Assalamualaikum pada semua rakan-rakan bloggers...terima kasih hamba ucapkan kerana masih sudi meluangkan masa melihat-lihat blog hamba yang tidak seberapa ini. Hamba juga ingin memohon maaf andainya sudah lama kiranya tidak mencatit apa-apa berita terkini berkenaan diri hamba & sebagainya. Hamba kini sedang menghabiskan cuti semester di rumah bersama-sama keluarga yang tersayang.Namun hamba tetap resah menantikan result exam yang bakal keluar mungkin tak berapa lama lagi. Malah hamba juga tidak sabar untuk mengetahui result PMR adinda hamba, Husain. Baiklah, hamba akan menceritakan serba sedikit kisah hamba sepanjang ketiadaan hamba di laman ini...
- Sepanjang Minggu Peperiksaan (Examination) -
Hamba amat sibuk mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi tarikh antara kertas adalah terlalu jauh 'jarak'nya. 1 minggu! Lama bukan? Bukannya study last minute, tetapi sekadar meneliti kembali nota-nota yang telah diringkaskan. Ketika itu, hamba amat musykil dengan sikap segelintir pelajar (terutama pelajar perempuan, maaf andai hamba menyinggung perasaan) yang 'sibuk' dengan aktiviti lain yang tak sepatutnya dilakukan dalam waktu-waktu genting begini. Hamba memahami keadaan tersebut, kerana hamba pernah 'dijangkiti' dengan penyakit yang sama pada semester sebelumnya. Mereka sibuk men'download' movie-movie terutama drama korea buat santapan mereka kerana dihantui dengan rasa bosan & sepi. Paling musykil sekali adalah apabila pada masa 'lapang' inilah , banyak laptop tersadai di kedai-kedai komputer kerana perlu diformatkan kembali kerana dimasuki virus-virus yang tidak diingini...Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang buat, dialah yang tanggung...
Sepatutnya, pada masa-masa inilah seharusnya konsentrasi lebih ditumpukan untuk membaca semula nota-nota berkaitan serta 'latih tubi' (bagi yg berkaitan je) untuk menghadapi exam. Ini tidak, mungkin ekoran mereka sudah merasakan pembacaan mereka sudah banyak & jemu untuk menatap nota yang sama berulangkali.Hamba bukannya seperti Amalina yang dapat 17A dalam SPM, sahabat hamba Chen Ho Kiong yang dapat 4.00 + 4A dalam STPM, dan juga bukan seperti Adi Putra yang mampu mencipta formula Matematik yang hebat; tetapi seorang pelajar sederhana yang datang ke UPSI untuk mencapai matlamat, tujuan dan cita-cita hamba di samping menunaikan amanah & tanggungjawab hamba kepada ayahanda serta bonda & Tuhan dengan usaha & tumpuan sekalipun melebihi batasan hamba sendiri. Bukankah ilmu itu wajib dituntut? Bukankah itu juga amanah dari ayahanda dan bonda kita? Sedarlah wahai sahabat-sahabatku....
- Sepanjang Latihan Intensif Gayong, Ujian Kenaikan Bengkong & Mandi Minyak -
Latihan intensif dijalankan di gym, selepas kertas terakhir iaitu Falsafah Pendidikan. Sepanjang menjalani latihan, barulah hamba memahami bahawa mengekalkan ilmu yang diperolehi adalah lebih sukar daripada menuntut ilmu tersebut. Ia terbukti. En Azman, ternyata amat gembira & terharu dengan sambutan yang diberikan lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak-anak buah Abang Jen & Abang Azhar. Malam pertama latihan merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Hamba boleh dikatakan bernasib baik kerana sempat mengelak 'serangan tiba-tiba' daripada Cikgu Khalid semasa menjalani latihan Gaya Asas: Asas Elakkan Pertama: Gerakan Pertama. Kalau tidak, alamat lebam atau bengkak muka hamba pada malam itu. Hamba amat bernasib baik!
Kemudian sehari sebelum ujian, cikgu membuat Ujian Pra Kenaikan Bengkong. Ini adalah untuk membiasakan diri kami semua dengan acara dan arahan daripada penguji pada keesokan harinya. Perjalanan sepanjang ujian adalah lancar pada esok harinya. terdapat pelbagai gelagat boleh ditemui, insiden kecederaan sudah pasti berlaku. Tetapi di dalam keadaan yang terkawal. Pada hari itu juga, cikgu (En Azman) buat pertama kalinya 'turun padang' terutama semasa ujian 'sparring' bagi ujian kenaikan bengkung untuk bengkung merah ke atas. Ramai pelajar senior tidak percaya dengan tindakan beliau. Lebih melucukan, sebahagian senior dan cikgu sendiri 'melukis' di belakang baju mereka pelbagai lambang yang kelihatan melucukan. Cikgu kelihatan ghairah untuk membelasah 'calon-calon' berkenaan. Mungkin disebabkan anak-anak beliau yang telah menunjukkan aksi perlawanan yang memberangsangkan semasa ujian 'sparring' pagi tadi. Tapi yang pasti, pertarungan antara cikgu dibantu dengan abang-abang senior silat untuk menguji calon-calon tersebut berlangsung dengan sengit. Kami turut melihatnya dengan penuh asyik dan kadangkala ketawa terbahak-bahak, ialah bila lihat pelbagai aksi lucu yang 'dilakonkan' oleh mereka semua.
Namun, hamba agak terkilan kerana tidak dapat menghadiri latihan bersama pelajar-pelajar dari Johor pada malam terakhir ujian. Hamba telah mengalami demam, dan tidur dengan letihnya apabila melabuhkan tubuh hamba ke katil. Lebih teruk lagi, hamba tidak dapat mengikuti Upacara Mandi Minyak kerana sebab tersebut. Aduh, nak angkat jari pun tak boleh. Bukan nak manjakan diri, tetapi entahlah memang betul-betul tak larat lagi. Tepat seperti kata pepatah "Sudah Jatuh Ditimpa Tangga".
- Sepanjang Pulang Ke Rumah -
Semasa Aidil Adha', adik beradik bonda bertandang ke rumah, kecuali Acik Long & Acik Udin kerana halangan kewangan. Mujur juga kawasan rumah sudah luas, bolehlah mereka tumpang beradu sambil bersantap dengan hidangan istimewa raya, Nasi Ayam Kukus yang disediakan oleh hamba. Hamba pula telah berjaya memujuk ayahanda untuk membuka talian online di rumah. Syukur, bolehlah digunakan untuk melihat laman My Upsi dan mencari maklumat tambahan yang lain...selain itu, menjadi 'sifu' pada ayahanda sendiri untuk mempelajari hal-hal perkomputeran ini. Ayahanda ingin menggunakan perkhidmtan ini sebagai lapangan baru dalam melunaskan pembayaran secara on-line disamping meng'eksplorasikan' peluang-peluang untuk mempelajari bidang keusahawanan (cita-cita ayahanda hendak menjadi kontraktor perpaipan & syarikat keluarga sendiri selepas bersara nanti).
Baiklah, sampai di sini sahaja coretan hamba. Sekian. Wassalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan