Guru yang lupa diri
Guru yang lupa pakaian
Guru yang sudah lupa diri
Guru yang sudah lupa pakaian
Banyak bala yang hampir
Bala yang menimpa negara
Di situ tempat kembangnya syaitan
Di situ tempat binasanya iman
Harus ada tunjuk ajar untuk:
telaga budi
menunjuk yang elok
mengajar yang benar
mencelikkan mata
menyaringkan telinga
membersihkan hati
menyempurnakan budi
membaikan pekerti
Guru yang terpuji
dahulukan suluh diri
bukan menunjuk dengan maki
bukan mengajar dengan caci
menunjuk pada yang perlu
mengajar supaya tahu
petunjuknya berfaedah
pengajarannya berguna
Berilah manfaat pada didikan
Supaya menjadi contoh pada semua
Langkahnya diikuti, mulutnya dipegang
Sesuaikan tingkah dengan bicara
Ke darat tidak jadi durjana
Ke laut tidak jadi bergelora
Ke hulu tidak jadi berdengki
Ke hilir tidak jadi menista
Ke gunung tidak jadi caci mencaci
Tandanya guru terpuji ialah:
budi halus dan rendah hati
lemah lembut sebarang pekerti
sesama manusia ia hormati
Sayang selasih pada yang lain
Mulut manis jangan percaya
Hati kasih di tempat lain
Mari pergi mencari rotan
Dapat sebatang rotan dahan
Buah manis jangan dimakan
Kalau dimakan jahanam badan
Jangan jadi tak tahu diri
Orang bebal mengaku ahli
Orang ke hilir awak ke hulu
Duduk beramai memandai-mandai
Tegak bersama mengada-ngada
Dalam berunding tengking-menengking
dalam muafakat umpat mengumpat
Diri bebal lagak menyombong
Ke tengah menyalah ke tepi binggung
Cakap meninggi kepala kosong
Kenapa guru tiada suluh diri?
kenapa guru tiada suluh hati?
Orang ke kanan awak ke kiri
Hidup menurut selera sendiri
Tunjuk ajar orang tiada peduli
Lupa kepada bodoh sendiri
Ditunjuk ajar ia tak sudi
Kebaikan orang dibalas dengki
Tak tahu diri lagaknya angkuh
Ke mana pergi membuat gaduh
Nasihat yang baik ia cemuh
Jangan jadi guru celaka
Diri sendiri ianya lupa
Tak tahu aturan lupa agama
Diberi nasihat masamlah muka
Lupa diri tak ingat asalnya
Kepada orang dengkian sahaja
Syaitan iblis kawan setianya
Hantu jerangkung saudara maranya
Pontianak pelesit jiran rapatnya
Sundel bolong polong bisikan hatinya
Lupa diri lupa ibadat
Tanah sekangkang hidupnya terlaknat
Hidup bergelumang dalam maksiat
Orang mengutuk Tuhan melaknat
Lupa diri, binasa sendiri
Lupa diri, hidup terkeji
Lupa diri, musnahlah diri
Lupa diri, binasa 'body'
Lupa diri, akal pun mati
Jadilah guru yang ikhlas berdada lapang
Mulut manis akal pun panjang
Niat tidak iri dan dengki
Buka kulit nampak isi
Disimpai dengan budi pekerti
Hidup berterus terang
Pantang sekali main belakang
Mulut dijaga, nafsu dikekang
Jauh sekali tidur terkangkang
Niat tidak binasakan orang
Syarak dijunjung adat dipegang
0 ulasan:
Catat Ulasan