BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Halaman Yang Tercipta OlehKu

Sahabat-Sahabat Hamba Yang Dikasihi....

Papan Pernyataan / Pengumuman

1. Pengumuman!! Kini blog ini sedang menjalani penambahbaikkan sistem dan kemaskini data serta menaiktaraf terutama di bahagian Menu (yang mana akan ditambah dengan Sub Menu). Oleh itu, diharap anda semua dapat menyokong hamba dan bersabar sekiranya berlaku ralat semasa mengunjungi laman ini.

2. Dengan sukacitanya, hamba akan meng'upload' segala fail berkaitan dan diletakkan di blog ini menerusi beberapa laman web simpanan fail iaitu Ziddu, Hotfile atau 4Shared.(P/s: Disebabkan Ziddu kini tidak lagi berada dibawah Linkbucks, maka pautan di bawah failnya akan mempunyai sedikit masalah. Jika berlaku, gunakan link alamat di atas bermula dengan http:// atau tekan link bertulis "Pergi Terus Ke Laman Anda"

3. Apabila anda menekan sebarang link (pautan) atau 'button' di dalam blog ini, anda akan dibawa ke sublink Linkbucks. Anda hanya perlu tekan "Skip This Ad" (atau nombor 'counting' dari 5 ke 0) pada sebelah atas kanan dan ia akan membawa anda terus ke laman yang dikehendaki.

4. Pelayan Linkwithin telah dikeluarkan atas sebab tertentu;jadi gunakan Menu yang tersedia di atas, atau klik di bahagian "Label Buku Terjemahan, Video@Audio", "Catatan Hamba Yang Ter'Hot'" dan "Senarai Catatan Hamba".

5. Jika anda melawat laman ini, dipersilakan menulis sebarang komen, cadangan atau pertanyaan menerusi "Ulasan" atau "ChatBox". Anda juga digalakkan untuk "Like" FB yang tersedia juga menjadi ahli bagi blog ini.

6. Terdapat gangguan pada fail 4Shared (masalah copyright), jadi lagu-lagu itu tidak akan dapat didownload dalam masa ini. Harap rakan-rakan semua bersabar dan Insyaallah, hamba akan download dan update link bagi setiap lagu itu kembali; kerana kini hamba bekerja.

Sekian, terima kasih.

Sila "Like" Jika Suka Sangat!

Nak Tukar Font? Silakan....

Translator Bahasa Hamba!

Sabtu, April 24, 2010

Naruto (Bahagian 1)


Penulis & Pelukis : Masashi Kishimoto (1999, Shonen Jump)

Genre : Aksi, Pengembaraan dan Fantasi

Sinopsis cerita :
Menceritakan mengenai seorang kanak-kanak bernama Uzumaki Naruto, seorang anak yatim piatu yang berkeinginan menjadi seorang 'Bayang Pawaka' atau 'Hokage' di kampungnya, iaitu Konoha (Konohagakure). Keadaan itu disebabkan dia telah disisihkan sejak kecil dan mahu orang ramai menyedari kehadirannya. Naruto telah menjalani pelbagai kesukaran dalm hidupnya, terutama dalam menjalani kehidupan sebagai seorang ninja. Namun, Naruto semakin berkembang dan mengenali ramai rakan-rakan baru dari dalam dan luar kampungnya dan menjalani kehidupan bersama dengan aman dan gembira. Bersama ahli Kumpulan 7, di bawah pimpinan Hatake Kakashi serta bersama ahli sekumpulan, iaitu Uchiha Sasuke dan Haruno Sakura, Naruto telah berkembang dan menjadi matang. Namun suasana itu tidak kekal, dengan pelbagai kesulitan dan akhirnya membawa kepada peristiwa Sasuke mengikut Orochimaru (antagonis). Bagi membawa pulang Sasuke ke kampung, Naruto dan Sakura telah berlatih di bawah Jiraiya dan Tsunade (Hokage ke-5 aka Godaime Hokage). Maka, bermulalah bermulalah pengembaran mereka seterusnya.

Watak-Watak Di Dalam Manga :

1. Uzumaki Naruto - Seorang ninja kanak-kanak berpangkat Genin (Bahagian 1: 12 tahun, Shippuden (2) : 15 tahun) yang aktif, ceria dan agak cerewet (atau banyak cakap). Merupakan seorang anak yatim piatu dan merupakan hos (Jinchurikiri) bagi Makhluk Berekor Sembilan / Kyuubi no Yoko, menyebabkan dia disisihkan oleh orang kampungnya. Bercita-cita untuk menjadi Hokage di kampungnya dan kehadirannya diiktiraf oleh orang-orang di Konoha. Berminat dengan Haruno Sakura, tetapi tidak dilayan; namun masih berkawan rapat. Menganggap Uchiha Sasuke sebagai rakan dan juga 'abang'nya. Identiti sebenarnya adalah anak kepada Yondaime Hokage (Hokage Ke-4), Namikaze Minato dan Uzumaki Kushina. Kelihatan agak kebodoh-bodohan dan tidak serius, namun sebenarnya sangat pintar dan serius terutama dalam melaksanakan tugasan ninja. Mottonya adalah 'Tidak Mudah Mengaku Kalah', 'Aku Akan Menjadi Seorang Hokage Suatu Hari Nanti!' dan 'Itulah Jalan Ninja Saya'. Ayat kegemaran adalah 'Dattebayo!'. Berkebolehan mengawal chakra berunsur 'Angin' dan berguru dengan Umino Iruka (Sekolah Ninja), Hatake Kakashi (Peringkat Genin) dan salah seorang Lagenda Sennin, iaitu Jiraiya.

2. Uchiha Sasuke - Seorang ninja kanak-kanak (seusia dengan Naruto) berpangkat Genin (kemudian menjadi Missing-Nin) yang genius dan agak dingin. Merupakan satu-satunya puak Uchiha yang masih hidup, dan menyimpan dendam terhadap abangnya, Uchiha Itachi dan ingin membunuhnya. Dikurniakan dengan raut wajah yang tampan, menyebabkan dia menjadi rebutan gadis di kampung, tetapi tidak dilayan. Seorang yang bangga diri, ego dan gemar mengkritik orang lain, tetapi sebenarnya seorang yang mementingkan nilai persahabatan. Mewarisi darah keturunan puaknya dan memiliki 'Mata Sharingan', yang menjadikannya seorang yang mampu untuk meramal dan meniru jutsu ninja-ninja yang lain. Mengikut Orochimaru untuk mendapatkan kuasa yang lebih bagi membunuh abangnya. Berkebolehan mengawal unsur Api dan Guruh.

3. Haruno Sakura - Seorang ninja kanak-kanak (seusia dengan Naruto dan Sasuke) berpangkat Genin (Bahagian 2 : Chunin) yang berkebolehan mengawal chakra dengan baik berbanding dua orang ahli kumpulan 7. Berminat dengan Uchiha Sasuke, tetapi tidak dilayan. Seorang yang agak kasar, mudah marah, garang dan ceria. Mempunyai 'kekuatan luar biasa' dan amat ditakuti oleh Naruto dan Konohamaru (cucu kepada Hokage ke-3). Merupakan pakar perubatan yang mempunyai kebolehan pengubatan yang mengagumkan, disebabkan dia adalah anak murid kepada pakar perubatan terkenal di dunia ninja, iaitu salah seorang Lagenda Sennin, Tsunade (Hokage ke-5). 

4. Hatake Kakashi - Seorang ninja berpangkat Jounin dan merupakan ketua bagi Pasukan 7. Merupakan anak murid kepada Namikaze Minato (Hokage ke-4) dan digelar sebagai 'Ninja Peniruan 1000 Jutsu'. Mata kirinya ditutup, kerana terdapat 'Mata Sharingan' yang telah dihadiahkan oleh rakannya, Uchiha Obito. Sangat mahir dalam menggunakan pelbagai jutsu, serta sangat pantas dalam membuat gerakan tangan sebelum melancarkan jutsu (hand-seal) dan boleh menyeru pasukan anjing miliknya. Berkebolehan mengawal unsur Guruh dan Air. Wajahnya tidak pernah dilihat oleh para pembaca, kecuali oleh orang-orang tertentu (hanya bernasib baik) iaitu pembuat ramen dan anaknya di Ichiraku Ramen serta anjing penyerunya.

Nota : Terdapat banyak lagi watak-watak yang tidak diceritakan...bacalah untuk mengetahui, tetapi sebahagian besar dari kamu mesti telah mengenalinya.

Penilaian : Manga ini menyedarkan hamba mengenai pentingnya kasih sayang dan ikatan persahabatan. Ini dibuktikan oleh Naruto yang bersungguh-sungguh mahu membawa pulang Sasuke ke kampung. Dalam pada itu, kesetiaan serta semangat berpasukan ditonjolkan dengan baik disamping penggunaan jutsu-jutsu yang menarik dan pelbagai aksi pertarungan yang mencabar.

Rabu, April 21, 2010

Sailor Moon aka Gadis Berbaju Kelasi Bulan

Penulis & Pelukis : Naoko Takeuchi

Genre : Penjelajahan, Fantasi, Kehidupan Pelajar dan Percintaan

Sinopsis Cerita :
Mengisahkan mengenai seorang gadis bernama Tsukino Usagi, pelajar sekolah menengah yang gemar berangan-angan, cuai dan sering bangun lewat pagi ke sekolah. Namun, pertemuannya dengan seekor kucing bernama Luna telah mengubah perjalanan hidupnya yang selama ini hanyalah berkisarkan makanan ringan dan coklat. Usagi (bermakna arnab) sebenarnya adalah reinkarnasi (penjelmaan semula) Puteri Serenity, Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Bulan yang telah musnah beberapa abad dahulu. Bermula dari peristiwa tersebut, Usagi telah membantu menjaga keamanan di Bumi dengan menjelma sebagai 'Gadis Berpakaian Kelasi' bergelar Sailor Moon. Usagi harus mencari rakan-rakannya bagi membantunya menjaga keamanan Bumi, di samping mencari dan  menyambung kembali kisah percintaannya dengan Putera Endymion, Putera Mahkota dari Kerajaan Bumi yang turut telah dilahirkan semula. Usagi juga harus mempertahankan sejenis batu permata berkuasa milik keturunan yang menjadi rebutan musuh, iaitu "Kristal Perak Khayalan" dari jatuh ke tangan musuh yang ingin menguasai alam semesta. Bumi dikatakan akan mengalami "Perang Zaman Ais Ke-2", namun diselamatkan oleh kuasa kristal ini sekaligus membangunkan semula ketamadunan manusia (abad ke-30) yang diberi nama Kerajaan Kristal Tokyo dengan diperintah oleh Raja Endymion dan Ratu Neo-Serenity.

Watak-Watak Di Dalam Manga :

1. Tsukino Usagi - Gadis yang sangat suka berangan-angan, kuat makan, sering lewat bangun untuk ke sekolah dan tidur di dalam kelas. Tetapi, memiliki hati yang baik, agak naif dan semangat yang kuat. Impiannya adalah untuk menjadi seorang 'pengantin perempuan' yang jelita suatu hari nanti. Seorang yang mudah menangis dan akan meraung sekiranya ingin mendapatkan apa yang diingini. Menjelma sebagai gadis berbaju kelasi dengan panggilan "Sailor Moon" melalui pertemuannya dengan Luna secara tidak sengaja. Merupakan penjelmaan semula Puteri Serenity, Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Bulan. Merupakan penyelamat dunia pada abad ke-30, dan kemudian menjadi Ratu Kerajaan Kristal Tokyo di Bumi dengan gelaran Ratu Neo-Serenity (Neo-Queen Serenity) semasa berusia 20 tahun. Mendapat gelaran "Penyelamat Kehidupan Di Bumi" (Abad ke-30) dan "Messiah Yang Sebenar" (True Messiah) oleh Sailor Uranus dan Sailor Neptune. Bakal melahirkan seorang anak perempuan, hasil perkahwinannya dengan teman lelakinya, Mamoru (Putera Endymion /Raja Endymion) pada masa hadapan. Sangat lemah dalam penulisan kanji (tulisan dalam penulisan Jepun) dan lebih gemar menggunakan lukisan dan tandatangan, walaupun setelah bergelar seorang ratu. Malah, dia seringkali berlakon 'tidak sihat' untuk membolehkannya tidak hadir dalam persidangan. Kekuatannya selain bergantung kepada kuasa kristal dan juga kuasa Mamoru, ia juga adalah menerusi kepercayaan dan kasih sayang. Gelaran yang digunakan sebelum menjadi Ratu adalah "Sailor Moon" dan "Eternal Sailor Moon". Usianya pada abad ke-30 tidak pernah diketahui; kerana wajahnya yang tidak 'dimakan' usia disebabkan pengaruh kristal yang mana memanjangkan usia serta mengekalkan wajah yang muda sepanjang masa.


 2. Chiba Mamoru - Jejaka yang kacak, agak kelihatan sombong dan dingin, gemar menyindir dan merupakan ulat buku. Pelajar sebuah sekolah tinggi berhampiran sekolah Usagi. Ibu bapanya telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dan Mamoru kehilangan ingatan. Pada awalnya, mudah mengalami gejala sakit kepala apabila mendapati Usagi  di dalam bahaya. Gemar memanggil Usagi dengan panggilan 'Odango' yang bermakna 'kepala arnab' (disebabkan ikatan rambut Usagi yang ganjil dari gadis yang lain) atau 'Usako'. Tanpa menyedari perkaitannya dengan Usagi dan beranggapan bahawa "Kristal Perak Khayalan" akan dapat memulihkan semula ingatannya yang hilang, dia menjelma sebagai "Tuxedo Mask" (perwatakannya menyerupai pencuri terkenal, Lupin The Third) dan banyak membantu Sailor Moon dalam perjuangannya melindungi Bumi. Merupakan penjelmaan semula Putera Endymion, Putera Mahkota Kerajaan Bumi dan memiliki kekuatan yang berasal daripada "Kristal Emas", yang mana merupakan sumber kuasa Kerajaan Bumi. Mempunyai kebolehan untuk melihat dan mentafsir mimpi (diwarisi oleh Chibi Usa), menyembuhkan kecederaan serta berupaya untuk membuat pemantauan keadaan persekitaran Bumi hanya dengan menyentuh permukaan Bumi. Seringkali menjadi subjek buruan musuh (selalu dikawal/dikuasai oleh kuasa jahat), kerana dia merupakan insan yang paling rapat serta sumber kuasa yang menyokong kekuatan Usagi. Merupakan bakal suami kepada Usagi pada masa hadapan (abad ke-30), dan memerintah Kerajaan Kristal Tokyo dengan gelaran Raja Endymion (King Endymion). Bakal mempunyai seorang anak perempuan dengan ratu. Wajahnya tidak berubah (kekal muda) namun usia sebenar tidak diketahui, kerana pengaruh kristal Ratu Neo-Serenity yang turut diterima olehnya dan masyarakat Bumi pada abad ke-30.



3. Usagi Chibi - Kanak-kanak yang aktif, periang, tapi pada masa yang sama agak menjengkelkan. Mempunyai permainan bernama Luna P. Nama yang diberikan oleh bondanya (Ratu Neo-Serenity) adalah hampir sama dengan nama sebenar ratu, namun ditambah dengan perkataan "Chibi", bagi membezakannya dengan 'dirinya' pada abad ke-20. Pertumbuhan fizikalnya terbantut, menyebabkannya masih mempunyai fizikal seperti seorang kanak-kanak, walaupun umurnya sudah mencecah 900 tahun (pengaruh kuasa kristal milik bondanya) serta tidak mampu menggunakan kuasa kristal. Impiannya adalah untuk menjadi seorang gadis dan puteri yang jelita, berhemah dan dihormati seperti bondanya, serta mempunyai seorang putera yang baik seperti bapanya. Identiti sebenarnya adalah anak kepada Usagi dan Mamoru pada abad ke-30. Cara dan layanannya terhadap Usagi dan Mamoru adalah berbeza, yang mana dia lebih sopan dan menghormati ayahanda dan bondanya (pada abad ke-30) dan lebih spontan apabila bersama dengan bakal ibu dan bapanya (pada abad ke-20); kerana perbezaan personaliti yang ketara antara kedua-dua mereka. Seorang yang mudah bersosial dan dilantik sebagai ketua kelas semasa berada di sekolah pada abad ke-20. Kurang mempunyai rakan dan bersahabat baik dengan Sailor Pluto dan Sailor Saturn (Hotaru). Merupakan satu-satunya anak hasil perkahwinan Ratu Neo-Serenity dan Raja Endymion serta dimahkotakan sebagai Puteri Mahkota Kerajaan Kristal Tokyo dengan gelaran "Gadis Kecil" (Small Lady) dan Puteri Chibi Serenity (Princess Lady Chibi Serenity). Pernah ditawarkan dengan kuasa kejahatan oleh Wiseman (Kumpulan Dark Moon); dan menyebabkannya bertukar kepada versi gelap; digelar "Gadis Licik" (Wicked Lady). Dihantar ke zaman lampau (abad ke-20) oleh bondanya, untuk dilatih sebagai perajurit dan memperoleh pengalaman bersama 'dirinya'. Menjelmakan diri sebagai "Sailor Chibi-Moon". Mempunyai kekuatan hati yang bersih dan suci serta mimpi yang indah, membolehkannya mendapat kuasa daripada Pegasus (Helios) dan mempunyai cermin mimpi yang berbingkai emas. Ini memberi kuasa padanya untuk memanggil Pegasus melalui panggilan "Twinkle Yell" dengan menggunakan Carillon Kristal. Dikatakan bahawa Helios merupakan 'Putera Yang Ditakdirkan' untuknya pada masa hadapan, namun tidak dijelaskan dengan lebih terperinci.



La Memoria De Dairies - Carte 5

Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan bloggers yang dihormati sekalian...Alhamdulillah, bertemu kita lagi di dalam lampiran yang tidak sepertinya pada hari ini. Syukran juga hamba tujukan kepada Tuhan yang Maha Esa kerana masih memberi hamba kesempatan untuk melakar warkah di helaian ini...Hamba sangat bersyukur pada Tuhan kerana sebahagian besar masalah hamba telah selesai dan insyaallah hamba akan ceritakan di dalam tinta ini...

8.00 pagi
Hamba bangun dari tidur dan bersiap sekadarnya, Bib telefon menyatakan dia berada di kedai mamak untuk bersarapan pagi. 

9.00 pagi
Hamba telah ke pejabat KHAR untuk bertanyakan perihal rumah di BAHTERA terrace atau arked. Alhamdulillah masih ada yang kosong. Berkesempatan bertemu dengan Nurra, Farah dan member dari satu course yang lain. Hamba membuat separuh bayaran dan akan melangsaikannya petang ini. Segera menelefon ayahanda dan bonda untuk mengkhabarkan berita tersebut. Rumah tersebut terletak berdekatan dengan sungai. Bayaran RM130 sebagai deposit, keseluruhan RM780. 

11.00 pagi
Pulang ke rumah dan membuat ulangkaji terakhir. Sekadar melihat-lihat nota sepintas lalu, sambil mengingati kembali kata-kata pensyarah semasa di dalam kelas...syukran..semalas-malas hamba, telinga hamba masih berupaya menangkap setiap bibit kata pensyarah, yang mana hamba telah proses di dalam minda dan simpan. Nak cakap macamana, itu cara hamba belajar. Kalau nak baca buku, memang payah...kerana saat-saat akhir ni..hamba lebih suka buat rujukan ringan sahaja...kerana masa awal-awal sem hamba dah bersedia, banyakkan bacaan dan berikan tumpuan semasa berada di dalam kelas (walaupun hamba selalu mengantuk dalam kelas).

2.00 petang
Sudah berada di kawasan Taman Universiti untuk mengambil peperiksaan EDU 3034 (Pengurusan Pembelajaran). Ambil kesempatan mencuri-curi lihat nota pelajar-pelajar lain (tabiat hamba memang begitu), kerana malas hendak buka nota sendiri. Berbual sekadarnya dengan member-member seangkatan. Dapat menghubungi ayahanda, setelah berulangkali mencuba (asyik-asyik dapat sambungan ke peti mel suara) dan menyatakan apa yang perlu. Minta restu dan doa dari ayahanda dan bonda (Sudah jadi kemestian dan kewajipan hamba setiap kali nak masuk exam, dan dalam setiap paper yang hamba nak ambil).

2.30 petang
Exam bermula dan hamba menjawabnya dengan penuh tenang dan senang hati. Prof Habib sampai pelik dengan sikap hamba yang relax dan seolah-olah tak tertekan langsung. Syukran la...Tapi, hamba takut juga...sebab kat dalam kertas soalan itu, hamba telah ter'lukis' suasana di dalam dewan peperiksaan, siap dengan figura pelajar-pelajar sekali!! Ada figura pelajar termenung, dan macam-macam lagi...apa tidaknya, hamba siap tak sampai 15 minit...jadi ruang masa selebihnya, hamba luangkan dengan melakar apa-apa yang patut...(matilah hamba!!!) Hujan turun...sejuknya!!

Isnin, April 19, 2010

Ryuuroden aka Lagenda Anak Naga

Penulis & Pelukis : Yoshito Yamahara

Genre : Sejarah, Fantasi, Aksi, Pengembaraan, Seni Mempertahankan Diri & Percintaan.

Sinopsis Cerita
Mengisahkan 2 watak utama, iaitu Shiro Tenchi dan Masumi Izumi; pelajar tahun ketiga Sekolah Tinggi di Jepun yang telah 'dihantar' ke zaman pergolakan China, iaitu "Zaman Tiga Kerajaan" ketika dalam penerbangan lawatan cuti musim panas. Keadaan ini telah menimbulkan keadaan yang 'berlainan', terutama berkaitan dengan 'perjalanan' atau jalan cerita yang sepatutnya berlaku di dalam sejarah. Ia secara tidak langsung mengakibatkan Shiro dan Masumi terpaksa mengadaptasikan kehidupan tersebut dengan segera. Mereka terpaksa memastikan bahawa sejarah tetap berjalan seperti yang telah termaktub di dalam buku-buku sejarah moden yang mereka pelajari, supaya tidak berlaku ralat di dalam dunia asal mereka, iaitu pada abad ke-21. Di dalam zaman huru-hara tersebut, mereka telah digelar sebagai 'Anak Naga' dan 'Dewi Naga', berdasarkan kepercayaan masyarakat China pada masa dahulu di samping ketibaan mereka yang diiringi oleh seekor naga yang gagah. Misi mereka kini adalah untuk pulang semula ke abad-21 tanpa meninggalkan kesan sejarah 'kewujudan' mereka di zaman tersebut, selain daripada menyelesaikan masalah-masalah yang berlaku sebagaimana yang 'sepatutnya' berlaku di dalam sejarah, serta menghalang Chung Ta dari mencapai cita-cita jahatnya; supaya tidak berlakunya percanggahan sejarah pada masa hadapan.


Watak-Watak Di Dalam Manga :

1. Shiro Tenchi - Seorang remaja yang dianggap nakal, sering bangun lewat ke sekolah, anak yatim dan tidak mempunyai wawasan dalam hidupnya. Namun, sebenarnya merupakan seorang yang pintar, yakin diri, bijak menyesuaikan diri dengan situasi dan keadaan serta mampu untuk merancang strategi sekiranya berada dalam keadaan yang terdesak. Berdarah campuran Jepun (ayah) dan China (ibu), serta memiliki sebuah loket pusaka daripada mendiang ibunya, namun loket itu telah terbahagi dua kerana gegaran yang kuat; Shiro kemudian memberikannya kepada Masumi sebagai 'tanda' sama ada menandakan mereka masih hidup dan kembali semula ke dunia asal mereka. Berkebolehan mempelajari seni mempertahankan diri dalam masa yang singkat, dan sekaligus menjadikan dia sebagai seorang Jeneral Muda yang disegani pada zaman tersebut. Dikenali sebagai 'Anak Naga' dan 'Perunding Ketenteraan Anak Naga', yang mana kemahirannya dalam merancang strategi ketenteraan adalah hampir menandingi Kong Ming, iaitu 'Perunding Ketenteraan Berakal Naga'. Namun, sebenarnya tindakan atau 'strategi' yang dilakukannya adalah menyerupai tindakan yang dinyatakan di dalam buku sejarah yang dipelajari dan dihafalnya sejak di sekolah. Sungguhpun begitu, Shiro sangat kecewa kerana tidak dapat mengelakkan peristiwa pembunuhan besar-besaran oleh tentera Cao Cao. Campur tangan Chung Ta dalam kehidupan mereka lebih menyulitkan keadaan, sehingga menyebabkan sejarah hampir lari dari 'landasan asal' membuat Shiro tidak lagi dapat 'meramalkan' apa yang berlaku sebagaimana yang terdapat di dalam sejarah.


2. Masumi Izumi - Seorang gadis yang aktif, pintar, rajin mengemas dan memasak serta telah menjaga Shiro dan ayahnya sejak kematian mendiang ibu Shiro. Dikenali sebagai 'Dewi Naga' (ketika kedatangan seekor naga ke istana bagi menyatakan bahawa Shiro masih hidup, menimbulkan tanda di dahinya seperti Shiro) dan telah diculik oleh Chung Ta ke negeri Wei, yang diperintah oleh Cao Cao. Berdarah campuran Jepun dan China, serta berkebolehan bertutur dalam bahasa Cina, selain bahasa Jepun. Berkebolehan menyembuhkan kecederaan dan mampu menimbulkan kesan psikologi ke atas pihak lawan. Amat dihargai oleh Cao Cao dan dianggap seperti anaknya sendiri dengan memberinya gelaran 'Puteri' atau 'Cik Puan'. Memiliki separuh daripada loket pusaka milik ibu Shiro yang diberikan oleh Shiro. Dia sangat mencintai Shiro dan sanggup berkorban untuknya, menyebabkannya bertindak nekad ketika terjadinya peperangan di antara Cao Cao dan Liu Bei. Mayatnya tidak ditemui dan dipercayai masih hidup, sehinggalah didapati bahawa dia sebenarnya telah dibawa oleh jelmaan Chung Ta ke istana Maharaja Han. Maharaja tertawan dengan kecantikan Masumi dan menghendaki dirinya untuk dijadikan Permaisuri. Masumi terpaksa berada di samping Maharaja bagi mengelakkan 'keinginan' dan 'impian' Chung Ta untuk mencetuskan huru-hara sekaligus menumbangkan pemerintahan menjadi kenyataan. Ini kerana jika perkara itu berlaku, sejarah akan berubah dan bermakna dia dan Shiro tidak akan dapat lagi untuk kembali ke zaman mereka buat selama-lamanya.


3. Liu Bei - Seorang pemerintah dan memainkan peranan yang penting dalam "Zaman Tiga Kerajaan". Merupakan abang angkat kepada pejuang yang sangat handal, iaitu Kuan Yu dan Chang Feng. Sangat setia dan dianggap sebagai pemimpin yang sangat baik hati oleh pengikut-pengikutnya. Lebih gemar menggunakan cara yang lembut dan berdiplomasi dalam perbincangan mahupun peperangan. Mempunyai 2 orang isteri, yang ditinggalkan di sebuah kawasan yang tersembunyi kerana bimbang akan diburu dan dibunuh oleh musuhnya. Seorang yang dilihat sangat sederhana dalam kehidupan sehariannya, malah boleh diajak bergurau jika keadaan mengizinkan.






Ahad, April 18, 2010

Ouke No Manshou aka Sumpahan Diraja Mesir

Penulis : Hokosawa Chieko (1988; Majalah Princess)

Genre : Fantasi, Sejarah

Sinopsis Cerita
Cerita ini mengisahkan tentang watak utama, Carol Rido (Carol); gadis remaja warganegara Amerika yang berambut perang keemasan dan mempunyai mata berwarna biru laut adalah anak kepada sebuah keluarga ternama yang kaya-raya. Carol menuntut di sebuah universiti di Cairo dan mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang arkeologi. Apabila keluarganya menemui sebuah makam yang menempatkan seorang Firaun muda, sebuah sumpahan telah berlaku ke atas ahli ekspidisi, Carol dan seluruh keluarganya. Sumpahan ini telah membawa gadis ini kembali ke masa lampau, iaitu kira-kira 3000 tahun dahulu; iaitu pada zaman Mesir Purba. Keadaan in telah membawa kepada perkaitan sejarah dan membawa Carol untuk lebih mengetahui tentang peristiwa sejarah di Mesir, Assyira dan Babylon. Pada zaman tersebut, Carol telah bertemu dengan Memphis, Firaun muda yang tampan (Carol telah memasuki makam miliknya pada abad ke-21) dan kejam. Walaupun Memphis adalah seorang yang keras kepala dan kejam pada awalnya, mereka tidak menyedari bahawa mereka telah tertarik antara satu sama lain. Ini menimbulkan kemarahan kakak (kekanda) Memphis, Isis yang telah lama menyukai Memphis dan hendak mengahwininya. Manakala, Carol yang pada zaman itu dianggap mempunyai rupa paras yang unik dan mempunyai kebolehan yang diperolehinya dari abad 21, menjadikannya seorang yang memainkan peranan yang amat penting dalam sejarah ketamadunan Mesir.


Watak-Watak Di Dalam Manga :

1. Carol Rido (Anak Perempuan Kepada Dewi Sungai Nil) - Berasal dari abad ke-21, wajahnya yang eksotik dan berambut perang keemasan menyebabkannya sering menjadi perhatian umum, terutama musuh-musuh yang hendak menjatuhkan Mesir. Dibawa lari oleh Isis ke zaman Mesir Kuno, sebagai sumpahan kepadanya kerana keluarganya telah mencerobohi tempat persemadian Memphis dan dirinya sendiri pada abad ke-21. Pada permulaannya, dijadikan sebagai hamba 'tebusan' oleh Memphis. Menjadi Permaisuri Kerajaan Mesir semasa berusia 18 tahun. Dianggap Dewi oleh semua orang Mesir Purba dengan gelaran Anak Perempuan Kepada Dewi Sungai Nil (Daughter of The Nile). Sikapnya yang ramah mesra, berani dan pintar (kerana mempunyai pemikiran dan idealogi dari abad ke-21), membuatkan ramai orang mengaguminya dan menganggap seolah-olah dia mampu meramal sesuatu yang bakal tiba. Sentiasa cuba dilarikan oleh musuh-musuh Memphis, sama ada untuk dijadikan tawanan atau sebagai isteri mereka. Pernah mengandung, namun mengalami keguguran setelah cuba dibunuh oleh Isis yang mengetahui berita tersebut akibat cemburu. Statusnya kini masih menjadi tanda tanya, iaitu sama ada Carol kini adalah Permaisuri Kerajaan Mesir atau isteri Putera Mahkota Hittite (Ishmin), kerana tipu muslihat yang dijalankan oleh Ishmin semasa Carol disihir oleh seorang ahli sihir yang tidak dikenali namanya. Carol juga kebingungan, kerana dia kadangkala dapat mengingati peristiwa semasa 'disihir', namun berkeras menafikan dan menyatakan bahawa perkahwinannya dengan Memphis adalah yang pertama dan sah berbanding dengan pernikahan kedua dengan Ishmin, yang disifatkan sebagai 'upacara yang tidak selesai'. Hanya Titii, hamba suruhan Carol yang mengetahui rahsia tersebut.


2. Memphis - Firaun yang berusia 17 tahun (semasa berkahwin dengan Carol, berumur 20 tahun) mempunyai wajah yang kacak, menyebabkannya sentiasa menjadi igauan dan idaman kaum wanita. Sangat berkebolehan dalam merancang kerajaannya, peperangan serta berburu. Seorang yang kasar, tetapi penyayang dan romantik. Pengaruh persekitaran banyak membentuk peribadi Memphis, kerana telah menaiki takhta sejak berusia 8 tahun setelah kemangkatan ayahandanya, Firaun Nefenmert dalam usia yang muda. Oleh itu, dia jarang memperlihatkan kebaikan yang ada pada dirinya, namun berubah setelah kehadiran Carol disisinya. Juga seorang yang mudah marah, yang kadangkala menimbulkan konflik antara dirinya dan Carol. Ramai wanita yang ingin memenangi cintanya, termasuk kakaknya sendiri, Isis; Cafra, puteri kepada Raja Libya; Mec, hamba wanita yang dibawa ke istana oleh Kapta (Ketua Paderi Mesir), Milanum, puteri Kerajaan Hittite (adinda kepada Ishmin, tetapi mati dibunuh oleh Isis) dan juga Jamari, gundik kesayangan Argon, Raja Assyria (dihantar sebagai pengintip dalam istana). Sangat menyesal dengan tindakannya yang tidak peka dengan perubahan diri Carol semasa hamil dan bersumpah akan bersemuka dengan Isis untuk menyelesaikan hutang darah tersebut. Sangat melindungi Carol kerana bimbang adanya pengkhianat atau musuh dalam selimut di dalam pemerintahannya. Kemahirannya dalam berpedang dan berperang terbukti setelah berjaya menewaskan Ataurus dan menewaskan Ragashu (suami Isis) dalam peperangan sengit. 


3. Isis - Puteri dan Paderi Tertinggi Kerajaan Mesir Purba (memerintah kerajaan Selatan Mesir) dan merupakan kakak (kekanda) kepada Memphis. Merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Carol ke zaman Mesir Purba sebagai hukuman kepada keluarga Carol yang membiayai ekspidisi membongkar makam Memphis dan dirinya pada abad ke-21. Sangat mencintai Memphis dan sanggup membuat apa sahaja tindakan yang dianggap boleh memenangi cintanya. Pada luarannya, dia adalah seorang wanita yang jelita dan menawan, tetapi dia juga seorang yang kejam, licik serta kurang berperikemanusiaan, terutama jika mendapat tahu ada orang lain yang mencintai Memphis (Melalui tindakannya membunuh Milanun dengan membakarnya di kuil dan percubaannnya untuk membunuh Carol setelah mengetahui Carol hamil). Sentiasa cuba merancang untuk menjatuhkan atau membunuh Carol, tetapi selalu gagal. Berkahwin dengan pemerintah Babylon, Ragashu setelah sangat kecewa dengan keputusan Memphis mengahwini Carol (dia diarahkan oleh Memphis untuk menjadi saksi perkahwinannya). Walaupun sudah berkahwin, Isis masih mengharapkan cinta Memphis dan sentiasa berusaha untuk kembali ke Mesir, dengan harapan Memphis akan memperisterikannya setelah kematian / kehilangan Carol. Ini seringkali menimbulkan syak wasangka suaminya, tetapi tidak didedahkan. Ketika berlakunya peperangan di mana Ragashu ditewaskan oleh Memphis, hamba abdi Isis yang setia telah dapat mengesan perubahan kelakuan Isis dan mendapati bahawa Isis telah mengandung. Ini menyebabkan Isis sangat kecewa dan hampir putus harapan untuk dapat memiliki Memphis lagi - kerana anaknya itu.


4. Ryan Rido - Abang sulung Carol, berumur 30 tahun. Mewarisi syarikat milik ayahnya, Conten Rido setelah kematian ayahnya yang misteri. Sangat mengambil berat dan menyayangi Carol lebih daripada dirinya sendiri. Sangat berkebolehan dalam mengendalikan perniagaan, mengendalikan senjata moden (pistol) dan mempunyai pengamatan yang tajam. Ryan adalah orang yang bertanggungjawab menembak Ishmin sehingga parah dan tidak dapat diubati dengan pistol miliknya, setelah mendapati Carol ditawan olehnya (berlaku kejadian relung masa, yang mengakibatkan Ryan 'termasuk' ke dalam zaman purba buat sementara waktu akibat kebakaran minyak di loji milik keluarganya). Orang yang pertama mengetahui  Carol mengandung setelah pulang dari zaman Mesir Purba dan kurang menyukai Abmando Rapman dan Jimmy Brown yang dianggap kurang serius dalam menjalinkan hubungan dengan adiknya itu. Berdasarkan maklumat yang masih belum sahih, didapati bahawa sebenarnya Ryan bukan anak kandung Conten dan isterinya, sebaliknya anak angkat yang ditemui di hadapan sebuah makan lama. Ryan juga akhirnya berjaya menemui mumia Memphis yang dicuri dan mendapati wajah mumia itu adalah menyerupai dirinya dan sekaligus membongkar pertalian antara Memphis dan Ryan - Ryan adalah 'penjelmaan semula' Memphis untuk bertemu semula dengan Carol pada abad ke-21.


5. Ishmin aka Ishfaq Minhaz - Putera Mahkota Kerajaan Hittite yang terkenal dengan kebolehannya dalam peperangan. Seorang yang kacak, bijak, licik, agak kejam namun berjiwa pahlawan. Sangat memusuhi Memphis, kerana dipercayai telah cuai  dalam menjaga serta terlibat dalam konspirasi membunuh adik perempuannya, Puteri Milanum. Jatuh hati terhadap Carol pada pandang pertama (ketika ke Mesir untuk menyiasat punca kematian adiknya). Pada permulaan, dia mahu menggunakan Carol sebagai 'tawanan' bagi menghapuskan Memphis, tetapi sikap Carol yang berani, sentiasa cuba melarikan diri darinya, tidak mudah mengalah serta tidak takut dengan sistem monarki (pemerintah beraja) menyebabkan Ishmin terpikat padanya. Dia sentiasa beranggapan bahawa perkahwinan antara Carol dan Memphis adalah tidak sah dan mencari peluang untuk membawa pulang Carol ke Hittite, supaya dapat memperisterikannya. Sangat mengambil berat akan keselamatan serta kesejahteraan hidup Carol serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memilikinya, meskipun terpaksa menggunakan khidmat ahli sihir untuk 'menghilangkan ingatan' Carol terhadap suaminya sekaligus mengahwininya. Status dirinya dan Carol adalah tidak jelas, iaitu sama ada mereka adalah suami isteri atau tidak kerana Carol sama sekali tidak mengakui kesahihan perkahwinan tersebut. Kecederaan di bahu kanannya yang tidak dapat disembuhkan diakibatkan daripada Ryan, yang mana muncul secara tiba-tiba ketika kebakaran berlaku dan menyebabkan terjadinya 'relung masa'. Kemahirannya dalam peperangan sangat unggul, tetapi mudah teralih sekiranya dikejutkan dengan perkara yang berkaitan dengan Carol. Sebagaimana kaum lelaki Hittite yang lain, Ishmin turut menyimpan rambut yang panjang dan diikat sepanjang masa berdasarkan tradisi bangsanya, yang membuatkannya kelihatan seperti seorang wanita.





Pengumuman Penting!!

Assalamualaikum....syukran kerana banyak kerja-kerja telah beres...kecuali bagi Pengajaran Komunikasi Visual. Memang memeningkan kepala....Baiklah, apa yang hamba ingin catatkan di sini adalah...bagi memenuhi citarasa hamba yang kian membuak-buak di dalam jiwa, hamba akan cuba menerbitkan 'manga' sendiri dan juga insyaallah akan 'menterjemahkan' manga-manga kegemaran hamba, yang hamba sukai... Tidak banyak manga yang hamba minati, dan sememangnya hamba berasa kasihan dengan rakan-rakan hamba yang tidak memahami bahasa Inggeris tetapi ingin membaca manga. Insyaallah, hamba akan cuba menterjemahkan karya-karya tertentu yang hamba sukai dan harap rakan-rakan bloggers menyukainya...Ini sekali gus membantu semua..hamba akan cuba buat perlahan-lahan kerana kebanyakannya perlu ditapis dahulu...



Ouke No Manshou aka Sumpahan Diraja Mesir


Ryuuroden aka Lagenda Anak Naga (cuba untuk dicari sambungannya)


Sailormoon aka Gadis Berbaju Kelasi Bulan


Naruto dan Naruto Shippuden


Eye-Shield 21 aka Pemain Berhelmet Tertutup No.21


Mahou Sensei Negima aka Guruku Adalah Ahli Magik Negi

Selain itu, saya akan cuba memperkenalkan laman 'Mari Belajar Asas Photoshop Dan Illustrator' khusus buat rakan-rakan blog yang ingin mempelajari asas (basic). Malah, saya harap akan ada komen-komen membina dari sahabat-sahabat yang prihatin dan mungkin akan turut sama memberikan nota bagi menguatkan lagi laman tersebut. Ini disebabkan saya juga amat 'hijau' dalam ilmu tersebut dan hanya ingin berkongsi maklumat ringkas dengan rakan-rakan blog yang lain...

Baiklah, tunggu berita daripada hamba dan insyaallah yang lain akan menyusul tidak berapa lama lagi. Semoga bertemu kita di dalam penulisan hamba yang seterusnya. Ja Mata!!!


Jumaat, April 16, 2010

La Memoria De Dairies - Carte 4

Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan bloggers, dari Selatan ke Utara, dari Barat lalu pula ke Timur.... Alkisah pun hamba mohon maaf dan ampun kerana tidak berkesempatan menulis mahupun melakar tinta yang menarik di dalam blog ini. Hamba kini sedang sibuk mengulangkaji mata pelajaran, kerana pada minggu hadapan exam telah bermula...Takut ada, gementar pun ada....syukran hamba dapat mengimbanginya dengan baik di sini.

Hari ini hamba akan mengikuti taklimat ROS (Rancangan Organisasi Sekolah) yang akan diadakan di Auditorium 1 UPSI, pada pukul 9 pagi ini. Taklimat tersebut akan dijalankan oleh En Hassan Ghazali, salah seorang pensyarah hamba di Fakulti Seni Dan Muzik (FSM). Taklimat ini wajib hamba hadiri kerana ia mengandungi input yang penting dan akan digunakan oleh hamba dan rakan-rakan semasa menjalankan ROS di sekolah kelak. ROS akan dijalankan di sekolah menengah sahaja (pada masa kini). Manakala sekolah yang hamba pilih untuk menjalani ROS adalah Sekolah Menengah Kampung Awah (F) yang terletak di Felda Kampung Awah. Hamba menetap di Felda Kampung Awah selama 9 tahun; dan ia merupakan rumah nenda (ayahanda kepada ayahanda hamba).

Sudah lama juga kiranya, hamba tidak berkunjung ke teratak ilmu tersebut, kerana kali terakhir hamba ke sana hamba mengambil sijil PMR hamba. Sekolah itu merupakan salah sebuah sekolah kenangan remaja hamba, terutama semasa Tingkatan 2, 3 dan 4. Namun, semasa pertengahan tahun 2004, hamba telah mengikut keluarga berpindah ke Kuala Lipis atas kenaikan pangkat ayahanda hamba dalam jabatan. Rezeki anaklah katakan! (Adinda hamba, Muhammad Qayyum dilahirkan pada bulan 10, tahun 2003). Maka, tinggallah sekolah tersebut, tetapi masih ada kenangan yang hamba tinggalkan di sekolah itu. Kalau tidak percaya, silalah ke sekolah dan cari Majalah Sekolah yang disiarkan pada tahun 2002 dan 2003. Bukan sahaja mengandungi gambar hamba, malah karya hamba turut dipamerkan. Antaranya dalam bentuk sajak dan juga lukisan kartun yang tidak seberapa. (Majalah Sekolah milik hamba sudah rosak teruk, kerana stor bawah rumah hamba pernah banjir ketika hujan lebat).

Hamba akan menjalani ROS bersama rakan-rakan hamba yang lain, iaitu Yen, Lela dan rakan-rakan yang lain. Guru hamba, Cikgu Raof telah dimaklumkan. Beliau berasa sangat gembira apabila mengetahui hamba hendak menjalankan ROS di sekolah itu. Hamba bukan sahaja ingin melepas rindu di sekolah itu, tetapi melihat perkembangan 'adik-adik' yang datang ke sekolah itu, kerana pada hamba mereka amat bertuah kerana fasiliti sekolah telah banyak berubah dan ini akan membantu pelajar menjadi lebih aktif dan giat dalam kurikulum malah ko-kurikulum. Jarak rumah dan sekolah sangat dekat, iaitu selama 5 minit berjalan kaki sahaja, disebabkan rumah nenda hamba hanya bersetentang dengan padang sekolah! Jadi tak menghairankan sekiranya hamba dapat lihat pembangunan sekolah walaupun hamba sudah tidak bersekolah di situ lagi. Tidak sabar rasanya hamba ingin menjalankan ROS di situ!!!

Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan semasa di sekolah tersebut amat banyak.....tetapi hamba sebutkan yang paling hamba hargai dan ingati....Antaranya, di sekolah inilah hamba mempelajari Pendidikan Seni Visual secara menyeluruh dan mendalam; iaitu dari Cikgu Raof sendiri. Beliau sentiasa memberikan galakan pada diri hamba supaya sentiasa maju dalam menghasilkan karya di sekolah. Beliau juga sentiasa menggalakkan hamba untuk melakar (sketches) benda-benda hidup dan bergerak, terutama manusia dan haiwan. Paling tak dapat dilupakan, hamba ni bebal sangat agaknya; cerdik sangat pergi melukis bawah sarang tebuan (yang sesat di tangga sekolah) semata-mata nak mendapatkan pergerakan yang diinginkan! Bila ingat semula, betapa gilanya hamba terhadap seni ketika itu....namun, alhamdulillah...atas inisiatif itulah, tangan hamba agak 'lembut' dalam melakar dan melukis karya. Tapi, agak malang kerana kebanyakan hasil karya hamba telah dibakar (dilupuskan) oleh ayahanda kerana pada ketika itu, ayahanda tidak menyokong minat hamba dan hanya mahu hamba menumpukan sepenuh perhatian pada mata pelajaran yang lain; terutama mata pelajaran Sains dan Matematik (kerana ayahanda bercita-cita mahu melihat hamba menjadi seorang doktor atau atau saintis pada awalnya). Semasa Tingkatan 4, ayahanda tidak membenarkan hamba mengambil mata pelajaran Seni Visual kerana beranggapan pelajaran itu tidak penting, membuang masa dan hanya untuk orang-orang yang berangan-angan seperti Mat Jenin.  Tetapi, hamba secara senyap-senyap mengikuti kelas bimbingan Cikgu Raof (atas sokongan dan galakan ayahanda dan bonda saudara; Mak Chik dan Pak Su), dan sentiasa melakukan latihan amali di Bilik Seni. Namun, segalanya terhenti apabila hamba bertukar ke Kuala Lipis. Hamba tidak dibenarkan sama sekali mengikuti kelas Seni Visual, kerana ayahanda mahu hamba memberikan tumpuan yang lebih kepada mata pelajaran Biologi, Kimia dan Matematik Tambahan. Pada ketika itulah, hamba mengikuti kelas Teknologi Maklumat (atas dorongan minat dan juga tiada pilihan lain; kerana di SM Setiawangsa ketika itu hanya menawarkan mata pelajaran Sains (Biologi & Kimia), Prinsip Akaun atau Teknologi Maklumat (kena pilih salah satu); kelas Biologi bertindih dengan kelas Seni Visual) dan akhirnya berjaya menguasai asas Visual Basic 6.0 dan Pengaturcaraan Internet dan Komputer dalam masa 6 bulan sahaja (terima kasih hamba tujukan kepada rakan hamba, Nur Naiemah yang banyak mengajar hamba mengenai komputer pada waktu tersebut). Malah, mendapat keputusan 3 B dalam mata pelajaran tersebut di dalam SPM. (Hamba hanya mempelajari mengenai komputer semasa berada di Kuala Lipis)

Buih Yang Berterbangan