Ya-Ha!! Bertemu lagi kita semua di dalam ruangan yang tidak seberapa ini. Hamba tika ini masih belum mampu untuk melelapkan mata kerana mencari maklumat-maklumat berkaitan bagi diletakkan di dalam laman yang kecil ini. Di kesempatan ini, hamba ingin mengucapkan "Selamat Hari Ibu" kepada semua ibu-ibu di seluruh dunia, bukan sahaja pada hari ini, tetapi pada hari-hari yang selanjutnya juga. Hamba juga tidak mahu ketinggalan juga ingin mengucapkan "Selamat Hari Guru" kepada semua guru-guru, terutama semua rakan-rakan guru serta rakan-rakan sekumpulan; yang mana baru sahaja menamatkan pengajian serta sama-sama berkonvokesyen pada 8 Mei yang lalu.
Kenangan ketika menyambut Hari Guru di sebuah sekolah di Kuantan, masih terakam segar di ingatan. Sungguhpun hamba ketika itu masih bergelar guru praktikal (Semester 7), tetapi hamba juga diraikan selayaknya sebagaimana guru-guru yang berpengalaman yang lain. Hamba mula dikenali setelah sketsa Kelab Drama yang dikawal selia oleh hamba mendapat pujian khas dari pengetua sekolah. Tetapi, perasaan ketika itu sangat meriah dan gembira kerana disambut baik, walaupun hanya sebagai guru praktikal. Selain itu, tidak dilupakan juga jasa-jasa oleh ramai insan bergelar guru di sekeliling hamba yang selama ini telah mencurah ilmu dan bakti kepada hamba, walaupun hamba mempunyai masalah dalam pembelajaran serta membantu hamba berevolusi - iaitu dari seekor ulat bulu yang lemah, kurang cantik dan kurang serba-serbinya berbanding serangga lain, akhirnya telah berjaya keluar dari kepompong sutera sekaligus menjelma menjadi seekor rama-rma yang cantik rupanya. Terima kasih banyak-banyak cikgu-cikgu semua!!! Jasa anda semua sangat membantu hamba dalam mempelajari dan memahami erti kehidupan yang sebenar.
Di sini, hamba selitkan sebuah video yang hamba perolehi di Youtube, mengenai seorang guru muzik yang mengajar di kelasnya; kesemuanya pelajar lelaki. Walaupun berunsur lawak, tetapi mempunyai makna yang tersendiri dan tersirat. Sama-samalah hayati video ini dan semoga terhibur!
0 ulasan:
Catat Ulasan