Papan Pernyataan / Pengumuman
Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan blogger yang dihormati sekalian. Sudah lama benar hamba tidak mencatat sebarang tinta di atas laman maya ini. Arakian maafkan hamba kerana kelalaian serta ketiadaan masa yang benar-benar sesuai untuk melakarkan sebarang ceritera ataupun nota-nota di sini. Al-maklum hamba kini berkerjaya dan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan etika kerja yang berlainan, tidak seperti semasa menjadi pelajar dahulu. Adapun begitu, syukur ke hadrat Illahi kerana masih dipanjangkan umur hamba bagi menaip di papan elektronik ini bagi tatapan semua. Kisah hamba kali ini berkisarkan pengalaman hamba membawa anak-anak asuhan hamba ke Menara MATRADE, Jalan Duta dan I-City, Shah Alam sempena pameran terkemuka iaitu Art Expo Malaysia 2013 pada 19-22 September 2013.
Tarikh 21 September 2013 (semalam) menjadi pilihan hamba disebabkan ketika itu adalah cuti sekolah serta sehari sebelum tamatnya pameran itu. Agak malang, kerana hamba kesiangan pada pagi itu kerana kepenatan serta kebimbangan melanda jiwa. Mujur setibanya di sekolah, masih agak awal iaitu jarum jam menunjukkan jam 7.00 pagi. Lebih malang lagi, motor 'kesayangan' pula buat hal. Terpaksalah hamba menapak dari rumah ke sekolah. Mujur rumah hamba tidak jauh dari sekolah, kalau tidak; memang teruk natijahnya. Di sekolah, terdapat ibu bapa bersama-sama anak-anak murid yang sedia menunggu kedatangan hamba. Setelah mengambil kehadiran pelajar, hamba membahagikan makanan (sarapan pagi) beserta minuman kepada mereka. Terima kasih diucapkan kepada En. Kamarulazman (YDP PIBG SMK Pasoh 2) atas kesudian untuk 'sponsor' sarapan pagi untuk program ini. Tidak lama kemudian, bas yang ditunggu tiba dan perjalanan dimulakan pada jam 7.20 pagi. Perjalanan diteruskan setelah mengambil kak Shima dan kak Syahida di Batu Kikir dan Senawang.
Papan tanda bagi memasuki bangunan Menara Matrade
Pelajar diberi taklimat sebelum memasuki menerusi pintu masuk ke pameran
Perjalanan sangat lancar, walaupun pada mulanya tersesat, iaitu semasa mencari jalan untuk ke Menara MATRADE. Apapun, dengan izin Allah, kami akhirnya tiba di tempat tersebut pada jam 10.45 pagi. Walaupun hari masih lagi muda (pagi), tetapi kedapatan ramai penghayat seni serta pelajar-pelajar kolej dan universiti yang hadir ke pameran ini. Boleh dikatakan bahawa hanya kami sahaja (pelawat dari sekolah) yang berada di situ. Kami semua bergambar di hadapan pintu masuk dan kemudiannya berpecah untuk melihat pameran tersebut. Boleh dikatakan kesemua karya yang dihasilkan adalah sangat menarik dan terbaik. Hamba turut meluangkan masa menunjuk ajar kepada anak-anak murid hamba tentang karya-karya yang dihasilkan.
Bergambar beramai-ramai sebelum masuk ke dalam pameran. Meriah nampaknya.
Guru-guru pengiring pula tangkap gambar. Dari kiri : Cikgu Wan Fauzi, Cikgu Fadzilah dan anak-anak (Kak Long, Irsyad dan Abang), hamba, Cikgu Hashimah dan Cikgu Nursyahida
Gelagat pelajar-pelajar dan guru pengiring semasa di pintu masuk