Papan Pernyataan / Pengumuman
Sila "Like" Jika Suka Sangat!
Nak Tukar Font? Silakan....
Translator Bahasa Hamba!
Sabtu, Oktober 05, 2013
Hari Keluarga Guru-Guru & Kakitangan SMK Pasoh 2 (Felda) 2013 Yang Ceria & Meriah!
Tweet
Alhamdulillah....akhirnya sampai juga entri hamba ke dalam catatan rasmi blog ini. Assalamualaikum semua dan maaf kerana lama sudah tidak mengutus tinta. Apapun al-kisah yang ingin hamba kongsikan di sini adalah berkaitan dengan Hari Keluarga yang baharu sahaja dilaksanakan pada 28 September 2013 bersamaan hari Sabtu yang lalu dan berakhir pada 29 September 2013 (Ahad). Kemeriahannya seolah-olah masih terasa hingga kini, walaupun sudah hampir seminggu berlalu. Arakian, mari selak bersama-sama pengalaman ini untuk menimbulkan memori serta pengetahuan kepada rakan-rakan taulan yang pernah menjadi ahli di sekolah ini jua.
28 September 2013 (Sabtu)
8.30 pagi
Kesemua ahli berkumpul di kantin sekolah sebelum bertolak. Segala kelengkapan untuk memasak 'barbeque' telah disediakan (sejak petang Jumaat, kaum perempuan telah bergotong-royong di sekolah untuk menyediakan bahan-bahan mentah untuk digunakan bagi barbeque) dan dibawa bersama menggunakan kereta suami Kak Lah, Abang Zul. Manakala, sebahagian besar hamper diletakkan di dalam kereta Cikgu Fauzi. Setelah membuat pembayaran dan semakan berkali-kali, kami semua bertolak setelah membaca doa.
Kak Aida, Acik Norma, Kak Nurul dan Kak Lah sibuk membersihkan ayam dan ikan sebelum diperap
Kami bertiga memotong bahan-bahan perapan sebelum dikisar
Buat kerja jangan tekanan sangat, ketawa dan senyum bila perlu
Kak Syahida sedang sibuk mengisar bahan yang dipotong-potong
Duduk-duduk sambil makan kacang rebus (dibawa Kak Lah & direbus oleh Cikgu Hafiz) serta melihat Kak Aida mencampur bahan perapan
Kak Aida sedang sibuk membahagikan dan mencampurkan bahan untuk diperap (Master Chef ni!)
1.45 petang
Singgah sebentar di Laban Chondong untuk berhenti rehat dan makan tengah hari. Suasana kelihatan bertambah sibuk setelah kedatangan segerombolan 'bikers' yang juga singgah di situ untuk tujuan yang sama. Berehat dan berjumpa dengan ahli-ahli yang datang 'kemudian'. Menyambung perjalanan setelah siap kesemuanya.
2.20 petang
Tiba di perkarangan hotel yang dijanjikan, Rompin Beach Resort. Kami semua telah diberikan kunci untuk 'check-in' ke bilik masing-masing untuk berehat dan menunaikan solat. Sebahagian kunci telah diberikan kepada Kak Syahida kerana ada yang masih tidak hadir untuk mendaftarkan diri. Hamba turut menjawab panggilan dari Cikgu Zul yang tersesat jalan. Sebahagian hotel sudah penuh ditempah, berikutan kedapatan bas persiaran serta deretan kereta dari peserta kursus ataupun lawatan daripada kawasan-kawasan lain.
Suasana di lobi hotel sebelum 'check-in'
Sempat lagi bergambar dekat kaunter pendaftaran! Ish, ish, ish....
Khusyuk sungguh Acik Norma membaca brosur
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 10:11:00 PTG 0 ulasan
Label Kenangan Terindah Hamba
Isnin, September 23, 2013
Rombongan Sambil Belajar PSV - Art Expo Malaysia 2013 & I-City Snow Walk/Trick Art Museum
Tweet
Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan blogger yang dihormati sekalian. Sudah lama benar hamba tidak mencatat sebarang tinta di atas laman maya ini. Arakian maafkan hamba kerana kelalaian serta ketiadaan masa yang benar-benar sesuai untuk melakarkan sebarang ceritera ataupun nota-nota di sini. Al-maklum hamba kini berkerjaya dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan etika kerja yang berlainan, tidak seperti semasa menjadi pelajar dahulu. Adapun begitu, syukur ke hadrat Illahi kerana masih dipanjangkan umur hamba bagi menaip di papan elektronik ini bagi tatapan semua. Kisah hamba kali ini berkisarkan pengalaman hamba membawa anak-anak asuhan hamba ke Menara MATRADE, Jalan Duta dan I-City, Shah Alam sempena pameran terkemuka iaitu Art Expo Malaysia 2013 pada 19-22 September 2013.
Tarikh 21 September 2013 (semalam) menjadi pilihan hamba disebabkan ketika itu adalah cuti sekolah serta sehari sebelum tamatnya pameran itu. Agak malang, kerana hamba kesiangan pada pagi itu kerana kepenatan serta kebimbangan melanda jiwa. Mujur setibanya di sekolah, masih agak awal iaitu jarum jam menunjukkan jam 7.00 pagi. Lebih malang lagi, motor 'kesayangan' pula buat hal. Terpaksalah hamba menapak dari rumah ke sekolah. Mujur rumah hamba tidak jauh dari sekolah, kalau tidak; memang teruk natijahnya. Di sekolah, terdapat ibu bapa bersama-sama anak-anak murid yang sedia menunggu kedatangan hamba. Setelah mengambil kehadiran pelajar, hamba membahagikan makanan (sarapan pagi) beserta minuman kepada mereka. Terima kasih diucapkan kepada En. Kamarulazman (YDP PIBG SMK Pasoh 2) atas kesudian untuk 'sponsor' sarapan pagi untuk program ini. Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu tiba dan perjalanan dimulakan pada jam 7.20 pagi. Perjalanan diteruskan setelah mengambil kak Shima dan kak Syahida di Batu Kikir dan Senawang.
Pelajar diberi taklimat sebelum memasuki menerusi pintu masuk ke pameran
Bergambar beramai-ramai sebelum masuk ke dalam pameran. Meriah nampaknya.
Guru-guru pengiring pula tangkap gambar. Dari kiri : Cikgu Wan Fauzi, Cikgu Fadzilah dan anak-anak (Kak Long, Irsyad dan Abang), hamba, Cikgu Hashimah dan Cikgu Nursyahida

Gelagat pelajar-pelajar dan guru pengiring semasa di pintu masuk
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 12:54:00 PG 0 ulasan
Jumaat, Jun 21, 2013
Mari Singgah Ke Restoran Selera Pok Long Di Terengganu Sebentar!!!
Tweet
Ha, ini baru sedikit hidangan yang dimakan oleh salah satu pelanggan di restoran ini, sudah penuh satu meja! Terdapat banyak lagi lauk pauknya! Jom!
Antara artis tempatan yang dah menikmati masakan di restoran ini!! Antaranya Faizal AF4 dan Afdlin Shauki!!


Sedapnya!! Nampak sangat menyelerakan!!! Inilah Gulai Ayam Kampung &Gulai Daging!!
Tengok tu!! Sampai tak menang tangan nak mencedok lauk ini untuk pelanggan! Sampai nak bawa balik lagi! Anda? Bila pula?
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 3:18:00 PG 0 ulasan
Sabtu, Jun 08, 2013
Kasih Yang Tak Terucapkan~~Kasih Selamanya Tanpa Sempadan.
Tweet
Tentu tajuk yang hamba utarakan ini kelihatan sangat aneh dan pelik, bukan? Arakian, inilah kisahnya yang ingin hamba dendangkan dengan rakan-rakan sekalian. Hamba telah diarahkan untuk mengajar adik-adik yang belajar di Tingkatan 3 (Kini kelas itu telah dibahagikan kepada 2 kelas dan hamba mengajar Tingkatan 3 Khaldun). Pada permulaannya, mereka kelihatan sangat ramai, kerana dalam sebuah kelas menempatkan kira-kira 40 pelajar! Wah, ramainya! Sampai penuh kelas dengan pelajar. Dan akhirnya, sebelum mereka berpecah, hamba sempat mengajar mereka mengenai jalinan dan hasilnya? Sangat memuaskan!
Bersungguh-sungguh adik-adik ni buat kerja. Walaupun lukisan tu simple aje.
Bila dijemur...ha! Kan banyak jadinya! Mereka sangat excited bila melihat hasil karya mereka jadi tontonan umum. Bangga la sekejap, kan?
Semasa peperiksaan lain macam pula gayanya....yang nakal tentulah tak boleh nak duduk diam. Asyik nak ke tandas. Bila ditanya, macam-macam ayat yang diolahnya; kalah menulis esei Bahasa Melayu pula. Herm, ikut engkau la Labu.....jangan pergi jahanamkan harta benda awam sudah la. Sungguh pun begitu, sekurang-kurangnya mereka masih ada 'angin' untuk pergi ke sekolah. Apa yang agak dikesalkan adalah, pelajar-pelajar sekarang kian luntur pekertinya untuk menghormati guru, terutama pelajar-pelajar bermasalah ini. Mereka hanya mahu kita menuruti kehendak mereka, sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang mereka kehendaki. Tapi dari pemerhatian hamba, sebahagian besar pelajar-pelajar ini tinggal bersama nenda mereka. Jadi tidak hairan, ada di kalangan mereka berasa diabaikan dan cuba sedaya upaya untuk 'menonjolkan' dan 'mempamerkan' diri mereka terutama kepada guru. Apapun mari lihat gelagat mereka semasa peperiksaan pula.
Herm...sempat lagi tu!! Jeling lagi....
Apapun jauh di sudut hati, hamba harap dapat mendidik mereka bukan hanya untuk menjadi seorang manusia yang cerdik pandai, tetapi penuh dengan tatasusila dan adab yang wajib ada di dalam diri anak-anak Melayu supaya suatu masa kelak mereka tidak akan mudah lupa akan asal-usul dan bersikap patriotik sepanjang masa. Sebagai seorang guru, apa yang hamba utamakan adalah menjadikan mereka seorang manusia yang sebenar-benar manusia, bukannya seorang pelajar yang hanya semerlang di dalam sehelai kertas, tetapi juga cemerlang di dalam hati dan jiwanya. Semoga apa yang diharapkan akan berhasil dan mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.
P/s : Kini hamba melihat pelajar-pelajar Tingkatan 3 Khaldun lebih 'rajin' dan bersungguh-sungguh untuk menjadikan kelas mereka bak kata orang seperti syurga bagi mendapat hadiah sekaligus penghargaan dari setiap orang di sekeliling. Teruskan usaha kamu dan cikgu sokong kamu seadanya. Walaupun kadangkala tercetus juga sumbu kemarahan akibat sikap kamu yang kadangkala melampaui batas-batas yang telah digariskan. Cikgu doakan yang terbaik untuk semua adik-adik cikgu sentiasa, walau tidak terucap dek kata-kata.
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 6:17:00 PG 0 ulasan
Catatan Yang Tertinggal~~Preview Maafkan Daku!!
Tweet
Assalamualaikum semua rakan-rakan Blogger! Syukran hamba masih lagi dipanjangkan usia untuk mampu menulis tinta di laman bertulis yg luas ini. Nampaknya sudah lama benar hamba meninggalkan penulisan ini dek kerana kemalasan serta kesibukan menyiapkan tugasan sebagai seorang guru. Maaf hamba pohon andai saudara/saudari semua tertunggu-tunggu akan sebarang 'tulisan' dari hamba. Adapun hamba kini sangat sibuk untuk menyudahkan tugasan fail dan PBS sebelum 'buka' sekolah pada hari Isnin nanti. Hai, bermacam-macam tugasan yang harus dilalui. Apapun di sini, ingin hamba berkongsi kegembiraan bahawa hamba telah pun lulus dengan jayanya dalam temuduga SPP. Syukur dipanjatkan pada Illahi bahawa hamba telah berjaya memperoleh pekerjaan. Cuma kini hamba sedang menunggu surat perlantikan jawatan dari DC41 kepada DG41, selain arahan untuk penempatan sekolah kelak.
Setiap graduan pendidikan yang telah ditemuduga sudah boleh melihat keputusan atau semak keputusan di laman web yang tertera di dalam gambar ini.
Ini adalah hasil semakan hamba. Alhamdulillah....hamba lulus!
Selain itu, hamba juga telah selamat menghadiri kursus di Klang berkaitan dengan pengurusan data sekolah-sekolah menengah dan rendah Negeri Sembilan. Herm, boleh la tahan. Makan pun jangan cakap, memang sedap! Penuh la pinggan ni setiap kali makan (Haha, tak padan dengan kecik!). Maklumat memang buat pening kepala......
Semasa di dewan besar, iaitu ketika perasmian penutup. Sejuk sangat. Paling dahsyat, hamba di depan sekali tu!
Dalam pada itu, setiap malam Isnin hingga Khamis, hamba akan mengadakan kelas tambahan (tuisyen) untuk pelajar-pelajar Tingkatan 5 di rumah. Oh ya! Kini hamba dah selamat berpindah ke rumah guru yang baharu. Keadaan ini disebabkan bagi memberi kemudahan kepada guru pengiring dan Sarjan untuk menginap. Pada Selasa hingga Jumaat depan, sekolah hamba akan menjadi tuan rumah bagi aktiviti Perkhemahan PBSM peringkat daerah. Herm, bertambahlah anak-anak di sekolah ini. Pelajar-pelajar ini nampaknya sudah ada inisiatif untuk menyiapkan tugasan masing-masing. Ok, jom lihat apa yang adik-adik hamba ni buat. Ok, jumpa lagi dalam post seterusnya yang lebih menarik lagi.
Duduk mengelilingi bahan-bahan pewarna batik untuk buat contoh batik di atas kertas tisu. Macam keliling unggun api pulak...hehe
Ha...campur....jangan tak campur.....
Malu sangat bila nak snap gambar adik-adik ni. Siap tunduk-tunduk lagi.
P/s : Rajin-rajinkan tangan untuk selesaikan kerja. Hendaklah selalu tersenyum, kerana senyum itu adalah sedekah.....
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 4:30:00 PG 0 ulasan
Label Kisah Lama
Ahad, April 28, 2013
Rombongan Ke WetLand Putrajaya!! Pengalaman Seharian (27 April 2013)
Tweet
Assalamualaikum w.r.t kepada semua rakan-rakan blogger juga rakan-rakan yang bertandang ke blog ini. Seribu kemaafan hamba kirimkan kerana sudah lama benar tidak melakar apa-apa tinta menarik di blog ini> Sementelah, hamba kini bekerja dan kian sibuk dengan deretan kerja yang menanti walaupun hamba bekerja sebagai guru kini. Pelik tapi itulah hakikat yang sebenarnya. Kerjaya guru kini memerlukan kekuatan, bukan sahaja dari segi mental malahan fizikal juga. Apapun, syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi hamba masih di sini untuk berbakti dan berkhidmat kepada anak-anak bangsa.
Setibanya kami di WetLand Putrajaya. Kami menuju ke Pusat Kawalan
Sebahagian pelajar Tingkatan 3 yang menyertai program/rombongan sedang bergambar kenangan
Kak Ilah dan anak-anaknya sedang menyusun barangan untuk program
Inshaa Allah, hamba akan cuba membahagikan masa untuk menulis tinta di sini dan juga menyiapkan kerja hamba dengan baik di lain masa. Adapun pada hari ini, hamba sekadar ingin menyatakan keberadaan hamba di Putrajaya pada hari semalam, bagi menjayakan program rakan sejawatan, iaitu Cikgu Syahida yang diberi tajuk, "Kem Kemahiran Bestari Geografi" yang dilansungkan dengan jayanya di WetLand. Program ini dijayakan oleh anak-anak pelajar Tingkatan 3 Biruni, khas bagi membolehkan mereka merehatkan minda serta memperolehi sedikit sebanyak ilmu tentang Geografi di sini. Terdapat banyak pengalaman dan kenangan yang boleh disebutkan di sini, malah ditemani pula oleh Cikgu Ilah bersama anak-anaknya (Arsyad, Along dan Angah) serta seorang anak Cikgu Norma. Syukur, bas yang kami naiki selamat tiba di sekolah pada jam 8 malam, yang mana ketika itu hujan sedang turun dengan lebatnya membasahi bumi.
Sekilas pemandangan dan keadaan persekitaran WetLand. Pada hamba, keadaan persekitaran sangat tenang dan paparan skrin sangat menarik untuk dilihat. Apatah lagi tayangan akhir di bilik Ground Floor yang mempunyai paparan skrin bersaiz gergasi yang memaparkan wayang tentang WetLand.
Rombongan ini diadakan serentak dengan sebuah lagi rombongan yang menuju lokasi PWTC bagi memenuhi undangan ke Pesta Buku 2013 yang sedang rancak dijalankan dan akan berakhir pada 5 Mei ini. Kebetulan, ia jatuh pada hari pengundian. Mereka tiba setengah jam kemudian, setelah kami semua (rombongan pertama) bersurai setelah bas persiaran yang membawa kami berlalu untuk pulang ke 'sarang'nya. Hamba berasa amat gembira dan berterima kasih kepada semua kerana membolehkan hamba berada di sini.
Sekian sahaja nukilan hamba untuk kali ini. Diharap bertemu lagi kita di dalam tinta yang seterusnya.
P/S: Pada rakan-rakan yang cuba mengakses lagu-lagu, maaf dinyatakan bahawa akaun 4Shared hamba telah di'block' kerana masalah copyright. Oleh itu, hamba terpaksa menutup akaun buat sementara waktu (1 bulan) sebelum membuka akaun baru. Mungkin hamba akan gunakan e-mail lain untuk buka akaun 4Shared yang baru. Apapun, hamba akan maklumkan sebarang perkembangan pada kemudian hari. Sekian.
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 5:46:00 PTG 0 ulasan
Label Diari Seminggu
Ahad, Mac 17, 2013
Warisan Kesenian & Pertahanan Diri Masyarakat Melayu! - Human Weapon (Silat) Terbukti!!
Tweet
Assalamualaikum w.r.t kepada semua rakan-rakan Bloggers sekalian. Arakian hamba kini sedang dilanda kebosanan walaupun bercuti minggu di rumah. Almaklum, keseorangan. Apapun kini hamba ingin sama-sama berkongsi bahan ilmiah dan juga kebanggaan kita, bukan sahaja sebagai rakyat Malaysia, tetapi juga sebagai salah satu rumpun dalam hidupnya Melayu di Nusantara ini. Sungguhpun negara dan bahasa yang digunakan berbeza, namun secara umumnya seluruh rantau Asia Tenggara ini bersaudara dari aspek hubungan darah. Jangan sesekali dinafikan bahawa sebahagian besar masyarakat di kawasan Asia Tenggara ini berhubung dalam rumpun masyarakat yang sama sejak perpindahan masyarakat kuno Mesolitik dan Neolitik ke sini. Usahlah dicemarkan keindahan warisan turun-temurun in dengan perebutan hak yang tiada taranya. Tiada apa yang hak dan batil, melainkan kesatuan masyarakat dan fakta bahawa rangkaian persilatan di seantero dunia ini adalah hak milik kaum Melayu, yang kental jiwa dan raganya, gagah merah darah pahlawannya. Janganlah direbut, dicaci, dimaki hanya kerana mahukan hak pemilikan cuma; bukankah kita semua bersaudara juga adanya? Walaupun dari sulur jalur keturunan yang jauh jaraknya?
Adapun pada beberapa minggu yang lalu (sebelum temuduga), pihak TV3 telah menayangkan rancangan bersiri "Human Weapon", yang mana siri pada kali ini menyentuh mengenai "Silat", yang mana terdapat di Malaysia dan serantau. Sungguhpun keseluruhan pengambaran ini dijalankan di Malaysia, namun hakikatnya, berbanggalah wahai semua kaum Melayu tanpa mengira negara mana sekalipun; bahawa kesenian & pertahanan kita ini turut dikenali di luar negara. Walaupun penggambaran ini dikatakan adalah lebih 'lama' berbanding pengambaran yang dilakukan oleh pihak National Geografic (Silat Warrior) pada tahun 2010, namun ia masih releven untuk dikepilkan sebagai pengetahuan kita semua. Malah, ada yang sedia maklum, tidak mudah untuk memujuk dan menyakinkan 'pihak-pihak' berkaitan untuk menunjukkan seni silat mereka, khususnya kepada umum; apatah lagi masyarakat luar yang dianggap mengganggu 'privasi' mereka sebagai badan pesilat. Namun, 2 penggambaran ini boleh dikatakan berjaya membuat ramai golongan luar mula memandang tinggi silat Melayu di arena antarabangsa.
Baiklah, hayatilah video ini dan sama-samalah kita lihat kesudahannya. Jom Tonton!!
Bahagian 1
Bahagian 2
Bahagian 3
Bahagian 4
Bahagian 5 (Akhir)
Pesanan :
Pengkisahan mengenai silat di dalam rancangan ini dilihat lebih kepada fakta yang kurang jelas atau lebih kepada fakta. Sebahagian besar perkara yang disampaikan oleh 2 orang pengacara ini adalah lebih kepada carian bahan yang kurang, serta tidak merangkumi pengkisahan sebenar sebab dan mengapa silat ditubuhkan dengan secara mendalam lagi. Oleh itu, hamba minta rakan-rakan seangkatan (terutama sekali saudara-saudari Segayong) janganlah dipanjangkan 'persengketaan' melalui ruangan chatting. Bukan apa, malu bercambah, apatah lagi jika dilihat masyarakat luar ini. Guru hamba, En Azman turut kelihatan; iaitu ketika upacara mandi minyak. Lama sudah tidak bertemu dengannya. Sekian, salam rindu dari anak Gayong.
Pengkisahan mengenai silat di dalam rancangan ini dilihat lebih kepada fakta yang kurang jelas atau lebih kepada fakta. Sebahagian besar perkara yang disampaikan oleh 2 orang pengacara ini adalah lebih kepada carian bahan yang kurang, serta tidak merangkumi pengkisahan sebenar sebab dan mengapa silat ditubuhkan dengan secara mendalam lagi. Oleh itu, hamba minta rakan-rakan seangkatan (terutama sekali saudara-saudari Segayong) janganlah dipanjangkan 'persengketaan' melalui ruangan chatting. Bukan apa, malu bercambah, apatah lagi jika dilihat masyarakat luar ini. Guru hamba, En Azman turut kelihatan; iaitu ketika upacara mandi minyak. Lama sudah tidak bertemu dengannya. Sekian, salam rindu dari anak Gayong.
Tinta nukilan oleh Seiryuu Ai / Fiesha Hafimi di 11:38:00 PTG 0 ulasan
Label Set Tayangan Perdana
Langgan:
Catatan (Atom)