Assalamualaikum kepada semua yang memasuki ruangan hamba ini. Selamat datang hamba ucapkan. Terlebih dahulu marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kerana dengan limpah dan kurnia dari-Nya, maka dapatlah kita sama-sama mengimarah ruangan ini.
Pada ketika ini, hamba ingin memohon maaf andai ruangan ini masih belum sempurna adanya. Hamba ini masih dalam proses untuk mengenali ruangan ini dengan lebih mendalam. Ilmu yang hamba miliki nyata masih cetek dan masih perlu ditambah. Benar seperti kata pensyarah kita, bahawa bidang perguruan kini kian mencabar dan sekiranya kita tidak mempersiapkan diri kita dengan perkara-perkara seumpama ini; bayangkan apa yang dapat kita berikan kepada bakal-bakal pelajar kita di luar sana.
Namun, haruslah diingat bahawa tujuan kita ke universiti adalah untuk memperlengkapkan malah memantapkan lagi ilmu yang sedia ada. Bukan hanya menunggu buah durian yang gugur, juga bukan menjadi mahasiswa/mahasiswi yang bodoh sombong. Biarlah kita mengikut resminya padi; semakin tunduk semakin berisilah ia. Tetapi, ilmu pengetahuan yang banyak tidak berguna kiranya tidak diikuti dengan akhlak dan sahsiah yang tinggi. Sebagai seorang guru, tugas kita bukan hanya untuk mengajar atau mencurahkan ilmu yang ada; tugas kita lebih besar sebenarnya. Kita turut akan membimbing mereka untuk membentuk keperibadian dan sahsiah mereka, di samping memperlihatkan kemurnian akhlak serta memandu mereka ke arah kejayaan.
Itu sahaja catatan pena hamba pada masa kini. Ingatlah bahawa tugasan guru ini amat murni, tetapi penuh dengan ranjau dan duri. Beriktikad dan tetapkan matlamat anda di sini sebaiknya. Insyaallah, kita semua akan menjadi bukan sahaja guru yang cemerlang dalam menyampaikan ilmu, malah menjadi idol dan contoh yang mampu untuk dibangga atau dicontohi oleh pelajar mahupun ahli keluarga kita sendiri.
Sekian dari hamba.Wassalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan