Assalamualaikum kepada semua rakan-rakan
bloggers yang dihormati sekalian. Dengan segala rendah diri dan takzimnya,
hamba memohon maaf atas keluputan dalam menulis sebarang tinta selepas tinta
terakhir di laman using ini. Namun, hamba sentiasa mengikuti perkembangan
semasa blog ini, Cuma kekurangan masa untuk menaip sebarang ayat di ruangan
post. Kini hamba kembali dengan info-info terbaru yang mana mungkin berguna
untuk tatapan rakan-rakan sekalian.
Sebagai seorang yang baru menamatkan
pengajian (fresh graduate), sudah tentu tujuan kita adalah untuk mendapatkan
pekerjaan. Namun, pada zaman kini, disebabkan persaingan yang tinggi dalam
mendapatkan pekerjaan, bilangan graduan yang melebihi jumlah kerjaya yang
berada di pasaran, menyebabkan ramai graduan mengganggur. Keadaan ini bertambah
meruncing apabila kerjaya yang diberikan adalah ‘kurang setanding’ dengan tahap
pendidikan yang dimiliki oleh graduan, syarat pengambilan pekerja yang sangat
ketat (terutama bagi kerjaya di peringat kerajaan) dan juga sikap graduan yang
sangat memilih kerja. Di sini ingin hamba berikan sedikit nasihat atau tips
yang mungkin boleh membantu rakan-rakan yang mana masih ‘sukar’ mencari kerja
atau sekadar mencari pekerjaan sementara (untuk menanggung kos hidup).
Antara
yang hamba ingin cadangkan dan nasihatkan adalah:
1) Seboleh-bolehnya, anda hendaklah
mempunyai hala tuju yang ingin anda capai dalam hidup. Bukan hanya nak ikut
telunjuk ibu bapa anda atau sekadar nak ikut kawan. Keadaan ini disebabkan
sebahagian besar majikan akan melihat anda sebagai seorang yang lemah, tidak
tetap pendirian, sukar untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan
paling membimbangkan, mereka sudah beranggapan bahawa anda tidak serius dengan
kerjaya yang anda ingin ceburi.
2) Kenali kekuatan, kelemahan dan juga
kemahiran anda (yang mana diperlukan dalam bidang yang anda ceburi) dan juga
matlamat kerjaya anda pada masa hadapan. Hamba cadangkan agar anda membuat
sebuah “Papan Visi” berkaitan dengan diri anda sendiri, dan tampal pada dinding
bilik anda atau pintu almari anda (yang mana mudah untuk dilihat setiap hari).
Pada anda mungkin cara ini agak kebudak-budakkan, tetapi sememangnya ini adalah
untuk menetapkan minda anda untuk mencapai apa yang anda ingini di masa depan
dan juga sangat-sangat berguna ketika anda akan menghadapi temuduga kelak,
terutama temuduga kerajaan.
Contoh "Papan Visi"; Mengandungi kekuatan, kelemahan, kemahiran serta matlamat kerjaya (berdasarkan kerja yang anda ambil) pada masa akan datang, 5 tahun selepas itu. (Maaf, segala maklumat dalam Bahasa Inggeris, kerana ini adalah Vision Board hamba sendiri semasa menyertai program GCAP. Di sebelah kiri atas adalah kotak penutup yang hamba buat menyerupai seolah-olah sebuah diari)
3) Berlatih pengucapan; sama ada secara
individu (di dalam tandas, bilik air dan sebagainya) dan juga dalam berkumpulan
(sama ada ketika di hadapan orang ramai, rakan-rakan dan taulan). Mengapa ia
penting? Ini disebabkan kita akan dilihat sebagai seorang yang berkeyakinan dan
positif dalam memohon pekerjaan. Apa yang ingin hamba ingatkan, jangan terlalu
yakin bahawa anda akan mampu untuk berucap, kerana tidak semua graduan (semasa
mereka belajar di universiti dahulu misalnya), mempunyai kemahiran membuat
ucapan terutama di hadapan umum. Di sini ingin hamba tekankan bahawa pengucapan
ketika pembentangan di dalam kuliah, ucapan berapi-api ketika pilihan raya dan
juga pertandingan pidato masih belum menjamin seseorang graduan itu mempunyai
kemahiran pengucapan yang baik. Ini disebabkan kemahiran itu memerlukan keberanian
dan juga asas tahan diri yang tinggi. Tentu rakan-rakan semua pernah melihat
pembentangan ketika di kuliah, bukan? Ingin hamba bertanya, jika di dalam
sebuah kumpulan itu mempunyai 8 orang ahli, adakah mereka semua boleh
memberikan pembentangan yang baik? Sudah tentu akan ada juga yang ‘kurang’,
terutama yang bersuara rendah, kurang yakin dan sentiasa mencari ruang untuk
memendekkan ucapan mereka dan kemudian berkumpul di belakang ahli kumpulannya.
Sikap seperti inilah yang DITEGAH atau DILARANG sama sekali ketika berlakunya
temuduga. Ini membolehkan penemuduga ‘menanda’ anda di dalam senarai untuk ‘dicuci’
dan ‘ditembak’ habis-habisan.
4) Ambil tahu perkembangan semasa,
terutama menonton TV dan suratkhabar. Tidak dinafikan bahawa sebahagian besar
graduan kurang meluangkan masa untuk ‘mengambil tahu’ akan isu-isu semasa. Ini diburukkan lagi
dengan sikap sesetengah mereka yang hanya leka dengan permainan komputer/laptop
dan juga benda-benda remeh. Kelemahannya terlihat ketika anda ditemuduga, yang
mana sebahagian besar soalan yang dikemukakan adalah menjurus kepada
pengetahuan am yang wajib diketahui. Main komputer memang boleh, tetapi
kurangkan dan ambillah sedikit ruang untuk menjenguk sama ada laman web surat
khabar mahupun e-akhbar untuk melihat atau ‘menyimpan’ maklumat, mana tahu
boleh digunakan semasa temuduga kelak?
5) Tidak memilih kerja. Pada masa kini,
sebahagian besar graduan tidak mahu untuk bekerja, walaupun bekerja sementara terutama
jika jawatan dan kerja yang ditawarkan adalah tidak bersangkutan dengan bidang
atau kelulusan yang dimiliki. Nasihat saya, JANGAN SESEKALI MEMILIH KERJA! Ini
adalah kerana bukan anda seorang sahaja graduan yang baru menamatkan pengajian
dari universiti. Tambahan pula, jika bidang yang anda pilih (terutama graduan
pendidikan) tidak mempunyai kemahiran yang ‘diingini’ oleh majikan. Tahukan
anda, pada zaman kini, majikan atau syarikat, tidak kira kerajaan dan swasta
lebih gemar mencari pekerja yang mempunyai pengalaman? Jika tidak percaya,
lihatlah laman-laman web yang ‘menawarkan pekerjaan’ dari syarikat atau
kerajaan dan lihat syarat-syarat yang dinyatakan. Oleh itu, ubahlah persepsi
anda, carilah dan terimalah kerja walau sekecil manapun kerja itu (malah kutip
getah pun kerja juga! Asalkan bukan getah orang lain sudahlah). Keadaan ini
sebenarnya menguntungkan anda, kerana dari pengalaman kerja itu, anda akan
dilihat sebagai seseorang yang telah mahir dengan kerja yang anda lakukan serta
ini membuka lebih banyak ‘pintu’ untuk anda memperoleh pekerjaan; berbanding
dengan hanya bergantung pada satu bidang sahaja. Malah, anda juga mungkin
berpeluang membuat simpanan sendiri atau membayar hutang-hutang yang ada, siapa
tahu?
6) Menjaga penampilan dan mengambil tahu
tema/tatacara pemakaian semasa menghadiri temuduga. Ini dilihat amat penting
dan mesti diingat oleh setiap calon. Majikan mana yang akan mengambil anda
bekerja jika anda kurang menjaga penampilan dan juga tidak patuh pada tatacara
pemakaian? Apabila anda dipanggil untuk ditemuduga, PASTIKAN anda bertanya
kepada pihak terbabit tentang etika atau
tema pemakaian yang dibenarkan. Ini adalah untuk memastikan anda tidak
tersilap maklumat dan juga yakin untuk melangkah ke dewan temuduga. Selain itu,
anda hendaklah menunjukkan keyakinan serta tersenyum semasa ditemuduga.
Sekiranya anda tidak tahu, cakap sahaja tidak tahu atau minta untuk ditanyakan
soalan yang lain (tapi jangan pula pandai-pandai minta tukar, lihat juga pada
tahap keseriusan soalan tersebut). Cara duduk pula adalah sopan dan
menyakinkan, serta selesa. Jangan sesekali mengangkang, menguap, membengkokkan
badan atau menggoyangkan kaki, kerana ia dilihat sangat biadap, serta
melambangkan anda tidak serius dengan temuduga tersebut. Jangan lupa sertakan
dengan ucapan selamat pagi (ikut waktu ketika itu), salam (orang Islam) dan
terima kasih.
7) Membawa semua dokumen yang diperlukan
dan sediakan lebih awal supaya tidak mengganggu perjalanan temuduga. Tahukah
anda? Tindakan anda itu membantu mempercepatkan proses temuduga dan penemuduga
telah memberikan pandangan yang baik bahawa anda ini boleh dipercayai, professional
dalam kerja serta bersedia. INGAT, jangan buat pada saat-saat akhir, kerana ini
akan mengganggu mood penemuduga dan juga sikap cuai dan ‘tak ambil kisah’ anda
akan memakan diri. Malah, bukan anda seorang sahaja yang ditemuduga pada hari
itu, Ingat!
8) JUAL DIRI ANDA! Maksud hamba ,
bukannya ‘menjual diri’ yang dilaknat Allah itu! Menjual diri ini adalah lebih
kepada ‘menjual’ kebolehan diri, kemahiran yang dimiliki serta pengalaman yang diperolehi
semasa atau selepas pengajian (bonus kepada mereka yang berkerja sambilan).
Jangan menjual diri anda secara murah! Juallah dengan ‘harga’ yang tinggi
supaya penemuduga akan dapat melihat bahawa anda layak untuk menjawat jawatan
yang anda kehendaki. Selain itu, anda boleh mengaitkannya dengan kekuatan yang
anda miliki serta kemahiran yang mana anda perolehi semasa di universiti dan
ketika bekerja sambilan /kerja lain dahulu. Tindakan anda ini membuatkan pihak
majikan akan berasa yakin dengan kemampuan kamu untuk menggalas tugas yang akan
diberikan nanti.
9) Ketahui serba sedikit maklumat
berkaitan dengan kerja yang anda bakal duduki. Ini boleh anda rujuk melalui brosur, internet dan sebagainya.
10) Pastikan bahawa anda menghafal atau mengingati
90% daripada maklumat yang anda tulis di dalam resume anda. Keadaan ini
disebabkan sebahagian besar penemuduga akan bertanya berdasarkan daripada
resume tersebut. Keadaan ini disebabkan mereka ‘cuba’ untuk berkomunikasi
dengan kita dan juga ingin melihat bahawa apa yang anda tulis di dalam resume
itu adalah benar (Mereka dapat tangkap sekiranya kita menipu!). Oleh itu,
belajarlah cara menulis resume yang betul kerana daripada pemerhatian yang
dilakukan dan juga pembacaan hamba, didapati kira-kira 80% graduan tidak tahu
akan cara menulis resume yang betul. Kesan daripada kesilapan menulis resume
adalah: mereka sukar mendapat pekerjaan, terutama pada graduan yang tidak
mempunyai pengalaman kerja.
11) Memastikan anda boleh berkomunikasi
dan mendengar dengan baik soalan yang diberikan, sama ada dalam Bahasa Melayu
dan Bahasa Inggeris. Kemahiran mendengar juga penting, kerana memberikan bonus
pada anda. Ini disebabkan majikan mahu agar para pekerjanya sentiasa peka dan
boleh melakukan arahan seperti yang diarahkan.
12) Tahu akan tempat dan masa temuduga dijalankan serta kelengkapan diperlukan (pen, stapler atau pin).
Baiklah,
itu adalah pesanan dan nasihat hamba kepada rakan-rakan semua. Ingatlah USAHA
itu bermula daripada kita, dan yang MENGABULKANNYA adalah dengan kehendak Allah
Yang Maha Esa. Jadi sama-samalah bermohon agar mendapat hidayahnya dan rezeki
yang diimpikan. Amin. Apa yang didengar mungkin sakit untuk didengar, tetapi inilah kenyataan yang akan ditempuh oleh kita sebagai seorang graduan. Sekian untuk tinta kali ini. Bertemu di tinta seterusnya,
yang pada hamba akan menarik lebih banyak minat anda untuk membacanya.
Wassalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan