Alhamdulillah....bersyukur hamba ke hadrat Illahi, dengan berkah dan limpah kurnia dari-Nya, hamba masih dapat melihat dan menikmati alam fana ciptaan-Nya ini. Syukur juga diucapkan kerana hamba dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melakar tinta di laman ini, untuk sama-sama berkongsi ceritera sama ada mengenai kehidupan mahupun sebagainya pada sesiapa yang sudi melihat dan membaca mengenainya.
Ulahnya di sini, ingin hamba berkongsi sebuah paparan khas dari sebuah akhbar tabloid yang mana telah menyiarkan hasil temuramah antara wartawan dengan salah seorang rakan seperjuangan hamba semasa menuntut di UPSI. Beliau adalah saudara Abdul Rahman Ajit, sepertimana yang pernah disebutkan dalam kisah sebelum ini. Nyata tuah menyebelahi beliau untuk diketengahkan oleh pihak media, supaya dapat memberikan impak yang positif, khususnya kepada golongan lelaki di luar sana mengenai pemilihan kerjaya sebagai seorang guru. Tidak dinafikan bahawa apa yang dinyatakan di dalam penulisan itu, bahawa profession perguruan di kalangan kaum lelaki adalah sangat kurang berbanding kaum wanita. Tetapi, jangan lupa bahawa guru lelaki juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah seseorang pelajar. Bahkan jika dilihat dari pengalaman hamba sendiri, hamba lebih rapat dengan guru-guru lelaki di sekolah kerana pada hamba mereka lebih 'understanding' dan 'cool', serta cepat menangkap apa yang diperlukan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Bukan bermakna guru perempuan tidak cekap dan baik, tetapi guru lelaki ini ibarat 'bapa' atau 'saudara lelaki' yang mana mengundang rasa senang mahupun lebih mesra untuk diajak berbincang dan melakukan aktiviti lasak yang mana jarang dilakukan oleh guru wanita, khususnya.
Tambahan pula, berdasarkan pengalaman berpraktikal di sekolah telah memperlihatkan dengan jelas pada hamba betapa besarnya peranan seorang guru lelaki di sekolah. Bukan sahaja dalam pembelajaran, malah dalam pentadbiran keseluruhannya. Jika tiada guru lelaki, maka keadaan sekolah mungkin lebih kurang terkawal dan mengakibatkan pentadbiran kurang kukuh, terutama dari aspek tunjangnya. Bukan saya menidakkan kemampuan kaum wanita untuk menjadi pemimpin, tetapi tekanan dan keadaan persekolahan yang pada masa kini kian mencabar kadang-kala mencabar wibawa seorang guru dan kadang-kala tidak kurang juga permasalahan juga hadir dari pihak guru sendiri. Ramai lelaki di luar sana beranggapan kerjaya guru ini melecehkan, tetapi sebenarnya tidak. Hamba sangat bersetuju dengan pandangan sahabat seperjuangan hamba ini, yang mana sebenarnya dalam kerjaya inilah kita akan mendapat 'cabaran' yang sebenar-benarnya, tentang bagaimana untuk membentuk jati diri seseorang insan dan mengekalkannya bagi keseimbangan negara. Tidak dinafikan kerjaya guru ini sangat berat dari sudut pendekatan dan pengamalannya, tetapi dengan asas latihan serta pengalaman, insyaallah guru tersebut akan dapat menangani masalah itu; tidak kira ke ceruk mana mereka bertugas.
Baiklah, celoteh hamba nampaknya kian bertambah panjang. Oleh itu, hamba tamatkan sementara di sini. Hamba tinggalkan para pembaca sekalian dengan cebisan tabloid yang mana hamba perolehi dari salah seorang rakan seperjuangan hamba yang lain, iaitu saudara Isma Hafizz. Seluruh kredit untuknya yang mana sanggup meng'scan' cebisan tabloid ini untuk tatapan kami di laman web sosial Facebook. Terima kasih banyak-banyak Isma!
*PS - Hamba perasan bahawa tarikh pada rencana ini ditulis adalah pada 23 Mei 2012......sekarang tarikh bila??? (Atau hp dan laptop hamba salah tarikh??)
0 ulasan:
Catat Ulasan