Bertemu kita di dalam lampiran seterusnya. Arakian, maaf andainya tidak mengutus sebarang khabar berita di laman ini tepat pada masanya. Al-maklum, hamba kesuntukan masa serta kewangan untuk menduduki di satu-satu kawasan semasa berada di Tanjung Malim sepanjang menuju majlis konvokesyen ini. Hamba telah bertolak ke Tanjung Malim pada 2 Mei 2012 yang lalu, iaitu sehari awal daripada tarikh raptai konvokesyen. Setelah tiba di sana, hamba telah mengambil keputusan untuk menginap sementara di Bilik 24 jam, yang terletak di Perpustakaan Tengku Bainun UPSI. Syukur dipanjatkan ke hadrat Illahi, hamba memperoleh waktu beradu yang lena, walaupun persekitarannya agak kurang selesa dan menyenangkan. Hamba tidak begitu bimbang mengenai keselamatan, kerana kawasan itu menjadi tumpuan pak guard berehat atau lepak serta menjadi tempat pelajar menelaah tanpa mengira masa (24 jam). Hamba tidak banyak karenah, kerana telah biasa dengan keadaan sedemikian.
Namun, pada malam kedua hamba di bilik ini, hamba telah ditawarkan penginapan oleh junior hamba, Tee atau hamba mudah ingati, Yang. Yang membawa hamba ke terataknya untuk berteduh sehingga pada hari Isnin (7 Mei). Di rumahnya juga, terdapat junior lain yang menetap dan kesemuanya ramah serta baik hati. Terima kasih diucapkan pada Yang dan rakan-rakan serumahnya. Pada 7 Mei, keluarga hamba telah menetap di sebuah rumah yang telah hamba sewa dengan bantuan daripada sahabat baik hamba iaitu, Mohd Idrul Fitri. Kasihan dengan Fitri kerana berulang-alik ke sana ke mari untuk memastikan bahawa hamba dan keluarga memperoleh kemudahan penginapan yang baik dan selesa semasa di Tanjung Malim. Sungguhpun sewa yang dikenakan adalah RM260 untuk semalam, tetapi memang selesa dan berbaloi dengan keluarga hamba yang besar. Terima kasih banyak-banyak juga untuk Fitri! Pada malam itu juga, hamba membawa keluarga bersantai seketika di Padang Besar Kampus Lama UPSI serta membelanja mereka memakan Mee Perut yang menjadi salah satu makanan kegemaran dan ruji hamba sepanjang hamba menuntut di UPSI. Walaupun banyak belanja yang digunakan, tetapi hamba tidak kisah; kerana memang sepatutnya hamba yang 'mengeluarkan' wang untuk majlis-majlis sebegini. Bonda dan adinda ke-4, Wawa (Teh) mengambil peluang untuk 'bershopping' sementara hamba, ayahanda dan adinda ke-2, Husain (Ude) duduk di pesisir pejalan kaki sambil asyik menonton persembahan 'band' pada malam itu.
Ayahanda ternyata teruja dengan persembahan tersebut, yang menetengahkan lagu-lagu rock zaman 80-an dan 90-an; yang mana menjadi kegemaran ayahanda juga sebahagian besar pengunjung di kawasan berkenaan. Kami semua pulang ke rumah sewa agak larut, iaitu pada jam 11 malam. Hamba pula terus menggosok 'pakaian rasmi' konvokesyen dan lain-lain pakaian (terutama pakaian Ude dan ayahanda) untuk dipakai pada pagi esoknya. Di dalam hati, timbul perasaan gemuruh kerana ini adalah pertama kali hamba akan mengambil ijazah buat seumur hidup. Kemudian, hamba melelapkan mata untuk mendapatkan tenaga yang cukup untuk aktiviti pada keesokan harinya serta bangun awal pada jam 5 pagi keesokkan harinya.
0 ulasan:
Catat Ulasan