaat, Disember 11, 2009

Kisah Di Sebalik "Pertapaan" Yang Panjang.

Assalamualaikum pada semua rakan-rakan bloggers...terima kasih hamba ucapkan kerana masih sudi meluangkan masa melihat-lihat blog hamba yang tidak seberapa ini. Hamba juga ingin memohon maaf andainya sudah lama kiranya tidak mencatit apa-apa berita terkini berkenaan diri hamba & sebagainya. Hamba kini sedang menghabiskan cuti semester di rumah bersama-sama keluarga yang tersayang.Namun hamba tetap resah menantikan result exam yang bakal keluar mungkin tak berapa lama lagi. Malah hamba juga tidak sabar untuk mengetahui result PMR adinda hamba, Husain. Baiklah, hamba akan menceritakan serba sedikit kisah hamba sepanjang ketiadaan hamba di laman ini...

- Sepanjang Minggu Peperiksaan (Examination) -

Hamba amat sibuk mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi tarikh antara kertas adalah terlalu jauh 'jarak'nya. 1 minggu! Lama bukan? Bukannya study last minute, tetapi sekadar meneliti kembali nota-nota yang telah diringkaskan. Ketika itu, hamba amat musykil dengan sikap segelintir pelajar (terutama pelajar perempuan, maaf andai hamba menyinggung perasaan) yang 'sibuk' dengan aktiviti lain yang tak sepatutnya dilakukan dalam waktu-waktu genting begini. Hamba memahami keadaan tersebut, kerana hamba pernah 'dijangkiti' dengan penyakit yang sama pada semester sebelumnya. Mereka sibuk men'download' movie-movie terutama drama korea buat santapan mereka kerana dihantui dengan rasa bosan & sepi. Paling musykil sekali adalah apabila pada masa 'lapang' inilah , banyak laptop tersadai di kedai-kedai komputer kerana perlu diformatkan kembali kerana dimasuki virus-virus yang tidak diingini...Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang buat, dialah yang tanggung...

Sepatutnya, pada masa-masa inilah seharusnya konsentrasi lebih ditumpukan untuk membaca semula nota-nota berkaitan serta 'latih tubi' (bagi yg berkaitan je) untuk menghadapi exam. Ini tidak, mungkin ekoran mereka sudah merasakan pembacaan mereka sudah banyak & jemu untuk menatap nota yang sama berulangkali.Hamba bukannya seperti Amalina yang dapat 17A dalam SPM, sahabat hamba Chen Ho Kiong yang dapat 4.00 + 4A dalam STPM, dan juga bukan seperti Adi Putra yang mampu mencipta formula Matematik yang hebat; tetapi seorang pelajar sederhana yang datang ke UPSI untuk mencapai matlamat, tujuan dan cita-cita hamba di samping menunaikan amanah & tanggungjawab hamba kepada ayahanda serta bonda & Tuhan dengan usaha & tumpuan sekalipun melebihi batasan hamba sendiri. Bukankah ilmu itu wajib dituntut? Bukankah itu juga amanah dari ayahanda dan bonda kita? Sedarlah wahai sahabat-sahabatku....

- Sepanjang Latihan Intensif Gayong, Ujian Kenaikan Bengkong & Mandi Minyak -

Latihan intensif dijalankan di gym, selepas kertas terakhir iaitu Falsafah Pendidikan. Sepanjang menjalani latihan, barulah hamba memahami bahawa mengekalkan ilmu yang diperolehi adalah lebih sukar daripada menuntut ilmu tersebut. Ia terbukti. En Azman, ternyata amat gembira & terharu dengan sambutan yang diberikan lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak-anak buah Abang Jen & Abang Azhar. Malam pertama latihan merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Hamba boleh dikatakan bernasib baik kerana sempat mengelak 'serangan tiba-tiba' daripada Cikgu Khalid semasa menjalani latihan Gaya Asas: Asas Elakkan Pertama: Gerakan Pertama. Kalau tidak, alamat lebam atau bengkak muka hamba pada malam itu. Hamba amat bernasib baik!

Kemudian sehari sebelum ujian, cikgu membuat Ujian Pra Kenaikan Bengkong. Ini adalah untuk membiasakan diri kami semua dengan acara dan arahan daripada penguji pada keesokan harinya. Perjalanan sepanjang ujian adalah lancar pada esok harinya. terdapat pelbagai gelagat boleh ditemui, insiden kecederaan sudah pasti berlaku. Tetapi di dalam keadaan yang terkawal. Pada hari itu juga, cikgu (En Azman) buat pertama kalinya 'turun padang' terutama semasa ujian 'sparring' bagi ujian kenaikan bengkung untuk bengkung merah ke atas. Ramai pelajar senior tidak percaya dengan tindakan beliau. Lebih melucukan, sebahagian senior dan cikgu sendiri 'melukis' di belakang baju mereka pelbagai lambang yang kelihatan melucukan. Cikgu kelihatan ghairah untuk membelasah 'calon-calon' berkenaan. Mungkin disebabkan anak-anak beliau yang telah menunjukkan aksi perlawanan yang memberangsangkan semasa ujian 'sparring' pagi tadi. Tapi yang pasti, pertarungan antara cikgu dibantu dengan abang-abang senior silat untuk menguji calon-calon tersebut berlangsung dengan sengit. Kami turut melihatnya dengan penuh asyik dan kadangkala ketawa terbahak-bahak, ialah bila lihat pelbagai aksi lucu yang 'dilakonkan' oleh mereka semua.

Namun, hamba agak terkilan kerana tidak dapat menghadiri latihan bersama pelajar-pelajar dari Johor pada malam terakhir ujian. Hamba telah mengalami demam, dan tidur dengan letihnya apabila melabuhkan tubuh hamba ke katil. Lebih teruk lagi, hamba tidak dapat mengikuti Upacara Mandi Minyak kerana sebab tersebut. Aduh, nak angkat jari pun tak boleh. Bukan nak manjakan diri, tetapi entahlah memang betul-betul tak larat lagi. Tepat seperti kata pepatah "Sudah Jatuh Ditimpa Tangga".

- Sepanjang Pulang Ke Rumah -

Semasa Aidil Adha', adik beradik bonda bertandang ke rumah, kecuali Acik Long & Acik Udin kerana halangan kewangan. Mujur juga kawasan rumah sudah luas, bolehlah mereka tumpang beradu sambil bersantap dengan hidangan istimewa raya, Nasi Ayam Kukus yang disediakan oleh hamba. Hamba pula telah berjaya memujuk ayahanda untuk membuka talian online di rumah. Syukur, bolehlah digunakan untuk melihat laman My Upsi dan mencari maklumat tambahan yang lain...selain itu, menjadi 'sifu' pada ayahanda sendiri untuk mempelajari hal-hal perkomputeran ini. Ayahanda ingin menggunakan perkhidmtan ini sebagai lapangan baru dalam melunaskan pembayaran secara on-line disamping meng'eksplorasikan' peluang-peluang untuk mempelajari bidang keusahawanan (cita-cita ayahanda hendak menjadi kontraktor perpaipan & syarikat keluarga sendiri selepas bersara nanti).

Baiklah, sampai di sini sahaja coretan hamba. Sekian. Wassalam.


Ahad, Oktober 18, 2009

Majlis Penyampaian Bengkung PSSGM 2009 Yang Meriah...


SALAM GAYUNG DARI KAMI SEMUA


Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan bloggers semua. Maafkan hamba kerana sudah agak lama tidak menulis di tinta maya ini. Hamba kini sedang sibuk untuk menghabiskan tugasan dan assignment studio yang mana akan menjalani essassment minggu hadapan...tekanan memang amat dirasai. Dalam pada itu, hamba juga telah mula menatap semula nota-nota kecil yang hamba telah tulis sejak awal lagi, sebagai review ulangkaji sahaja. Alhamdullillah, hamba bolehlah dikatakan telah bersedia dari awal-awal lagi dengan selalu membuat bacaan ringan atau sepintas lalu nota-nota (powerpoint dalam laptop), setiap malam sebelum beradu. Hamba lebih gemar dengan cara begitu, kerana sekiranya hamba membaca dengan menggunakan buku, alamat akan terganggulah hamba dengan 'gangguan-gangguan' yang tidak diingini. Masa yang paling digemari untuk ulangkaji adalah pada malam hari, ketika rakan-rakan hamba sedang nyenyak dibuai mimpi indah. Sebabnya? Keadaan yang agak sunyi dan mempunyai bunyian semulajadi yang diingini.


Beralih kita pada tajuk utama pada malam ini. Alhamdullillah sekali lagi, bahawa dengan berkat dan limpah kurnia dari Allah Yang Maha Esa, maka Majlis Penyampaian Bengkung PSSGM 2009 berjalan dengan lancar pada pagi tadi. Walaupun agak sedikit kalut, tapi semuanya masih berlangsung dengan seadanya, sederhana namun meriah. Hamba ingin mengucapkan tahniah kepada semua senior-senior Gayong kerana dapat memberikan tunjuk ajar dan membantu kami, ahli-ahli baru (terutama AJK baru) dalam mengadakan program ini. Walaupun kertas kerja tidak diluluskan, tetapi ia tetap dijalankan kerana telah dirancang sejak sebulan yang lalu. Hamba bertugas sebagai AJK Cenderahati, dan syukur segala pesanan cenderahati berjaya dilakukan dalam masa yang singkat, walaupun mengalami masalah sedikit pada mulanya.


Majlis bermula seawal 9.00 pagi, iaitu dengan keberangkatan tiba En Azman dengan iringi oleh hulubalang-hulubalangnya yang gagah perkasa. Hulubalang-hulubalang ini terdiri daripada 4 orang senior yang telah menerima gelaran "Khalifah" dalam persatuan. Antaranya Cikgu Khalid, Abang Jen dan 2 lagi senior ( hamba kurang ingat nama mereka, maafkan kekhilafan hamba). Setelah En Azman duduk di tempat yang dikhaskan bersama para hulubalangnya, Hafiz (Yob) selaku pengerusi majlis meminta Megat membacakan doa, dan disusuli dengan Lagu Gayong. Kemudian, En Azman memberikan ucapan kepada semua yang hadir. Beliau ternyata merasa bangga kerana anak-anak Melayu masih ingin meneruskan tradisi mereka terutama pada golongan kanak-kanak, kerana ucap beliau sudah sanggup untuk memikul amanah menyebarkan tradisi dan mempertahankannya. Upacara atau Istiadat Penyampaian Bengkung dijalankan dengan kadar yang penuh istiadat secara ringkas. Ramai anak-anak gayong yang menerima kenaikan bengkung dan memakainya sejurus menerimanya.

Ahad, Oktober 11, 2009

Istiadat Perlimau Tapak Dan Seni....Istiadat Penerimaan Berguru (Silat Seni Gayong)

Assalamulaikum...semua rakan-rakan bloggers yang setia lagi disayangi...semoga anda semua berada di dalam perlindungan dan ketenteraman dari Allah s.w.t. Bertemu kita lagi di laman bblog maya yang menjanjikan 1001 macam kemungkinan dan maklumat yang ada...hamba sekadar ingin berkongsi pengalaman hamba yang berlaku kira-kira petang tadi...bagi hamba ini adalah pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama. Semoga anda semua dapat menghayatinya bersama-sama.

Kira-kira pukul 2.10 petang, hamba dikejutkan dengan SMS daripada Kak Muna supaya mengingatkan rakan-rakan Segayong hamba yang lain supaya menghadiri istiadat ini. Hamba segera menghantar mesej pada rakan-rakan yang berkenaan. Setelah bersiap-siap, hamba ke rumah Nurra bagi mengambil sedikit barangan dan terjadi sedikit kemalangan, dimana hamba tersandung pengecas bateri laptop hamba sehingga terjatuh. ia terjadi disebabkan hamba kalut untuk mengambil kad matrik di dalam beg galas hamba. Sesampainya di bas, hamba bertemu dengan Baizura dan Nora. Hamba kemudian ke mesim ATM untuk mengeluarkan wang, tetapi agak malang kerana mesim ATM di Bitarasiswa dan Bangunan Canselori telah kehabisan wang. Akhirnya, hamba beroleh wang di mesim ATM berdekatan pintu masuk utama kampus. Hamba bergegas ke Anjung 2, Bangunan IPSI untuk upacara tersebut. Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 2.50 petang.

Di sana, hamba melihat kakak-kakak senior dan rakan-rakan hamba yang tiba awal sedang bersiap-siap menyediakan barangan untuk upacara tersebut. Antaranya, bunga 7 jenis, jarum jahit, kemenyan, limau nipis, lilin, (akar kayu ape thah, tak ingat ape namanya). Di bawah pula, abang-abang senior sedang sibuk menyalakan kemenyan bagi upacara ini. Kira-kira pukul 3.15, En Azman pun tiba. Kami semua diberi taklimat awal mengenai perjalanan majlis tersebut. Pada ketika itu juga, hamba sudah merasakan 'keseraman' apabila dapat merasa bulu tengkuk hamba meremang. Bukan kerana sejuknya air-cond, tetapi mungkin kerana dimaklumkan oleh kakak senior, jarum jahit itu akan menjadi medium utama dalam upacara nanti. Bukan apa, hamba sebenarnya 'takut' dengan jarum, termasuk jarum suntikan! (sekiranya guna untuk cucuk hamba, guna untuk hal lain tak mengapa). Megat dan Fauzi tidak turut serta, kerana mereka sudah melalui upacara ini dengan guru mereka dulu di Kedah. Mereka hanya memerhati dari tepi.

Kemudian, upacara bermula. Kami diarah seorang demi seorang pergi ke hadapan En Azman dengan membawa sepiring bahan-bahan tadi. Beliau akan bertanyakan sesuatu sebelum membelah limau dan mendoakannya pada limau dan peralatan lain di dalam piring itu. Selepas itu, kami akan diberi bijirin sebanyak 7 atau 13 biji, yang dimakan bersama dengan sedikit garam dan asam jawa. Kemudian, kami diberi minum air yang telah didoakan oleh En Azman dengan membaca Bismillah dan 3 kali selawat ke atas Nabi. Bagi kaum wanita, kami dikehendaki mengunyah sirih; dengan membaca Bismillah dan selawat serta berniat (apa sahaja, ikut kehendak masing-masing). Ketika ini, dapat diperhatikan pelbagai riak atau mimik muka sebahagian pelajar wanita ketika mengunyah sirih. Ada yang masam, ada yang nak termuntah pun ada. Alhamdullillah, hamba tidak mengalami apa-apa alahan seperti itu dan memakan semuanya seperti biasa. Mungkin disebabkan sudah biasa memakan sirih semasa kecil (atas paksaan arwah moyang).

Setelah diberi air kotak dan sebiji pisang, kami diarah berkumpul dalam barisan. Kemudian, kami dengan diketuai oleh Hafiz (Yob) membacakan ikrar. Apabila ia dibacakan, semangat hamba tiba-tiba naik...Selepas itu, kami dikehendaki berkumpul untuk menerima amanat dan penerimaan sebagai anak Gayong. Kami dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu lelaki dan wanita. Lelaki disahkan sendiri oleh En Azman, manakala Kak Fizah (mewakili En Azman) mengesahkan kami, kaum wanita. Yob dan hamba menjadi wakil bagi kumpulan kami, dan dikehendaki berjabat salam dengan mereka berdua seperti akad nikah (agaknya begini rasanya debaran kaum lelaki semasa nak akad nikah). Bagi kaum wanita, ada bonus pula. Disebabkan kami akan menjalankan istiadat perlimau tapak dan SENI, hamba selaku wakil rakan-rakan hamba (wanita) dikehendaki mengangkat keris yang telah terlebih dahulu direndam di dalam air yang telah didoakan dan diletakkan bertih serta kemenyan. En Azman sempat 'berlawak' supaya hamba mengambil keris itu dan memasukkannya ke dalam sarung dengan tepat dan jitu (dalam keadaan keris itu masih basah), jika tidak (kalau alamat tak baik), ada keris itu akan 'terbang' jadinya. Setelah membaca Bismillah dan berselawat 3 kali, hamba mencapai keris dan memasukkannya ke dalam sarung. Hamba lakukannya dalam masa yang cepat, tanpa rasa ragu dan berhati-hati (kerana hamba sudah biasa membersihkan keris-keris kepunyaan ayahanda di teratak hamba). En Azman sempat mengatakan bahawa pegangan hamba adalah kejap dan jitu serta tepat, serta memuji hamba (bukan untuk tinggi diri, tapi kenyataannya).

Setelah selesai, kami diarah mengemas semula ruang tersebut dan membawa pulang 'barang-barang' tersebut ke rumah. Maknanya, kami akan 'mandi bunga' dan 'mandi limau' di rumah. Hamba segera pulang setelah mengambil air campuran 7 bunga, kemenyan dan keris tadi dari kakak senior. Setibanya di rumah, sebelum Maghrib, hamba sudah menyucikan diri dengan mandian perlimau tapak dan seni mengikut apa yang telah diberitahu oleh En Azman. Itu sahajalah ceritera hamba di sini. Semoga anda semua terhibur dan hamba juga gembira dapat berkongsi pengalaman hamba yang tidak seberapa ini dengan semua. Sekian, wassalam.


Rabu, Oktober 07, 2009

Sekilas Catatan Harianku...

Assalamualaikum semua para bloggers...

6 Oktober 2009

Hari ini, hamba bangun agak kelewatan...kira-kira pukul 10.45 pagi. Bukan niat di hati sengaja untuk bangun agak lewat, kerana hamba mengerti anak dara tidak boleh bangun lewat. Sebenarnya, hamba tidur dalam kadar yang paling lewat pernah hamba tempuh, iaitu selepas menunaikan solat Subuh. Keadaan ini disebabkan hamba berjaga untuk 'merebut' tempat dalam mendaftar matapelajaran yang patut diambil dalam sem yang bakal mendatang nanti. Alhamdullillah, line pada ketika itu agak memuaskan, maka dapatlah hamba mendaftarkan diri, walaupun pada mulanya agak terkejut juga dengan perubahan jadual yang telah dirancang sebelumnya.

Itupun kira-kira pukul 2.45 pagi, barulah hamba berupaya 'menembusi' rangkaian Mysis dan mendaftarkan mata pelajaran bagi hamba dan sahabat hamba, iaitu Nurra. Hamba bergegas menyampaikan berita kedapatan line tersebut kepada Md Din dan Fitri, dan mereka terus membuka rangkaian tersebut. tapi, agak mengecewakan kerana kebanyakan kelas yang ditawarkan sudah kehabisan 'stok' dan ini menyebabkan hamba terpaksa menutup internet dengan hati yang resah pada pukul 5 pagi. Ini disebabkan ketiga-tiga sahabat hamba tidak dapat mendaftarkan diri bagi matapelajaran wajib Universiti, iaitu Pengurusan Pembelajaran. Kemudian, hamba pulang ke rumah di tingkat 4 dan selepas bersolat, hamba bercadang untuk membuat lakaran untuk Studio Lukisan, tetapi nyata hamba sudah mengantuk benar, kerana baru sahaja melakar beberapa sketch, hamba terus tertidur dengan lenanya.

Kemudian hamba terus bersiap untuk ke kelas Industri. Di sana, kami didedahkan dengan kaedah pembuatan model dengan menggunakan bahan yang disediakan. Malah, ada sebahagian pelajar mengambil kesempatan berjumpa dengan En Md Noor, untuk mem'prosit' idea serta design mereka. Hamba pula terus ke gerai makan bagi mengisi perut yang kosong. Kira-kira pukul 4, hamba ke Bitarasiswa dan menunaikan solat di sana. Hamba kemudian menelefon bonda di rumah dan bertanyakan khabar, disamping menyampaikan berita bahawa hamba akan menjalani temuduga zakat pada keesokkan harinya; pada pukul 2 petang. Pada pukul 4.35 petang, hamba sudah menunggu di depan Pusat Kokurikulum bagi menjalani latihan silat. Sambil menunggu ketibaan rakan-rakan yang lain, hamba melakukan sedikit senaman ringan serta regangan.

Dalam latihan ini, kami diarah untuk melakukan Asas Gerakan 21, Gaya Asas (Bahagian 1 & 2) serta mengualangkaji semula gerakan Kuncian; iaitu dari gerakn 1-3. Kemudian, En Azman telah mengajar gaya yang baru kepada kami yang dinamakan sebagai Kuncian Kacip Emas dan Patah Dayung. Gerakan kedua-duanya, jika dilakukan dengan serius; malah tersilap sedikit sahaja, boleh membunuh. Ini kerana dalam Kuncian Kacip Emas, lehar penyerang akan dikunci seperti kacip dan tangan yang mengunci akan bergerak sedikit dan membuatkan leher penyerang patah atau terkehel. Lebih teruk lagi, sekiranya tidak mati akibat patah leher, penyerang mungkin mati akibat kesesakan nafas. Bagi kuncian Patah Dayung pula, tangan penyerang akan dipatahkan dengan seluruhnya dan boleh dibuat dengan cara yang singkat (sakit cepat) dan lambat (mangsa akan mengalami kesakitan yang amat sangat). Dalam pada itu, En Azman telah meminta pelajar yang akan melakukan demostrasi dalam majlis akan datang membuat latihan. Hamba paling kagum dan teruja dengan persembahan rakan-rakan hamba iaitu Megat, Amir, Fauzi dan Khairul (Ayie). Mereka mempersembahan gerakan dengan penuh kesungguhan; dan kelihatan seolah-olah pertarungan yang sebenar. Nyata latihan silat telah mencetuskan bakat terpendam dalam diri masing-masing.

Pada petangnya, hamba pulang ke rumah dan menunaikan solat. Kemudian, hamba tertidur dengan lenanya sebelum dikejutkan dengan panggilan daripada Hafiz (Yob). Setelah melaksanakan permintaannya, hamba bergegas ke rumah Nurra untuk melakukan tugasan bersama.

Itu sahajalah catatan hamba pada hari ini. Maafkan hamba jika ada tersalah bicara, terkasar bahasa; kerana hamba juga manusia biasa seperti tuan hamba semua. Sekian. Wassalam.


Ahad, Oktober 04, 2009

Doa Nurun Nubuwwah - Khasiat Mengamalkannya...

Assalamualaikum hamba ucapkan kepada semua. Di sini hamba ingin berkongsi mengenai doa yang hamba perolehi daripada pencarian hamba di zon maya ini. Sama-sama kita hayati dan sekiranya ingin mengamalkannya atau tidak, terpulanglah kepada diri sendiri. Hamba juga ingin memohon kepada para bloggers yang mengetahui bacaan ayat ini dalam Bahasa Arab, silalah berikan bacaannya kepada hamba menerusi ruangan 'comment'. Ini kerana hamba dapat lampirkan makna bacaannya sahaja.

Doa Nurun Nubuwwah dikatakan memiliki khasiat yang banyak sekali dan sangat menakjubkan; terutama terhadap siapa sahaja yang suka membaca dan mengamalkannya dengan ikhlas hati benar-benar kerana Allah. Ini adalah bacaan dalam Bahasa Arab. Terjemahan (makna) boleh anda semua lihat di bawah sekali, iaitu selepas pernyataan khasiat-khasiat pengamalan doa ini.


Dan di antara khasiat –khasiatnya adalah seperti berikut;

(1) Pelindung dari Sihir.

Di riwayatkan , bahawa Rasulullah SAW bersabda setelah solat Subuh ketika duduk-duduk bersama para sahabat di Masjidil Haram, tiba-tiba datanglah Malaikat Jibril a.s. membawa doa Nurun Nubuwwah, seraya berkata : ”Wahai Rasulullah, aku telah di utus oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk menyampaikan doa ini kepadamu / Rasulullah”. Selanjutnya beliau bersabda:”Doa Nurun Nubuwwah ini banyak sekali faedahnya bila di baca dan diamalkan. Dan apabila tidak dapat membaca atau tidak hafal, maka cukuplah ditulis, kemudian tulisan tersebut disimpan dalam rumah, maka Allah akan senantiasa memberikan perlindungan kepada penghuni rumah itu dari sihir / tenung atau penyakit.

(2) Hajat Tercapai.

Barangsiapa yang membaca dan mengamalkan doa ini secara istiqamah pada setiap selesai solat sekurang-kurangnya sekali, maka Insya Allah apa pun hajatnya akan segera terlaksana.

(3) Penyelamat dari gangguan makhluk halus.

Bilamana doa Nurun Nubuwwah ini ditulis pada kertas lalu tulisan tersebut diletakkan pada tanaman yang ditanam, Insya Allah tanaman tersebut akan selamat dari hama, apabila diletakkan pada tempat-tempat yang menakutkan atau pada tempat-tempat yang dihuni oleh syaitan atau iblis, jin atau hantu dan segala macam jenis makhluk halus, maka dalam waktu singkat mereka akan keluar tanpa kembali lagi.

(4) Dimuliakan orang

Rasulullah SAW bersabda, "Jika kamu ingin dimuliakan oleh orang lain, maka bacalah Doa Nurun Nubuwwah.”

(5) Pengasih

Apabila anda ingin mendekati raja / menteri atau orang yang berpangkat atau berkumpul dengan orang banyak, maka bacalah doa ini pada tiap hari sekurang-kurangnya sekali, Insya’Allah semua orang yang anda dekati itu akan menaruh kasih sayang.

(6) Air masin menjadi tawar

Apabila anda menaiki perahu / kapal, kemudian di situ anda kehabisan air minum, maka bacalah doa ini pada air laut, Insya’Allah air laut yang semulajadi masin itu berubah menjadi tawar dan boleh anda minum.

Sabtu, Oktober 03, 2009

Keadaan Sepanjang Hari Raya di Universiti..

Assalamualaikum...salam sejahtera juga diucapkan kepada rakan-rakan bloggers yang dikasihi. Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana masih berpeluang menghirup udara bersih di alam yang fana ini. Hamba juga masih ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada semua. Baiklah, hamba ingin memaparkan kisah hamba sepanjang Isnin hingga Jumaat yang baru berlalu kira-kira 32 minit lalu.

Isnin (28 Sep 09)

Hamba masih berasa sakit yang amat sangat di bahagian bahu. Terasa sangat sengal dan menyakitkan, apabila disentuh secara tiba-tiba. Timbul rasa sesal di hati, kerana membawa terlalu banyak barangan semasa pulang ke kolej, dengan menaiki bas dari hentian Bas Temerloh ke hentian Pekeliling. Berat barangan yang hamba bawa mungkin kira-kira 4 atau 5 kg. Huh, penat yang tidak boleh dijawab dengan kata-kata.
Rindu hamba terhadap sahabat hamba, Nurra terlerai sudah. Mula bergegas mengedit assignment untuk English For Communication II.

Selasa (29 Sep 09)

Bangun pagi dengan badan yang masih sengal dan sakit. Tapi, digagahi juga. Pada pukul 2, bergegas ke Studio Reka Bentuk Industri. Membantu sahabat karib, Idrul Fitri menyudahkan hasil kerjanya di atas panel. Ramai yang hadir, namun setelah mengetahui pensyarah tidak hadir; mula berangkat pulang. Keadaan ini menimbulkan keadaan tidak senang kepada En. Md Noor (pengganti kepada En Aziz), kerana beranggapan seolah-olah kami seperti pelajar yang masih bersekolah menengah. Setelah selesai mukadimah (bagus cara En Md Noor, menaikkan semangat kami untuk berkarya, terima kasih!!), hamba dan sahabat-sahabat hamba; Nurra, Fitri & Md Din bersantap bagi memenuhkan perut yang sedia kosong. Banyak perkara yang dibincangkan.

Kemudian, hamba bergegas ke Gelanggang Tok Jenai untuk latihan Silat Seni Gayong. Pada hari itu, tok guru (En Azman) telah menyatakan bahawa istiadat Perlimau Tapak (bagi pelajar lelaki) dan Seni (bagi pelajar perempuan) akan ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Manakala, salah seorang daripada kami (tidak ingat namanya), tidak dapat hadir kerana dalam proses bersalin (Alhamdulillah). Di sana, kami menyambung pelajaran kepada kaedah kunci iaitu Kunci Ular Sawa Berendam, Kunci Dayung dan Kunci Sanggah. Kaedahnya agak rumit, terutama kepada lelaki (kerana mereka perlu menyudahkan kesemua gerakan yang diperlukan; terutama bagi Kuncian Ular Sawa Berendam) manakala kami, pelajar wanita hanya belajar sabahagian sahaja dan lebih kepada gerakan penyudah. Petang itu, suara jeritan dan desis kesakitan dapat didengari. Hamba sendiri berulangkali disendeng kaki, dipulas tangan (memang sakit, tahan sajalah) dan dihempas. Tapi, hamba puas kerana dapat mempelajari gerakan yang baru.

Pada malamnya, hamba membantu sahabat hamba; Nurra menyudahkan presentation untuk kelas Kokurikulum Pendidikan Seni keesokkan harinya. Ini disebabkan ada pembentangan mengenai Rancangan Mengajar yang telah diminta oleh En Hassan Ghazali sebelum cuti raya dahulu.

Rabu (30 Sep 09)

Pagi yang agak muram. Keadaan ini disebabkan sebahagian besar kumpulan tidak melaksanakan tugasan yang diberikan. Hanya kumpulan hamba yang menyudahkan tugasan tersebut, hamba diarah membentangkannya. Alhamdulillah, berjalan dengan lancar dan hasilnya mendapat pujian daripada beliau. Cuma, kami perlu memperbaiki sedikit dan menambah mana yang dirasakan masih kosong. Md Din memaklumkan bahawa dia dan Fitri hendak berhari raya di rumah Prof Z. Hamba dan Nurra bersetuju dengan syarat; pengangkutan disediakan. Md Din bersetuju dan meminta kami bersiap sebelum pukul 5.

Hamba berasa sangat-sangat letih dan lesu. Mungkin disebabkan latihan pada petang semalam. Merehatkan diri dengan tidur selama 2 jam, kemudian mandi untuk menyegarkan badan (sebelum itu, hamba ke rumah Nurra sehingga pukul 5, baru pulang ke rumah hamba di tingkat 4). Tiba-tiba, Md Din menghantar mesej menyatakan supaya bersiap untuk ke rumah Prof Z pada pukul 6 ptg. Apalagi, seperti belangkas hamba bersiap sambil sibuk mencari topi keledar. Setelah siap, hamba dan Nurra turun, yang mana Md Din dan Fitri telah menunggu. Kami terus mengajak Isma yang kebetulan bertemu. Pada masa itu juga, hamba bertemu dengan rakan kami yang hanya kami panggil Adam. Dia sempat berkata "Semakin mantap awak sekarang ni, Aisah?" Hamba tidak tahu sama ada itu adalah pujian atau sindiran, tetapi yang pasti hamba tiba-tiba merasa segan dan malu sendiri.

Kami pergi ke rumah Prof. Hamba membonceng bersama Nurra; dengan Nurra membawa motorsikal. Di sana, kami disambut baik oleh Prof. Kemudian, hamba, Nurra, Md Din, Fitri, Isma, Redhuwan, Faizi & (tak ingat nama sahabat yang seorang ni) melawat ke kawasan sekitar perumahan sambil ditemani dengan haiwan peliharaan Prof, diberi nama Tosay (kerana Prof Z sangat suka makan Tosei). Kami dijamu dengan makanan yang menyelerakan, Laksa Penang, Mee Goreng, Bihun Goreng dan lain-lain. Kami juga solat Maghrib di sana. Kemudian, kami dikejutkan dengan berita mengenai Gempa Bumi dan Tsunami yang melanda kawasan berdekatan Sumatera. Dalam perjalanan pulang, hamba pula membawa motorsikal.

Isnin, September 28, 2009

Catatan Kenangan Di Hari Raya

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh kepada semua bloggers yang dihormati sekalian...maafkan hamba andainya telah lama tidak mencatat sesuatu di dalam tinta maya ini, kerana ketiadaan line bagi memasuki dunia maya ini. Alhamdullillah, bertemu kita semua dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya. Di sini, hamba sekadar hendak berkongsi pengalaman hamba semasa menyambut raya di kampung halaman hamba; tempat tumpahnya darah hamba. Hamba dilahirkan dengan memiliki campuran Jawa dan Cina dari sebelah bonda, manakala ayahanda pula adalah campuran Melayu dan India Selatan (Alkisah dari nenda hamba yang telah pulang ke rahmatullah). Jadi, terimalah kisah catatan hamba berhari raya...

Catatan 1 : Hari Raya Pertama

Ayahanda saudara yang menetap di Klang bertandang ke rumah hamba seawal 3 pagi. Dia dan keluarganya menetap di rumah hamba buat seketika. Agak sukar buat kami menyediakan ruang untuk beradu kerana teratak kami sekeluarga yang kecil dan sempit. Maka, mereka diberikan ruang di kawasan rumah hamba yang masih dalam pembinaan. Kemudian, hamba dan bonda bangun untuk menyediakan juadah kepada kaum lelaki yang mana akan ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan. Kami bersolat Subuh jemaah bersama dalam keadaan yang sederhana.

Kira-kira pukul 2 petang, tibalah rombongan dari saudara-mara sebelah ayahanda saudara yang hamba panggil Chik Mie. Dia adalah suami kepada bonda saudaraku, Asmadiah atau hamba panggil Chik Diah. Seronok rasanya berbual dengan mereka. Bonda apatah lagi, melayan kerenah mereka yang berselera benar bersantap dengan masakan wajib keluarga hamba semasa raya; Masak Lodeh Johor, Sayur Goreng, Ayam Masam Manis 3 Rasa, Rendang Daging Ala Minang dan Nasi Impit (buat secara tradisional : guna tangan). Kemudian, datang pula bonda saudara hamba yang bongsu, Achik Siti dan suami, Achik Apis. Bertambah gamat jadinya suasana di rumah. Rumah hamba jadi tempat berkumpul kerana nenda hamba yang berdua telah pulang ke rahmatullah, maka bonda hambalah yang menjadi ingatan mereka menggantikan arwah nenda.


Angah, Achik Diah, Bonda sedang berborak


Sedang bersantap beramai-ramai


Achik Apis sedang berborak dengan bonda hamba

Jumaat, September 18, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri....

Assalamualaikum sekali lagi...hamba dengan rendah dirinya menyusun 10 jari memohon ampun dan maaf andai ada kata tersilap bicara, ada perlakuan yang melampaui batasnya...Kini, kolej-kolej di UPSI mula mengalami 'kekosongan' yang amat tinggi kerana ketiadaan para pelajarnya yang telah pulang ke pangkuan keluarga yang tersayang sempena cuti Hari Raya yang bermula pada hari ini (maaf kalau salah maklumat). Hamba masih bertafakur di bumi UPSI ini kerana menghadiri kuliah terakhir pada pagi ini. Namun, pemandangan biasa melihat bilangan pelajar yang sedikit kerana telah 'menyahut' seruan keluarga di teratak masing-masing.

Hamba juga akan pulang ke pangkuan keluarga pada petang ini. Jadi, hamba merupakan orang terakhir yang keluar rumah. Maka, hamba harus memastikan bahawa rumah hamba ini akan selamat daripada dimasuki oleh orang-orang yang ingin mencerobohinya. Kepada rakan-rakan hamba yang telah berangkat pulang dan tiba di rumah, Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga. Jagalah diri anda dengan sempurna, gembira itu perlu, tapi sekadarnya sahaja. Manakala kepada rakan-rakan yang dalam perjalanan pulang atau akan pulang pada malam ini, hamba ucapkan Selamat Hari Raya juga dengan harapan jagalah diri kerana keluarga tersayang sedang menanti anda dengan senyuman kasih.

Tidak lupa juga hamba ucapkan kepada pensyarah-pensyarah yang mengajar hamba dari Semester 1 hingga kini; Prof. Zakaria Ali (Estetik & Sj Seni Dunia), Dr. Suhaimi (Sj Seni Tampak), cik Diyana Jumadi (Wacana BM), En Adnan Abd Aziz (Art Fundamental & Lakaran Asas), En. Amir Hashim (Asas Grafik), cik Zuraini Hj Jamil@Osman (Kenegaraan), Kapten Shahrizan Jamil (Pengurusan Kokurikulum), cik Norhana Mohd Salleh (Bahasa Jepun I), Dr. Harozila Ramli (Batik), cik Muriza Mustafa (Reka Bentuk Hiasan Dalaman@ Interior Design), Pn Mazyani Mat (English for Communication I), En Yusri (Olahraga), En. Roslan Sarmin (Pembangunan Sahsiah), Dr Suppiah a/l Nachiappan (Pembelajaran & Perkembangan Pelajar), Dr Mohd Johari Ab Hamid (Kritikan & Apreasiasi Seni), En Zaini Abdullah (Perkembangan Pendidikan di Malaysia-Falsafah & Dasar), Dr. Goh Hock Seng (English for Communication II), Dr. Roskang Jailani (Studio Lukisan), Dr Mohd Fauzi Sedon (Catan), En Abd Aziz Zalay@Zali (Reka Bentuk Industri), Dr Hassan Ghazali (Kurikulum Pendidikan Seni), En Nor Azman Abd Aziz (Seni Silat Gayong I) dan En Andy Hopkins dan cik Najwa (pembantu pensyarah Asas Grafik & Reka Bentuk Industri). Tidak dilupakan juga salam perpaduan dan Selamat Hari Raya kepada semua anak-anak gayong seluruh Malaysia, termasuk di UPSI.

Itu sahajalah catatan hamba buat masa ini. Diharap kita akan dapat bertemu lagi dalam catatan seterusnya. Sekian. Wassalam...

Peristiwa Yang Menggemparkan!!!

Assalamualaikum, kepada semua rakan-rakan blog terutama kepada rakan-rakan yang mengambil Pendidikan Seni (AT 23)...sesungguhnya berlaku kegemparan yang maha dahsyat sedang melanda fakulti kini...hamba tidak dapat untuk menceritakannya dengan lebih lanjut kerana bimbang tersilap maklumat...
Maka, hamba lampirkan ruang-ruang blog pensyarah kita yang boleh anda lawati untuk mendapat maklumat lanjut

1. http://orangbehrang.blogspot.com/2009/09/cuti-sabatikal-114-kembara-bali_17.html
2. http://johariseni.blogspot.com/
3. http://senivisual2.blogspot.com/

Ahad, September 13, 2009

Ramadhan Yang Bakal Melabuhkan Tirai Keberkatan-Nya, Syawal Yang Bakal Membawa Keriangan Dalam Kesedihan...

Assalamulaikum rakan-rakan blog yang dihormati...Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurnia dari-Nya..maka dapat kita semua berkumpul dan menyambut bulan yang mulia lagi diberkati ini...Hamba sekadar ingin mengucapkan "Selamat Hari Raya Aidilfitri" kepada saudara saudari seagama di seluruh dunia..juga tidak dilupa kepada rakan-rakan kita yang beragama Hindu yang bakal menyambut "Hari Deepavali" beberapa hari sebelum raya kita...

Seharusnya kita bersyukur dikurniakan sebuah negara yang makmur dan berbilang bangsa, kaum dan etnik. Keadaan ini disebabkan kita sememangnya adalah bersaudara walaupun bukan seagama. Apakah faedahnya kita bercakaran sesama sendiri, menyakiti sesama bangsa? Apakah keuntungan yang kita bakal perolehi daripada pertelingkahan yang tiada penghujungnya? Tahukah anda, disebalik kekacauan dan huru-hara ini ada mata-mata gelap 'pengintip' sedang asyik memerhati kita...bukan sekadar tersenyum, malah sudah boleh bertepuk tangan, malah berpesta meraikan kita yang rakus bertelagah sesama sendiri semata-mata kerana darjat, pangkat, harta dan kedudukan yang nyata kecil nilainya berbanding nilai ganjaran yang dijanjikan oleh Tuhan yang Maha Perkasa...Hamba kesal kerana sikap sesetengah pemimpin yang nyata mementingkan nilai-nilai negatif ini, berbanding nilai integriti dan kesepaduan antara kaum dan bangsa...mereka nyata meletakkan rakyat tak ubah seperti 'buah catur' yang digerakkan tanpa mengira waktu...permainan mereka tak ubah seperti pemain catur yang sentiasa mencari peluang untuk 'mematikan' lawannya.

Sepatutnya, para pemimpin kini hendaklah bekerjasama memikirkan bagaimana untuk memajukan serta memantapkan lagi sistem pentadbiran negara...akar dalam pentadbiran hendaklah dikukuhkan, bukan semakin dicantas, dikorek sehingga hampir rebah....ia sepatutnya dibaja, dijaga dengan baik...jika keadaan ini berterusan, maka tidak tercapailah matlamat pemimpin-pemimpin terdahulu bagi melihat negara ini membangun sampai bila-bila...tidakkah mereka sedar, bahawa sekiranya ia berterusan, kita akan dijajah semula??? Jika ia berlaku lagi, pada pendapat hamba, kita tidak akan lagi mengecapi nikmat kebebasan yang telah kita tempuh sebanyak 52 tahun ini. Tempoh kebebasan kita ini masih muda...tidak setanding dengan negara-negara lain yang mencapai kemerdekaan lebih awal...nama sahaja telah 52 tahun merdeka, tetapi kita masih lagi 'merangkak', 'bertatih' untuk menyempurnakan kemerdekaan tersebut...maafkan hamba, tetapi ini lah realitinya, remaja-remaja kini semakin alpa dalam kemewahan dan kesenangan (bagi yang berharta); semuanya kerana kasih sayang daripada ibubapa yang kadangkala melampaui batas...tiada istilah berdikari diberikan kepada anak-anak mereka...semuanya disuap dan ditunjukkan...mereka yang miskin dan papa pula; 'seperti lut sinar', bantuan tiba-tiba mencurah datang bila tibanya 'wartawan': bagi menunjukkan mereka itu pemurah...lebih-lebih lagi semasa bulan ini; Ramadhan Al-Mubarak...

Sepertimana yang telah hamba katakan, Ramadhan kian berlalu pergi...sudah cukupkah rasanya amal ibadat yang dilakukan? Hamba juga masih tercari-cari bilakah agaknya Lailatul Qadar....malam yang penuh dengan barkah...Syawal kian menampakkan diri...tapi, bagi hamba raya kali ini agak hambar...kerana nenda hamba yang disayangi telah berangkat pulang ke rahmatullah beberapa bulan yang lalu...tiada lagi senyuman penuh kasih di hadapan beranda, menyambut hamba ke pangkuannya...tiada lagi suara nenda memarahi cucu-cucunya yang masih kecil...tiada lagi nenda yang meminta hamba menghidupkan motorsikal antiknya yang sentiasa tidak hidup, nenda yang sentiasa mendorong hamba supaya jauh ke hadapan...Semoga Allah merahmatimu di sana...dikau akan ku kenang sehingga ke akhir hayat...

Itu sahaja tinta hamba pada pagi ini...bertemu kita lagi di warkah maya hamba yang seterusnya...

Sabtu, September 05, 2009

Kenangan STPM (PSV) 2007 : Bahagian III


Proses meratakan gam ke seluruh bahan
 


Dibiarkan kering, supaya tidak diganggu oleh saiz dan kedudukan (dalam bilik)



Tengah memotong alatan utama dalam model tersebut..
.

 Alatan-alatan yang separa siap diletakkan di atas model supaya memudahkan proses pengumpulan & pembaikan


Hamba sedang menyiapkan kapal; inspirasi daripada badan kura-kura gergasi
 


Hamba sedang menyiapkan tempat istirehat; hasil inspirasi daripada ketam
 

Kenangan STPM (PSV) 2007 : Bahagian II


Gam diletakkan ke dalam bekas yang telah diisi dengan batu berwarna-warni


Campuran dikacau supaya sebati dan melekat antara satu sama lain


Tisu dimasukkan ke dalam straw yang telah dipotong pendek (untuk dijadikan pagar)
 

Batu diletakkan ke dalam 'acuan' yang telah disediakan
 

Hamba letakkan gam pada warna biru untuk menghasilkan efek air (kolam)
 

Hamba sedang membentuk permainan 'jongkang-jongket'
 

Kenangan STPM (PSV) 2007 : Bahagian I

Assalamualaikum pada semua yang melayari  blog hamba, terima kasih hamba ucapkan. Di sini hamba sekadar ingin berkongsi maklumat dan kenangan/memori hamba semasa menuntut di SMK Clifford, Kuala Lipis pada tahun 2006-2007. Hamba ketika ini menjalankan projek kerja kursus hamba semasa menjawab kertas PSV 3. Nyata jerih perih hamba berbayar jua akhirnya, kerana hamba berjaya mendapat A dlm PSV. Lebih mengejutkan, hamba berjaya menjawab kertas 1 dengan baik, sedangkan hamba amat lemah dalam subjek ini. Setinggi penghargaan hamba ucapkan kepada guru hamba, Pn Hamidah & En.Saribunis (adinda beliau kini menuntut di tempat yang sama dengan hamba, dalam course yang sama). Tapi, alhamdulillah, hamba akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading....terima kasih semua...


Hamba sedang sibuk melakar pada folio


Antara bahan-bahan yang hamba gunakan untuk menghasilkan projek lanskap ini


Alatan lukisan & lakaran yang hamba gunakan


Gabungan alatan tangan & alatan tulisan


Hamba bermula dengan memotong span


Hamba menggunting span mencuci pinggan untuk dijadikan lantai @ rumput di atas model


Selasa, September 01, 2009

Hamba Seorang Pendikir...



Assalamualaikum...Hamba sekadar ingin mempersembahkan ceriteria buat semua penyeri blog hamba...Hanya sebagai berkongsi kenangan semasa membuat persembahan dikir di Kolej Za'aba...semuanya kini dalam lipatan kenangan...Semoga berjaya semuanya..
Amin...

Sabtu, Ogos 29, 2009

Nasib Malang @ Nasib Buatan Sendiri?

Assalamualaikum pada semua yang melawat blog hamba. Terima kasih hamba ucapkan kerana sudi melawat laman hamba yang daif ini. Bersyukur kita ke hadrat Illahi, maka dengan limpah dan kurnia dari-Nya, maka dapatlah kita bersama-sama lagi dalam ruangan ini. Hari ini genaplah sudah 8 hari kita semua menunaikan ibadah puasa...seharusnya kita bersyukur masih dikurniakan kudrat yang kuat untuk sama-sama berpuasa dan mengimarahkan masjid..

Hamba sekadar ingin memberi pandangan hamba mengenai kes-kes kemalangan akibat bermain mercun semasa Ramadhan ini. Hamba cukup sedih membaca berita-berita tersebut. Sepatutnya kanak-kanak tersebut menyambut bulan yang mulia ini dengan penuh kegembiraan, tetapi esak tangis tidak berguna lagi setelah kehilangan anggota badan dan pancaindera yang tidak sepatutnya 'hilang'. Pada mulanya, hamba ingin mengatakan mereka bodoh (maaf, hamba terpaksa menggunakan bahasa yang kasar sedikit) kerana masih bermain permainan yang diharamkan oleh kerajaan, tetapi pada hamba tidak salah bermain; namun hendaklah berhati-hati dan jangan dilekakan dengan keseronokan bermain sahaja. Hamba memahami naluri kanak-kanak kerana hamba juga pernah menjadi kanak-kanak. Sebut sahaja mercun jenis apa, meriam buluh, lampu daripada sekam kelapa sawit; semua telah hamba cuba, tapi mengapa hamba tidak tercedera semasa bermain dengannya?

Kuncinya terletak pada hati dan pegangan kita. Kanak-kanak pada zaman hamba mengetahui batas-batas mana mercun dan meriam itu dimainkan, dan berapa kuantiti yang diperlukan. Cabar-mencabar itu perkara biasa dalam permainan, tetapi langkah keselamatan dan keizinan daripada orang dewasa kami amalkan...Namun zaman kini, kanak-kanak kini berfikiran terlalu 'intelek', cuba membuat perubahan dengan bermain meriam menggunakan besi, mercun diletak dalam balang dan sebagainya lagi. Bagi mereka, keseronokan itu adalah lebih utama, keselamatan diabaikan. Maka, 'itu'lah hasilnya....jari yang putus, mata yang buta, telinga yang pekak dan sebagainya...

Hamba juga kesal dengan sikap segelintir pihak yang menganggap permainan mercun ini tidak berbahaya...Hamba kini hanya berani bermain mercun bawang, bunga api kecil, mercun lada dan mercun mancis....Walaupun bunyi dan letupannya tidak segah mercun pelangi atau bunga, ia dapat dikawal dan hamba dapat memastikan keselamatan setiap pemain (adinda hamba dan sepupu hamba yang masih kecil). Kadangkala, kami 'bertanding' dengan jiran sebelah rumah untuk melihat bunyi mercun siapa yang paling kuat, tapi kami tetap mementingkan keselamatan...

Walaubagaimanapun, hamba percaya bahawa keadaan ini akan dapat diubah...ingatlah bahawa tubuh badan kita ini adalah tunggal, tiada galang ganti. Jika rosak atau binasa, walaupun ada pengganti, keadaannya tidak akan sama dengan yang asal. Jadi, ingat, simpan dan fikir-fikirkanlah...Selain itu, khusus di bulan yang mulia ini, hamba ingin menyedekahkan doa hamba kepada arwah nenda hamba berdua (sebelah bonda hamba) yang telah pulang ke rahmatullah pada Febuari dan Mei lalu serta pada arwah nenda hamba (sebelah ayahanda hamba) yang meninggal pada Jun 1988. Mungkin ketika ini, mereka sedang 'melawat' kerabat-kerabat mereka termasuk diri hamba sendiri yang kini berada di bumi bertuah UPSI....

Oleh itu, sama-samalah kita membuat amal kebajikan dan beribadat di bulan yang mulia ini. Binatang juga makhluk Tuhan, janganlah ia disakiti...hormatilah ia sebagaimana kita menghormati manusia, kerana mereka juga dicipta untuk beribadat dan berzikir kepada Yang Pencipta. Janganlah bakhil untuk bersedekah pada yang perlu, kerana insyaallah pahala dan balasan yang kita perolehi mungkin berkali ganda banyaknya...lebih penting lagi, hidup terasa seperti sentiasa diberkati...bersihkanlah jiwa dan sayangilah insan disekeliling kita; termasuk diri kita...setelah itu, kita mencintai orang yang disayangi dan diambil berat kerana merekalah yang terpenting bagi kita namun cintailah Yang Satu, kerana cinta-Nya pada kita tidak akan pudar selagi hayat ditelan zaman. Sekian, tinta pena hamba....

Selasa, Ogos 25, 2009

Cintaku Yang Mula Bersemi.....Rindu Yang Kian Terserlah....



Adinda hamba yang sulung, Mohd Kamal (Benteng, pertahanan)
Seorang yang serius, tetapi masih gemar berjenaka
Berada di Matrikulasi Teknik, Kedah dalam bidang mechanical engineering



Adinda hamba yang kedua, Muhamad Husain (nama cucu Nabi)
Diam-diam ubi berisi & gemar bersilat dengan kekandanya
Kini menetap di asrama SMK Seri Bera, Bandar Bera, Pahang




Adinda hamba yang ketiga, Norfarha (Cahaya Kegembiraan)
Atlit dan perpustakawan di sekolah...SK (F) Tementi, Bera, Pahang




Adinda hamba yang bongsu, Muhammad Qayyum (berdiri & berdikari sendiri)
Paling nakal; tetapi tetap cute..bersekolah di SK (F) Tementi, Bera, Pahang

Selamat bertemu lagi dalam catatan hamba yang seterusnya, pada hari yang sama. Maaf sekiranya hamba mengecewakan semua dengan tajuk catatan hamba ini. Sebenarnya, hamba bukan bermaksud bahawa hamba sedang bercinta mahupun terlalu 'asyik' bercinta dengan seseorang, tetapi sungguh hamba tak dapat mengenepikan lagi perasaan hamba ini....

Benar, yang sesungguhnya hamba telah jatuh asyik pada kecantikan seni silat yang hamba pelajari kini. Bukan kerana ingin mempelajarinya demi tujuan perlindungan dan keselamatan, tetapi kerana keunikannya yang tersendiri...kerana nilai tradisi dan tradisional sendiri....Bagi hamba, sebagai orang Melayu, hamba hendaklah cuba 'mencintai'nya kerana ia merupakan budaya dan adat resam kita. Malah, Laksamana Hang Tuah juga merupakan pesilat yang handal dalam mempertahankan maruah dan keagungan Sultan meskipun terpaksa berkorban dan menahan rasa. Namun, itulah orang Melayu pada zaman dahulu, Sultan mereka tetap di hati. Dapatkah kita semua menandingi mereka? Fikirkanlah sendiri...Malah, Tun Fatimah juga dikatakan handal memainkan pencak silat, yang nyata adalah untuk mempertahankan nusa dan bangsanya...Jadi, mengapa hamba tidak cuba mengikuti jejak langkahnya?

Ya Tuhan, hambamu ini merindui saat-saat bersama-sama adinda-adinda hamba terutama ketika menunaikan puasa....Lebih-lebih lagi pada adinda hamba yang bongsu...Dia sentiasa ingin hamba memasak nasi goreng kampung dan ayam golek, kerana katanya masakan hamba itu sedap dan berlainan daripada bonda...Baru berusia 6 tahun, sudah pandai memberi komen mengenai masakan hamba dan bonda...Hai, cukup memeningkan kepala juga apabila memikirkan menu untuk berbuka, kerana adinda hamba ini amat cerewet tentang rasa makanan. Apabila hamba berada di rumah semasa cuti semester, dia akan menyuruh hamba memasak makanan dan membawanya ke sekolah untuk ditunjukkan pada rakan-rakannya....Hendak tergelak pun ada, kadang-kadang dia yang beria-ia memberi hamba buku masakan (bonda hamba gemar membeli majalah masakan dan meletakkannya di rak buku) dan memilih masakan yang ingin dirasai...Herm, begitulah adinda bongsuku....

Apatah lagi bonda akan menyerahkan bulat-bulat tugasan memasak jika hamba pulang ke teratak usang...Tugas bonda menjadi ringan, dan menjadi 'tukang rasa' sahaja usai hamba memasak...Adinda-adinda hamba berdua yang kini kian meningkat teruna, sudah semestinya bersantap pada kadar yang banyak...Selalunya, hamba terpaksa menanak nasi sebanyak 2 kali dengan kuantiti 6 cawan beras kecil, kerana selera santap mereka yang tinggi itu...Tapi, hamba puas juga, mereka menikmati hidangan dengan sempurna. Sudah menjadi kebiasaan, sekiranya mereka pulang, hambalah yang akan dituju dahulu..."Along, boleh masakkan Angah dan Ude lauk ini, ini dan ini?" itu lah ayat yang sudah lali hamba dengarkan. Hamba pula jenis yang tidak ambil kisah dan terus bersetuju, dengan syarat bahan-bahan basah hendaklah mereka belikan dan membantu hamba untuk menyiapkan hidangan tersebut. Mujur mereka hendak menolong...dapat juga mengajar mereka memasak sedikit, supaya jika teringin semasa berada di perantauan, dapat memasaknya...

Kenangan itu tidak dapat dilupakan sehingga akhir hayat hamba...mereka merupakan permata hati hamba, siapa tidak sayang adinda sendiri, betul kan? Hamba tidak dapat meluahkan rasa sayang tersebut pada mereka secara berhadapan, namun melalui masakan dan bergurau sendalah hamba dapat menyalurkannya pada mereka. Doa hamba, semoga adinda-adindaku sentiasa sejahtera hidupnya dan dimurahkan rezeki selalu...Buat ayahanda dan bonda, semoga anakandamu ini akan dapat pulang dengan kejayaan di tangan dan membuat mereka berbangga dengan hamba, walaupun hamba adalah seorang puteri...

Sekian, dahulu nukilan tinta hamba pada warkah maya ini...Ingatlah bahawa amanah yang kita galas merupakan perkara terpenting dalam hidup kita. Janganlah mengalirkan airmata duka ayahanda dan bonda kita dengan berita memalukan mereka, sebaliknya dengan airmata ria kerana kejayaan dan kebahagian kita....Bersuka ria itu semestinya, tetapi terhad. Serius itu perlu, tetapi adakalanya diselangi dengan kerehatan fizikal, rohani dan emosi menerusi senyuman, ketawa dan gurauan...Sinarilah hidup anda dengan menyintai Tuhan, sepertimana anda menyayangi ayahanda dan bonda...kerana kasih Tuhan itu tetap yang satu...

Ramadhan tiba disambut gembira,
Penuh kesyukuran dan nikmat pahala,
Keluarga dikenang jauh di mata,
Namun di hati tetap terpahat jua

Cantik manis gadis Melayu,
Sopan dan santun penuh budaya,
Andai ada silap di situ,
Maaf dipohon salam disua

Wassalam....

Buih Yang Berterbangan