Ketika ini, ramai pelajar UPSI telah pulang ke rumah masing-masing. Pada permulaannya, pihak universiti telah mengeluarkan arahan bahawa kami tidak dibenarkan pulang. Namun, kira-kira pukul 1 ptg, pihak pentadbiran mengeluarkan arahan bahawa kelas bermula 29 Julai (Rabu) sehingga 31 Julai (Jumaat) dibatalkan serta merta.
Lebih mengejutkan lagi, cuti semester kami turut diawalkan dan berturutan dengan kelas yang dibatalkan. Ini bermakna: kami semua diarahkan untuk pulang dengan serta merta. Keadaan ini mencetuskan sedikit panik, tetapi semasa pengumuman dibuat terdapat juga teriakan gembira dari sesetengah pelajar. Bagi hamba, keadaan ini agak menyusahkan. Keadaan ini disebabkan hamba tidak akan dapat memperolehi ilmu dalam waktu dan keadaan yang sepatutnya (dirancang) serta mengganggu waktu hamba untuk ke studio bagi membuat tugasan amali.
Sungguhpun begitu, hamba mengerti bahawa tindakan ini dijalankan supaya para pelajar tidak 'sewenang-wenangnya' dijangkiti oleh penyakit berbahaya ini. HEPA sememangnya telah menjalankan tangungjawab dengan baik dan akhirnya dapat meyakinkan pihak akademik supaya 'melepaskan' pelajar pulang demi mengelakkan penularan yang lebih serius. Hamba juga tidak menyalahkan pihak Akademik kerana mereka telah bertungkus lumus menyusun jadual dan aktiviti bagi para pelajar; maka semestinya perancangan itu dijalankan atau diikuti. Namun, keadaan nyata tidak mengizinkan.
Hamba merupakan jenis yang tidak mudah mengalirkan air mata; tetapi mudah merasa sayu sekiranya orang yang disayangi dan rapat pergi. Dalam rasa yang bercampur baur itu jugalah, hamba menghantar sahabat hamba yang dikasihi ke pengangkutannya. Rasa itu dipendam jauh-jauh dalam hati, takut tidak dapat bertemu lagi. Mungkin itulah rasa sayang yang sememangnya sudah lama terbit dalam hati setiap manusia, lebih-lebih lagi ikatan persaudaraan sesama manusia. Malam ini juga telah membuatkan hamba 'membongkar' rahsia dalam diri yang dipendam kepada sahabat hamba itu. Biarlah hamba dan dia sahaja yang tahu.
Hamba dan rakan baik hamba ketika menyertai Pameran Batik Tradisional: Inspirasi Tradisi anjuran pelajar-pelajar kursus Studio Batik Tradisional & Studio Batik Lanjutan di Galeri UPSI (kami turut sama kerana kami turut mengambil kursus tersebut) serta Wacana Bersama Kartunis : Dato' Lat di Panggung Budaya, Fakulti Seni dan Muzik, UPSI
Oleh itu, hamba berharap agar semua berada dalam keadaan yang selamat dan sejahtera selalu.
Wassalam.
0 ulasan:
Catat Ulasan