Penulis & Pelukis : Masashi Kishimoto (1999, Shonen Jump)
Genre : Aksi, Pengembaraan dan Fantasi
Sinopsis cerita :
Menceritakan mengenai seorang kanak-kanak bernama Uzumaki Naruto, seorang anak yatim piatu yang berkeinginan menjadi seorang 'Bayang Pawaka' atau 'Hokage' di kampungnya, iaitu Konoha (Konohagakure). Keadaan itu disebabkan dia telah disisihkan sejak kecil dan mahu orang ramai menyedari kehadirannya. Naruto telah menjalani pelbagai kesukaran dalm hidupnya, terutama dalam menjalani kehidupan sebagai seorang ninja. Namun, Naruto semakin berkembang dan mengenali ramai rakan-rakan baru dari dalam dan luar kampungnya dan menjalani kehidupan bersama dengan aman dan gembira. Bersama ahli Kumpulan 7, di bawah pimpinan Hatake Kakashi serta bersama ahli sekumpulan, iaitu Uchiha Sasuke dan Haruno Sakura, Naruto telah berkembang dan menjadi matang. Namun suasana itu tidak kekal, dengan pelbagai kesulitan dan akhirnya membawa kepada peristiwa Sasuke mengikut Orochimaru (antagonis). Bagi membawa pulang Sasuke ke kampung, Naruto dan Sakura telah berlatih di bawah Jiraiya dan Tsunade (Hokage ke-5 aka Godaime Hokage). Maka, bermulalah bermulalah pengembaran mereka seterusnya.
Watak-Watak Di Dalam Manga :
1. Uzumaki Naruto - Seorang ninja kanak-kanak berpangkat Genin (Bahagian 1: 12 tahun, Shippuden (2) : 15 tahun) yang aktif, ceria dan agak cerewet (atau banyak cakap). Merupakan seorang anak yatim piatu dan merupakan hos (Jinchurikiri) bagi Makhluk Berekor Sembilan / Kyuubi no Yoko, menyebabkan dia disisihkan oleh orang kampungnya. Bercita-cita untuk menjadi Hokage di kampungnya dan kehadirannya diiktiraf oleh orang-orang di Konoha. Berminat dengan Haruno Sakura, tetapi tidak dilayan; namun masih berkawan rapat. Menganggap Uchiha Sasuke sebagai rakan dan juga 'abang'nya. Identiti sebenarnya adalah anak kepada Yondaime Hokage (Hokage Ke-4), Namikaze Minato dan Uzumaki Kushina. Kelihatan agak kebodoh-bodohan dan tidak serius, namun sebenarnya sangat pintar dan serius terutama dalam melaksanakan tugasan ninja. Mottonya adalah 'Tidak Mudah Mengaku Kalah', 'Aku Akan Menjadi Seorang Hokage Suatu Hari Nanti!' dan 'Itulah Jalan Ninja Saya'. Ayat kegemaran adalah 'Dattebayo!'. Berkebolehan mengawal chakra berunsur 'Angin' dan berguru dengan Umino Iruka (Sekolah Ninja), Hatake Kakashi (Peringkat Genin) dan salah seorang Lagenda Sennin, iaitu Jiraiya.
2. Uchiha Sasuke - Seorang ninja kanak-kanak (seusia dengan Naruto) berpangkat Genin (kemudian menjadi Missing-Nin) yang genius dan agak dingin. Merupakan satu-satunya puak Uchiha yang masih hidup, dan menyimpan dendam terhadap abangnya, Uchiha Itachi dan ingin membunuhnya. Dikurniakan dengan raut wajah yang tampan, menyebabkan dia menjadi rebutan gadis di kampung, tetapi tidak dilayan. Seorang yang bangga diri, ego dan gemar mengkritik orang lain, tetapi sebenarnya seorang yang mementingkan nilai persahabatan. Mewarisi darah keturunan puaknya dan memiliki 'Mata Sharingan', yang menjadikannya seorang yang mampu untuk meramal dan meniru jutsu ninja-ninja yang lain. Mengikut Orochimaru untuk mendapatkan kuasa yang lebih bagi membunuh abangnya. Berkebolehan mengawal unsur Api dan Guruh.
3. Haruno Sakura - Seorang ninja kanak-kanak (seusia dengan Naruto dan Sasuke) berpangkat Genin (Bahagian 2 : Chunin) yang berkebolehan mengawal chakra dengan baik berbanding dua orang ahli kumpulan 7. Berminat dengan Uchiha Sasuke, tetapi tidak dilayan. Seorang yang agak kasar, mudah marah, garang dan ceria. Mempunyai 'kekuatan luar biasa' dan amat ditakuti oleh Naruto dan Konohamaru (cucu kepada Hokage ke-3). Merupakan pakar perubatan yang mempunyai kebolehan pengubatan yang mengagumkan, disebabkan dia adalah anak murid kepada pakar perubatan terkenal di dunia ninja, iaitu salah seorang Lagenda Sennin, Tsunade (Hokage ke-5).
4. Hatake Kakashi - Seorang ninja berpangkat Jounin dan merupakan ketua bagi Pasukan 7. Merupakan anak murid kepada Namikaze Minato (Hokage ke-4) dan digelar sebagai 'Ninja Peniruan 1000 Jutsu'. Mata kirinya ditutup, kerana terdapat 'Mata Sharingan' yang telah dihadiahkan oleh rakannya, Uchiha Obito. Sangat mahir dalam menggunakan pelbagai jutsu, serta sangat pantas dalam membuat gerakan tangan sebelum melancarkan jutsu (hand-seal) dan boleh menyeru pasukan anjing miliknya. Berkebolehan mengawal unsur Guruh dan Air. Wajahnya tidak pernah dilihat oleh para pembaca, kecuali oleh orang-orang tertentu (hanya bernasib baik) iaitu pembuat ramen dan anaknya di Ichiraku Ramen serta anjing penyerunya.
Nota : Terdapat banyak lagi watak-watak yang tidak diceritakan...bacalah untuk mengetahui, tetapi sebahagian besar dari kamu mesti telah mengenalinya.
Penilaian : Manga ini menyedarkan hamba mengenai pentingnya kasih sayang dan ikatan persahabatan. Ini dibuktikan oleh Naruto yang bersungguh-sungguh mahu membawa pulang Sasuke ke kampung. Dalam pada itu, kesetiaan serta semangat berpasukan ditonjolkan dengan baik disamping penggunaan jutsu-jutsu yang menarik dan pelbagai aksi pertarungan yang mencabar.
0 ulasan:
Catat Ulasan