Assalamualaikum w.r.t kepada semua rakan-rakan bloggers yang masih utuh berjaga, mungkin kerana masih belum mampu untuk melelapkan mata, atau masih bertungkus-lumus dengan lambakan tugasan (assignment dan tesis) atau bertukar-tukar kegembiraan dalam laman sosial masing-masing. Selamat pagi diucapkan. Maaf andai lama benar rasanya hamba tidak menulis apa-apa di sini. Hamba juga kini sibuk untuk menamatkan tugasan akhir semester bagi akhir tahun pengajian hamba di bumi bertuah Perak ini.
Syukur dipanjatkan kepada Illahi, iaitu dengan berkah dan limpah kurnia daripada-Nya; maka sekali lagi skuad Harimau Muda kita berjaya dalam misi mempertahankan kilauan 'ibu emas' di bumi Indonesia. Tidak dapat digambarkan betapa gembiranya rasa di hati ini apabila Ketua Pasukan, Badarol berjaya menjaringkan gol terakhir - gol kemenangan bagi negara Malaysia setelah terikat 1-1 dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA. Agak menyedihkan, hamba hanya sekadar mendengar jerit pekik dan sorak sorai rakan-rakan di gerai-gerai dan halaman rehat kolej-kolej universiti, kerana masalah line internet yang lemah; ditambah lagi dengan masalah pada komputer riba yang bertandang secara tiba-tiba. Tapi, hamba masih mampu tersenyum apabila mendengar sorakan "Kejar, jangan tak kejar Yob!", "Sikit lagi, sikit lagi" dan "Golllllll!!!!!!" Gamat jadinya persekitaran taman perumahan hamba di hulu Bernam ini sementelah melihat aksi pemain-pemain negara kita beraksi, seolah-olah mereka turut bermain bersama-sama mereka. Malah, tidak ketinggalan juga kaum-kaum Hawa yang mana hamba lihat sarat memenuhi ruang legar kolej, bilik istirehat dan gerai makan. Gema sorakan mereka boleh dikatakan 'tak kalah' dengan sorakan dari para pelajar lelaki!
Aksi penjaga gol Malaysia, Khairul Fahmi ketika berhadapan sepakan penalti