Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh kepada semua bloggers yang dihormati sekalian...maafkan hamba andainya telah lama tidak mencatat sesuatu di dalam tinta maya ini, kerana ketiadaan line bagi memasuki dunia maya ini. Alhamdullillah, bertemu kita semua dalam keadaan yang sihat sejahtera hendaknya. Di sini, hamba sekadar hendak berkongsi pengalaman hamba semasa menyambut raya di kampung halaman hamba; tempat tumpahnya darah hamba. Hamba dilahirkan dengan memiliki campuran Jawa dan Cina dari sebelah bonda, manakala ayahanda pula adalah campuran Melayu dan India Selatan (Alkisah dari nenda hamba yang telah pulang ke rahmatullah). Jadi, terimalah kisah catatan hamba berhari raya...
Catatan 1 : Hari Raya Pertama
Ayahanda saudara yang menetap di Klang bertandang ke rumah hamba seawal 3 pagi. Dia dan keluarganya menetap di rumah hamba buat seketika. Agak sukar buat kami menyediakan ruang untuk beradu kerana teratak kami sekeluarga yang kecil dan sempit. Maka, mereka diberikan ruang di kawasan rumah hamba yang masih dalam pembinaan. Kemudian, hamba dan bonda bangun untuk menyediakan juadah kepada kaum lelaki yang mana akan ke masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri di masjid berdekatan. Kami bersolat Subuh jemaah bersama dalam keadaan yang sederhana.
Kira-kira pukul 2 petang, tibalah rombongan dari saudara-mara sebelah ayahanda saudara yang hamba panggil Chik Mie. Dia adalah suami kepada bonda saudaraku, Asmadiah atau hamba panggil Chik Diah. Seronok rasanya berbual dengan mereka. Bonda apatah lagi, melayan kerenah mereka yang berselera benar bersantap dengan masakan wajib keluarga hamba semasa raya; Masak Lodeh Johor, Sayur Goreng, Ayam Masam Manis 3 Rasa, Rendang Daging Ala Minang dan Nasi Impit (buat secara tradisional : guna tangan). Kemudian, datang pula bonda saudara hamba yang bongsu, Achik Siti dan suami, Achik Apis. Bertambah gamat jadinya suasana di rumah. Rumah hamba jadi tempat berkumpul kerana nenda hamba yang berdua telah pulang ke rahmatullah, maka bonda hambalah yang menjadi ingatan mereka menggantikan arwah nenda.
Achik Apis sedang berborak dengan bonda hamba
Catatan 2 : Hari Raya Kedua
Kami semua pergi melawat kubur nenda berdua yang disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Purun. Di sana, hamba bertemu dengan ayahanda saudara sulung, Achik Long yang baru tiba dari Kelantan. Dia hanya membawa anak-anaknya bersama, kerana isterinya, Mak Long tidak begitu sihat; almaklumlah berbadan dua (6 bulan). Kami menghabiskan masa bertafakur dan menyedekahkan Al-Fatihah dan Yassin pada arwah nenda. Hamba terpaksa menahan sebak semasa membacakan Yassin pada kedua-dua arwah, kerana bonda dan adinda-adindanya telah terlebih dahulu menangis sambil membacakan Yassin. Hamba memahami perasaan bonda kerana tidak disangka, kedua-duanya serentak menyahut seruan Illahi. Hamba lebih sayu kerana hamba merupakan satu-satunya insan yang ternyata tidak sempat menatap wajah mereka buat kali yang terakhir, kerana ketika itu masih di UPSI.
Inilah kawasan perkuburan tersebut; berdekatan ladang kelapa sawit peringkat 1
Kubur nenda lelaki; meninggal pada bulan Febuari 2009
Kubur nenda perempuan; meninggal pada Mei 2009
Kami kemudian menetap di rumah tinggalan nenda. Riuh rumah seperti dilanggar garuda apabila deretan 'askar-askar' ini pulang. Adinda hamba yang berdua, Kamal dan Husain nyata kebosanan kerana tiada teman yang boleh diajak berbual. Ini kerana hamba dan adinda hamba yang berdua adalah cucu nenda yang paling tua (bonda berkahwin dahulu). Di sini, berlaku peristiwa di mana bonda menjumpai 3 ekor anak tupai di dalam laci meja solek Achik Diah. Bonda menyangka bahawa haiwan itu adalah anak patung. Maka, hamba mengambil kesempatan itu untuk menangkap gambar untuk dijadikan memori.
Anak-anak tupai ni tidak takut langsung pada hamba, orang lain tidak boleh pegang
terus melarikan diri
Suasana raya di kampung halaman
Catatan 3 : Hari Raya Ketiga
Hamba sekeluarga telah pergi ke Rompin untuk melawat bonda saudara, Mak Teh (adinda ayahanda). Bonda saudara ayahanda, Tok Teh juga turut serta. Kami singgah di sebuah pantai tidak bernama yang terletak di sepanjang laluan ke Rompin. Berlaku juga kejadian yang tidak disangka, kereta ayahanda tersangkut di dalam laluan pasir di pantai tersebut. Jenuh hamba dan adinda hamba berdua membantu ayahanda mengeluarkan kereta tersebut (bayangkan, hamba menolak kereta Unser ayahanda dengan memakai baju kebaya?). Akhirnya setelah berhempas pulas selama 3 jam, dapatlah dikeluarkan. Ayahanda berkata bahawa inilah latihan menguatkan stamina yang baik, terutama bagi kami 3 beradik yang berlatih silat.
Bekas kesan kereta yang tersangkut dalam pasir, ada lagi kesan tayar dan jejak-jejak kami adik-beradik yang menolak kereta
Beg-beg dikeluarkan untuk meringankan kereta
Hamba di tepi pantai selepas selesai menolak kereta, ambil kesempatan berjalan-jalan
Kami bermalam di sebuah kawasan penginapan Institud Pertanian, kerana ayahanda tidak mahu membebankan adindanya (kerana rumah Mak Teh lebih kecil dari rumah hamba). Setelah beristirehat seketika, kami bertolak ke rumah Mak Teh. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah penginapan, rupa-rupanya ada pertandingan kugiran berdekatan rumah Mak Teh. Ramai orang berkumpul di situ sehingga jalan yang sedia sempit, menjadi sempit. Di sana, hamba terserempak dengan 'dia' yang bersama dengan orang lain, barulah hamba mengerti mengapa dia 'memutuskan' perhubungan kami. Ayahanda meminta hamba menangkap gambar sekeliling rumah, kerana hendak dijadikan rujukan untuk membina rumah kami.
Rumah yang kami duduki memang selesa. Berteraskan binaan rumah kerajaan lama, menggunakan kayu sebagai medium utama. Mempunyai 3 buah bilik tidur, ruang tamu dan dapur yang selesa, 4 buah bilik mandi dan kawasan rumah yang luas nyata menarik minat ayahanda untuk mencontohi reka bentuk rumah ini. Sewa sehari adalah RM 100, jadi berpadanan dengan keselesaan dan servis yang diberikan.
Catatan 4 : Hari Raya Keempat
Kami semua bermaaf-maafan terutama dengan nenda (aki). Ketika itu yang paling meriah, acara memberi duit raya....berebut-rebut sepupu hamba yang masih kecil bersalaman dengan bonda dan saudara yang lain. Biasalah, kanak-kanak. Paling tidak disangka, hamba yang sudah boleh dipanggil 'mak orang' pun masih dapat duit raya. Alasan? Tentulah sebab hamba masih 'bersekolah' (maknanya, menuntut). Rezeki, hamba pun terimalah seadanya. Kemudian, kami semua berpecah kerana ada urusan penting. Kami sekeluarga sempat singgah di rumah Tok Andak di Pekan. Selepas itu, terus berangkat pulang ke Bera. Keadaan ini disebabkan Tok Teh mula mengalami muntah-muntah dan pening (biasalah, orang tua). Sebelum itu, kami singgah di Bandar Maran, menikmati Nasi Ayam. Sedapnya sampai menjilat jari..Nasi dan supnya adalah biasa sahaja, tetapi rasa ayamnya itu yang benar-benar membangkitkan selera. Inilah baru Nasi Ayam sebenar!
Catatan 5 : Hari Raya seterusnya
Tiada apa yang hendak diceritakan, seperti biasa sahaja. Rakan-rakan bonda datang beraya di rumah. Hamba pula mula ke perpustakaan desa dan cyber cafe mencari maklumat assignment. Susah sekiranya tidak pasang 'line' di rumah. Adinda hamba yang bongsu, Qayyum pula lesap beraya dengan rakan-rakannya. Adinda hamba, Kamal (Angah) pulang ke Kedah pada hari Jumaat.
Kereta sanak-saudara jiran sebelah rumah...askar kot??
Itu sahaja catatan hamba di sini. Sepanjang hamba di rumah, memang tidak dapat hamba melakukan aktiviti melukis, kerana diganggu oleh adinda bongsu dan sepupu-sepupu. Maka, apa yang dapat hamba lakukan adalah membuat ulangkaji teori sahaja. Syukur hamba sentiasa membawanya ke mana-mana. Ayahanda pula menggalakkan. Terfikir pula untuk membeli PSP, mudah menyimpan dalam format pdf dan boleh dibawa ke mana-mana. Sekian sahaja nukilan hamba. Wassalam dan Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
0 ulasan:
Catat Ulasan