Genre : Fantasi, Sejarah
Sinopsis Cerita :
Cerita ini mengisahkan tentang watak utama, Carol Rido (Carol); gadis remaja warganegara Amerika yang berambut perang keemasan dan mempunyai mata berwarna biru laut adalah anak kepada sebuah keluarga ternama yang kaya-raya. Carol menuntut di sebuah universiti di Cairo dan mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang arkeologi. Apabila keluarganya menemui sebuah makam yang menempatkan seorang Firaun muda, sebuah sumpahan telah berlaku ke atas ahli ekspidisi, Carol dan seluruh keluarganya. Sumpahan ini telah membawa gadis ini kembali ke masa lampau, iaitu kira-kira 3000 tahun dahulu; iaitu pada zaman Mesir Purba. Keadaan in telah membawa kepada perkaitan sejarah dan membawa Carol untuk lebih mengetahui tentang peristiwa sejarah di Mesir, Assyira dan Babylon. Pada zaman tersebut, Carol telah bertemu dengan Memphis, Firaun muda yang tampan (Carol telah memasuki makam miliknya pada abad ke-21) dan kejam. Walaupun Memphis adalah seorang yang keras kepala dan kejam pada awalnya, mereka tidak menyedari bahawa mereka telah tertarik antara satu sama lain. Ini menimbulkan kemarahan kakak (kekanda) Memphis, Isis yang telah lama menyukai Memphis dan hendak mengahwininya. Manakala, Carol yang pada zaman itu dianggap mempunyai rupa paras yang unik dan mempunyai kebolehan yang diperolehinya dari abad 21, menjadikannya seorang yang memainkan peranan yang amat penting dalam sejarah ketamadunan Mesir.
Watak-Watak Di Dalam Manga :
1. Carol Rido (Anak Perempuan Kepada Dewi Sungai Nil) - Berasal dari abad ke-21, wajahnya yang eksotik dan berambut perang keemasan menyebabkannya sering menjadi perhatian umum, terutama musuh-musuh yang hendak menjatuhkan Mesir. Dibawa lari oleh Isis ke zaman Mesir Kuno, sebagai sumpahan kepadanya kerana keluarganya telah mencerobohi tempat persemadian Memphis dan dirinya sendiri pada abad ke-21. Pada permulaannya, dijadikan sebagai hamba 'tebusan' oleh Memphis. Menjadi Permaisuri Kerajaan Mesir semasa berusia 18 tahun. Dianggap Dewi oleh semua orang Mesir Purba dengan gelaran Anak Perempuan Kepada Dewi Sungai Nil (Daughter of The Nile). Sikapnya yang ramah mesra, berani dan pintar (kerana mempunyai pemikiran dan idealogi dari abad ke-21), membuatkan ramai orang mengaguminya dan menganggap seolah-olah dia mampu meramal sesuatu yang bakal tiba. Sentiasa cuba dilarikan oleh musuh-musuh Memphis, sama ada untuk dijadikan tawanan atau sebagai isteri mereka. Pernah mengandung, namun mengalami keguguran setelah cuba dibunuh oleh Isis yang mengetahui berita tersebut akibat cemburu. Statusnya kini masih menjadi tanda tanya, iaitu sama ada Carol kini adalah Permaisuri Kerajaan Mesir atau isteri Putera Mahkota Hittite (Ishmin), kerana tipu muslihat yang dijalankan oleh Ishmin semasa Carol disihir oleh seorang ahli sihir yang tidak dikenali namanya. Carol juga kebingungan, kerana dia kadangkala dapat mengingati peristiwa semasa 'disihir', namun berkeras menafikan dan menyatakan bahawa perkahwinannya dengan Memphis adalah yang pertama dan sah berbanding dengan pernikahan kedua dengan Ishmin, yang disifatkan sebagai 'upacara yang tidak selesai'. Hanya Titii, hamba suruhan Carol yang mengetahui rahsia tersebut.
2. Memphis - Firaun yang berusia 17 tahun (semasa berkahwin dengan Carol, berumur 20 tahun) mempunyai wajah yang kacak, menyebabkannya sentiasa menjadi igauan dan idaman kaum wanita. Sangat berkebolehan dalam merancang kerajaannya, peperangan serta berburu. Seorang yang kasar, tetapi penyayang dan romantik. Pengaruh persekitaran banyak membentuk peribadi Memphis, kerana telah menaiki takhta sejak berusia 8 tahun setelah kemangkatan ayahandanya, Firaun Nefenmert dalam usia yang muda. Oleh itu, dia jarang memperlihatkan kebaikan yang ada pada dirinya, namun berubah setelah kehadiran Carol disisinya. Juga seorang yang mudah marah, yang kadangkala menimbulkan konflik antara dirinya dan Carol. Ramai wanita yang ingin memenangi cintanya, termasuk kakaknya sendiri, Isis; Cafra, puteri kepada Raja Libya; Mec, hamba wanita yang dibawa ke istana oleh Kapta (Ketua Paderi Mesir), Milanum, puteri Kerajaan Hittite (adinda kepada Ishmin, tetapi mati dibunuh oleh Isis) dan juga Jamari, gundik kesayangan Argon, Raja Assyria (dihantar sebagai pengintip dalam istana). Sangat menyesal dengan tindakannya yang tidak peka dengan perubahan diri Carol semasa hamil dan bersumpah akan bersemuka dengan Isis untuk menyelesaikan hutang darah tersebut. Sangat melindungi Carol kerana bimbang adanya pengkhianat atau musuh dalam selimut di dalam pemerintahannya. Kemahirannya dalam berpedang dan berperang terbukti setelah berjaya menewaskan Ataurus dan menewaskan Ragashu (suami Isis) dalam peperangan sengit.
3. Isis - Puteri dan Paderi Tertinggi Kerajaan Mesir Purba (memerintah kerajaan Selatan Mesir) dan merupakan kakak (kekanda) kepada Memphis. Merupakan orang yang bertanggungjawab membawa Carol ke zaman Mesir Purba sebagai hukuman kepada keluarga Carol yang membiayai ekspidisi membongkar makam Memphis dan dirinya pada abad ke-21. Sangat mencintai Memphis dan sanggup membuat apa sahaja tindakan yang dianggap boleh memenangi cintanya. Pada luarannya, dia adalah seorang wanita yang jelita dan menawan, tetapi dia juga seorang yang kejam, licik serta kurang berperikemanusiaan, terutama jika mendapat tahu ada orang lain yang mencintai Memphis (Melalui tindakannya membunuh Milanun dengan membakarnya di kuil dan percubaannnya untuk membunuh Carol setelah mengetahui Carol hamil). Sentiasa cuba merancang untuk menjatuhkan atau membunuh Carol, tetapi selalu gagal. Berkahwin dengan pemerintah Babylon, Ragashu setelah sangat kecewa dengan keputusan Memphis mengahwini Carol (dia diarahkan oleh Memphis untuk menjadi saksi perkahwinannya). Walaupun sudah berkahwin, Isis masih mengharapkan cinta Memphis dan sentiasa berusaha untuk kembali ke Mesir, dengan harapan Memphis akan memperisterikannya setelah kematian / kehilangan Carol. Ini seringkali menimbulkan syak wasangka suaminya, tetapi tidak didedahkan. Ketika berlakunya peperangan di mana Ragashu ditewaskan oleh Memphis, hamba abdi Isis yang setia telah dapat mengesan perubahan kelakuan Isis dan mendapati bahawa Isis telah mengandung. Ini menyebabkan Isis sangat kecewa dan hampir putus harapan untuk dapat memiliki Memphis lagi - kerana anaknya itu.
4. Ryan Rido - Abang sulung Carol, berumur 30 tahun. Mewarisi syarikat milik ayahnya, Conten Rido setelah kematian ayahnya yang misteri. Sangat mengambil berat dan menyayangi Carol lebih daripada dirinya sendiri. Sangat berkebolehan dalam mengendalikan perniagaan, mengendalikan senjata moden (pistol) dan mempunyai pengamatan yang tajam. Ryan adalah orang yang bertanggungjawab menembak Ishmin sehingga parah dan tidak dapat diubati dengan pistol miliknya, setelah mendapati Carol ditawan olehnya (berlaku kejadian relung masa, yang mengakibatkan Ryan 'termasuk' ke dalam zaman purba buat sementara waktu akibat kebakaran minyak di loji milik keluarganya). Orang yang pertama mengetahui Carol mengandung setelah pulang dari zaman Mesir Purba dan kurang menyukai Abmando Rapman dan Jimmy Brown yang dianggap kurang serius dalam menjalinkan hubungan dengan adiknya itu. Berdasarkan maklumat yang masih belum sahih, didapati bahawa sebenarnya Ryan bukan anak kandung Conten dan isterinya, sebaliknya anak angkat yang ditemui di hadapan sebuah makan lama. Ryan juga akhirnya berjaya menemui mumia Memphis yang dicuri dan mendapati wajah mumia itu adalah menyerupai dirinya dan sekaligus membongkar pertalian antara Memphis dan Ryan - Ryan adalah 'penjelmaan semula' Memphis untuk bertemu semula dengan Carol pada abad ke-21.
5. Ishmin aka Ishfaq Minhaz - Putera Mahkota Kerajaan Hittite yang terkenal dengan kebolehannya dalam peperangan. Seorang yang kacak, bijak, licik, agak kejam namun berjiwa pahlawan. Sangat memusuhi Memphis, kerana dipercayai telah cuai dalam menjaga serta terlibat dalam konspirasi membunuh adik perempuannya, Puteri Milanum. Jatuh hati terhadap Carol pada pandang pertama (ketika ke Mesir untuk menyiasat punca kematian adiknya). Pada permulaan, dia mahu menggunakan Carol sebagai 'tawanan' bagi menghapuskan Memphis, tetapi sikap Carol yang berani, sentiasa cuba melarikan diri darinya, tidak mudah mengalah serta tidak takut dengan sistem monarki (pemerintah beraja) menyebabkan Ishmin terpikat padanya. Dia sentiasa beranggapan bahawa perkahwinan antara Carol dan Memphis adalah tidak sah dan mencari peluang untuk membawa pulang Carol ke Hittite, supaya dapat memperisterikannya. Sangat mengambil berat akan keselamatan serta kesejahteraan hidup Carol serta sanggup melakukan apa sahaja untuk memilikinya, meskipun terpaksa menggunakan khidmat ahli sihir untuk 'menghilangkan ingatan' Carol terhadap suaminya sekaligus mengahwininya. Status dirinya dan Carol adalah tidak jelas, iaitu sama ada mereka adalah suami isteri atau tidak kerana Carol sama sekali tidak mengakui kesahihan perkahwinan tersebut. Kecederaan di bahu kanannya yang tidak dapat disembuhkan diakibatkan daripada Ryan, yang mana muncul secara tiba-tiba ketika kebakaran berlaku dan menyebabkan terjadinya 'relung masa'. Kemahirannya dalam peperangan sangat unggul, tetapi mudah teralih sekiranya dikejutkan dengan perkara yang berkaitan dengan Carol. Sebagaimana kaum lelaki Hittite yang lain, Ishmin turut menyimpan rambut yang panjang dan diikat sepanjang masa berdasarkan tradisi bangsanya, yang membuatkannya kelihatan seperti seorang wanita.