Hamba ketika bersiap sedia untuk ke Dewan Besar
Tepat pada jam 5.30 pagi pada 8 Mei 2012, hamba telah bangkit dari tidur dan membersihkan diri. Setelah menyelesaikan perkara-perkara yang wajib, hamba bersegera mengejutkan ahli-ahli keluarga yang lain untuk bersiap sedia ke Dewan Besar. Pada pagi itu juga, hamba bersiap sedia seadanya dengan mengenakan jubah konvokesyen, selendang berwarna fakulti iaitu warna maroon serta topi. Megah rasanya memakai pakaian itu, yang mana meraikan hamba pada hari itu sebagai seorang graduan. Bonda juga tidak kurang ayunya memakai baju kurung dan disertai dengan baju sejuk. Ini ditambah lagi dengan cermin mata hamba yang dipinjamkan bagi membolehkan bonda melihat dengan jelas di skrin kelak. Tepat jam 6.56 pagi, hamba bergegas ke kampus baru UPSI di Proton City. Ayahanda sempat singgah sebentar di gerai berhampiran jalan untuk membeli sedikit kuih-muih untuk hamba, bagi dijadikan alas perut. Hamba tiba di Panggung Percubaan tepat pada jam 7.20 pagi dan memasuki Panggung Percubaan setelah dipanggil oleh petugas yang berada di kawasan berkenaan.
Nama hamba sepertimana yang tercatat di dalam buku cenderamata. Nama hamba terletak pada baris ke-6 dari atas
Keadaan di dalam Panggung Percubaan adalah hampir menyerupai Dewan Besar dan pihak pengurusan telah meletakkan nombor pada tempat duduk bagi memudahkan graduan. Tempat duduk hamba adalah 139 dan terletak pada baris kelima di dalam panggung tersebut. Setelah semua graduan memenuhi ruang duduk, kami semua diarahkan untuk mengisi kad gambar (yang telah diberikan ketika mengambil jubah) serta memastikan kertas bar kod berada dalam keadaan sempurna (tidak renyuk, rosak dan sebagainya). Kemudian, kami juga diberikan sedikit taklimat oleh petugas yang diamanahkan. Selain daripada itu juga, kami juga menerima berita bahawa dua orang sahabat hamba yang pernah hamba sebutkan di dalam penulisan sebelum ini, iaitu pasangan kembar Abdul Rahman Ajit dan Abdul Rahim Ajit telah dijadualkan untuk menjalani temuramah eksklusif dengan para wartawan mengenai majlis konvokesyen tersebut, usai aturcara majlis nanti. Tambahan pula, mereka berdua adalah pasangan kembar terbaik di fakulti FSKIK dan juga bahagian kami, iaitu Pendidikan Seni (AT23). Tahniah diucapkan kepada kedua-duanya! Pada jam 8.15 pagi, kami semua (graduan) telah diarahkan keluar dari Panggung Percubaan menuju ke Dewan Besar dengan berarak mengikut barisan masing-masing.
Hamba dan keluarga di luar Dewan Besar. Dari kiri : Wawa (Teh), hamba, Ayahanda, Qayyum dan bonda
Karangan bunga yang diberikan - cantik dan berharga sebab dari ayahanda dan bonda, semestinya! Walaupun bunga ni bukan kegemaran hamba.
Ketika dalam perjalanan menuju ke tempat duduk, kami semua diiringi dengan lagu dari orkestra UPSI. Suasana pada ketika itu sangat berlainan dan mendebarkan jiwa. Perasaan bangga dan puas hati terselah di jiwa mendapat sambutan ala-ala bintang menuju karpet merah di tengah-tengah dewan tersebut. Dewan ternyata penuh dengan ibu bapa pelajar serta ahli keluarga yang lain, dengan tujuan melihat dengan mata sendiri anak-anak mereka yang berjalan megah berpakaian konvokesyen menerima ijazah yang dijanjikan. Tatkala memasuki barisan tempat duduk hamba di hadapan, tercetus suatu perasaan yang tidak dapat ditolak - sayu. Hamba sedar bahawa di dalam dewan itu terdapat juga ayahanda, bonda dan adinda-adinda hamba yang telah memasuki dewan tersebut. Tapi, tidak dinafikan kala itu hati terasa sangat sayu apabila mengenangkan kedua-dua arwah nenda (ayahanda dan bonda sebelah bonda hamba) yang telah lama pergi menemui Illahi, dan ternyata tidak sempat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Siapa yang tidak sayu apabila mengenangkan kedua-dua 'penyokong kuat' hamba sepanjang berjuang di medan ilmu ini tiada untuk melihat dengan mata sendiri, cucunda sulung mereka ini menerima segulung ijazah - sekaligus orang pertama memecahkan rekod keluarga bonda menerima ijazah serta pendidikan tertinggi. Hamba lihat ke belakang tempat duduk dan 'terlihat' seolah-olah kedua-dua arwah ada di belakang; melambai-lambaikan tangan dengan senyuman terukir di muka - memberi ucapan tahniah dan syabas pada hamba. Air mata yang bertakung di tubir mata, akhirnya tumpah jua tanpa disedari. Hamba tidak peduli keadaan hamba ketika itu, hanya melayan perasaan yang bercampur baur ketika itu.