BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Jumaat, Mei 18, 2012

Sekadar Berkongsi Rasa Bangga & Gembira!


     Alhamdulillah....bersyukur hamba ke hadrat Illahi, dengan berkah dan limpah kurnia dari-Nya, hamba masih dapat melihat dan menikmati alam fana ciptaan-Nya ini. Syukur juga diucapkan kerana hamba dikurniakan kesihatan yang baik untuk terus melakar tinta di laman ini, untuk sama-sama berkongsi ceritera sama ada mengenai kehidupan mahupun sebagainya pada sesiapa yang sudi melihat dan membaca mengenainya. 

    Ulahnya di sini, ingin hamba berkongsi sebuah paparan khas dari sebuah akhbar tabloid yang mana telah menyiarkan hasil temuramah antara wartawan dengan salah seorang rakan seperjuangan hamba semasa menuntut di UPSI. Beliau adalah saudara Abdul Rahman Ajit, sepertimana yang pernah disebutkan dalam kisah sebelum ini. Nyata tuah menyebelahi beliau untuk diketengahkan oleh pihak media, supaya dapat memberikan impak yang positif, khususnya kepada golongan lelaki di luar sana mengenai pemilihan kerjaya sebagai seorang guru. Tidak dinafikan bahawa apa yang dinyatakan di dalam penulisan itu, bahawa profession perguruan di kalangan kaum lelaki adalah sangat kurang berbanding kaum wanita. Tetapi, jangan lupa bahawa guru lelaki juga memainkan peranan yang penting dalam membentuk peribadi dan sahsiah seseorang pelajar. Bahkan jika dilihat dari pengalaman hamba sendiri, hamba lebih rapat dengan guru-guru lelaki di sekolah kerana pada hamba mereka lebih 'understanding' dan 'cool', serta cepat menangkap apa yang diperlukan semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Bukan bermakna guru perempuan tidak cekap dan baik, tetapi guru lelaki ini ibarat 'bapa' atau 'saudara lelaki' yang mana mengundang rasa senang mahupun lebih mesra untuk diajak berbincang dan melakukan aktiviti lasak yang mana jarang dilakukan oleh guru wanita, khususnya.

     Tambahan pula, berdasarkan pengalaman berpraktikal di sekolah telah memperlihatkan dengan jelas pada hamba betapa besarnya peranan seorang guru lelaki di sekolah. Bukan sahaja dalam pembelajaran, malah dalam pentadbiran keseluruhannya. Jika tiada guru lelaki, maka keadaan sekolah mungkin lebih kurang terkawal dan mengakibatkan pentadbiran kurang kukuh, terutama dari aspek tunjangnya. Bukan saya menidakkan kemampuan kaum wanita untuk menjadi pemimpin, tetapi tekanan dan keadaan persekolahan yang pada masa kini kian mencabar kadang-kala mencabar wibawa seorang guru dan kadang-kala tidak kurang juga permasalahan juga hadir dari pihak guru sendiri. Ramai lelaki di luar sana beranggapan kerjaya guru ini melecehkan, tetapi sebenarnya tidak. Hamba sangat bersetuju dengan pandangan sahabat seperjuangan hamba ini, yang mana sebenarnya dalam kerjaya inilah kita akan mendapat 'cabaran' yang sebenar-benarnya, tentang bagaimana untuk membentuk jati diri seseorang insan dan mengekalkannya bagi keseimbangan negara. Tidak dinafikan kerjaya guru ini sangat berat dari sudut pendekatan dan pengamalannya, tetapi dengan asas latihan serta pengalaman, insyaallah guru tersebut akan dapat menangani masalah itu; tidak kira ke ceruk mana mereka bertugas. 

     Baiklah, celoteh hamba nampaknya kian bertambah panjang. Oleh itu, hamba tamatkan sementara di sini. Hamba tinggalkan para pembaca sekalian dengan cebisan tabloid yang mana hamba perolehi dari salah seorang rakan seperjuangan hamba yang lain, iaitu saudara Isma Hafizz. Seluruh kredit untuknya yang mana sanggup meng'scan' cebisan tabloid ini untuk tatapan kami di laman web sosial Facebook. Terima kasih banyak-banyak Isma!



*PS - Hamba perasan bahawa tarikh pada rencana ini ditulis adalah pada 23 Mei 2012......sekarang tarikh bila??? (Atau hp dan laptop hamba salah tarikh??)


Ahad, Mei 13, 2012

Edisi Khas Untuk Semua - Selamat Hari Guru!!


     Ya-Ha!! Bertemu lagi kita semua di dalam ruangan yang tidak seberapa ini. Hamba tika ini masih belum mampu untuk melelapkan mata kerana mencari maklumat-maklumat berkaitan bagi diletakkan di dalam laman yang kecil ini. Di kesempatan ini, hamba ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua ibu-ibu di seluruh dunia, bukan sahaja pada hari ini, tetapi pada hari-hari yang selanjutnya juga. Hamba juga tidak mahu ketinggalan juga ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru-guru, terutama semua rakan-rakan guru serta rakan-rakan sekumpulan; yang mana baru sahaja menamatkan pengajian serta sama-sama berkonvokesyen pada 8 Mei yang lalu.

      Kenangan ketika menyambut Hari Guru di sebuah sekolah di Kuantan, masih terakam segar di ingatan. Sungguhpun hamba ketika itu masih bergelar guru praktikal (Semester 7), tetapi hamba juga diraikan selayaknya sebagaimana guru-guru yang berpengalaman yang lain. Hamba mula dikenali setelah sketsa Kelab Drama yang dikawal selia oleh hamba mendapat pujian khas dari pengetua sekolah. Tetapi, perasaan ketika itu sangat meriah dan gembira kerana disambut baik, walaupun hanya sebagai guru praktikal. Selain itu, tidak dilupakan juga jasa-jasa oleh ramai insan bergelar guru di sekeliling hamba yang selama ini telah mencurah ilmu dan bakti kepada hamba, walaupun hamba mempunyai masalah dalam pembelajaran serta membantu hamba berevolusi - iaitu dari seekor ulat bulu yang lemah, kurang cantik dan kurang serba-serbinya berbanding serangga lain, akhirnya telah berjaya keluar dari kepompong sutera sekaligus menjelma menjadi seekor rama-rma yang cantik rupanya. Terima kasih banyak-banyak cikgu-cikgu semua!!! Jasa anda semua sangat membantu hamba dalam mempelajari dan memahami erti kehidupan yang sebenar.

     Di sini, hamba selitkan sebuah video yang  hamba perolehi di Youtube, mengenai seorang guru muzik yang mengajar di kelasnya; kesemuanya pelajar lelaki. Walaupun berunsur lawak, tetapi mempunyai makna yang tersendiri dan tersirat. Sama-samalah hayati video ini dan semoga terhibur!



Khamis, Mei 10, 2012

Menghitung Detik Menuju Majlis Konvokesyen UPSI Ke-14! - Bab Akhir



Hamba ketika bersiap sedia untuk ke Dewan Besar

      Tepat pada jam 5.30 pagi pada 8 Mei 2012, hamba telah bangkit dari tidur dan membersihkan diri. Setelah menyelesaikan perkara-perkara yang wajib, hamba bersegera mengejutkan ahli-ahli keluarga yang lain untuk bersiap sedia ke Dewan Besar. Pada pagi itu juga, hamba bersiap sedia seadanya dengan mengenakan jubah konvokesyen, selendang berwarna fakulti iaitu warna maroon serta topi. Megah rasanya memakai pakaian itu, yang mana meraikan hamba pada hari itu sebagai seorang graduan. Bonda juga tidak kurang ayunya memakai baju kurung dan disertai dengan baju sejuk. Ini ditambah lagi dengan cermin mata hamba yang dipinjamkan bagi membolehkan bonda melihat dengan jelas di skrin kelak. Tepat jam 6.56 pagi, hamba bergegas ke kampus baru UPSI di Proton City. Ayahanda sempat singgah sebentar di gerai berhampiran jalan untuk membeli sedikit kuih-muih untuk hamba, bagi dijadikan alas perut. Hamba tiba di Panggung Percubaan tepat pada jam 7.20 pagi dan memasuki Panggung Percubaan setelah dipanggil oleh petugas yang berada di kawasan berkenaan. 


Nama hamba sepertimana yang tercatat di dalam buku cenderamata. Nama hamba terletak pada baris ke-6 dari atas

     Keadaan di dalam Panggung Percubaan adalah hampir menyerupai Dewan Besar dan pihak pengurusan telah meletakkan nombor pada tempat duduk bagi memudahkan graduan. Tempat duduk hamba adalah 139 dan terletak pada baris kelima di dalam panggung tersebut. Setelah semua graduan memenuhi ruang duduk, kami semua diarahkan untuk mengisi kad gambar (yang telah diberikan ketika mengambil jubah) serta memastikan kertas bar kod berada dalam keadaan sempurna (tidak renyuk, rosak dan sebagainya). Kemudian, kami juga diberikan sedikit taklimat oleh petugas yang diamanahkan. Selain daripada itu juga, kami juga menerima berita bahawa dua orang sahabat hamba yang pernah hamba sebutkan di dalam penulisan sebelum ini, iaitu pasangan kembar Abdul Rahman Ajit dan Abdul Rahim Ajit telah dijadualkan untuk menjalani temuramah eksklusif dengan para wartawan mengenai majlis konvokesyen tersebut, usai aturcara majlis nanti. Tambahan pula, mereka berdua adalah pasangan kembar terbaik di fakulti FSKIK dan juga bahagian kami, iaitu Pendidikan Seni (AT23). Tahniah diucapkan kepada kedua-duanya! Pada jam 8.15 pagi, kami semua (graduan) telah diarahkan keluar dari Panggung Percubaan menuju ke Dewan Besar dengan berarak mengikut barisan masing-masing.


Hamba dan keluarga di luar Dewan Besar. Dari kiri : Wawa (Teh), hamba, Ayahanda, Qayyum dan bonda


Karangan bunga yang diberikan - cantik dan berharga sebab dari ayahanda dan bonda, semestinya! Walaupun bunga ni bukan kegemaran hamba.

      Ketika dalam perjalanan menuju ke tempat duduk, kami semua diiringi dengan lagu dari orkestra UPSI. Suasana pada ketika itu sangat berlainan dan mendebarkan jiwa. Perasaan bangga dan puas hati terselah di jiwa mendapat sambutan ala-ala bintang menuju karpet merah di tengah-tengah dewan tersebut. Dewan ternyata penuh dengan ibu bapa pelajar serta ahli keluarga yang lain, dengan tujuan melihat dengan mata sendiri anak-anak mereka yang berjalan megah berpakaian konvokesyen menerima ijazah yang dijanjikan. Tatkala memasuki barisan tempat duduk hamba di hadapan, tercetus suatu perasaan yang tidak dapat ditolak - sayu. Hamba sedar bahawa di dalam dewan itu terdapat juga ayahanda, bonda dan adinda-adinda hamba yang telah memasuki dewan tersebut. Tapi, tidak dinafikan kala itu hati terasa sangat sayu apabila mengenangkan kedua-dua arwah nenda (ayahanda dan bonda sebelah bonda hamba) yang telah lama pergi menemui Illahi, dan ternyata tidak sempat untuk menyaksikan peristiwa bersejarah ini. Siapa yang tidak sayu apabila mengenangkan kedua-dua 'penyokong kuat' hamba sepanjang berjuang di medan ilmu ini tiada untuk melihat dengan mata sendiri, cucunda sulung mereka ini menerima segulung ijazah - sekaligus orang pertama memecahkan rekod keluarga bonda menerima ijazah serta pendidikan tertinggi. Hamba lihat ke belakang tempat duduk dan 'terlihat' seolah-olah kedua-dua arwah ada di belakang; melambai-lambaikan tangan dengan senyuman terukir di muka - memberi ucapan tahniah dan syabas pada hamba. Air mata yang bertakung di tubir mata, akhirnya tumpah jua tanpa disedari. Hamba tidak peduli keadaan hamba ketika itu, hanya melayan perasaan yang bercampur baur ketika itu.



Menghitung Detik Menuju Majlis Konvokesyen UPSI Ke-14! - Bab 2


     Bertemu kita di dalam lampiran seterusnya. Arakian, maaf andainya tidak mengutus sebarang khabar berita di laman ini tepat pada masanya. Al-maklum, hamba kesuntukan masa serta kewangan untuk menduduki di satu-satu kawasan semasa berada di Tanjung Malim sepanjang menuju majlis konvokesyen ini. Hamba telah bertolak ke Tanjung Malim pada 2 Mei 2012 yang lalu, iaitu sehari awal daripada tarikh raptai konvokesyen. Setelah tiba di sana, hamba telah mengambil keputusan untuk menginap sementara di Bilik 24 jam, yang terletak di Perpustakaan Tengku Bainun UPSI. Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi, hamba memperoleh waktu beradu yang lena, walaupun persekitarannya agak kurang selesa dan menyenangkan. Hamba tidak begitu bimbang mengenai keselamatan, kerana kawasan itu menjadi tumpuan pak guard berehat atau lepak serta menjadi tempat pelajar menelaah tanpa mengira masa (24 jam). Hamba tidak banyak karenah, kerana telah biasa dengan keadaan sedemikian. 

    Namun, pada malam kedua hamba di bilik ini, hamba telah ditawarkan penginapan oleh junior hamba, Tee atau hamba mudah ingati, Yang. Yang membawa hamba ke terataknya untuk berteduh sehingga pada hari Isnin (7 Mei). Di rumahnya juga, terdapat junior lain yang menetap dan kesemuanya ramah serta baik hati. Terima kasih diucapkan pada Yang dan rakan-rakan serumahnya. Pada 7 Mei, keluarga hamba telah menetap di sebuah rumah yang telah hamba sewa dengan bantuan daripada sahabat baik hamba iaitu, Mohd Idrul Fitri. Kasihan dengan Fitri kerana berulang-alik ke sana ke mari untuk memastikan bahawa hamba dan keluarga memperoleh kemudahan penginapan yang baik dan selesa semasa di Tanjung Malim. Sungguhpun sewa yang dikenakan adalah RM260 untuk semalam, tetapi memang selesa dan berbaloi dengan keluarga hamba yang besar. Terima kasih banyak-banyak juga untuk Fitri! Pada malam itu juga, hamba membawa keluarga bersantai seketika di Padang Besar Kampus Lama UPSI serta membelanja mereka memakan Mee Perut yang menjadi salah satu makanan kegemaran dan ruji hamba sepanjang hamba menuntut di UPSI. Walaupun banyak belanja yang digunakan, tetapi hamba tidak kisah; kerana memang sepatutnya hamba yang 'mengeluarkan' wang untuk majlis-majlis sebegini. Bonda dan adinda ke-4, Wawa (Teh) mengambil peluang untuk 'bershopping' sementara hamba, ayahanda dan adinda ke-2, Husain (Ude) duduk di pesisir pejalan kaki sambil asyik menonton persembahan 'band' pada malam itu.

     Ayahanda ternyata teruja dengan persembahan tersebut, yang menetengahkan lagu-lagu rock zaman 80-an dan 90-an; yang mana menjadi kegemaran ayahanda juga sebahagian besar pengunjung di kawasan berkenaan. Kami semua pulang ke rumah sewa agak larut, iaitu pada jam 11 malam. Hamba pula terus menggosok 'pakaian rasmi' konvokesyen dan lain-lain pakaian (terutama pakaian Ude dan ayahanda) untuk dipakai pada pagi esoknya. Di dalam hati, timbul perasaan gemuruh kerana ini adalah pertama kali hamba akan mengambil ijazah buat seumur hidup. Kemudian, hamba melelapkan mata untuk mendapatkan tenaga yang cukup untuk aktiviti pada keesokan harinya serta bangun awal pada jam 5 pagi keesokkan harinya.

Khamis, Mei 03, 2012

Menghitung Detik Menuju Majlis Konvokesyen UPSI Ke-14! - Bab 1


   Assalamualaikum diucapkan kepada rakan-rakan Bloggers yang dikasihi sekalian. Syukur juga dipanjatkan ke hadrat Illahi dengan sepenuh-penuh keikhlasan, kerana dengan berkat dan limpah kurnia dari-Nya, dapatlah hamba yang kerdil ini meneruskan kehidupan di bumi-Nya yang maya ini serta tidak lama lagi akan menerima segulung ijazah yang dinanti-nantikan 4 tahun selama ini. Ternyata hamba amat bersyukur ke hadrat Illahi kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan umur yang panjang untuk dapat meneruskan kehidupan dan insyaallah dapat meneruskan legasi ayahanda dan bonda dalam kehidupan.

     Di sini juga ingin hamba memohon maaf andainya lama sudah tidak mengepos apa-apa maklumat atau ceritera di dalam laman ini. Setiap kali membuka blog, hamba seringkali ketiadaan idea untuk menulis apatah lagi hamba agak sibuk menyiapkan tugasan kajian kerja yang memerlukan hamba menumpukan 100% terhadapnya. Kini, alhamdulillah semuanya sudahpun dibereskan dan hamya menunggu pembayaran upah yang dijanjikan sahaja. Pada hari ini, arakiannya adalah hari di mana hamba menjalani raptai untuk konvokesyen yang akan berlangsung pada 7 sehingga 9 Mei ini di Dewan Besar Sultan Azlan Shah, yang terletak di Kampus baru UPSI di Proton City. Tarikh bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) dengan Kepujian akan diberikan pada hari Selasa, 8 Mei 2012 ini. Syukur juga dipanjatkan Illahi, kerana kami semua dikurniakan dengan Sesi ke-2, iaitu sesi pagi. Mujur pengalaman sebelum ini menemani ayahanda saudara semasa beliau mengambil ijazah di PWTC dahulu, menjadikan hamba dapat memahami sedikit sebanyak perjalanan majlis dengan baik dan lancar.


Poster Istiadat Konvokesyen Ke-14 (Sangat cantik dan menggunakan warna kesukaan saya)

       Hari ini juga menyaksikan 'kehebatan' bangunan dewan baru UPSI yang pada hamba cukup besar dan boleh dikatakan menandingi keluasan dewan yang terdapat di PWTC. Suasananya semua serba baru, seolah-olah berada di sebuah hotel mewah yang bertarap tinggi. Batch ambilan hamba (Julai 2008/2009) juga merupakan kumpulan pertama yang 'merasmikan' bangunan baru ini! Disebabkan perubahan tempat penyampaian, maka pihak universiti bertungkus-lumus menjalankan yang terbaik bagi melancarkan proses serta membolehkan majlis berjalan dengan lancar. Di sana, kami semua telah diberikan taklimat raptai berkaitan konvokesyen serta sebahagian daripada kami telah menjalani raptai penyampaian di atas pentas. Memang perasaan semasa berada di atas pentas tersebut, sangat-sangat berbeza berbanding di tempat duduk. Perasaan takut dan gementar itu, mengatasi perasaan keterujaan untuk mengambil ijazah. Di sebalik kejayaan hamba melakukan rehearsal tersebut, terbit juga kebimbangan di hati andai tersilap langkah tatkala majlis sebenar kelak. Malu jadinya nanti! Hari ini juga, bahagian belakang pentas, khususnya bilik jubah dipenuhi dengan kerumunan bakal graduan yang mahu mengambil peralatan majlis. Panas dan rimas tidak terkata, ditambah dengan bilangan yang ramai membuatkan hamba pening.



Khamis, Mac 08, 2012

La Memoria De Diaries - Result STPM

     Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada semua rakan-rakan blogger yang dihormati. Kini hamba tiba lagi dengan al-kisah yang ingin didendangkan dan dikongsi bersama semua. Pada hari semalam, iaitu 7 Mac merupakan hari yang paling dinanti-nantikan oleh calon-calon STPM tahun 2011 bagi mengambil keputusan STPM mereka. Tahniah dan syabas hamba ucapkan kepada adik-adik yang berjaya mendapat keputusan yang baik; manakala pada yang kurang bernasib baik, jangan putus asa hendaknya; berusahalah lagi sehingga tangga kejayaan itu menyuluh ke hadapan anda. Kisah dan pengalaman seperti ini juga telah hamba lalui dan rasai sendiri. Pada hemat hamba sudah 4 tahun kisah ini berlalu.

    Hamba juga pernah mengambil STPM iaitu pada tahun 2008 yang lalu. Setelah selesai mengambil peperiksaan STPM di Dewan Besar Ibnu Sina SMK Clifford, hamba pulang semula ke teratak hamba dan bekerja sampingan bagi mengisi masa yang ada. Kemudian, setelah beberapa bulan berlalu, akhirnya dikeluarkan oleh pihak media bahawa keputusan peperiksaan STPM tahun 2007 akan diumumkan pada 2 hari kemudiannya. Setelah mendapat keizinan daripada majikan hamba untuk bercuti selama 4 hari, hamba pun bertolak ke Kuala Lipis dengan menaiki kereta api. Ayahanda menghantar hamba ke stesen kereta api yang terletak di bandar Triang pada awal-awal pagi lagi. Di stesen, hamba sudah mula terasa 'kecut hati' dan mula berfikir yang bukan-bukan, al-maklum keputusan inilah yang bakal menentukan nasib dan perjuangan hamba dalam membuktikan sesuatu kepada ayahanda.

       Pada jam 1 petang, akhirnya hamba tiba di bandar Lipis dan apabila tiba di sekolah hamba disambut oleh guru-guru yang berada di sekolah. Hasrat di hati hamba, ingin menetap barang seketika di Hotel Jelai. Keadaan ini disebabkan hamba ketiadaan kediaman untuk didiami hanya dalam masa yang singkat. Mujur juga hamba sudah biasa dengan kawasan persekitaran hotel tersebut. Namun, hasrat itu terpendam begitu sahaja apabila guru Pendidikan Seni Visual hamba, iaitu Pn. Hamidah mengajak hamba untuk bermalam di rumahnya. mahu tak mahu, hamba terpaksa menerimanya kerana sudah beria-ia benar beliau mengajak. Mujur bagi hamba, hamba sudah mengenali anak-anaknya dan agak mesra dengan mereka. Pada malamnya, usai urusan yang patut diselesaikan, Pn.Hamidah dan suaminya membawa hamba dan anak-anaknya makan di luar. Selepas itu, hamba beradu bersama dengan anak beliau yang sulung di kamar yang telah disediakan oleh mereka.

       Keesokkan harinya, hamba ke sekolah bersama-sama Pn. Hamidah dengan menaiki kereta beliau. Setibanya di sana, hamba bertemu kembali dengan rakan-rakan yang telah lama tidak ditemui dan bertanya khabar. Kemudian, kami diarahkan untuk ke Dewan Makan Asrama bagi menyempurnakan upacara penyampaian keputusan tersebut. Ketika itu, jantung hamba sudah mula berdegup kencang. Dub, dab, dub, dab!! Andai di sebelah hamba diletakkan sebuah enjin motobot, sudah pasti pacuan jantung hamba sudah lebih laju dan dahsyat lagi! Pening sudah mula dirasai, darah gemuruh mula menyerbu pembuluh-pembuluh darah di kepala!! Lalu tindakan refleks terjadi, menyebabkan seluruh anggota badan hamba menggigil seperti terkena demam kepialu lagaknya. debaran makin bertambah apabila satu demi satu nama dipanggil, mengikut angka giliran.

         Akhirnya, nama hamba dipanggil oleh pengerusi majlis. Saat itu, tidak terkata dan kelu jadinya. Masa dirasakan bergerak amat perlahan sekali, dunia pula seolah-olah beku hanya hamba yang berada di situ. Argh!! Seksa rasanya. Dialog pada minda mula bertubi-tubi mengasak otak yang bejat akibat gegeran yang dahsyat melanda jiwa. "Luluskah aku?", "PSV aku dpt A tak?", "Pengajian Am pula?", bertubi-tubi otak ini diketuk dan digoncang dengan perasaan resah yang melanda. Lalu, hamba ke hadapan dengan perasaan yang bercampur baur; ditambah lagi apabila melihat ekspresi rakan-rakan yang telah mengambil slip tersebut sebelum hamba. Hamba deras menarik nafas panjang dan menghulur tangan menggapai 'ijazah' tersebut. Hamba terpaku di situ, dan melalui ekor mata guru-guru yang berada di situ bagai menyuruh aku membuka slip tersebut. Dengan lafaz Bismillah, hamba membukanya dan...

         "Ark?!! Aku...aku ...Yessss!!!! Yehaaa!!!!" Jeritan yang pertama kedengaran dan paling kuat tersebar di seluruh pelusuk dewan tersebut. Ketika itu, hamba sudah tiada rasa malu, takut dan sebagainya. Apa yang difikirkan adalah "Aku Berjaya Juga Akhirnya!!" Malah, hamba melompat setinggi-tinggi yang boleh tanpa rasa malu dan terkandung kegembiraan yang teramat sangat!! (Sedangkan ketika itu, hamba memakai baju kurung) Tanpa segan-segan juga hamba memeluk guru-guru hamba terutama Pn.Hamidah sambil mulut hamba tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih pada mereka semua. Hamba bernasib baik tidak dikenakan hukuman oleh 'Bonda Pengetua', al-maklum beliau tersangatlah tegas dengan akhlak dan pergaulan kami sepanjang di SMK Clifford tersebut.

          "Aisah, bertenang. Bertenang...bagaimana keputusan kamu?" Pn.Hamidah bertanya.
       "Cikgu!! Saya...PSV saya dapat A, cikgu!! Saya tak sangka cikgu!! Kertas 1 saya sangat lemah! Terima kasih banyak-banyak cikgu!!"

          Air mata yang ditahan akhirnya menitis jua. Kegembiraan yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Akhirnya, dapat juga hamba membuktikan sesuatu pada ayahanda, bahawa hamba juga boleh berjaya dengan mengambil mata pelajaran yang hamba sukai. Sungguhpun tidak secemerlang rakan-rakan yang mendapat 2A atau 3A, hamba masih mampu berbangga dengan keputusan yang mana hamba telah berusaha selagi daya untuk memperolehinya.  Benar kata pujangga, "Usaha Tangga Kejayaan" dan "Sepahit-pahit kesusahan, kelak akan berbalas dengan semanis-manis kemenangan". Pada hari itu jugalah, mencatat sejarah buat diri hamba dan keluarga, yang mana masih digalas berat sehingga kini; hamba adalah orang pertama yang menjejakkan kaki ke universiti; sekali gus menjadi kebanggaan keluarga. Sungguhpun begitu, hamba masih sentiasa beranggapan hamba adalah makhluk Tuhan yang biasa dan tidak akan lari dari kesilapan, akhirnya kini hamba telah menamatkan pengajian dan tidak lama lagi akan menjalani majlis konvokesyen. Syukur dipanjatkan kepada Illahi.

          Oleh itu, ingin hamba memberi nasihat kepada sesiapa yang ingin berjaya, sentiasa berusaha selagi masih berdaya; jangan sesekali mencari alasan untuk berjaya. Sentiasa mencari seseorang yang mesti dijadikan 'penanda aras' untuk dijadikan saingan dalam pembelajaran anda. Sentiasa desak diri anda untuk melakukan yang melebihi had anda, tetapi tidak menjejaskan kesihatan anda. Sentiasa ingat bahawa restu keluarga dan Tuhan sentiasa di sisi anda, insyaallah anda akan berjaya. Semasa Tingkatan 6, hamba sentiasa meletakkan sahabat hamba iaitu Nurul Hayati, Jamiah Ismail dan Mohamad Naim sebagai 'penanda aras' hamba. Manakala di universiti, banyak 'penanda aras' yang hamba letakkan antaranya masih Jamiah Ismail, Tan Jian Siong, Vivien, Jessie, adik beradik kembar; Abdul Rahman dan Abdul Rahim, Ahmad Jamil, Isma Hafiz, Shahrin Azwan, Mastura Ismail, Nurul Atiqah dan Faizal Alexander, Mohd Idrul Fitri serta rakan-rakan yang lain. Baiklah, sekian sahaja penulisan hamba. Diharapkan agar sentiasa berusaha dalam memajukan diri sendiri demi diri, keluarga dan negara.

          

Ahad, Mac 04, 2012

Berita Yang Mengujakan Dan Menggembirakan!!

     Assalamualaikum dan salam sejahtera hamba ucapkan kepada semua rakan-rakan blogger. Di sini ingin hamba panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana atas berkah dan limpah kurnianya, dapatlah hamba masih bernafas di muka bumi ini bagi meneruskan legasi perjuangan guru-guru dan juga generasi terdahulu di tanah kelahiran hamba yang tercinta ini. Di sini, ingin hamba khabarkan dan kongsi bersama-sama semua mengenai dua berita yang hamba rasakan amat mengujakan diri hamba dan seharusnya dikongsi bersama rakan-rakan semua. 

     Pada 16 Februari yang lalu, hamba dan rakan-rakan telah mendapat perkhabaran daripada salah seorang sahabat hamba yang mengatakan bahawa penulisan berkaitan pameran "On-View" akhirnya telah disiarkan di akhbar. Terima kasih buat akhbar Berita Harian khususnya, kerana sudi membuat liputan akhbar berkaitan pameran yang dianjurkan serta pada rakan-rakan yang telah menghadirkan diri pada sidang penggambaran dan temuramah tersebut. Gambar liputan itu telah hamba upload dari Tan Jian Siong (kredit untuknya) sebagai tatapan kenangan dan penghargaan kerana pelajar Pendidikan Seni UPSI juga mampu hadir dengan rangkaian idea yang bermutu tinggi serta memberi pendekatan baru dalam Pendidikan Seni Visual.


Pelajar-pelajar di dalam gambar (dari kiri) : Patrick Juanis, Tan Jian Siong, Abdul Rahim Ajit, Wilson dan Abdul Rahman Ajit.

      Kemudian, pada hari Jumaat yang lalu; hamba dan rakan-rakan hamba telah menerima mesej pesanan ringkas (SMS) daripada pihak UPSI yang memaklumkan bahawa Surat Tamat Pengajian telah pun dikeluarkan. Keadaan ini seiiring dengan keputusan hasil mesyuarat senat yang telah dijalankan, dan alhamdulillah; hamba layak untuk dianugerahkan dengan Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Kelas Kedua Atas. Syukur hamba panjatkan kepada Illahi, walaupun tidaklah secemerlang Kelas Pertama, tetapi hamba mampu membuktikan kepada semua orang bahawa hamba juga mampu untuk berjaya dan menggenggam kejayaan dalam hidup.


Nota : Maaf kualiti gambar ini kurang memuaskan

Pesanan : Pada yang masih belum berjaya atau sedang berusaha untuk berjaya, jangan mudah putus asa dan teruskan perjuangan anda. Sesungguhnya hamba mengerti akan kepayahan dan kesengsaraan bagi mendapatkan kejayaan yang diingini. Telah banyak halangan dan rintangan yang hamba tempuhi sepanjang perjalanan bagi menggenggam kejayaan ini, dan hamba tidak akan sekali-kali melepaskannya kerana itulah usaha hamba yang sangat-sangat berbaloi untuk diraiikan serta dengan berkat dan rahmat dari-Nya. Jangan takut untuk jatuh, kerana dari jatuh itulah kamu akan dapat kekuatan bagi membina kembali keyakinan serta dengan positif mengorak langkah yang baru serta jitu.

Buih Yang Berterbangan