Assalamualaikum kepada semua sahabat-sahabat serta rakan-rakan blog dari seluruh dunia. Maaf andainya sudah sekian lama tidak mengungkapkan madah kata di laman ini. Hanya kehadiran Tayangan Perdana sahaja yang kerap menjenguk laman ini. Arakiannya, hamba sepanjang 2 minggu ini sibuk dengan ulah assignment serta pengurusan bagi merealisasikan Projek Tahun Akhir hamba yang dikira masih dalam perancangan lagi. Alhamdulillah, dengan berkat dan keizinan Yang Maha Esa, akhirnya hamba usai menyelesaikan tugasan-tugasan dengan jayanya walaupun serba kekurangan dek penangan masa dan kewangan yang kurang menentu. Syukur juga diucapkan kepada Allah S.W.T kerana diberi rezeki di saat-saat kesempitan yang melanda, dapatlah kami, pelajar-pelajar tahun akhir jurusan Pendidikan Seni (AT23) menampung hidup yang adanya masih tersisa di bumi UPSI ini.
Sungguhpun ceritera yang hamba utarakan agak kelewatan waktunya, namun hamba tidak mengambil endah semuanya. Asalkan hamba dapat mengutarakan apa-apa sahaja yang difikirkan perlu dan patut dikongsi, hamba akan tulis mahupun cerita walaupun sesuatu itu sudah berkurun lamanya berlalu. Kelmarin (
Jumaat, 30 Dis 2011), ketika dalam perjalanan ke studio untuk menyelesaikan tugasan, hamba terserempak dengan seekor kucing; yang hamba kira sudah sarat buntingnya merayau-rayau tidak tentu sambil mengiau-ngiau nyaring. Telatahnya itu nyata memancing penglihatan hamba seketika, tambahan pula kucing itu kelihatan 'bersungguh-sungguh' benar mengikuti setiap iringan langkah rakan-rakan mahasiswa yang melintasi kawasan tersebut, dengan pandangan mata yang sayu dan agak 'desperate'. Rakan-rakan mahasiswa seperti orang malas, tidak langsung mempedulikan 'rayuan' si comel itu. Semuanya pentingkan diri sendiri sahaja! Lalu, hamba tinggalkan seketika kucing peliharaan Pak Guard UPSI, bernama
"Che Pah" (KLIK DI SINI : KISAH CHE PAH) dan bergerak ke arah kucing itu. Kedatangan hamba itu nyata memancing si comel itu untuk membuntuti hamba ke tepi jalan yang agak lengang. Kucing itu sarat benar, seperti menunggu waktu untuk 'meletup' sahaja. Lalu hamba bertanya sedikit 'soalan' pada si kucing yang hamba panggil
"Si Cemong".
Si Cemong sedang lahap memakan Coco Crunch; sebelum Che Pah datang dan mengajaknya makan Frieskis tin.
Rupa-rupanya, kucing itu benar-benar kelaparan; tatkala hamba mengeluarkan makanan ringan. Hamba agak keberatan memberikannya disebabkan ia bukannya makanan kucing atau 'chekedis' ayam, ikan atau udang, sebaliknya Coco Crunch! Lebih malang, semua gerai masih belum membuka jendela mereka; kerana waktu masih awal iaitu pukul 7 pagi (Semua gerai dan kedai makan di hadapan Pintu Timur UPSI buka pada jam 8.30 pagi). Lalu, tanpa pilihan, hamba suakan juga makanan itu. Bayangkan betapa laparnya si comel itu lahap meratah makanan yang bukan jenisnya; makanan bercoklat! Laju juga air mata ini menitis, sambil mengusap kepala Si Cemong. Dia seolah-olah memahami keadaan hamba yang serba-salah sebab ketiadaan makanan lain untuk diberi. Sedang hamba leka melihat Si Cemong makan, hamba didatangi oleh Che Pah. Che Pah seolah-olah memujuk Cemong untuk mengikutinya (lalu Cemong ikut sekali) ke pondok guard. Rupa-rupanya di sana, sudah ada makanan yang disediakan oleh pak guard untuk Che Pah dan paling mengharukan, Che Pah mengajak Cemong makan bersama-samanya; iaitu makan Friskies dalam tin! Besarnya kebesaran-Mu, Ya Allah! Hamba jadi insaf sendiri bila melihat kejadian ini. Sedangkan haiwan pun ada simpati, inikan pula manusia! Mana perginya simpati pada haiwan ini di kalangan mahasiswa? Che Pah hamba tidak nafikan, disebabkan dia cantik dan terurus, semua hendak membelainya, bahkan memberinya makan. Tapi, Si Cemong? Mimpi sahajalah, malah disepak kerana 'kehodohannya'.