Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan blog yang setia dan sudi berkunjung ke laman saya yang tidak seberapa ini. Syukur kepada Tuhan, hamba masih dipanjangkan umur untuk masih bertapak di bumi yang fana ini, disamping mencari keberkahan hidup, juga menunaikan ibadah kepada Tuhan Yang Satu. Alhamdulillah...
Kira-kira 27 jam yang lepas, kita semua telah menyambut hari yang paling istimewa, hari di mana kita semua mengenang dan menghargai jasa seorang pendidik, yang mana telah banyak berbakti mencurah ilmu dan keringat untuk kita....Pelbagai gelaran diberi kepada mereka seperti cikgu, Dr., Professor dan sebagainya...tapi mereka masih seorang pendidik yang mana telah memberikan ilmu kepada kita, walaupun hanya ilmu yang kecil; hatta mengajar kita menyuapkan makanan juga layak digelar guru. Begitu mulianya peranan dan gelaran guru, dan tidak hairan sekiranya peranan guru sangat penting pada zaman sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan; iaitu ketika penggubalan dilaksanakan. Sememangnya, guru memang telah banyak berjasa pada kita...dan juga bergantung pada usaha kita untuk menjadikannya kenyataan.
Hamba berkata sedemikian kerana ia adalah berdasarkan kepada pengalaman hamba sendiri. Hamba sebenarnya bukanlah tergolong dalam kalangan pelajar yang pintar, hamba boleh dikatakan sebagai pelajar yang agak lembab, malah agak lemah dalam mengingati sesebuah perkara. Tetapi, akan menjadi mudah, sekiranya hamba melakukannya dalam bentuk pengulangan. Sejak berusia 3 tahun, hamba telah diarah untuk menulis dengan menggunakan tangan kanan oleh bonda. Bonda adalah guru hamba yang pertama, selain ayahanda hamba. Bonda menyediakan buku tulis bergaris 3, dan menulis A, B, C sehingga Z dalam setiap muka surat. Bonda juga akan menyemak hasil kerja hamba setiap kali usai melakukan kerja rumah. Hasilnya, hanya hamba seorang sahaja yang boleh menggunakan tangan kanan untuk menulis dan melukis. Adinda hamba yang lain pula bertangan 'kidal', mengikut ayahanda. Malah, boleh dikatakan tulisan hamba agak kemas dan seringkali 'perkhidmatan' hamba akan digunakan sekiranya menulis surat atau mengisi borang-borang sekolah atau buku-buku. Ayahanda pula rajin membelikan hamba 'jingsaw puzzle' dan ini melatih hamba untuk lebih cekap dalam mengingat patah perkataan dengan baik. Sekiranya hamba malas, alamatnya hamba akan dihukum, bukan dengan rotan, bukan dengan tamparan, tetapi dengan tali pinggang yang akan dilibas pada tangan. Pedihnya...Tuhan saja yang tahu...
Dalam keagamaan pula, ayahanda adalah guru yang sangat tegas dan garang. Jangan sesekali meninggalkan solat!!! Juga amalkanlah membaca Al-Quran. Masih ingat lagi, hamba dan adinda hamba, Kamal diajar ayahanda mengaji Muqaddam, terutama usai solat Maghrib dan Isyak. Waktu pengajaran itu, amatlah menyeksakan. Keadaan ini disebabkan hamba tidak boleh silap sebut ayat semasa membaca. Alamatnya, teruklah rotan ayahanda melibas lantai. Apalagi, terketar-ketarlah hamba dan adinda hamba membaca...Itu belum lagi dengan juraian air mata yang dah lama melimpah di mata...Adinda hamba sampai terkencing-kencing akibat ketakutan...Bila diingatkan kembali, lucu pula rasanya...Tapi, kini akibat penangan itu, hamba dan adinda hamba Kamal lebih baik dalam bacaan Al-Quran. Adinda hamba tamat ketika berada dalam Darjah 3, manakala hamba pada Darjah 5. Cuma hamba agak kesal, kerana tidak sempat mempelajari bacaan Al-Quran secara berlagu secara mendalam, kerana 'penyakit wanita' yang tidak menentu. Tapi, hamba akan cuba untuk memperbaikinya...Insyaallah...
Guru hamba yang ketiga pula adalah ayahanda saudara dan bonda saudara pihak ayahanda hamba. Ayahanda saudara, Pak Su adalah seorang lelaki yang sangat gemar membaca. Keadaan ini ditambah lagi dengan kedudukannya sebagai seorang pelajar, dan mengambil peperiksaan STPM sebanyak 3 kali. Maka, hamba seringkali menemaninya membaca di rumah, di perpustakaan sekolah, di rumah guru dan juga di masjid. Buku pertama yang hamba baca adalah Sejarah Kehidupan Nabi Muhammad S.A.W. Koleksi buku-buku Pak Su amat banyak; tetapi yang hamba paling gemar ambil untuk dibaca antaranya adalah Hikayat Merah Silu, Hikayat Hang Tuah (versi lama), Hikayat Raja Bersiung, Buku Cerita-Cerita Rakyat Malaya Lama, Hikayat Pahang, Hikayat Pangeran Diponigoro (tak ingat nama penuh) dan Hikayat Panji Semirang. Bonda saudara pula, iaitu Mak Chik adalah orang yang paling menghargai bakat melukis hamba, sejak hamba kecil lagi. Mak Chik akan membelikan hamba alatan lukisan sekurang-kurangnya sehelai kertas lukisan untuk melukis pelbagai bentuk yang hamba inginkan (ayahanda tidak suka hamba melukis, katanya membuang masa). Perkara yang paling tidak dapat hamba lupakan adalah mendapat hadiah sebuah buku cerita "Cerita Rakyat Seluruh Dunia" dan set melukis daripadanya apabila mendapat tempat pertama dalam kelas semasa Darjah 4.