Assalamualaikum dan salam sejahtera hamba ucapkan kepada semua rakan-rakan bloggers yang dihormati sekalian. Semoga sentiasa sihat dan ceria bersama keluarga tersayang, terutama di hujung-hujung minggu begini. Dalam kesempatan ini, hamba ingin berkongsi beberapa resepi yang pada hamba menarik untuk dikongsi bersama rakan-rakan semua, apatah lagi hamba sememangnya gemar memasak dan agak kuat makan; walaupun mengulang makan (dalam kuantiti sedikit). Selain itu, pada hari Rabu lepas, hamba baru sahaja menonton sebuah rancangan yang memaparkan cara bagaimana memasak resepi "Itik Peking", yang pada hamba agak menarik untuk dicuba; sekiranya hamba ada kelapangan untuk mencubanya. Ok, mari kita sama-sama jenguk barang-barang dapur dan mencuba resepi ini!!
Resepi 1 : Itik Peking
Ingatan : Bahagian yang dikehendaki dalam resepi ini adalah bahagian kulitnya sahaja. Kulitnya sangat rangup sekiranya mengikut langkah yang betul. Jadi, bahagian daging boleh digunakan sebagai bahan dalam masakan lain seperti goreng sayur, sup dan sebagainya. Hidangan ini boleh disediakan untuk 6 atau 8 orang. Pada yang tidak biasa makan itik, boleh gantikan dengan menggunakan ayam atau ayam belanda.
Bahan-bahannya :
1. Untuk Itik
1 ekor Itik (siap dibersihkan, tidak dipotong)
1 sudu kecil gula
1/2 sudu kecil garam
30 gram halia (dihiris)
30 gram daun bawang (dihiris halus)
10 gram dong quai (angelicasinensis); sejenis herba Cina
20 gram bunga lawang
600 mililiter cuka merah
200 gram madu lebah
450 gram gula molassess (sejenis gula perang yang berwarna perang dan pekat)
1000 mililiter air
Minyak masak secukupnya
2. Untuk penyediaan penkek
1 cawan tepung
60 gram minyak masak
480 mililiter air
Cara penyediaan :
1. Untuk Itik
1. Bersihkan itik termasuk kawasan dalam perut dan toskan kering.
2. Gaulkan gula, garam, halia, daun bawang, dong quai, bunga lawang dan madu lebah. Perapkan bahan-bahan tersebut di dalam perut itik.
3. Ikat kaki itik (supaya tidak terlalu luas bukaan dan bahan di dalam perut tidak terkeluar).
4. Gaulkan cuka merah, gula molassess dan air sehingga betul-betul sebati. Sapukan sebatian ini di seluruh bahagian luar itik. Ulangi proses ini sehingga hasil sebatian ini betul-betul melekat pada badan itik.
5. Gantungkan itik dan biarkan sebatian kering selama 2 setengah jam atau 3 jam.
6. Bakar itik di dalam ketuhar selama 45 minit dengan suhu 115 darjah celsius. Bahagian badan itik ditegakkan, bukan dibarangkan semasa dibakar. (Letakkan penadah/ loyang di bahagian bawah itik semasa dibakar agar minyak yang dihasilkan tidak menitis dan mengotorkan ketuhar)
7. Panaskan minyak di dalam kuali. "Siram" minyak pada badan itik selama 3 hingga 5 minit.
8. Angkat dan biarkan sejuk sedikit.
9. Potong bahagian kulit sahaja sepanjang 2 inci setiap satu. Ketepikan.
2. Untuk penyediaan penkek
1. Gaulkan minyak, tepung dan air sehingga menjadi satu adunan doh.
2. Canaikan rata dengan ketebalan 2 mililiter dan potong menjadi saiz kira-kira 5 inci (ikut kehendak individu)
3. Goreng penkek di atas kuali leper tanpa menggunakan minyak.
Cara-cara menyediakan hidangan :
Ambil sekeping penkek dan sapukan sedikit sos hoisin (atau kalau tiada, pakai sos lada hitam), letakkan di dalam penkek sepotong kulit itik, sekeping timun (dipotong nipis sepanjang 1 inci), sedikit daun bawang dan kobis (potong halus sepanjang 1 inci). Gulung seperti popia dan nikmatinya sewaktu penkek masih lagi panas.
0 ulasan:
Catat Ulasan