BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Ahad, Januari 17, 2010

La Memoria De Campus - Carte 1

Assalamualaikum pada semua bloggers...Maaf andainya sudah lama tiada mengutuskan secebis untaian berita mahupun cerita mengenai hamba di kampus sepanjang 2 minggu ini...Al-maklum, hamba kini ibarat kehilangan 'tangan' yang berharga, iaitu laptop kerana kerosakan yang tidak dapat dielakkan...atas sebab tersebut hamba akan jarang-jarang dapat menulis di dada blog ini. Tapi, insyaallah..hamba akan memperoleh laptop & printer baru dalam jangka masa minggu hadapan...syukran...Namun, masa yang membataskan akibat kerja assignment & studio yang kian bertambah mungkin akan menghalang hamba juga sedikit sebanyak untuk berkarya di sini. Harap kamu semua dapat memahami & hamba mohon maaf pada semua.

Baiklah...arakian beginilah cerita-cerita hamba di sini...pada hari ini..

16 Januari 2010 (Sabtu)

8 pagi - Hamba menjalani latihan Silat Gayong II di Gelanggang Tok Jenai. Pelajaran tambahan diajar oleh cikgu Azman iaitu dengan pelajaran Gerakan 41-50 & Gerakan Bunga Teratai. Agak sukar juga untuk mengingati langkah-langkah tambahan ini. Tapi hamba gagahi juga. Ini disebabkan kerana hamba tidak dapat mengikuti pelajaran minggu lepas, disebabkan Istiadat Perlimau Tapak & Perlimau Seni. Lebih mengujakan hamba, semakin ramai yang mendaftar dalam mata pelajaran Silat Gayong I pada hari ini. Ini sekaligus menambah semangat hamba untuk berlatih & memberikan yang terbaik dalam latihan. Keadaan tanah agak lembab & lecah, menyebabkan habis baju kami dilumuri oleh lumpur dan menjadikan kami tak ubah seperti anak kerbau yang berkubang di lumpur. Paling tidak pun, seperti pesawah & petani yang membanting tulang di sawah dan ladang...Cikgu kelihatan serius, tetapi hamba tahu di hatinya terselit rasa gembira dengan sambutan dari pelajar-pelajar (Gayong I) yang bersungguh-sungguh ingin mempertahankan warisan Melayu.

11 pagi - Ramai rakan-rakan hamba terpaksa pulang awal disebabkan tugasan yang harus diselesaikan. Hendak ditahan, tidak mungkin. Hamba juga faham, kerana tugasan hamba juga siap menanti di rumah. Kami menutup gelanggang setelah tamat semua latihan gerakan dengan Abang Jen & Kak Fizah. Kemudian, hamba tinggal di situ untuk melihat latihan rakan-rakan lelaki yang masih giat berlatih. Hamba juga menulis kembali catatan gerakan dalam latihan tadi sebagai panduan & ingatan dalam pertemuan atau latihan seterusnya. Berbual sebentar dengan Aliff dan Hafiz (Mr Kaiba), bertanyakan bagaimana keadaan & persepsi mereka tentang latihan & Silat Gayong  sendiri. Syukran....Kemudian, berborak panjang dengan cikgu & senior-senior lain.

2 petang - Pulang ke rumah setelah membeli 2 ketul ayam goreng, Milo bungkus & 2 bungkus sabun basuh. Di kedai, hamba bertemu dengan seorang pakcik yang mulanya bertanyakan di mana gelanggang Silat Gayong di sini dan nama guru silat hamba (maknanya sekitar sini; mungkin disebabkan hamba berpakaian Gayong). Hamba menjawab di dalam kampus dan nama cikgu Nor Azman.. Pakcik tersebut mengatakan bahawa pilihan hamba memang tepat dan menyatakan kebaikan-kebaikan mengenai Gayong. Hamba juga senang dengan penyataan itu. Pakcik tersebut juga menasihati hamba supaya belajar gerakan-gerakan dalam silat dengan rajin dan tekun, sebagai mempertahankan sekaligus memelihara warisan bangsa Melayu. Kemudian, beliau beredar bersama isterinya. Apa yang hamba ingat, pakcik tersebut berpakaian batik berwarna biru, berusia kira-kira 40-an atau 50-an dan memakai ketayap. Matanya lembut namun tajam memerhati. Mungkin beliau orang 'lama' dalam Gayong tapi sungguh hamba masih 'hijau' dalam organisasi ini, maka hamba hanya boleh sekadar panggil 'pakcik' sahaja dan memberikan senyuman. Maafkan hamba, pakcik!

8 malam - Bergegas ke kampus untuk berurusan dengan ATM Bank Islam atas tujuan tertentu. Menghantar SMS kepada ahli group Seni Islam Perbandingan, mengenai pembatalan program untuk resourse masjid di Kuala Kubu. Menghantar mesej pada Md Din dengan tujuan meminjam laptop buat 1 malam sahaja dan dipersetujui olehnya dengan memberikannya pada hamba pada pukul 6.30 pagi esok. Hamba sekadar ingin mengenakan Md Din dengan menghantar SMS ucapan terima kasih dalam Bahasa Jepun, dan dibalas kembali dengan permintaan supaya men'translate' ucapan itu dan jawapannya dalam Bahasa Jepun. Hamba hanya mampu ketawa sendirian kerana geli hati.

8.30 malam - Pulang ke rumah dengan 2 slip dari Bank Islam. Ingin ke cybercafe untuk memasuki laman web untuk pengesahan kod, tetapi diajak oleh Bib ke rumah untuk meminjam laptopnya sahaja. Hamba pun duduk di biliknya kini, yang mana masa kian menganjak dan mungkin akan pulang ke rumah lewat. Al-maklum, hamba jika menulis & berurusan di dunia cyber ini memakan masa berjam-jam lamanya. Apa pun, terima kasih, Bib!

Itu sahaja nukilan hamba di sini buat masa ini. Berjumpa lagi dalam kisah seterusnya; Bab 2...


Jumaat, Januari 01, 2010

Selamat Tahun Baru 2010!!!! Tahun Yang Bakal Menjanjikan Perubahan.

Selamat Tahun Baru diucapkan kepada semua rakan-rakan bloggers. Semoga bahagia dan dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang tahun. Sudahkah kamu semua memperbaharui azam pada tahun ini? Atau sudahkah kamu semua menunaikan azam kamu pada tahun lepas? Itu adalah tanggungjawab yang seharusnya dilunaskan oleh setiap manusia yang membuat azam.

Azam hamba pada tahun ini adalah untuk melakukan segalanya dengan segala usaha, tenaga yang terbaik dan terulung!!!Selain itu, kalau diperkenankan oleh Allah, hamba ingin memberikan sesuatu kepada ayahanda dan bonda hamba sebagai balasan jasa dan budi yang telah ditabur pada hamba selama ini. Syukran...Ya Allah, makbulkanlah permintaan dan doa hamba ini, kerana hamba inginkan yang terbaik untuk diri hamba dan menggembirakan kedua ayahanda dan bonda. Amin,amin.....

Itulah yang hamba ingin bahaskan pada hari ini....Semoga kita akan mampu merubah prestasi diri kita dari semasa ke semasa. Sekian....


Selasa, Disember 29, 2009

Hari Demi Hari Yang Kian Berlalu......

Assalamualaikum pada warga-warga bloggers yang dikasihi....hamba ingin mengucapkan terima kasih kerana masih sudi melawat laman hamba yang tidak seberapa ini...Almaklumlah...sejak ketiadaan laptop hamba di sisi, hamba tiada kesempatan untuk menulis di dada blog ini hari-hari...apatah lagi kini hamba kesempitan wang untuk menempuh kehidupan di sini.

- Permulaan kata, pemanis bicara -

Baiklah....sepanjang cuti ini, hamba sekadar membantu bonda menjual kain pasang di rumah, sambil duduk-duduk dan melayari internet untuk mencari prospek, untuk kerja sambilan yang hamba buat kini. Hamba sebenarnya ingin mengajak rakan-rakan blog yang berminat untuk menyertai hamba dalam kerja ini untuk sama-sama up sikit income atau duit poket, terutama kepada rakan-rakan bloggers yang masih muda, kira-kira 15 tahun-25 tahun. Kerjanya amat mudah dan dijamin halal. Sekiranya berminat, hantarlah balasan pada alamat email dan nombor telefon hamba yang telah hamba kepilkan pada blog ini....hamba sekadar ingin membantu, bukan untuk berbohong kerana hamba juga sedang melakukan perkara yang sama.

21 Disember 2009 (Isnin)

9 pagi - Hamba dihantar oleh ayahanda di Terminal Temerloh dan menaiki bas pada pukul 11 pagi. Saya sempat menghantar mesej pada Nurra, bonda & Fitri. Ayahanda melepaskan hamba dengan hati yang berat, dan sebelum menaiki bas, memeluk & menepuk belakang hamba (sebab ayahanda anggap hamba seperti anak lelaki) dengan nasihat "Belajar rajin-rajin".

1 petang - Hamba tiba di Hentian Pekeliling dengan mengheret beg yang berat. Menaiki LRT ke KL Sentral dan terus ke kaunter KTMB untuk membeli tiket keretapi ke Butterworth. Disebabkan tiket pelepasan pada waktu petang telah kehabisan, hamba terpaksa mengambil tiket pada pukul 10.30 malam. Jenuh jugalah nak menunggu dari pukul 2 petang hingga 10.30 malam! Hamba ambil kesempatan untuk berjalan-jalan di sekitar KL Sentral (sampai boleh hafal semua tempat). Cuci matalah katakan! Beg hamba diletakkan di kaunter penyimpanan beg. Apabila sampai waktu solat, hamba ke surau yang terletak di aras bawah. Kemudian, menjamu selera dengan Cheese Wedges di KFC & membaca komik di kedai buku bertentangan. Hamba tertarik dengan beberapa buku Islamik yang bertajuk "Saidatina Aisyah Ummul Mukminin - Wanita Pilihan", "Kisah-kisah Wanita Pada Zaman Rasullullah" dan "Bagaimana Untuk Menjadi Wanita, Anak & Isteri Yang Solehah" serta mencari buku PC (The Completed Series of Microsoft Photoshop); tetapi disebabkan hamba ketiadaan wang, hamba pendamkan sahaja hasrat untuk memilikinya.

9 malam - Hamba selesai menunaikan solat Maghrib & Isyak di surau. Bersantap sebentar di cafe yang berada di tingkat tiga. Ala kadar sahaja. Tersenyum seorang mengenangkan perbualan telefon antara hamba, Prof Z dan Md Din petang tadi. Duduk berdekatan kaunter pertanyaan, memerhati gelagat pengunjung yang datang dan pergi.

10.30 malam - Kami (penumpang) dimaklumkan bahawa keretapi akan lewat dan tiba pada pukul 11 malam. Hamba tidak kisah, dan mengambil kesempatan mengecas bateri handset hamba di mana-mana soket yang berhampiran tempat pelepasan, Pintu A. Hamba menolong seorang pakcik yang hendak ke surau dengan menjaga beg beliau. Hamba juga berpeluang membantu pelancong-pelancong yang bertanyakan arah, dan hamba membantu dengan seadanya dengan Bahasa Inggeris yang tidak seberapa.

11 malam - Hamba duduk di tempat hamba, 4D. Di sebelah hamba, seorang lelaki yang tidak dikenali, tetapi peramah dan mesra orangnya. Keretapi bergerak dengan kelajuan yang setara dan hamba senang dengan keadaan begitu. Datang pegawai bertugas, memeriksa penumpang. Hamba melihat ke sisi cermin, memerhati tanah tumpah darahku yag kian melabuhkan tirainya....

22 Disember 2009 (Selasa)

3 Pagi - Hamba terjaga dari tidur. Mengambil kesempatan berjalan-jalan dari satu gerabak ke gerabak yang lain. Suasana pagi yang kelam menyebabkan hamba sukar mengecam lokasi laluan keretapi. Kaki terasa lenguh dan hamba menggunakan Amex Yoko-Yoko. Dari jauh, hamba sedar bahawa diri hamba sedang diperhatikan (pemuda memakai kot, bercermin mata; rasa-rasanya seorang pelajar). Hamba buat endah tak endah, sehinggalah pemuda itu turun di Stesen Bukit Mertajam.

6.15 pagi - Hamba tiba di Stesen Butterworth. Dijemput ke teratak bonda saudara bongsu, oleh Acik Siti dan Acik Apis. Acik Diah pula berada di rumah mereka bersama Aliya, sedang beradu. Setibanya di rumah (berdekatan Kompleks Penjaja Desa Murni, Lorong Murni 5, Sungai Dua), hamba bergegas menunaikan solat Subuh.  Penat jugalah... lalu tidur dalam kepenatan. Apabila bangun, menelefon bonda di rumah dan menolong bonda saudara (memasak) dan bermain dengan sepupu, Aliya.

9 malam - Hamba dibawa ke Seberang Prai dan diajak berjalan-jalan di sekeliling kawasan. Besar dan cantik juga bandarnya. Singgah sebentar di pasar malam berhampiran. Kami hanya sekadar berjalan-jalan sahaja. Manakala, Acik Apis ke kedai gunting rambut berdekatan. Hamba kemudian menelefon sahabat hamba, Md Din untuk memberitahu perkara-perkara berkaitan. Kemudian, kami semua menjamu selera di gerai mamak berhampiran pasar malam tersebut. Hamba hanya sekadar memesan teh tarik kurang manis (tarik lebih) kerana masih kenyang. Setelah selesai, pulang ke rumah dan tidur dengan lenanya.

23 Disember 2009 (Rabu)

8 malam - Hamba dan kedua-dua bonda saudara tidak melepaskan peluang untuk berjalan-jalan di pasar malam berdekatan rumah. Makanan boleh didapati dengan harga yang berpatutan dan sedap-sedap belaka. Acik Apis pula duduk di rumah, tidak begitu sihat. Pada malam itu, terkorbanlah 2 ketul rangka ayam, tiga cucuk fishball, keropok lekor dan kuih buah melaka di mulut hamba.....

24 Disember 2009 (Khamis)

9 pagi - Hari yang sama penting dengan pengumuman result hamba. Hari ini result PMR akan diumumkan. Membuat panggilan telefon kepada bonda, bertanyakan result  adinda hamba Husain. Bonda mengatakan Ude (panggilan Husain di rumah), telah berangkat ke sekolah dengan Cikgu Hadi dan anakandanya yang kebetulan hendak ke SMK Seri Bera. Ini berikutan ayahanda hamba menghadiri kursus di Hotel Seri Malaysia di Kuantan. Hamba hanya mampu berdoa agar adinda hamba bakal mendapat keputusan yang cemerlang.

1 petang - Menerima SMS daripada Ude. Dia mendapat 8A 1D, sekaligus memadam rekod kekandanya, Kamal (Angah) sebanyak 7A 1B. Sungguhpun mendapat D dalam Bahasa Arab, hamba amat bersyukur kepada Tuhan kerana telah memperkenan dan memurahkan rezeki kami adik beradik terutama dalam bidang akademik. Ucapan tahniah hamba utuskan padanya. Berita ini juga hamba kirimkan pada bonda, ayahanda, saudara mara, sahabat baik hamba serta sesiapa yang berkaitan. Amin.....

11.15 malam - Keluarga kami didatangi oleh tamu, yang pada hamba agak kurang menyenangkan. Ini disebabkan kami sudah hendak masuk beradu. Tetapi, sudah adat kita, tetamu yang datang harus disambut dan dilayan mesra. Hamba pula terperap di dapur sambil melayari on-line pada handset hamba, dengan 'berjalan-jalan' di Mysis portal. Tiba-tiba, mata hamba terhenti apabila melihat 'result exam Sem 1 2009/2010'. Lalu terus melayarinya. Alhamdulillah, walaupun mengalami sedikit penurunan, tetapi hamba bersyukur kerana masih dalam ranking yang agak baik. PNGK 3.45 dan PNGS 3.36 dengan result 1A, 2 A-,2 B+,1 B dan 1 B-. Hai, syukran...syukran.....Hamba juga melihat result Nurra, Md Din dan Fitri; kemudian memberitahu mereka menerusi SMS. Sempat berbual dengan Md Din dan Nurra mengenai result exam yang telah dikeluarkan. Apabila hamba ke ruang tamu, tetamu sudah pulang. Kemudian, hamba tidur dengan lenanya.



Rabu, Disember 16, 2009

Hijrah Diri & Segalanya...

Assalamualaikum kepada semua bloggers...hamba sekadar ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah yang akan tiba dalam masa 3 hari lagi. (maaf, kalau tersilap) Sesungguhnya hijrah bermakna berpindah dan perubahan. Hijrah dari segi konteks agama Islam sendiri adalah perpindahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah al-Mukarramah  (Mecca) ke sebuah bandar yang dahulunya bernama Yathrib; kemudian ditukar kepada Madinah al-Munawwarah (Medina) yang mana akan menjanjikan perubahan yang drastik, bukan sahaja mengelak daripada diseksa dan dicerca oleh kaum Musyrikin Makkah, malahan mengembangkan lagi ajaran agama yang murni.

Manakala dari aspek peribadi pula, ia bermakna membuat sebuah perubahan bukan sahaja dari aspek perubahan fizikal, malah dari segi mentaliti, emosi, sosial dan lebih penting lagi dari segi akhlak dan sahsiah. Hamba kini sedang melonjakkan kembali semangat penghijrahan di dalam diri supaya dapat meningkatkan kembali jati diri hamba yang kian merudum sejak akhir-akhir ini. Hamba terasa seolah-olah kehilangan punca untuk meneruskan pengajian di tempat hamba belajar kini, bukan disebabkan oleh persekitaran, tetapi masalah adalah dari dalaman sendiri. Hamba masih belum dapat menewaskan musuh utama hamba yang dapat memakan dari dalam, itulah 'diri' hamba sendiri! Kini hamba cuba untuk mengaut kembali kekuatan yang hamba perlukan dan perolehi sama seperti mula-mula menjejakkan kaki ke menara gading. Hamba merasakan hamba perlu membetulkan semula jati diri, semangat, dan matlamat hamba ke universiti.

Kini barulah hamba sedar, betapa sukarnya untuk menjadi seorang dewasa! Mungkin itulah apa yang hamba rasakan sekarang, lebih-lebih lagi bertambah hampirnya hamba dengan 'saat' kebebasan bagi seorang remaja seperti hamba. 21 tahun! Hamba kini menjadi seorang yang kerap berfikir, mendalami sesuatu sebelum bertindak dan lebih berhati-hati dalam membuat sebarang tindakan. Ini disebabkan hamba merasakan kini merupakan masa yang sesuai untuk berubah seiring dengan peningkatan umur hamba. Mungkin bagi sesetengah remaja, menginjak 21 tahun adalah 'saat kebebasan' mutlak yang diinginkan kerana ketika itu, ibu bapa tidak lagi akan bertindak seperti 'baby sitter' di rumah dan kita bebas melakukan apa sahaja yang disukai. Bagi hamba? jawapannya, tidak. Mengapa? Kerana semakin kita menginjak dewasa, semakin banyak tanggungjawab yang harus kita galas dan jalankan. Selain itu, ketika ini adalah saat di mana ibu bapa kita akan sedikit demi sedikit melepaskan tanggungjawab mereka dan pada ketka inilah kita akan belajar untuk berdikari. Hamba kian mengerti kerana ayahanda dan bonda hamba tergolong dalam golongan yang sebegini. Bukan bermakna mereka mengabaikan tanggungjawab, tetapi mereka ingin supaya hamba berdikari dan mampu membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh orang lain. Tugas mereka kini adalah bertindak sebagai tutor, memberi nasihat dan bimbingan yang diperlukan.

Hamba sangat-sangat bersyukur dengan apa yang hamba perolehi dan miliki kini. Cuma hamba perlu berusaha untuk mendapatkannya disertai dengan restu daripada ayahanda dan bonda. Oh ya, ini adalah kereta idaman hamba, tak ingat jenis apa, (mungkin Lamborgini)  tapi selepas hamba melihatnya di dalam ZEE TV, tajuknya "Taarzan, The Wonder Car". Huh, selepas melihat 'kecantikan' kereta ini, membuatkan hamba sangat tertarik! Fuh!Ok, hamba kepilkan gambarnya sekali untuk tatapan semua. Itu sahajalah catatan hamba buat masa ini. Salam sejahtera ke atas semua.


Inilah kereta idaman hamba! Lamborgini! Selepasnya adalah Ferrari & Skyline.


Jumaat, Disember 11, 2009

Kisah Di Sebalik "Pertapaan" Yang Panjang.

Assalamualaikum pada semua rakan-rakan bloggers...terima kasih hamba ucapkan kerana masih sudi meluangkan masa melihat-lihat blog hamba yang tidak seberapa ini. Hamba juga ingin memohon maaf andainya sudah lama kiranya tidak mencatit apa-apa berita terkini berkenaan diri hamba & sebagainya. Hamba kini sedang menghabiskan cuti semester di rumah bersama-sama keluarga yang tersayang.Namun hamba tetap resah menantikan result exam yang bakal keluar mungkin tak berapa lama lagi. Malah hamba juga tidak sabar untuk mengetahui result PMR adinda hamba, Husain. Baiklah, hamba akan menceritakan serba sedikit kisah hamba sepanjang ketiadaan hamba di laman ini...

- Sepanjang Minggu Peperiksaan (Examination) -

Hamba amat sibuk mengulangkaji pelajaran. Lebih-lebih lagi tarikh antara kertas adalah terlalu jauh 'jarak'nya. 1 minggu! Lama bukan? Bukannya study last minute, tetapi sekadar meneliti kembali nota-nota yang telah diringkaskan. Ketika itu, hamba amat musykil dengan sikap segelintir pelajar (terutama pelajar perempuan, maaf andai hamba menyinggung perasaan) yang 'sibuk' dengan aktiviti lain yang tak sepatutnya dilakukan dalam waktu-waktu genting begini. Hamba memahami keadaan tersebut, kerana hamba pernah 'dijangkiti' dengan penyakit yang sama pada semester sebelumnya. Mereka sibuk men'download' movie-movie terutama drama korea buat santapan mereka kerana dihantui dengan rasa bosan & sepi. Paling musykil sekali adalah apabila pada masa 'lapang' inilah , banyak laptop tersadai di kedai-kedai komputer kerana perlu diformatkan kembali kerana dimasuki virus-virus yang tidak diingini...Jadi, siapa yang harus dipersalahkan? Siapa yang buat, dialah yang tanggung...

Sepatutnya, pada masa-masa inilah seharusnya konsentrasi lebih ditumpukan untuk membaca semula nota-nota berkaitan serta 'latih tubi' (bagi yg berkaitan je) untuk menghadapi exam. Ini tidak, mungkin ekoran mereka sudah merasakan pembacaan mereka sudah banyak & jemu untuk menatap nota yang sama berulangkali.Hamba bukannya seperti Amalina yang dapat 17A dalam SPM, sahabat hamba Chen Ho Kiong yang dapat 4.00 + 4A dalam STPM, dan juga bukan seperti Adi Putra yang mampu mencipta formula Matematik yang hebat; tetapi seorang pelajar sederhana yang datang ke UPSI untuk mencapai matlamat, tujuan dan cita-cita hamba di samping menunaikan amanah & tanggungjawab hamba kepada ayahanda serta bonda & Tuhan dengan usaha & tumpuan sekalipun melebihi batasan hamba sendiri. Bukankah ilmu itu wajib dituntut? Bukankah itu juga amanah dari ayahanda dan bonda kita? Sedarlah wahai sahabat-sahabatku....

- Sepanjang Latihan Intensif Gayong, Ujian Kenaikan Bengkong & Mandi Minyak -

Latihan intensif dijalankan di gym, selepas kertas terakhir iaitu Falsafah Pendidikan. Sepanjang menjalani latihan, barulah hamba memahami bahawa mengekalkan ilmu yang diperolehi adalah lebih sukar daripada menuntut ilmu tersebut. Ia terbukti. En Azman, ternyata amat gembira & terharu dengan sambutan yang diberikan lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak-anak buah Abang Jen & Abang Azhar. Malam pertama latihan merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan! Hamba boleh dikatakan bernasib baik kerana sempat mengelak 'serangan tiba-tiba' daripada Cikgu Khalid semasa menjalani latihan Gaya Asas: Asas Elakkan Pertama: Gerakan Pertama. Kalau tidak, alamat lebam atau bengkak muka hamba pada malam itu. Hamba amat bernasib baik!

Kemudian sehari sebelum ujian, cikgu membuat Ujian Pra Kenaikan Bengkong. Ini adalah untuk membiasakan diri kami semua dengan acara dan arahan daripada penguji pada keesokan harinya. Perjalanan sepanjang ujian adalah lancar pada esok harinya. terdapat pelbagai gelagat boleh ditemui, insiden kecederaan sudah pasti berlaku. Tetapi di dalam keadaan yang terkawal. Pada hari itu juga, cikgu (En Azman) buat pertama kalinya 'turun padang' terutama semasa ujian 'sparring' bagi ujian kenaikan bengkung untuk bengkung merah ke atas. Ramai pelajar senior tidak percaya dengan tindakan beliau. Lebih melucukan, sebahagian senior dan cikgu sendiri 'melukis' di belakang baju mereka pelbagai lambang yang kelihatan melucukan. Cikgu kelihatan ghairah untuk membelasah 'calon-calon' berkenaan. Mungkin disebabkan anak-anak beliau yang telah menunjukkan aksi perlawanan yang memberangsangkan semasa ujian 'sparring' pagi tadi. Tapi yang pasti, pertarungan antara cikgu dibantu dengan abang-abang senior silat untuk menguji calon-calon tersebut berlangsung dengan sengit. Kami turut melihatnya dengan penuh asyik dan kadangkala ketawa terbahak-bahak, ialah bila lihat pelbagai aksi lucu yang 'dilakonkan' oleh mereka semua.

Namun, hamba agak terkilan kerana tidak dapat menghadiri latihan bersama pelajar-pelajar dari Johor pada malam terakhir ujian. Hamba telah mengalami demam, dan tidur dengan letihnya apabila melabuhkan tubuh hamba ke katil. Lebih teruk lagi, hamba tidak dapat mengikuti Upacara Mandi Minyak kerana sebab tersebut. Aduh, nak angkat jari pun tak boleh. Bukan nak manjakan diri, tetapi entahlah memang betul-betul tak larat lagi. Tepat seperti kata pepatah "Sudah Jatuh Ditimpa Tangga".

- Sepanjang Pulang Ke Rumah -

Semasa Aidil Adha', adik beradik bonda bertandang ke rumah, kecuali Acik Long & Acik Udin kerana halangan kewangan. Mujur juga kawasan rumah sudah luas, bolehlah mereka tumpang beradu sambil bersantap dengan hidangan istimewa raya, Nasi Ayam Kukus yang disediakan oleh hamba. Hamba pula telah berjaya memujuk ayahanda untuk membuka talian online di rumah. Syukur, bolehlah digunakan untuk melihat laman My Upsi dan mencari maklumat tambahan yang lain...selain itu, menjadi 'sifu' pada ayahanda sendiri untuk mempelajari hal-hal perkomputeran ini. Ayahanda ingin menggunakan perkhidmtan ini sebagai lapangan baru dalam melunaskan pembayaran secara on-line disamping meng'eksplorasikan' peluang-peluang untuk mempelajari bidang keusahawanan (cita-cita ayahanda hendak menjadi kontraktor perpaipan & syarikat keluarga sendiri selepas bersara nanti).

Baiklah, sampai di sini sahaja coretan hamba. Sekian. Wassalam.


Ahad, Oktober 18, 2009

Majlis Penyampaian Bengkung PSSGM 2009 Yang Meriah...


SALAM GAYUNG DARI KAMI SEMUA


Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan bloggers semua. Maafkan hamba kerana sudah agak lama tidak menulis di tinta maya ini. Hamba kini sedang sibuk untuk menghabiskan tugasan dan assignment studio yang mana akan menjalani essassment minggu hadapan...tekanan memang amat dirasai. Dalam pada itu, hamba juga telah mula menatap semula nota-nota kecil yang hamba telah tulis sejak awal lagi, sebagai review ulangkaji sahaja. Alhamdullillah, hamba bolehlah dikatakan telah bersedia dari awal-awal lagi dengan selalu membuat bacaan ringan atau sepintas lalu nota-nota (powerpoint dalam laptop), setiap malam sebelum beradu. Hamba lebih gemar dengan cara begitu, kerana sekiranya hamba membaca dengan menggunakan buku, alamat akan terganggulah hamba dengan 'gangguan-gangguan' yang tidak diingini. Masa yang paling digemari untuk ulangkaji adalah pada malam hari, ketika rakan-rakan hamba sedang nyenyak dibuai mimpi indah. Sebabnya? Keadaan yang agak sunyi dan mempunyai bunyian semulajadi yang diingini.


Beralih kita pada tajuk utama pada malam ini. Alhamdullillah sekali lagi, bahawa dengan berkat dan limpah kurnia dari Allah Yang Maha Esa, maka Majlis Penyampaian Bengkung PSSGM 2009 berjalan dengan lancar pada pagi tadi. Walaupun agak sedikit kalut, tapi semuanya masih berlangsung dengan seadanya, sederhana namun meriah. Hamba ingin mengucapkan tahniah kepada semua senior-senior Gayong kerana dapat memberikan tunjuk ajar dan membantu kami, ahli-ahli baru (terutama AJK baru) dalam mengadakan program ini. Walaupun kertas kerja tidak diluluskan, tetapi ia tetap dijalankan kerana telah dirancang sejak sebulan yang lalu. Hamba bertugas sebagai AJK Cenderahati, dan syukur segala pesanan cenderahati berjaya dilakukan dalam masa yang singkat, walaupun mengalami masalah sedikit pada mulanya.


Majlis bermula seawal 9.00 pagi, iaitu dengan keberangkatan tiba En Azman dengan iringi oleh hulubalang-hulubalangnya yang gagah perkasa. Hulubalang-hulubalang ini terdiri daripada 4 orang senior yang telah menerima gelaran "Khalifah" dalam persatuan. Antaranya Cikgu Khalid, Abang Jen dan 2 lagi senior ( hamba kurang ingat nama mereka, maafkan kekhilafan hamba). Setelah En Azman duduk di tempat yang dikhaskan bersama para hulubalangnya, Hafiz (Yob) selaku pengerusi majlis meminta Megat membacakan doa, dan disusuli dengan Lagu Gayong. Kemudian, En Azman memberikan ucapan kepada semua yang hadir. Beliau ternyata merasa bangga kerana anak-anak Melayu masih ingin meneruskan tradisi mereka terutama pada golongan kanak-kanak, kerana ucap beliau sudah sanggup untuk memikul amanah menyebarkan tradisi dan mempertahankannya. Upacara atau Istiadat Penyampaian Bengkung dijalankan dengan kadar yang penuh istiadat secara ringkas. Ramai anak-anak gayong yang menerima kenaikan bengkung dan memakainya sejurus menerimanya.

Ahad, Oktober 11, 2009

Istiadat Perlimau Tapak Dan Seni....Istiadat Penerimaan Berguru (Silat Seni Gayong)

Assalamulaikum...semua rakan-rakan bloggers yang setia lagi disayangi...semoga anda semua berada di dalam perlindungan dan ketenteraman dari Allah s.w.t. Bertemu kita lagi di laman bblog maya yang menjanjikan 1001 macam kemungkinan dan maklumat yang ada...hamba sekadar ingin berkongsi pengalaman hamba yang berlaku kira-kira petang tadi...bagi hamba ini adalah pengalaman yang menarik untuk dikongsi bersama. Semoga anda semua dapat menghayatinya bersama-sama.

Kira-kira pukul 2.10 petang, hamba dikejutkan dengan SMS daripada Kak Muna supaya mengingatkan rakan-rakan Segayong hamba yang lain supaya menghadiri istiadat ini. Hamba segera menghantar mesej pada rakan-rakan yang berkenaan. Setelah bersiap-siap, hamba ke rumah Nurra bagi mengambil sedikit barangan dan terjadi sedikit kemalangan, dimana hamba tersandung pengecas bateri laptop hamba sehingga terjatuh. ia terjadi disebabkan hamba kalut untuk mengambil kad matrik di dalam beg galas hamba. Sesampainya di bas, hamba bertemu dengan Baizura dan Nora. Hamba kemudian ke mesim ATM untuk mengeluarkan wang, tetapi agak malang kerana mesim ATM di Bitarasiswa dan Bangunan Canselori telah kehabisan wang. Akhirnya, hamba beroleh wang di mesim ATM berdekatan pintu masuk utama kampus. Hamba bergegas ke Anjung 2, Bangunan IPSI untuk upacara tersebut. Ketika itu, jam sudah menunjukkan pukul 2.50 petang.

Di sana, hamba melihat kakak-kakak senior dan rakan-rakan hamba yang tiba awal sedang bersiap-siap menyediakan barangan untuk upacara tersebut. Antaranya, bunga 7 jenis, jarum jahit, kemenyan, limau nipis, lilin, (akar kayu ape thah, tak ingat ape namanya). Di bawah pula, abang-abang senior sedang sibuk menyalakan kemenyan bagi upacara ini. Kira-kira pukul 3.15, En Azman pun tiba. Kami semua diberi taklimat awal mengenai perjalanan majlis tersebut. Pada ketika itu juga, hamba sudah merasakan 'keseraman' apabila dapat merasa bulu tengkuk hamba meremang. Bukan kerana sejuknya air-cond, tetapi mungkin kerana dimaklumkan oleh kakak senior, jarum jahit itu akan menjadi medium utama dalam upacara nanti. Bukan apa, hamba sebenarnya 'takut' dengan jarum, termasuk jarum suntikan! (sekiranya guna untuk cucuk hamba, guna untuk hal lain tak mengapa). Megat dan Fauzi tidak turut serta, kerana mereka sudah melalui upacara ini dengan guru mereka dulu di Kedah. Mereka hanya memerhati dari tepi.

Kemudian, upacara bermula. Kami diarah seorang demi seorang pergi ke hadapan En Azman dengan membawa sepiring bahan-bahan tadi. Beliau akan bertanyakan sesuatu sebelum membelah limau dan mendoakannya pada limau dan peralatan lain di dalam piring itu. Selepas itu, kami akan diberi bijirin sebanyak 7 atau 13 biji, yang dimakan bersama dengan sedikit garam dan asam jawa. Kemudian, kami diberi minum air yang telah didoakan oleh En Azman dengan membaca Bismillah dan 3 kali selawat ke atas Nabi. Bagi kaum wanita, kami dikehendaki mengunyah sirih; dengan membaca Bismillah dan selawat serta berniat (apa sahaja, ikut kehendak masing-masing). Ketika ini, dapat diperhatikan pelbagai riak atau mimik muka sebahagian pelajar wanita ketika mengunyah sirih. Ada yang masam, ada yang nak termuntah pun ada. Alhamdullillah, hamba tidak mengalami apa-apa alahan seperti itu dan memakan semuanya seperti biasa. Mungkin disebabkan sudah biasa memakan sirih semasa kecil (atas paksaan arwah moyang).

Setelah diberi air kotak dan sebiji pisang, kami diarah berkumpul dalam barisan. Kemudian, kami dengan diketuai oleh Hafiz (Yob) membacakan ikrar. Apabila ia dibacakan, semangat hamba tiba-tiba naik...Selepas itu, kami dikehendaki berkumpul untuk menerima amanat dan penerimaan sebagai anak Gayong. Kami dibahagikan kepada 2 kumpulan, iaitu lelaki dan wanita. Lelaki disahkan sendiri oleh En Azman, manakala Kak Fizah (mewakili En Azman) mengesahkan kami, kaum wanita. Yob dan hamba menjadi wakil bagi kumpulan kami, dan dikehendaki berjabat salam dengan mereka berdua seperti akad nikah (agaknya begini rasanya debaran kaum lelaki semasa nak akad nikah). Bagi kaum wanita, ada bonus pula. Disebabkan kami akan menjalankan istiadat perlimau tapak dan SENI, hamba selaku wakil rakan-rakan hamba (wanita) dikehendaki mengangkat keris yang telah terlebih dahulu direndam di dalam air yang telah didoakan dan diletakkan bertih serta kemenyan. En Azman sempat 'berlawak' supaya hamba mengambil keris itu dan memasukkannya ke dalam sarung dengan tepat dan jitu (dalam keadaan keris itu masih basah), jika tidak (kalau alamat tak baik), ada keris itu akan 'terbang' jadinya. Setelah membaca Bismillah dan berselawat 3 kali, hamba mencapai keris dan memasukkannya ke dalam sarung. Hamba lakukannya dalam masa yang cepat, tanpa rasa ragu dan berhati-hati (kerana hamba sudah biasa membersihkan keris-keris kepunyaan ayahanda di teratak hamba). En Azman sempat mengatakan bahawa pegangan hamba adalah kejap dan jitu serta tepat, serta memuji hamba (bukan untuk tinggi diri, tapi kenyataannya).

Setelah selesai, kami diarah mengemas semula ruang tersebut dan membawa pulang 'barang-barang' tersebut ke rumah. Maknanya, kami akan 'mandi bunga' dan 'mandi limau' di rumah. Hamba segera pulang setelah mengambil air campuran 7 bunga, kemenyan dan keris tadi dari kakak senior. Setibanya di rumah, sebelum Maghrib, hamba sudah menyucikan diri dengan mandian perlimau tapak dan seni mengikut apa yang telah diberitahu oleh En Azman. Itu sahajalah ceritera hamba di sini. Semoga anda semua terhibur dan hamba juga gembira dapat berkongsi pengalaman hamba yang tidak seberapa ini dengan semua. Sekian, wassalam.


Buih Yang Berterbangan