Shah Alam, 17 Jan 2012 : Sebuah majlis perasmian bagi satu lagi pameran seni telah berlangsung di Galeri Seni Shah Alam semalam. Pameran yang bertajuk "On-View Degree Show 2012" ini telah berlangsung sejak 9 Januari 2012 dan dijangka tamat pada 28 Januari 2012. Pameran ini merupakan julung-julung kali diadakan di luar daripada kawasan kampus induk Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan penglibatan pelajar-pelajar Semester Akhir bagi program Pendidikan Seni (AT23) Ambilan Julai 2008/2009 dengan kerjasama Galeri Seni Shah Alam. Pameran ini juga merupakan kemuncak kepada memaparkan hasil karya pelajar untuk tatapan umum, khususnya kepada golongan pelajar.
Majlis perasmian ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor UPSI, Prof. Dr. Omar b. Abdull Kareem yang hadir bagi menggantikan Naib Canselor UPSI, Prof. Dato' Dr. Zakaria b. Kasa yang tidak dapat menghadirkan diri disebabkan masih mempunyai urusan di Kedah. Dalam ucapan tersebut, beliau telah menyatakan bahawa Pendidikan Seni bukan lagi sebuah mata pelajaran yang hanya bergantung kepada identitinya sebagai bahan seni semata-mata, namun lebih sebagai 'penggerak' kepada membentuk generasi kini yang nyata lebih berintelektual serta gemar mencuba sesuatu yang baru. Dalam pada itu, beliau turut memetik kata-kata Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) UPSI, Prof. Dato' Dr. Ahmad @ Abdul Rahim bin Hj. Zainuddin yang menyatakan bahawa seni telah kian berinteraksi dengan masyarakat umum dan perlu diperkembangkan lagi supaya mampu melahirkan generasi masa depan yang bukan sahaja menghargai seni, malah mampu mengintegrasikan keperluan dan intisari seni itu ke dalam bidang-bidang yang lain. Sebelum ucapan perasmian ini, acara telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada Dekan FSKIK serta Pengarah Galeri Seni Shah Alam. Selain daripada itu, sungguhpun UPSI kini sedang dilanda pelbagai kontroversi, terutama membabitkan pentadbiran, namun itu semua tidak menggugat semangat pelajar-pelajar ini untuk meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa.
Ketiga-tiga tetamu jemputan ketika majlis perasmian dijalankan. Dari kiri: Pengarah Galeri Shah Alam, Timbalan Naib Cansellor UPSI dan Dekan FSKIK UPSI
Sebahagian pensyarah dan ahli akademik yang hadir dalam majlis perasmian tersebut